Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Monday, May 14, 2012

Khutbah Jumaat Sempena Hari Guru 2012

Oleh isma daud

Setiap tahun apabila munculnya hari guru, satu aktiviti yang tidak dilupakan ialah Khutbah Jumaat Sempena Hari Guru. Khutbah Jumaat ini mengikut arahan Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah dibaca serentak seluruh negara pada 11 Mei 2012 yang lalu di Surau dan Masjid sekolah yang mendirikan solat jumaat.

Alhamdulillah arahan ini telah dapat dilaksanakan di Masjid An-Nadwah, SMK Rosli Dhoby pada hari tersebut. Khatib yang bertugas pada hari tersebut ialah Ustaz Mohd Nazri Bin Ismail dari SMK Agama Sibu.

Khutbah Jumaat penuh sempena Hari Guru 2012 tersebut boleh di muat turun melalui pautan di bawah;

TEKS KHUTBAH JUMAAT SEMPENA HARI GURU 2012

Tajuk Khutbah Jumaat mengambil tema Hari Guru 2012: "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara"

Berikut isi khutbah tersebut;

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertakwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama memperbaharui serta mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah dari semasa ke semasa dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan kita beroleh kesejahteraan di dunia ini, lebih-lebih lagi kesejahteraan yang hakiki di akhirat nanti.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Tanggal 16 Mei pada setiap tahun merupakan hari yang amat bermakna bagi setiap warga guru. Guru pasti diingati, dihargai dan diraikan dengan sewajarnya. Tidak kira siapa pun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu yang dicurahkan, tidak kira apa bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita. Merekalah yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira supaya kita ini menjadi insan yang berilmu. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

Tema Sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”. Guru Inovatif adalah guru yang mampu membuat transformasi (perubahan) atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber atau kaedah yang sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda yang lebih dinamik. Atas dasar itu, guru haruslah berperanan untuk menggarap elemen-elemen inovasi di dalam melonjak transformasi pendidikan negara melalui idea dan kepakaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengaplikasi segala sumber melalui kaedah yang paling kreatif dan berinovasi. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 190:

Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal.

 Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa ayat ini mengandungi perintah Allah kepada manusia supaya menggunakan akal dan fikiran, untuk melakukan penelitian serta penyelidikan, terhadap dalil kekuasaan Allah di muka bumi. Budaya mengkaji dan bermuhasabah ini diharapkan mampu menjana guru-guru yang berinovasi. Renunglah dengan mata hati terhadap hakikat dan hikmah kejadian segala ciptaan Allah bagi mengukuhkan keimanan kita. Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Usaha melahirkan modal insan yang beriman dan bertakwa bukanlah suatu usaha yang mudah dan dipandang remeh. Usaha tersebut memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Justeru atas tuntutan tersebut, para guru telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengenal erti penat lelah dan perasaan jemu bagi memastikan anak-anak didiknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan. Selain daripada itu juga para guru berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghapuskan kejahilan dan kecelaruan yang sering kali bermain dibenak fikiran anak-anak didiknya. Di sini jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh para guru walaupun kita lihat pada hari ini ke mana sahaja mereka dihantar untuk berkhidmat sama ada di bandar-bandar besar, di kampung-kampung, di pedalaman-pedalaman atau di pulau-pulau namun demi menyahut seruan untuk mendidik anak bangsa yang tercinta mereka sanggup dan menerima cabaran tersebut. Dengan berkat kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan maka akhirnya lahirlah para ulama., doktor, jurutera, pensyarah, peguam mahupun usahawan yang tersohor di tengah-tengah masyarakat.

Kita tidak dapat menafikan bahawa guru berperanan menjadi agen perubahan di dalam masyarakat. Para guru berganding dengan ulama’ dan umara’ terus menerus tanpa putus asa, menggerakkan usaha membangun modal insan terbilang. Ini termasuklah membangun minda anak-anak melalui ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah sehinggalah kepada ilmu-ilmu kehidupan, termasuklah ilmu sains dan teknologi. Guru bukan hanya sekadar mengajar, malah guru turut mendidik dan membentuk akhlak-akhlak terpuji. Manakala anak-anak pelajar yang ingin dilahirkan pula bukan sahaja hebat inteleknya, malah berintegriti sebagaimana akhlak baginda Rasulullah s.a.w. Itulah sebenarnya antara perkara yang telah digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sidang Jemaah yang dihormati,

Islam menggalakkan kita untuk menuntut ilmu dan mengajarkannya pula kepada insan yang lain. Wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. melalui surah al-’Alaq memberikan penekanan tentang kepentingan membaca dalam usaha melengkapkan diri dengan ilmu. Tambahan pula, kelebihan orang yang berilmu telah dirakamkan melalui firman Allah di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 ;

“Maksudnya: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Imam Shafie pernah berpesan dalam Kitab Diwan Imam Assyafie: “Saudaraku, engkau tidak akan memperolehi ilmu melainkan dengan mempunyai enam perkara: Kecerdikan, minat, kesungguhan, perbelanjaan, mendampingi guru dan masa yang panjang”
 
Sidang Jumaat yang dihormati,

Era globalisasi dan cabaran semasa menyebabkan dunia pendidikan anak-anak kita menjadi lebih terbuka. Penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti penggunaan laman sosial yang tidak terkawal, serta pengaruh negatif media massa mempengaruhi tindakan anak-anak pelajar. Maka, berleluasalah gejala buli, ponteng, merokok, berzina, pembuangan bayi di dalam kalangan pelajar sekolah serta lain-lain masalah sosial sepertimana yang dilaporkan di dada akhbar. Kita tidak boleh meletakkan peranan membentuk akhlak dan peribadi anak-anak kita hanya kepada guru-guru di sekolah sahaja. Ibu bapa serta ahli masyarakat sewajarnya memainkan peranan secara kolektif. Gunakanlah ruang permuafakatan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menjana idea dan menyelesaikan masalah. Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak diberikan kasih sayang dan perhatian secukupnya. Usaha mendidik anak-anak sebenarnya bermula dari rumah, terutamanya dalam mendirikan solat secara istiqamah, membaca, memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran. Ianya selari dan bertepatan dalam usaha mengukuhkan pelaksanaan program j-QAF dan aktiviti-aktiviti dakwah di sekolah, sekaligus membantu usaha menyemarakkan syiar Islam yang berteraskan kepada al-Quran dan as-sunnah. Rasulullah s.a.w. bersabda, Maksudnya: Jadilah kamu orang yang berilmu, atau orang yang mempelajari ilmu, atau orang yang mendengar dalam majlis ilmu, atau orang yang cintakan ilmu. Dan jangan kamu menjadi orang yang kelima, nescaya kamu akan binasa (Riwayat at-Tabrani)

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Selain daripada ibubapa, masyarakat juga mestilah memainkan peranan yang penting dalam usaha menyokong para guru untuk membentuk dan mendidik generasi muda hari ini. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat ialah mewujudkan kembali budaya tegur menegur dan nasihat menasihati bagi meningkatkan penghayatan nilai murni serta mengurangkan amalan negatif dalam kalangan remaja. Bagi ibu bapa pula janganlah cepat melatah atau melenting sekiranya anak kita ditegur atau dinasihati oleh ahli masyarakat, sebaliknya ambillah ia sebagai satu teguran yang positif dan membina demi kebaikan bersama. Para pengamal media sama ada media elektronik atau media cetak juga diharapkan dapat memainkan peranan yang lebih besar di dalam menyediakan rancangan dan bahan-bahan yang boleh membina dan membangunkan modal insan. Unsur hiburan secara keterlaluan yang banyak dipaparkan dan dipertontonkan melalui kedua-dua saluran media tadi akan menimbulkan kesan negatif terhadap semua lapisan masyarakat terutama kepada golongan remaja. Sehubungan itu penguatkuasaan dan tapisan kepada unsur negatif perlulah dipertingkatkan sebagai usaha membendung masalah sosial dalam kalangan anak-anak pelajar. Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Suasana harmoni dan hubungan mesra di antara guru-guru, para ibu bapa dan masyarakat perlu diperkukuhkan demi melicinkan proses pendidikan. Untuk tujuan tersebut marilah sama-sama kita membudayakan perkara-perkara berikut:

Pertama : Janganlah diperbesar-besarkan atau disensasikan isu-isu yang remeh temeh sebaliknya selidikilah terlebih dahulu punca asal sesuatu isu tersebut dan selesaikanlah secara bijaksana kerana guru juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Sepatutnya kita perlu saling mengukuhkan persefahaman antara satu sama lain.

Kedua : Budayakan amalan perundingan dan perbincangan sepertimana tuntutan Islam dalam menangani sebarang masalah. Ianya bertujuan bagi mengelakkan timbulnya pelbagai kesan yang tidak diingini kepada semua pihak. Akibatnya, anak-anak pelajar juga yang menjadi mangsa keadaan.

Sidang Jumaat yang dihormati;

Akhirnya, mimbar Jumaat pada hari ini menyeru dan berpesan, marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut:

Pertama : Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Kedua : Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim.

Ketiga : Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan.

Keempat : Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru.

Kelima : Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur bakti dan budi kepada kita, sehingga kita menjadi siapapun pada hari ini.

Buat para guru pula, teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t.

TERIMA KASIH CIKGU.

Firman Allah dalam surah al-’Alaq ayat 1 – 5:

Maksudnya: Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.

_____

Semoga bermanfaat.
catatan : sekalung penghargaan kepada punca sumber : Portal Rasmi Jabatan Pelajaran Perak.

No comments:

Related Posts with Thumbnails