Kemurahan Seorang Yang Berilmu Bagaikan Angin Segar Yang Berhembus

Oleh isma daud


Sejak saya mengambil keputusan menarik diri untuk bergerak secara aktif dari dunia ceramah dan kuliah; saya dapat rasakan diri saya bagaikan angin yang sedang berhenti daripada berhembus. Kenyamanan udara bagaikan sedang dicemari oleh bermacam kekotoran yang menyesakkan nafas. Berkumpul segala pencemaran kerana angin yang menggerakkannya sudah terhenti. Dapat saya bayangkan jika angin itu terus berhenti; betapa banyak lagi kekotoran itu akan berkumpul dan berhimpun dan berapa banyak pula wabak dan penyakit bersatu di situ untuk merosakkan persekitarannya.

Menyampaikan ilmu kepada manusia bagaikan memberi angin yang hidup dan bertiup nyaman. Setiap hari udara baru akan masuk dan udara yang menyesakkan akan pergi ditiup angin. Apa yang dapat dihirup oleh sesiapa sahaja di situ ialah udara baru; udara yang segar. Udara yang menghidupkan ruh serta menyihatkan badan serta mencerdaskan otak dan minda.

Berkongsi ilmu adalah sebuah kemurahan yang paling agung. Lebih agung daripada seorang hartawan yang sangat dermawan yang sanggup berkonsi hartanya kepada orang lain. Ini kerana berkongsi ilmu bagaikan berkongsi angin atau udara yang segar dan bugar. Manfaatnya sudah tentu sangat besar. Betapapun banyak harta yang dimiliki; jika persekitarannya kotor dan nafasnya sesak dan boleh mematikannya bila-bila masa; oksigen pula akan habis; pada masa itu tiada apa-apa manfaat daripada banyaknya harta yang sedang dia miliki. Kerana hartanya tidak dapat membela dirinya sedikitpun dan bila dia mati, dia akan kehilangan segala-galanya yang telah dia miliki kecuali daripada apa-apa yang dibelanjakan pada jalan mencari ilmu dan kurnia Allah SWT.

Sementara orang yang memiliki ilmu bagaikan memiliki oksigen yang mampu memberi kehidupan dan jika dia berada di kawasan hampa gas sekalipun dia dapat hidup dengan adanya bekalan gas dan oksigen itu sebagaimana seorang penyelam atau seorang angkasawan yang berada di atmosfera. Bahkan jika dia mati sekalipun dia akan terus dapat bernafas dengan kemuliaan ilmu yang pergi bersama-samanya tanpa meninggalkannya walau sedetikpun. dan apa yang ditinggalkan pun kepada orang hidup sudah pasti manfaatnya terus dapat dinikmati oleh orang yang hidup. Kerana hembusan udara segar itu sangat menyenangkan siapa saja yang dapat menghidu dan menghirupnya.

Di dalam al-Quran ; Allah SWT ada menyatakan bahawa ada di kalangan hambanya yang berilmu tetapi bersikap bakhil dan kedekut dengan ilmunya sedangkan dia diperintahkan supaya menyampaikan ilmu itu kepada orang ramai selari dengan gesaan Rasulullah SAW agar orang yang berilmu itu menyampaikannya walau satu ayat kepada orang lain. Firman Allah SWT;

الَّذِينَ يَبْخَلُونَ وَيَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبُخْلِ وَيَكْتُمُونَ مَا آتَاهُمُ اللّهُ مِن فَضْلِهِ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا. (37) سورة النساء

maksudnya; "Orang-orang yang bersikap bakhil (kedekut) dan menyuruh orang lain bersikap kedekut serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah SWT berikan kepada mereka dari limpah kurniaNya;Allah SWT sediakan bagi mereka yang kafir ingkar itu dengan azab yang sangat pedih" - Surah an-Nisaa'; ayat 37.

Menurut para ulama, yang dimaksudkan dengan anugerah Allah SWT pada ayat ini ialah berupa harta dan ilmu. Tapi dalam konteks yang tepat bagi ayat ini ialah ilmu kerana perkataan menyembunyikan itu lebih kuat pada ilmu kerana ilmu itu tidak mudah nampak pada pemiliknya. Sedangkan harta jarang orang menyembunyikan kekayaannya; bahkan manusia suka bermegah-megah dengan hartanya.

Sesetengah orang yang mendapat anugerah Allah SWT dengan ilmu dan pemahaman agama daripada Allah SWT; dia mengambil sikap untuk ber"bakhil-bakhil"an dengan ilmunya hingga orang lain tidak mendapat manfaat daripada ilmu yang dimilkinya. Padahal dia diamanahkan Allah SWT supaya memanfaatkan ilmu itu unuk diri dam masyarakat seluruhnya. Dan berkewajiban pula untuk berkongsi nikmat itu kepada orang lain. Dan Allah SWT tersangatlah murka kepada orang yang dengan sengaja menyimpan ilmunya dengan janji azab yang sangat pedih di hari akhirat nanti.

Sesungguhnya jika orang yang berilmu itu bermuafakat pada jalan berkongsi ilmu seolah-olah mereka sedang memberi nafas oksigen yang segar kepada orang ramai. Berhenti daripadanya bagaikan memberhentikan atau menutup ruang udara sehinggga orang berasa sesak dan sukar bernafas pula.

Saya bukanlah orang yang berhenti menyampaikan ilmu tetapi saya disekat daripada menyampaikannya secara bebas dan ianya boleh sampai kepada sesiapa sahaja dengan mudah. Kepada mereka yang menjalankan kerja menyekat orang ramai daripada mendapat ilmu sebenarnya kamu seolah-olah sedang menyekat udara sampai kepada manusia. Sangat besarlah bencana yang sedang kamu bawakan itu kepada orang ramai.

Sebagai orang yang memiliki udara segar; pastinya udara segar itu sentiasa dicari orang kerana orang sepanjang masa mahukan sudut ruang pernafasan yang baik dan segar. Insya Allah akan ada mereka yang berupaya mencarinya dan mereka yang terperangkap dengan karbon dioksida sudah tentulah kebusukkan itu akan melemas dan mematikan kamu di akhirnya. Cepat-cepatlah mencari bekalan oksigen dan tukarkan suasana buruk dan membusukkan itu dengan ruang udara dan oksigen yang pasti mengembalikan peluang untuk kamu bernafas dan meneruskan kehidupan yang baik sepertimana biasa...

Saya yakin kemurahan orang yang berilmu itu sebagaimana murahnya Allah SWT memberi ruang udara kepada manusia; tanpa batasnya.....

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?