Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Tuesday, June 21, 2011

Biduk Berlalu , Kiambang Bertaut

Oleh isma daud


Berbakti Secara Senyap-senyap Lebih Damai
Alhamdulillah , sudah hampir separuh perjalanan tahun 2011 ini. Sedari awal tahun 2011M @ 1432H ini, banyak sekali rasanya nikmat dan rezeki Allah SWT yang datang pada tahun ini. Amat terasa betapa nikmat Allah SWT itu datang satu persatu. Apa yang mampu seorang hamba itu lakukan ialah melahirkan rasa syukur kepada penciptanya yang memberi segala nikmat itu. Maha Besar Allah SWT yang memberikan nikmat kepada seseorang itu dengan pelbagai cara. Firman Allah SWT dalam surah al-Qalam; ayat 32; "Mudah-mudahan Tuhan kami menggantikan kami (yang hilang itu) dengan yang lebih baik daripadanya, (dan ucaplah ketika Dia telah mengurniakan nikmat yang baru) sesungguhnya kami kepada Tuhan kami sangat berharap lagi sangat gemar)".

Sungguh!!! Gerak awan hitam dan mendung telahpun berlalu pergi. Cerita sedih dan menekan perasaan kian hilang dibawa oleh bilah-bilah hari yang berlalu. Semuanya tinggal kenangan sahaja. Sebagai insan yang lemah banyak sekali pelajaran dan pengajaran yang dapat dikutip daripada setiap peristiwa yang menduga hati dan perasaan itu untuk dijadikan iktibar dan ibrah pada masa mendatang.

Nikmat itu berupa kebaikan dan kesenangan. Ia adalah ujian Allah SWT juga. Cumanya ia datang untuk menduga hati manusia sejauh mana mereka ingat dan bersyukur kepada Allah SWT.

Alhamdulillah, nikmat ini cukup indah jika ia datang selepas kita diuji olehNya dan kita berjaya mengharunginya dengan tabah dan sabar.

Ujian Allah SWT itu sesuai dengan keadaan kita dan Allah SWT tidak menguji seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Apabila Allah SWT menguji seseorang, ianya bertujuan untuk menduga sejauh mana keimanan dan kesabaran seseorang. Manakala apabila didatang nikmat pula sekali lagi hambaNya itu diuji tetapi kali ini ujiannya berupa kebaikan, kesenangan dan kenikmatan.

Tujuannya jelas bagi mengetahui siapa pula yang terus beriman, bersyukur dan tidak lupa daratan.

Alhamdulillah, saya tidak alpa akan hal ini. Saya berdoa agar Allah SWT sentiasa memberi taufiq dan hidayahnya kepada saya agar terus istiqamah atas jalannya dan terus gigih menjalankan kerja-kerja dakwah di mana bumi saya berpijak di atasnya dan langit yang saya junggung di bawahnya.

Kerehatan yang panjang daripada arus dakwah yang dipandang "glamour" oleh sesetengah orang (tidak kepada saya), merupakan ruang yang terbaik untuk memutihkan pandangan buruk masyarakat kepada kerja-kerja saya di mana saya berada sekarang.

Saya gembira bila bertemu ahli masyarakat dan mereka bertanya khabar kepada saya dan mengungkapkan betapa mereka rasa rindu dengan kuliah dan ceramah saya seperti dulu. "lama tidak mendengar khutbah ustaz!!!". Mereka mula mengalu-alukan saya kalau saya kembali seperti semula. Itu tandanya mereka masih menghargai khidmat dan bakti saya selama ini. Itu sudah cukup besar maknanya kepada saya. Saya tidak mengharapkan pujian, cukuplah sekadar saya rasa masih dihargai oleh masyarakat di luar sana.

Walaupun ada tuan imam atau JK masjid takut untuk jemput saya untuk berkhutbah di masjid sebab mereka takut dengan "boss" mereka, mereka masih merujuk kepada saya dalam perkara tertentu yang mereka tidak jelas mengenai teks khutbah dan sebagainya. Kekadang menelefon, kekadang selepas kuliah mereka datang membawa teks minta dibetulkan baris alquran dan hadis, minta penjelasan makna patah perkataan yang berasal daripada istilah-istilah yang agak ilmiah yang digunakan daripada bahasa arab, tulisan-tulisan jawi yang tidak jelas dan meragukan mereka, semua itu menunjukkan mereka masih memerlukan saya dalam perkara "khutbah", walaupun saya sudah di"gam" sekian lama dalam hal ini.

Beberapa imam dan JK Masjid yang pernah saya berkhutbah di tempat mereka dahulu bila berjumpa di maslis kenduri kahwin berkata; "Kami ingat ustaz sudah balik ke Semenanjung, masih sini ya? Masih Di Rosli Dhoby?" Jawabnya; "Ya".

Bila dengar "pak-pak imam" kita baca khutbah rasa sedih juga, dengan baca tersangkut-sangkut, tidak jelas butir hurufnya, bacaan ayat al-Quran yang macam dibelasah sahaja, kualiti khutbah tidak diambil kira sesuai atau tidak dengan isu-isu semasa, namun apakan daya mereka kena akur dengan "boss" mereka. Mereka sudah dilantik sebagai imam dan perlulah mereka menjalankan tugas mereka sedaya yang ada. Mereka tidak kisah lagi khutbah itu memberi manfaat kepada yang mendengarnya ataupun tidak, yang penting syarat khutbah dipenuhi seadanya. Kalau boleh khutbah itu sekadar ada saja dan cepat-cepat habis dibaca.

Apapun saya pernah melepaskan kata kepada pihak JAIS yang memanggil saya satu ketika dahulu, "Saya datang ke Sibu bukan untuk "baca khutbah", tetapi niat saya adalah untuk berdakwah. Kalau setakat membaca teks khutbah, saya rasa serah kepada tuan-tuan imam yang dilantik saja." Dibalas oleh pegawai JAIS pada masa itu, "Ustaz memang sombong.".... cukuplah sampai di situ...

Semua itu tinggal kenangan saja. Sekadar diulang sebut saja buat muhasabah diri sendiri. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa hambanya ini.

Yang jelasnya, saya gembira dengan apa yang saya ada sekarang. Beberapa orang yang menjauhkan diri macam tikus lari dari kucing sembunyi dalam beras, kini sudah mula menghulurkan tangan persahabatan dan mula bertanya, "Rumah sewa ustaz yang baru di mana? Kalau ada masa nak berkunjung ke rumah ustaz". Bertanya sekadar bermanis muka pun sudah cukup. Kalau benar-benar ikhlas itulah yang semurni dan sebaik cara yang ada nilai di sisi Allah SWT sudah tentunya.

Biduk berlalu kiambang bertaut. Alhamdulillah!!!

No comments:

Related Posts with Thumbnails