Menyumbang Tidak Semestinya Dengan Harta Benda

Oleh isma daud


Siang tadi bila kami berbincang persoalan kesibukan kerja dan bebanan bidang tugas baik di sekolah maupun di luar tugasan rasmi, kami dalam group "JaPS,UPIM Sibu" cuba memujuk hati kami agar sentiasa ikhlas kepada Allah dalam melaksanakan tugas dan amanah yang terpikul di bahu kami. Kata seorang ustazah dalam group ini; "Sepatutnya kita semua bersyukur kerana kita semua ditaqdirkan dapat memberi sumbangan kemahiran dan keilmuan yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Mungkin kita tidak mampu menyumbang harta benda tapi kita kita masih mampu menyumbang dari sudut tenaga, masa dan upaya."

Ya, memang benar kata ustazah tu, saya setuju sangat-sangat.

Menyumbang tidak semestinya dengan wang ringgit. Kadangkala kita boleh menyumbang tanpa mengeluarkan belanja. Bukan orang yang kaya dan berada saja boleh menyumbang, orang miskin pun boleh memberi dan membuat sumbangan. Pernah para sahabat yang miskin harta bertanya kepada Rasulullah bagaimana orang muskin boleh turut mendapat pahala sedekah. Rasulullah saw menjelaskan kepadanya bahawa dia boleh bersedekah dengan bertasbih, bertahmid, bertakbir, bertahlil, senyum kepada orang lain, mengembirakan orang lain dan ahli keluarga dengan kata bicara yang sopan sehingga menyuapkan makanan kepada mulut anak-anak dan isteri pun dianggap bersedekah. Begitulah mudahnya seseorang boleh bersedekah biarpun tidak menyumbang dan memberi wang ringgit.

Namun untuk bersedekah tidak semestinya bersedekah dengan wang yang banyak. Jika sedikit pun seseorang boleh bersedekah. Kelebihan pahala bersedekah bukan terletak pada banyak atau sedikit pemberian itu tetapi nialai pahalanya terletak kepada keikhlasan dan kejujuran hati seseorang dalam memberi. Pemberian yang disertai dengan sifat riak, sum'ah, takbur dan ungkitan dengan kata-kata yang menyakitkan hati orang yang diberi juga tidak mendapat kelebihan pahala di sisi Allah SWT. Bahkan perbuatan tersebut sangat dibenci oleh Allah SWT.

Allah SWT telah menjanjikan syurga dan keampunan kepada sesiapa yang sanggup bersedekah pada jalannya dalam keadaan senang dan susah. Begitulah kemurahan Allah SWT kepada orang yang bersedekah. Sementara itu Allah SWT telah membandingkan orang yang berbelanja hartanya pada jalan Allah SWT dengan ganjaran yang besar. Dibandingkan dengan sebiji benih yang tumbuh dengan tujuh tangkai dan setiap tangkai ada seratus biji. Begitulah janji Allah SWT kepada orang yang sedia bersedekah dan menyumbang dalam keadaan senang dan susah.

Sementara itu orang yang tiada berharta masih boleh menyumbang. Sumbangan yang boleh dilakukan seperti menyumbang tenaga, kemahiran, buah fikiran dan ilmu pengetahuan. Sumbangan seperti ini tidak mudah kelihatan di mata orang lain. Kadangkala tidak mendapat perhatian sesiapapun dan jauh dari mendapat pujian dan penghargaan. Namun sumbangan seperti ini tetap mendapat perhatian Allah SWT dan perhitunganNya. Alah SWT banyak kali menjelaskan dalam firmanNya bahawa Dia Maha Melihat apa yang ada di hati seseorang.

Oleh sebab itu orang yang ditaqdirkan berpeluang menyumbang usahlah merungut sebaliknya mengikhlaskan hati agar kualiti amal kita itu sentiasa mendapat perhatian Allah SWT. Yakinlah walau sekecilmanapun sumbangan kita sudah pasti tersedia ganjaran Allah SWT kepada hambaNya di akhirat nanti. Ingatlah orang-orang yang beriman itu apabila berbuat amal kebajikan, mereka hanya mencari keredhaan Allah SWT. Jadi, usahlah ada kesalan di hati atau sumbangan yang kita buat tidak mendapat penghargaan dan perhatian manusia. Ini kerana manusia tidak memiliki apa-apa melainkan apa yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya.

Khalasahnya; rasulullah saw ada menjelaskan dalam satu hadis bahawa seseorang itu bila berpagi-pagi dengan sendi-sendinya boleh bersedekah, bersolat dhuha, membantu orang dalam kesusahan seperti mengangkat dan menumpangkan orang lain dalam kenderaannya, bersikap adil kepada orang yang bertelingkah, memberi nasihat dengan kata-kata yang baik, melangkah kaki ke rumah-rumah Allah untuk solat berjamaah....semuanya akan memperolehi pahala sedekah. Alangkah beruntungnya mereka yang faham dan segera melaksanakannya...

Semua orang mampu bersedekah....

Comments

muzaha said…
ada orang tu ustaz tak nampak cara kita sumbangkan tenaga...apa yg dia nampak bila kita berada depan mata dia....barulah dikatakan kita menyumbang tenaga dan bekerja utk beramal

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?