Di Hari Yang Sama Dua Tahun Dulu, Apakah Sama Dengan Hari Ini?

Oleh isma daud

Terkenang kembali, sebuah duka lama setiap kali datangnya hari Jumaat cuti sempena "Good Friday". Dua tahun dulu pada hari yang sama, saya dikutuk dan dianggap sebagai "orang luar" yang tidak diperlukan di Sibu ini. Hanya kerana salah menegur pemimpin Islam dan pemerintah di dalam khutbah Jumaat. Maka berkatalah "orang dalam" kepada saya bahawa saya orang yang tidak tahu bertempat menegur pemimpin. Dan kini saya mengenang lagi hari yang bersejarah dalam hidup saya.


Dalam Khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh MUIS hari ini mengajak rakyat Sarawak supaya taat kepada pemimpin yang diberi mandat sekali lagi dalam PRN Sarawak Ke 10 pada 16 April 2011 yang lalu. Ini kerana kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada hari tersebut adalah kerajaan yang sah , yang mendapat undi majoriti Rakyat Sarawak dan amalan ini selaras dengan perintah agama yang menyuruh mentaati Allah, Rasul dan pemimpin yang dilantik rakyat.   Dengan mimbar jumaat hari ini mengimbau kembali pemilihan Saidina Abu Bakar As-Siddiq selepas kewafatan Rasulullah SAW yang tidak menamakan pengganti baginda, akhirnya dengan sebulat suara para sahabat memberi wala' (ketaatan) kepada Saidina Abu Bakar menjadi pemimpin mereka. Lantas khutbah hari ini telah cuba menyamakan sistem demokrasi sama dengan majlis syura yang dilakukan oleh para sahabat dalam memilih khalifah Islam menggantikan Rasulullah SAW.


Kalaulah saya lagi yang berdiri di atas mimbar itu pada hari Jumaat ini, agaknya apa yang saya lontarkan daripada mimbar yang mulia itu? Apakah saya akan jadi seperti khatib melaungkan khutbah yang sama? Atau saya akan mengatakan yang sebaliknya???


Oleh kerana saya tidak mahu membaca "teks khutbah seperti itulah" , saya tidak dan tidak akan dibenarkan bersuara lagi di atas mimbar yang mulia itu sampai hari ini...


Dua tahun telah berlalu, hari ini datang lagi. Datang menggamit memori lama yang sentiasa segar di minda dan di hati. Namun ia adalah iktibar paling berkesan di hati saya agar saya terus istiqamah atas jalan yang benar dan berani menyatakan kebenaran. Hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki, semoga pencinta kebenaran akan terus berada di atas jalan hidayat itu buat selamanya...

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?