Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Oleh isma daud

Sebelum saya melebarkan lagi perbincangan hal agihan daging korban marilah kita hayati sabda junjungan nabi kita Muhammad SAW sebagai renungan kita bersama.

gambar sekadar hiasan sahaja

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidil Adha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi).

Dapat difahami bahawa apa yang dituntut daripada ibadat korban ialah keredaan dan lapang dada kita untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa, terikut-ikut atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukan daging, atau binatang korban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan ibadat korban.

Allah berfirman yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan.” (Surah Al-Haj, ayat 37)

Dan dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman;

“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)

Semoga ayat dan hadis ini memberi ransangan kepada kita bahawa kita perlu mengikhlaskan hati dan membetulkan niat kita dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT.

Saya selalu sebut bahawa Allah SWT menerima amalan seseorang itu berasaskan sekurang-kurangnya 2 perkara ; Ikhlas dan Betul dengan syariat Allah SWT.

Berdasarkan kepada amalan yang dilakukan oleh sebahagian ahli masyarakat rasanya boleh diberi nasihat dan diperbaiki demi kemaslahatan bersama umat Islam.

Apa yaang saya ingin nyatakan dalam ruang yang terbatas ini adalah berkaitan dengan pengagihan daging korban. Semoga bermanfaat, Insya Allah.

Korban Secara Jamaie

Ibadah korban boleh dilakukan oleh seseorang dan boleh dikongsikan secara beramai-ramai (jamaie). Hukumnya sunat di sisi Imam Syafie dan wajib kepada orang yang kaya dalam mazhab Hanafi. Kepada yang miskin sunat melakukannya.

Dalam mengusahakan ibadah korban secara jamaie, kekadang pihak tertentu telah mengabaikan kaedah pembahagian daging korban. Ada yang mengagihkan daging korban mengikut pemahaman sendiri tanpa merujuk kepada perintah agama.




Ramai yang tahu bahawa seekor lembu contohnya boleh mewakili 7 orang dan setiap orang mengambil satu bahagian. Maka orang yang mengambil bahagian itu telah membayar harga bahagian masing-masing. Apabila ibadat korban terlaksana, dia berhak mendapatkan bahagiannya atas lembu tersebut. Dia berhak mengambil bahagian-bahagian tertentu atas lembu tersebut samada untuk dirinya, atau diagihkan kepada saudara mara, jiran, kawan-kawan dan faqir miskin.

Jika ibadat korban itu diurus oleh pihak lain, maka pihak tersebut hendaklah memastikan bahagian orang yang melaksanakan ibadah tersebut diperolehi. Pihak tersebut tidak berhak mengagihkannya sendiri melainkan dengan persetujuan daripada pembayar atau peserta korban tersebut. Ini kerana hak atau pemilik sebenar kepada daging korban tersebut ialah orang yang telah membuat bayaran dan melaksanakan ibadah korban itu. Adapun pihak pengendali hanya melaksanakan amanah dan tugasan sahaja. Dia tidak berhak apa-apa kecuali ada persetujuan bersama bahawa diserahkan cara pengagihan kepada pihak pengendali. Apa yang pengendali berhak ambil ialah kos pengurusan dan itu diluar daripada harga bahagian korban tersebut.

Pembahagian Daging Korban

Daging, hati, jantung, limpa, tulang dan lain-lainnya hendaklah dibahagi adil sesama peserta atas lembu korban tersebut kecuali kaki dan kepala lembu tersebut. Tidak boleh dibahagikan dagingnya sahaja sebelum semua atas bahagian lembu itu kecuali semua orang mendapatkan haknya setelah seekor lembu itu diuruskan. Menyalahi sunnah dan agama jika agihan itu sekiranya lembu A yang dikorban tetapi daging lembu B yang diberi kepada peserta ibadah korban. Dengan ertikata lain difahami bahawa tidak boleh dicampur-campur daging lembu A dan lembu B.




Pengagih daging korban perlu memastikan bahawa hati, jantung, daging peha (depan, belakang) juga mesti dibahagi tujuh bahagian. Tulang rusuk juga mesti dibahagi 7, misalnya 2 batang/keping tulang seorang. Bahagian seperti kepala dan kaki tidak wajib dibahagi 7  kerana kaki cuma ada 4 kaki.

Adalah diingatkan bahawa tiap-tiap orang yang melaksanakan ibadah korban sunat makan daging korbannya sendiri. Dia juga berhak memberi agihan kepada sesiapa yang diingininya termasuk fakir miskin. Orang yang melaksanakan ibadah korban itu lebih berhak ke atas daging korban tersebut dan dia boleh menyimpannya jika dia mahu dari bahagian 1/3 daripada daging korban tersebut. Ini adalah pendapat Ibn Mas'ud dan Ibn Umar mengenai hal pembahagian daging korban ini.

Namun bagi orang yang melaksanakan ibadah korban itu faham bahawa adalah afdhal jika disedekah atau dihadiahkan semuanya daging korban tersebut melainkan dimakannya sedikit kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan jauh daripada mementingkan diri sendiri. Jika orang itu memakan kesemua daging korban dan digantikan dengan daging lain untuk diagihkan , korbannya tetap sah tetapi menyalahi afdal sahaja.

Berbeza Dengan Daging Akikah

Daging korban afdal diagihkan dalam keadaan mentah berbanding dengan akikah yang sunat dimasakkan. Dan daging akikah hendaklah dihabiskan dan tidak disimpan bahkan tidak ada pembahagian kepada fakir miskin dan seumpamanya. Ini amat berbeza dengan daging korban yang sunat di bahagi 3 iaitu kepada diri sendiri, fakir miskin dan sebahagian lagi diberi hadiah kepada orang yang memerlukannya termasuk mereka yang kaya dan yang turut melakukan ibadah korban.

Semoga memberi manfaat atas penjernihan ini. Sebagai manusia biasa kita tidak lepas dari sifat lemah dan jahil tapi kita mesti terus belajar kerana agama bukan hak kita untuk kita tafsir sendiri. Agama itu datang dengan hukum-hakam dan syariatnya sekali. Pemahaman kita yang jelas kepada agama akan mengangkat martabat diri dan membangunkan syiat Islam itu sendiri sebagai agama yang adil dan berhikmah untuk semua.

Wallahu A'lam!!!


Comments

Anonymous said…
info yg sgt menarik..dasat jg bila ada yg buat ikut hukum sendiri..ibadah pun ada pertikaian..sygnya dari keterangn ustaz.. ssetgh individu itu tdk punyai nilai scara kolektif dn lebih kpd kpentingn diri..korban inikn satu ibadah..jika satu bahagian lembu RM600, lebih baik beli daging kemudian sedekah, lebih byk boleh dapat..tak begitu ustaz..
isma daud said…
"jika satu bahagian lembu RM600, lebih baik beli daging kemudian sedekah, lebih byk boleh dapat..tak begitu ustaz.."

ulasan saya kepada Anonymous ;

kalau orang yang mahukan daging macam tulah,,,

Saudara/saudari... kembali kepada sabda Nabi SAW; “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidil Adha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi).

Walaupun sebegitu banyak sedekah dengan jumlah yang mahal, ianya tidak dapat menandingi ibadah korban pada hari raya adha dan hari2 tasyriq yang dilakukan dengan iman dan taqwa. Ini perlu difahami. Persoalan yang diutarakan di sini bukan isu duit yang dibelanjakan, banyak daging yang diperolehi tetapi isu agihan yang dikehendaki oleh syarak. Agihan itu perlu dilakukan dengan adil dan tidak boleh dibuat berwewenang sahaja.

Apa yang saya perhatikan, ada umat Islam (di sesetengah tempat) yang "membawa lari" daging korban sedangkan belum diagihkan kepada tuannya yang berkorban. Bagi orang yang berkorban setengahnya memang tidak mengharap langsung daging korban itu, dia bersedekah sepenuhnya. Itu sebaik2nya. Cuma dalam keadaan biasa, daging korban adalah milik pembuat korban. Sedikit atau banyak tidak timbul. Sebagai contoh; dengan harga yang hampir sama, lembu 2 ekor dibeli dengan harga yang hampir sama tapi dagingnya berkurangan daripada yang lain maka ia tidak menjadi persoalan. Sebab itu lembu itu tidak boleh dicampur2 daging dan lainnya daripada binatang korban itu. wallahu a'lam.
Anonymous said…
as salam ustaz. saya ada sedikit kemusykilan berkaitan ibadah korban dan harap ustaz dapat membantu
a) satu lembu yg dikongsi tujuh orang, bolehkan tujuh orang tersebut terdiri dari orang yang hendak korban sunat dan orang yang hendak aqiqah. contoh: 5 orang hendak korban sunat dan 2 orang lagi hendak aqiqah.
b) satu lembu yang dikongsi tujuh orang, bolehkan peserta tujuh orang tersebut terdiri dari mereka yang hendak korban sunat dan juga mereka yang hendak korban qado/korban nazar. contoh: 6 orang peserta korban sunat dan 1 orang lagi korban qado/nazar.

abu mann, pahang
isma daud said…
Wa'alaikumussalam Abu Mann,

Saya agak kesibukan dengan penataran PBS yang akan menggantikan PMR. Dalam beberapa hari ini saya masih dikursuskan dalam perkara ini. Dalam ruang terbatas ni saya jawab persoalan tuan sekadar dalam pengetahuan saya sahaja. Semoga bermanfaat.

Setahu saya tiada halangan syarak menghimpunkan antara sembelihan korban dengan aqiqah. Satu aqiqah itu memadai dengan seekor kambing atau satu bahagian lembu. Asalkan seorang itu beraqiqah atau melakukan korban sebahagian daripada bahagian seekor lembu itu.

Dalam soalan yg kedua; boleh/harus melakukan korban sunat dengan korban wajib (spt korban nazar), cuma bahagian bg orang korban nazar itu, daging qurban nazarnya tidak boleh dimakan oleh orang bernazar berkenaan. Kesemua daging tersebut wajib disedekahkan kepada fakir miskin. Tapi dia harus makan daripada bahagian orang lain.

Wallahu a'lam.
Anonymous said…
Assalamualaikum,
Bagaimanakah sebenarnya cara pengagihan daging korban menurut hukum syarak? Benarkah daging korban itu perlu di bahagi 3 bahagian dahulu sebelum diagihkan. Ada pertikaian semasa sessi dialog di tempat saya. Ada peserta mahu daging-daging qurban tersebut di kumpul dulu, timbang, bagi 3 kemudian baru agih. Persoalannya apa yang dipraktik sekarang dimana-mana ibadah qurban dijalankan, kalau tak silap saya tiada pun mempraktikkan seperti ini. Masalah timbul jika bilangan lembu banyak kerana akan melambatkan proses qurban. Persoalannya bolehlah daging-daging qurban itu terus di timbang dan diagihkan seperti biasa dengan kerelaan peserta. Sahkah cara ini.
Anonymous said…
terima kasih ustaz isma krn meluangkan masa menjawab kemusykilan sya

abu mann
the collection said…
Assalamualaikum ustaz.. Saya baru selesai melakukan korban aqiqah..allhamdulIilah smuanya selesai..tapi saya ada satu kemuskilan, dI tempat saya melakukan ibadah korban pihak masjid (pengelola) sudah menetapkan iaitu sesiapa yang menjadi penyumbang hanya dapat 3 kilo, 2 kati, untuk pekerja dan 1 kati untuk disedekahkan, sedangkan saya sebagai penyumbang tidak dimaklumkan tentang kaedah tersebut ketika membuat akad membeli dan akad meyembelih. Minta ustaz beri penjelasan.. Terima kasih dan salam aidil adha...

Faiz (alor setar)
isma daud said…
Wa'alaikumussalam tuan/puan yg bertanya;

Isu sah tidak timbul jika semua syarat sembelihan dan korbab/akidah telah ditepati. Isu disini ialah cara pengagihan daging korban yg dilakukan itu memberi keadilan kepada orang yang menyertai atau mengambil bahagian dalam sesuatu ibadat korban secara berjamaah itu. Secara umumnya telah saya jelaskan dalam perbincangan di atas. Namun sesuatu keadaan khusus berlaku dan ianya bersifat setempat. Seperti terlalu ramai peserta dan kekurangan kakitangan orang yang mengurus agihan daging korban itu. Sebab itu ia memerlukan ketelitian pihak yg mengurus ibadat korban ini. Islam itu agama yang mudah dan adil kepada semua. Kekadang orang yang memikul amanah itu gagal melaksanakan keadilan yang ada di dalam Islam itu. Kekadang terlepas pandang dan sesetengah keadaan pula ada pihak mengambil mudah dan kadang kala mengambil kesempatan atas kesedaran umat Islam yg berlumba-lumba melakukan kebaikan hari ini.

Cadangan saya kepada JK yg ditempatnya terlalu ramai yg ambil bahagian dalam ibadat tersebut;

Jawatan kuasa masjid dan penganjur ibadat korban perlu mengagihkan jawatankuasa bertindak;

1- mengagihkan korban yang wajib atau semua daging korban yang disedekahkan.

2- mengagihkan bahagian peserta yang masuk korban atau akikah mengikut pecahan bahagian masing-masing.

Jk ini perlu memastikan mereka yg menyertai ibadat tersebut mendapat bahagian yg mereka telah bayar. Ini lebih adil kpd mereka kerana sesetengah tempat saya ada kedengaran mereka yg tidak mendapat bahagian mereka yg sepetutnya. Bayar sampat RM500=RM600 tapi untuk buat sedikut jamuan untuk ahli keluarga dan beragih kepada jiran-jirannya yg miskin pun tidak dapat. Dapat 2-3 kg saja. Pada saya biasanya dalam seekor lembu bahagian daging saja sudah 7Kg dan kalau masuk lain-lain anggota boleh sampai 13-15kg.

Persoalan di sini apa hak mereka yg mengambil hak peserta korban tersebut? Di mana keadilannya?. Oleh sebab itu saya menyuarakan persoalan keadilan dalam apa jua situasi ibadat korban itu dilakukan.

Korban yg ikls insya Allah sudah sah dan diterima Allah namun memberi keadilan kepada sesama manusia dalam melaksanakan hak Allah lebih disukai dan dicintai Allah SWT.

Wallahu A'lam!
isma daud said…
Wa'alaikumussalam Saudara Faiz,

Alhamdulillah saudara telah melaksanakan tuntutan agama , semoaga ibadah yg dilakukan diterima Allah SWT dan mendapat redhaiNya. Saya berpendapat ini masalah teknikal sahaja. Redhakanlah!!!

Sebagai orang yg mengeluarkan belanja sudah tentu berhak mendapat penjelasan atas haknya. Lagipun ibadah Aqiqah sunat dimasakkan dagingnya dan dijemput jiran-jiran dan saudara mara untuk meraikannya. Oleh itu perlu bertanya kepada pihak yg kita mahu sertai pada masa yg akan datang.

Persoalan orang bekerja dan pihak-pihak lain pula yg selalu diambil kira. Sepatutnya pihak masjid atau surau telah menyediakan sedikit peruntukan untuk makan minum mereka yg bekerja. Apa salahnya sediakan seeokor lembu yg boleh beragih secara umum. Kekadang ada pihak yg menyumbang seperti NGO, Pertubuhan tertentu, Badan-badan kerajaan dan sebagainya. Boleh diambil daripada bahagian ini untuk agihan kepada para pekerja.

Dalam pengalaman mengurus ibadah korban dan akikah, biasanya peserta tidak mengambil semua bahagian mereka bahkan mereka tahu kepenatan pihak lain mengurusnya. Banyak daging yg disedekahkan kepada pihak masjid.

Sebaiknya kita buat sendiri ibadah aqiqah ini. Lebih puas dan damai. Wallu a'lam.
the collection said…
Alhamdulillah
Terima kasih ustaz...
Unknown said…
Ust..... Thanks for sharing.......
Unknown said…
Ust..... Thanks for sharing.......
amaniammar said…
assalamualaikum ustaz
saya ingin bertanya..jika org laksanakan korban (diwakilkan kpd pihak lain)..sebahagian haknya disedekahkan /dihadiahkan kpd tukang sembelih/pelapah daging boleh ke tidak? atau sedekahkan kpd mereka yg fakir bukan kpd ahli keluarga sendiri...
DearestDeasha said…
Assalamualaikum ustaz,
Sy nk bertanya, apabila sy sudah terima bahagian sy daripada korban tu, kemudian sebahagiannya sy masak dan jamu kpd kawan2 sy termasuk yg islam dan bukan islam, boleh ke tidak yer ustaz?

Sy difahamkan ada pendapat yg kata boleh, ada yg kata tidak.

Terima kasih.

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?