Adab Terhadap Al-Quran ; Debu Selepas Dibakar Hendaklah Diurus Dengan Sempurna

isma daud : "Saya tertarik dengan usaha yang dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melupuskan kira-kira 200 kilogram (kg) abu al-Quran di perairan Terengganu demi menjaga kemuliaan al-Quran dan kesuciannya. Semoga ianya menjadi contoh kepada umat Islam dalam menjaga kehormatannya apabila al-Quran itu sudah lusuh, rosak dan tidak boleh dipakai lagi. Jangan buang Al-Quran ke merata tempat dan dibuang ke tempat pembuangan sampah. Jika tidak dapat dialirkan ke sungai atau laut, bolehlah ditanamkan ke dalam bumi. Asalkan matlamat menjaga kesucian dan kehormatannya tercapai."

SUMBER bERITA : SINAR HARIAN ONLINE
200kg abu al-Quran dilupus

KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melupuskan kira-kira 200 kilogram (kg) abu al-Quran di perairan Terengganu iaitu sejauh kira-kira sembilan batu nautika, di sini, semalam mengikut tertib demi menjaga kesucian wahyu ALLAH itu.

Program Pelupusan al-Quran Lama dan Bahan-bahan Bercetak yang Mengandungi Teks al-Quran anjuran Bahagian Penyelidikan JHEAT itu diketuai Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penyelidikan) JHEAT, Mohd Noor Mohamad dan turut disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Muhammad Ramli Nuh.

Muhammad Ramli berkata, projek tersebut telah bermula November 2011 melibatkan kerja-kerja awal pelupusan termasuk daripada proses pengasingan, merincih serta pembakaran yang dilaksanakan secara manual oleh kakitangan JHEAT, Bahagian Penyelidikan secara separuh masa.

“Projek ini dilaksanakan bagi menjaga kesucian al-Quran daripada dicemari dan diletakkan pada tempat yang tidak sepatutnya. Proses perlaksanaannya dilakukan pihak JHEAT mengikut garis panduan fatwa oleh Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

“Jangka masa yang agak lama diperlukan kerana proses pelupusan dilakukan secara manual dan terlebih dahulu harus dipastikan helaian al-Quran diceraikan satu persatu daripada kulitnya sebelum dirincih,” katanya.

Menurutnya, proses pembakaran pula dilakukan dalam relau yang direka khas diperbuat daripada tong dram dan perlu dikawal apinya dari masa ke masa bagi mengelakkan ketidaksempurnaan hasil pembakaran.

“Setelah betul-betul yakin helaian tersebut hangus dan menjadi abu, barulah ia dikumpulkan lalu dimasukkan ke dalam karung plastik yang setiap satu mengandungi dua lapisan plastik. Pada hari ini (semalam), melibatkan sebanyak 33 beg plastik yang mengandungi lebih 200 kg abu al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelupusan al-Quran Lama dan Bahan-bahan Bercetak yang Mengandungi Teks al-Quran, di sini, semalam yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Laut Malaysia, Wilayah Timur.

Muhammad Ramli berkata, selain dihantar oleh individu yang dikumpul khususnya di masjid-masjid, abu al-Quran dan bahan-bahan berkaitan ‘dilepaskan’ itu juga adalah daripada Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu.

Menurutnya, dalam perkembangan berkaitan, JHEAT diminta menyediakan kertas kerja kepada Kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu supaya pihak-pihak terlibat dapat menyediakan sebuah mesin pembakar khas (incenerator) sebagaimana dilaksanakan oleh Percetakan Saufi di Cheras.

“Sekiranya cadangan mengadakan ‘incenerator’ ini menjadi kenyataan, diharapkan JHEAT akan menggandakan usaha untuk mengumpulkan al-Quran lama yang rosak bagi tujuan dilupuskan apatah lagi diyakini pasti banyak al-Quran lama masih tersimpan di rumah ataupun masjid.

“Masyarakat harus mempunyai tanggungjawab untuk sama-sama menjaga kesucian al-Quran ini. Malah, ada kedai-kedai fotostat membuang kertas-kertas yang mengandungi ayat-ayat al-Quran secara mudah dan tidak diuruskan dengan sewajarnya,” katanya.



Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?