Tuesday, May 29, 2012

Konsep "Wa raSa Tak Kisah" Berbanding Konsep Wasatiyyah

Oleh isma daud

Kenyataan Datuk Seri Najib mengenai Konsep Wasatiyyah;
Kerajaan akan memperjuangkan konsep Wasatiyyah atau kesederhanaan sebagai pendekatan yang boleh membawa kepada keamanan sejagat dan bukan sahaja untuk membina negara bangsa yang harmoni dan bersatu padu.

Malah pengenalan konsep itu di negara ini menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang layak untuk memperkenalkannya kepada masyarakat dunia.

Kerajaan memperkenalkan konsep Wasatiyyah selaras dengan wawasan kepimpinan negara yang mahu mewujudkan keseimbangan dalam membina perpaduan masyarakat berbilang bangsa, agama dan resam budaya.

Konsep itu adalah pendekatan yang tidak bersifat keterlaluan atau melampau tetapi tidak pula terlalu longgar atau terlalu mengambil ringan dalam sesuatu perkara.

"Ia bukan bermakna melakukan sesuatu yang kurang daripada ajaran Islam,"

Konsep itu merupakan satu pendekatan yang dilaksanakan secara berterusan dalam dasar-dasar kerajaan sedia ada dan kehidupan seharian selaras dengan matlamat konsep itu yang ingin mewujudkan perpaduan serta keharmonian hidup ke arah menentukan kejayaan individu, keluarga, masyarakat dan negara.
carian dari sumber : Bernama

Himpunan Sejuta Belia.

Membaca wawasan kerajaan membentuk konsep wasatiah dalam pentadbiran dan pemerintahan rasanya bagaikan jauh panggang daripada apinya. Dari segi konsep boleh kita lihat apa yang mereka harapkan. Melihat kepada apa yang dilaksanakan sungguh mengecewakan. Himpunan Sejuta Belia digambarkan kejayaan kerajaan membangunkan jiwa para belia dan menganggap mereka masih berdiri utuh bersama dengan pemerintah yang sedia ada. Himpunan ini adalah bertujuan membangunkan jiwa belia atau bermatlamat siapa yang lebih banyak pengaruhnya? Jelas di sini kepentingan politik mengatasi tanggungjawab mendidik para belia kita ke arah menjadi insan bertaqwa kepada Allah SWT.

Hiburan : Bawa Mesej Pengisian Rohani ? Beginikah Cara Islam Wasatiyyah?
Membina Rohani Belia tetapi hasilnya adalah kemusnahan dan kehancuran. Membangunkan rohani menatijahkan insan yang berakhlak dan memiliki sifat taqwa kepada Allah SWT bukannya menjadi mereka yang alpa dan melakukan maksiat secara terang-terangan kepada Allah SWT. Bukankah ini satu permainan dunia dan tipu daya. Bijak sungguh Syaitan berwatak manusia bermain bicara dan memperdaya. Sementara itu orang-orang agama diam membisu tidak membantah apa-apa atas nama demokrasi, hak asasi manusia dan toleransi dalam gagasan 1Malaysia yang berkonsepkan Wasatiyyah.


Pemimpin menari sakan gambaran wasatiyyah ala mereka . ala "Wa Tala Kisah"
Jelas sekali konsep wasatiyyah yang digembar-gemburkan oleh pemerintah adalah omong-omong kosong sahaja. Sebenarnya mereka adalah penaja kepada maksiat dan pengundang kepada kemurkaan Allah SWT. Pada mereka konsep wastiyyah itu untuk menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Hari ini berada dalam majlis tilawah al-quran dan esoknya boleh berada dalam majlis tari menari dan percampuran bebas tanpa tanpa batas syarak dan rasa segan silu. Mereka bukan pemimpin menunjuk jalan ke Syurga tetapi jalan menuju ke neraka. Mereka bukan pejuang wasatiyyah tetapi "Wa raSa Tak Kisah" atau bahasa mereka sekarang "Wa Tala Kisah".

Berjayanya "Ghazwul Fikri" yang dimainkan oleh golongan ini... renungkanlah!!!!


Saturday, May 26, 2012

Cikgu Mat Bin Tani ; Sahabat, Guru Dan Rakan Sejawat

Oleh isma daud

Maaf Cikgu Mat, saya menulis perihal cikgu dalam catatan Blog Ustaz Rosli Dhoby kali ini. Setahun lepas bila cikgu Mat beritahu saya bahawa cikgu Mat mahu berpindah ke Kabong; saya cukup sedih , cukup terkesan sehinggalah cikgu Mat menintakan dalam mesej bahawa cikgu Mat gagal berpindah. Dalam pada itu anak dan isteri pula dapat berpindah awal tahun ini.

Kenangan bersama dengan Cikgu Mat Bin Tani; "Maulidur Rasul 2008".

Luka hati saya terubat kerana masih ada rakan dalam meneruskan banyak kerja yang telah kita rancangkan bersama. Selepas itu bila Saudara Shahbandi Bin Han mendapat berita berpindah ke tempat baru, sekali lagi hati saya diduga. Sedih sangat. Sejak itu saya rasa nawaitu saya mahu berpindah perlu diperkukuhkan. Perasaan ingin bersama ibu saya benar-benar menguji hati dan perasaan saya. Saya kuatkan semangat dan saya isi juga borang pindah secara online.

Hari ini saya benar-benar rasa kehilangan seorang sahabat, guru dan rakan sejawat. Bila saya dapat berpindah ke negeri yang bukan pilihan dan kehendak hati saya, saya benar-benar teringat kepada Cikgu Mat, bagaimana agaknya keputusan permohonan tukarnya tempohari. Di dalam talian telefon, Cikgu Mat berkata; "Sedih dan sebak hati ni ustaz, Permohonan saya jadi kenyataan".

Syukur!!! Hajat cikgu Mat telah tercapai. Saya benar-benar rasa kehilangan sahabat, guru dan rakan sejawat yang gigih dan tabah. Nampaknya kita akan membawa haluan masing-masing setelah mengharungi perjuangan bersama di teratak SMK Rosli Dhoby, Sibu.

melepas penat selepas larian Jogathon SMKRD

Nampaknya kejayaan demi kejayaan yang kita kecapi menjadi tanda kemuncak perjuangan bersama dan kemanisannya untuk dijadikan bekalan bila berada di tempat yang baru. Selamat Bertugas di tempat baru. Tahniah dan Syabas!!!


Hari Guru Terakhir Di SMK Rosli Dhoby

Oleh isma daud

25 Mei dijadikan sebagai Hari Guru SMK Rosli Dhoby. Hari ini Hari Guru terakhir saya di sini. Hari yang amat sedih buat saya. Saya tidak pernah membayangkan hari ini menjadi milik saya. Walaupun tiada majlis untuk saya berucap memberi sepatah dua dan memohon maaf kepada semua, saya tetap diraikan oleh warga sekolah.

wajah-wajah yang tak mungkin saya lupakan

Dalam majlis ringkas di hujung persembahan pelajar saya telah dihadiahkan dengan "Pasu Sarawak" sebagai tanda kenangan-kenangan. Sayangnya saya tiada kamera untuk merakamkan detik itu. Terima Kasih!!! Paling teruja sekali hari ini semua memakai warna hijau. Tema Pakaian tahun ini ialah HIJAU. Warna kegemaran dan kesukaan saya.

Turut sama diraikan ialah Cikgu Norlaili dan Ustazah Saadah Nor yang sama-sama dapat berpindah ke negeri masing-masing.

Melalui jamuan kelas ke kelas, saya mengambil peluang untuk menyampaikan pesanan dan ucapan kepada pelajar agar mereka terus bersemangat, cekal hati dan fokus terhadap pelajaran agar mereka beroleh kejayaan di kemudian hari nanti.

Pada 16 Mei lalu telah disambut secara sederhana kerana memberi laluan kepada Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012. Tuan Pengetua; En Tan Tie Muan telah membuat perasmian ringkas pada majlis perhimpunan rasmi pagi tersebut.



Namun bagi saya , Hari Guru kali ini amat bermakna kerana ia adalah Hari Guru yang terakhir sepanjang saya berada di SMK Rosli Dhoby. Selepas ini saya akan meninggalkan Bumi Sarawak yang telah saya curahkan keringat dan bakti di sini sejak 12 tahun dan 5 bulan. Dan selepas ini juga saya hanya akan dikenang sebagai insan yang telah berada dalam sejarah SMK Rosli Dhoby. Saya bukan lagi salah seorang ahli dan warganya. Saat dan detik perpisahan itu telah tiba jua. Kehendak Allah SWT dan takdirnya telah berlaku jua.

Terima kasih kepada semua warga SMK Rosli Dhoby kerana melayan dan bergaul baik dengan saya sepanjang berada di sini. Segala kenangan yang indah akan saya pahat di hati buat selama-lamanya. Kalian semua akan selalu ada di hati saya dan Insya Allah tidak lupa. 

Dalam kesempatan ini saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kesalahan dan kesilapan saya kepada sesiapa saja. Sudah tentu banyak sekali dosa dan khilaf saya terhadap kalian semua.

Menitis juga air mata mengenang saat perpisahan hari ini. Apatah lagi saat perpisahan dengan anak-anak pelajar Tingkatan 3 , kalian anak-anak ustaz yang amat ustaz sayangi. Ada yang tidak dapat menerima kenyataan dan menangis walau puas saya memujuknya. "Tolong Jangan Pergi Ustaz, Tolonglah!!!".

Apa-pun, saya perlu pergi jua atas tuntutan dan kewajipan. Cuma yang patut kalian tahu; "Ustaz Sayang Kalian Semua!!!".

Tuesday, May 15, 2012

Selamat Hari Guru , "Terima Kasih Cikgu!!!"

Oleh isma daud

16 Mei diisytiharkan sebagai Hari Guru. Hari keramat buat semua guru, semua cikgu.

Siapa Guru Dan Siapa CIKGU?

Siapa sahaja yang mencurahkan keringat bakti walau sebaris ayat memberi tunjuk ajar, dia layak digelar guru. Baik dia seorang guru di tadika, di sekolah, di sebuah akademi, di kolej, di pusat pengajian tinggi maupun di padang bola, di kolam renang, di litar lumba, di ladang kuda .... di mana sahaja; dia adalah GURU.

Ibubapa kita juga adalah guru kita, dialah guru pertama yang mengajar kita. Dialah yang mengalunkan azan dan iqamah ditelinga kita sejak lahir. Pandainya anak bertutur-kata, merangkak, belajar duduk dan berdiri, setiap kali jatuh dipimpin agar kita mampu bangun, mengajar kita berjalan sehingga mampu berlari; ibubapa kita yang membimbing, merangsang dan membantu kita dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.

Begitu umumnya watak seorang guru. Tapi yang kita maksudkan di sini ialah "Seorang Cikgu". Untuk mendapat gelaran cikgu seseorang itu mesti memiliki "tauliah" bagi mengiktiraf profesionnya sebagai "Cikgu" . Cikgu inilah yang kita hargai pada hari ini; 16 Mei pada setiap tahun. Setiap pelajar seharusnya menghargai cikgunya. Walau dengan sebaris ayat; ucaplah; "Terima Kasih Cikgu!!!".

Ingatlah, walaupun tiada cikgu meminta jasanya dibalas tapi cukup kalau anak didiknya menghargai dan mengingati ajarannya dan terus memberi penghormatan terhadapnya. Tanpa cikgu tanpa kejayaan. Ramai anak didik kepada seorang guru bila berjaya lupa menghargai guru dan cikgunya. Sewajarnya insan pertama yang kita hargai sebalik kejayaan itu ialah guru atau cikgunya.

Sekali Jadi Cikgu, Cikgu Buat Selamanya.... Sampai bila-bila orang tetap panggilnya... "Cikgu!!!".

Menghargai cikgu bukan hanya satu hari. Hanya pada 16 Mei. Sebagai seorang murid atau seorang pelajar hargailah guru anda setiap hari. Setiap kali guru masuk kelas, berdirilah dengan tegap , penuh penghormatan dan kasih sayang ; ucapkan salam dan ucapan selamat buat cikgu. Sewaktu pengajaran; ikuti pengajarannya, belajarlah dengan kesungguhan dan penuh perhatian. Fokus dalam setiap detik pengajaran disampaikan dan bertanyalah guru kita dalam perkara yang kita keliru dan kurang faham. Jaga adab dan pekerti di kala berhadapan dengan guru. Jika ada perbezaan pendapat, raikanlah perbezaan itu dengan adab dan jiwa besar. Jangan dijatuhkan air muka cikgu kita. Setiap insan itu ada kelemahannya. Raikanlah!!! Tunaikanlah segala suruhan, latihan dan kerja rumah yang dibekalkan oleh guru. Dan akhirnya ucaplah terima kasih dari hati yang dalam kerana telah menerima ajaran guru tadi. Semoga ada keberkatan dalam ilmu yang ditimba.

Nabi Muhammad SAW Adalah Guru Buat Semua

Kepada umat manusia, ingatlah setiap nabi yang diutuskan oleh Allah adalah guru kepada umat masing-masing. Mereka mengajar manusia untuk mengenal Allah SWT sebagai pencipta sebenar bagi makhluk ini. Mereka mendidik umatnya supaya taat dengan penciptanya, menyampaikan setiap ajaran dan memdidik mereka menjadi manusia yang baik dan berguna. Dalam pada masa yang sama nabi-nabi mengajak umatnya menentang kebathilan, kezaliman dan segala bentuk syirik yang dinamakan sabagai "Taghut". Firman Allah SWT yang bermaksud; "Dan demi sesungguhnya Kami utuskan bagi setiap umat itu seorang rasul agar mereka mengajak manusia itu menyembah Allah dan menjauhkan Taghut". Tugas membawa baton ini diwariskan daripada seorang Rasul kepada seorang Rasul sehinggalah baton terakhir itu diserahkan kepada nabi Muhammmad SAW.

Rasul itu adalah seorang guru atau Mahaguru. Dan penghulu kepada semua Mahaguru itu ialah nabi Muhammad SAW. Dialah penghulu kepada semua nabi. Maka pada diri nabi Muhammad SAW banyak suri teladan yang terpuji. Sabda nabi SAW; "Bahawasanya aku ini diutuskan oleh Allah SWT sebagai seorang guru".

Ingatlah para guru masa kini; kita adalah penyambung mata rantai kepada tugas para rasul dan para nabi. Maka sifat terpuji yang ada pada rasul itu ialah akhlak terpuji. Mereka orang yang benar, orang yang amanah, orang yang menyampaikan setiap ajaran dan mereka adalah orang bijaksana dalam menjalankan tugasnya.

Adalah tidak wajar seorang guru itu hanya berniat untuk makan gaji dan mencari kedudukan duniawi semata-mata. Ramai guru tidak solat dan tidak mengutamakan perintah Allah SWT. Dalam pada masa yang sama sangat menjaga urusan keduniaan yang diamanahkan dibahu seorang guru. Sungguh tugas seorang guru itu  melaksanakan P&P, urusan pengkeranian, aktiviti ko-kurikulum dan pelbagai tugasan lagi. Ingat cikgu, kita memegang amanah Allah SWT. Kerjaya cikgu bukan sekadar sebuah kerjaya tetapi sebagai "pewaris kepada kerja nabi".

Kepada semua guru, "TERIMA KASIH CIKGU". JasaMU tetap dikenang selagi hayatku dikandung badan. Dan kiranya Jasadmu guru telah hancur dikandung tanah; doa dan munajat kepada Allah SWT semoga sentiasa merahmati semua para guru. Al-Fatihah buat semua guruku yang telah menghadap Ilahi. Semoga Allah SWT meletakkan mereka bersama arwah para Aulia dan Solihiin. Amiiin , yarabbal 'aalamiin.

Solat Hajat Dan Doa Selamat Hari Guru SMK Rosli Dhoby

Kepada warga SMK Rosli Dhoby, satu majlis solat hajat sempena Hari Guru diadakan pada Hari Khamis malam Jumaat ini ( 17 Mei 2012) bermula dengan solat Maghrib, Bacaan Tahlil dan Doa Selamat, Solat Isyak, Solat Hajat dan akhir sekali sedikit jamuan kesyukuran. Semua warga SMK Rosli Dhoby dijemput hadir.

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara"

Terima Kasih Cikgu!!!



Monday, May 14, 2012

Khutbah Jumaat Sempena Hari Guru 2012

Oleh isma daud

Setiap tahun apabila munculnya hari guru, satu aktiviti yang tidak dilupakan ialah Khutbah Jumaat Sempena Hari Guru. Khutbah Jumaat ini mengikut arahan Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah dibaca serentak seluruh negara pada 11 Mei 2012 yang lalu di Surau dan Masjid sekolah yang mendirikan solat jumaat.

Alhamdulillah arahan ini telah dapat dilaksanakan di Masjid An-Nadwah, SMK Rosli Dhoby pada hari tersebut. Khatib yang bertugas pada hari tersebut ialah Ustaz Mohd Nazri Bin Ismail dari SMK Agama Sibu.

Khutbah Jumaat penuh sempena Hari Guru 2012 tersebut boleh di muat turun melalui pautan di bawah;

TEKS KHUTBAH JUMAAT SEMPENA HARI GURU 2012

Tajuk Khutbah Jumaat mengambil tema Hari Guru 2012: "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara"

Berikut isi khutbah tersebut;

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertakwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama memperbaharui serta mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah dari semasa ke semasa dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan kita beroleh kesejahteraan di dunia ini, lebih-lebih lagi kesejahteraan yang hakiki di akhirat nanti.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Tanggal 16 Mei pada setiap tahun merupakan hari yang amat bermakna bagi setiap warga guru. Guru pasti diingati, dihargai dan diraikan dengan sewajarnya. Tidak kira siapa pun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu yang dicurahkan, tidak kira apa bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita. Merekalah yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira supaya kita ini menjadi insan yang berilmu. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

Tema Sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”. Guru Inovatif adalah guru yang mampu membuat transformasi (perubahan) atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber atau kaedah yang sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda yang lebih dinamik. Atas dasar itu, guru haruslah berperanan untuk menggarap elemen-elemen inovasi di dalam melonjak transformasi pendidikan negara melalui idea dan kepakaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengaplikasi segala sumber melalui kaedah yang paling kreatif dan berinovasi. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 190:

Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal.

 Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa ayat ini mengandungi perintah Allah kepada manusia supaya menggunakan akal dan fikiran, untuk melakukan penelitian serta penyelidikan, terhadap dalil kekuasaan Allah di muka bumi. Budaya mengkaji dan bermuhasabah ini diharapkan mampu menjana guru-guru yang berinovasi. Renunglah dengan mata hati terhadap hakikat dan hikmah kejadian segala ciptaan Allah bagi mengukuhkan keimanan kita. Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Usaha melahirkan modal insan yang beriman dan bertakwa bukanlah suatu usaha yang mudah dan dipandang remeh. Usaha tersebut memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Justeru atas tuntutan tersebut, para guru telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengenal erti penat lelah dan perasaan jemu bagi memastikan anak-anak didiknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan. Selain daripada itu juga para guru berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghapuskan kejahilan dan kecelaruan yang sering kali bermain dibenak fikiran anak-anak didiknya. Di sini jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh para guru walaupun kita lihat pada hari ini ke mana sahaja mereka dihantar untuk berkhidmat sama ada di bandar-bandar besar, di kampung-kampung, di pedalaman-pedalaman atau di pulau-pulau namun demi menyahut seruan untuk mendidik anak bangsa yang tercinta mereka sanggup dan menerima cabaran tersebut. Dengan berkat kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan maka akhirnya lahirlah para ulama., doktor, jurutera, pensyarah, peguam mahupun usahawan yang tersohor di tengah-tengah masyarakat.

Kita tidak dapat menafikan bahawa guru berperanan menjadi agen perubahan di dalam masyarakat. Para guru berganding dengan ulama’ dan umara’ terus menerus tanpa putus asa, menggerakkan usaha membangun modal insan terbilang. Ini termasuklah membangun minda anak-anak melalui ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah sehinggalah kepada ilmu-ilmu kehidupan, termasuklah ilmu sains dan teknologi. Guru bukan hanya sekadar mengajar, malah guru turut mendidik dan membentuk akhlak-akhlak terpuji. Manakala anak-anak pelajar yang ingin dilahirkan pula bukan sahaja hebat inteleknya, malah berintegriti sebagaimana akhlak baginda Rasulullah s.a.w. Itulah sebenarnya antara perkara yang telah digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sidang Jemaah yang dihormati,

Islam menggalakkan kita untuk menuntut ilmu dan mengajarkannya pula kepada insan yang lain. Wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. melalui surah al-’Alaq memberikan penekanan tentang kepentingan membaca dalam usaha melengkapkan diri dengan ilmu. Tambahan pula, kelebihan orang yang berilmu telah dirakamkan melalui firman Allah di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 ;

“Maksudnya: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Imam Shafie pernah berpesan dalam Kitab Diwan Imam Assyafie: “Saudaraku, engkau tidak akan memperolehi ilmu melainkan dengan mempunyai enam perkara: Kecerdikan, minat, kesungguhan, perbelanjaan, mendampingi guru dan masa yang panjang”
 
Sidang Jumaat yang dihormati,

Era globalisasi dan cabaran semasa menyebabkan dunia pendidikan anak-anak kita menjadi lebih terbuka. Penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti penggunaan laman sosial yang tidak terkawal, serta pengaruh negatif media massa mempengaruhi tindakan anak-anak pelajar. Maka, berleluasalah gejala buli, ponteng, merokok, berzina, pembuangan bayi di dalam kalangan pelajar sekolah serta lain-lain masalah sosial sepertimana yang dilaporkan di dada akhbar. Kita tidak boleh meletakkan peranan membentuk akhlak dan peribadi anak-anak kita hanya kepada guru-guru di sekolah sahaja. Ibu bapa serta ahli masyarakat sewajarnya memainkan peranan secara kolektif. Gunakanlah ruang permuafakatan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menjana idea dan menyelesaikan masalah. Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak diberikan kasih sayang dan perhatian secukupnya. Usaha mendidik anak-anak sebenarnya bermula dari rumah, terutamanya dalam mendirikan solat secara istiqamah, membaca, memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran. Ianya selari dan bertepatan dalam usaha mengukuhkan pelaksanaan program j-QAF dan aktiviti-aktiviti dakwah di sekolah, sekaligus membantu usaha menyemarakkan syiar Islam yang berteraskan kepada al-Quran dan as-sunnah. Rasulullah s.a.w. bersabda, Maksudnya: Jadilah kamu orang yang berilmu, atau orang yang mempelajari ilmu, atau orang yang mendengar dalam majlis ilmu, atau orang yang cintakan ilmu. Dan jangan kamu menjadi orang yang kelima, nescaya kamu akan binasa (Riwayat at-Tabrani)

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Selain daripada ibubapa, masyarakat juga mestilah memainkan peranan yang penting dalam usaha menyokong para guru untuk membentuk dan mendidik generasi muda hari ini. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat ialah mewujudkan kembali budaya tegur menegur dan nasihat menasihati bagi meningkatkan penghayatan nilai murni serta mengurangkan amalan negatif dalam kalangan remaja. Bagi ibu bapa pula janganlah cepat melatah atau melenting sekiranya anak kita ditegur atau dinasihati oleh ahli masyarakat, sebaliknya ambillah ia sebagai satu teguran yang positif dan membina demi kebaikan bersama. Para pengamal media sama ada media elektronik atau media cetak juga diharapkan dapat memainkan peranan yang lebih besar di dalam menyediakan rancangan dan bahan-bahan yang boleh membina dan membangunkan modal insan. Unsur hiburan secara keterlaluan yang banyak dipaparkan dan dipertontonkan melalui kedua-dua saluran media tadi akan menimbulkan kesan negatif terhadap semua lapisan masyarakat terutama kepada golongan remaja. Sehubungan itu penguatkuasaan dan tapisan kepada unsur negatif perlulah dipertingkatkan sebagai usaha membendung masalah sosial dalam kalangan anak-anak pelajar. Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Suasana harmoni dan hubungan mesra di antara guru-guru, para ibu bapa dan masyarakat perlu diperkukuhkan demi melicinkan proses pendidikan. Untuk tujuan tersebut marilah sama-sama kita membudayakan perkara-perkara berikut:

Pertama : Janganlah diperbesar-besarkan atau disensasikan isu-isu yang remeh temeh sebaliknya selidikilah terlebih dahulu punca asal sesuatu isu tersebut dan selesaikanlah secara bijaksana kerana guru juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Sepatutnya kita perlu saling mengukuhkan persefahaman antara satu sama lain.

Kedua : Budayakan amalan perundingan dan perbincangan sepertimana tuntutan Islam dalam menangani sebarang masalah. Ianya bertujuan bagi mengelakkan timbulnya pelbagai kesan yang tidak diingini kepada semua pihak. Akibatnya, anak-anak pelajar juga yang menjadi mangsa keadaan.

Sidang Jumaat yang dihormati;

Akhirnya, mimbar Jumaat pada hari ini menyeru dan berpesan, marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut:

Pertama : Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Kedua : Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim.

Ketiga : Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan.

Keempat : Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru.

Kelima : Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur bakti dan budi kepada kita, sehingga kita menjadi siapapun pada hari ini.

Buat para guru pula, teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t.

TERIMA KASIH CIKGU.

Firman Allah dalam surah al-’Alaq ayat 1 – 5:

Maksudnya: Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.

_____

Semoga bermanfaat.
catatan : sekalung penghargaan kepada punca sumber : Portal Rasmi Jabatan Pelajaran Perak.

Saturday, May 12, 2012

KENYATAAN YANG PAHIT

isma daud : Catatan ini sekadar untuk renungan Umat Islam. Terima kasih kepada tuan punya artikel ini.


Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!"

Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.

Sang guru tersenyum kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika.

"Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, Zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Paham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu..."

"Baik permainan kedua..." begitu Guru melanjutkan.

"Cikgu ada Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri di luar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya berpikir. Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat, dan lain-lain.

Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet . "Murid-murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya. .. Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang. ..Kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sadar.

"Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan. ..."

"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka... Dan itulah yang mereka inginkan." "Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita... "

"Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" tanya murid- murid. "Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi." "Begitulah Islam... Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentak terang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sedar".

"Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang..." Matahari bersinar terik takala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan fikiran masing-masing di kepalanya.


Sembang Bersembang

Lebih Interaktif ^O^Ukhuwwah . Sila Klik Untuk Ke Laman Ini , Terima Kasih.
[ Copy this | Start New | Full Size ]

Sepanjang Jalan Di Sibu

Related Posts with Thumbnails

@Facebook ~ "Ustaz Rosli Dhoby"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.