BN Terus Berkuasa ; ‘Ibrah Daripada PRN Sarawak Ke10

Oleh isma daud

Cubaan PR membentuk thunami politik di Sarawak belum membuahkan hasil walaupun bandar-bandar utama telah jatuh dalam genggaman PR khususnya DAP. BN masih berkuasa di kawasan majoriti ramai penduduk bumiputera sementara undi kaum cina lebih kepada DAP. Ini dapat dilihat apabila 12 DUN dikuasai mereka sementara PKR memperolehi 3 kerusi dan 1 Bebas. Bakinya 55 kerusi dimenangi oleh BN. BN berjaya membentuk mandat baru. Rakyat Sarawak masih memilih BN untuk memimpin mereka sekali lagi.

Tidak dinafikan, kesedaran berpolitik kepada masyarakat bandar kian bercambah dengan subur. Ini dapat dibuktikan oleh keinginan mereka mendengar ceramah pembangkang dan mampu menyumbang kepada sesuatu ceramah dengan dana yang agak besar. Ini sesuatu yang baru dan sihat bagi perjalanan demokrasi di Sarawak untuk jangka masa panjang. Jadi pakatan pembangkang seharusnya memanfaatkan ini dengan sebaik mungkin untuk mendapat sokongan dan memenangi hati rakyat secara berterusan. Perhatikan kepada angka undi popular berikut, BN menang tipis dari segi undi popular.

Undi untuk BN : 372,379 (56%)
Undi untuk bukan BN : 300,288 (44%)
Maknanya majoriti BN hanya 72,091.

Dalam pada masa yang sama, pihak-pihak tertentu perlu melihat kepada cara dan gaya hidup sebahagian rakyat Sarawak agar anda dapat mempelajari sesuatu. Kepada orang Sarawak, saya minta maaf jika apa yang saya lontarkan ini agak pahit untuk ditelan mentah begitu sahaja. Seharusnya kita semua melihat dengan mata hati agar usaha untuk mengajak mereka berubah kepada satu demensi politik baru bagi Rakyat Sarawak lebih mudah dan anda secara objektif berusaha memenangi hati mereka.

Pemikiran Masih Ditakup Lama.

Rakan-rakan dari masyarakat iban selalu cakap; "Sejak dulu, bila menjelang pilihan raya biasanya mereka akan tersogok dengan belian undi dan bekalan arak. Itulah pestaan mereka. Mendapat sedikit wang dan beberapa botol arak sudah cukup untuk mereka". Lihat saja kepada peniaga melayu bila ditemuramah oleh wartawan, “Apa makcik mahu?” Dijawabnya; “Saya mahu payung untuk berniaga”. Dapat payung sudah cukup untuk berasa bertuah. Kehidupan mereka begitu. Sebahagian mereka tidak hairan dengan apa sahaja isu di sekeliling mereka. Mereka sangat bimbang kalau mereka tidak dapat makan babi, beli nombor ekor, tidak boleh berpestaan dan bermabuk-mabukan.

Kebimbangan mereka ini sangat besar impaknya kepada siapa yang perlu mereka serahkan kepimpinan nanti. Hanya BN akan terus memberi jalan-jalan luas kepada kealpaan mereka dan ini jalan keberuntungan buat BN itu sendiri.

Bahkan kebimbangan ini sebenarnya berupa ugutan kepada rakyat. Kalau PR memerintah mereka tidak akan dapat semua itu lagi. Dalam PR ada PAS. Mereka diancam emosi mereka dengan kebimbangan akan hilang segala kealpaan mereka. Dalam kempen diedarkan poster Hadi Awang dan Larangannya. Anda Undi DAP, PKR , Anda Undi Juga PAS. Pas akan halang anda ternak babi, makan babi, tidak boleh minum tuak, arak dan berjudi. Itulah fitnah yang disebar luas oleh BN dalam kempen kali ini.

Beli Undi Bukan Tuduhan

Orang Sarawak, hatinya baik jiwanya lembut. Biarpun marah cepat hilang amarahnya. Bila sudah terpujuk dengan kata-kata atau termakan budi dengan habuan sedikit, jiwa dan minda mudah dikuasai. Hanya sedikit wang anda dengan mudah dibeli. Rasuah politik wang ini sudah lama jadi rahsia dalam rahsia strategi kerajaan pemerintah untuk membeli jiwa rakyat bagi mengekalkan kuasa.

Seorang Ustaz dari semenanjung yang berkahwin dan menetap di Sibu, menceritakan seawal subuh sudah ada gerakan mengetuk pintu dari rumah ke rumah tertentu mengedarkan sampul surat yang mengandungi wang di dalamnya. Bila ditanya duit apa ini, mereka menjawab; “Faham-fahamlah, BN”. Bagi sesetengah kawasan panas, duit itu lebih besar jumlahnya. Kalau di Kelantan dan Terengganu biasanya diagihkan kain batik dan kain pelikat, di sini duit dijadikan rasuah politik yang amat ketara. Seorang guru kawasan pedalaman pernah memberitahu saya, menjelang pilihanraya berguni duit diagihkan kepada pengundi. Dengan kekayaan BN dengan segala jentera kerajaan yang sebegitu rupa, siapa dapat lawan? Kalau cakap kosong saja , siapa mahu undi? Rasuah wang dan pembangunan bukan mudah dibuktikan tetapi ia adalah permainan sang pemerintah. Sendiri tahulah.

Masih Lemah Pegangan Agama

Pengetahuan dan pegangan agama sebahagian ahli masyarakat Islam masih lemah. Kalau mahu diceritakan sangat memalukan . Arak, judi dan zina masih berleluasa. Masalah anak tidak berbapa di sekolah bukan rahsia lagi. Bila pegangan agama rapuh, apa yang mahu diharapkan kepada mereka untuk berpegang kepada prinsip hidup yang lebih tekal dan teguh. Usahkan perkara asas seperti solat dan lainnya untuk diamalkan, masih ada yang tidak boleh mengucap dua kalimah syahadah walaupun mengaku Islam.

Guru agama tidak mampu diramaikan oleh kerajaan Sarawak yang ada. Sebab itu saban tahun guru agama daripada Semenanjung terus ditempatkan di Sarawak ini. Orang tempatan tidak suka menjadi ustaz atau ustazah. Anak-anak orang Islam yang sudah berada di Sekolah Agama sanggup menggagalkan diri demi keluar daripada sekolah agama. Boleh ditanya kepada anak-anak di sekolah rendah, jika ada pilihan mereka tidak mahu ke sekolah agama. Mereka bimbang akan jadi ustaz atau ustazah di kemudian hari.

Persoalannya kenapa?
Balik kepada sosial-budaya setempat tadi. Walaupun mereka orang Melayu, mengaku Islam, kalau tidak boleh bermabuk-mabukan, bersosialan, main nombor ekor; mereka akan merasa kehidupan mereka terancam. Itulah mentaliti masyarakat yang ada. Beragama di sisi mereka cuma sekadar solat fardhu jika perlu, berpuasa dan berterawih, berzakat, naik haji bila berduit, bertahlil bila ada kematian, berdikir marhaban dan berkenduri kendara tanda kesyukuran. Semua amalan mereka yang baik tidak menghalang pula mereka untuk melakukan kegemaran mereka yang buruk tadi. Pemahaman terhadap cara hidup Islam masih jauh apatah lagi cuba memahami politik Islam dan sebagainya.

Para pendakwah di luar sana, kalau anda merasa ilmu anda hebat, mari berdakwah di sini. Usahlah anda mahu ke Kemboja, Ke Vietnam, ke India maupun ke Pakistan; ayuh datang ke Bumi Sarawak, tanah air anda sendiri. Di sini tugas anda tersedia menanti. Jika anda banyak wang, marilah melabur dalam melebarkan dakwah di bumi ini.

Sebab itu orang Kristian gigih mengembangkan ajaran mereka di sini. Mereka bersungguh-sungguh bertapak di sini. Sebab itu anda dapat lihat gereja tumbuh dan terbina di mana-mana, sedangkan masjid atau surau, umat Islam terpaksa bermati-matian menagihnya.

PAS sepatutnya merebut peluang yang diabaikan oleh BN ini. Biarlah anda kalah dalam semua DUN yang anda sertai pada kali ini. Tapi kalau anda ambil usaha dakwah ini, masa depan anda cerah di sini. Sesungguhnya peranan anda sepatutnya bukan dilihat oleh rakyat Sarawak sebagai sebuah parti politik sahaja. Peluang anda adalah jihad dan dakwah di sini. Mata, telinga dan hayunan kaki anda perlu lebih akrab dengan masyarakat di sini. Orang lebih melihat Tabligh menjalan kerja dakwah, tapi sayang Tabligh pula bukan sebuah parti politik. Kerja-kerja dakwah banyak di dokong oleh Badan NGO Islam, namun mereka melaksanakan kerja-kerja dakwah sahaja dan sealiran dengan kerajaan memerintah.

Datanglah membawa obor dakwah kepada umat Islam dan bukan Islam agar dapat membetulkan persepsi salah mereka terhadap PAS dan Islam itu sendiri. Jika anda dapat menjadi juara dakwah di hati rakyat, tidak mustahil anda akan diterima oleh masyarakat setempat.

Penguasaan Ilmu Dan Sumber Maklumat Masih Rendah

Maaflah cakap. Kesedaran dalam ilmu dan maklumat mengenai sesuatu perkara masih rendah. Penguasaan ilmu di kalangan ahli masyarakat ramai masih jauh ketinggalan. Kejahilan masih menebal dan masalah buta huruf masih tinggi. Tidak semua orang ada capaian internet, parabola untuk melihat dunia luar. Masih banyak kawasan tiada bekalan elektrik dan mereka masih bergantung hidup dengan sumber alam semula jadi. Sesetengah kawasan hanya dapat menonton TV1 dan TV2 sahaja. Itu saja sumber maklumat mereka ada. Kita semua tahu semua TV merupakan saluran terbaik kerajaan menyalurkan maklumat kepada rakyat. Jadi berita hanya datang dari sebelah pihak sahaja. Media massa seperti akhbar , majalah daripada pihak kerajaan sahaja yang mereka terima.

Di sini, masih banyak kawasan suci yang belum tercemar oleh budaya luar. Mereka sangat bergantung dengan kerajaan. Apa yang kerajaan salur, itulah yang mereka dapat. Dapat sedikitpun syukurlah. Kehidupan mereka sangat mudah, mereka bergantung dengan sumber alam. Mereka tidak ada sumber-sumber lain untuk mengekses maklumat. Hiburan mereka adalah adat resam dan budaya mereka sendiri. Jadi selagi mereka merasa mudah dan kerajaan memerintah hanya perlu melayan sedikit kehendak mereka, tiada sebab besar kepada mereka untuk berubah kepada pemerintahan yang lain. Bukan masalah mereka untuk fikir masalah Anwar Ibrahim, Taib Mahmud atau siapa sahaja. Kerajaan BN sudah cukup menyenangkan mereka. Lontarkan apa saja isu, BN juga yang mampu membela nasib mereka.

Sesungguhnya mereka itu banyak masalah yang tertanggung. Kehidupan mereka sebenarnya sangat terhimpit. Hak-hak mereka selalu terancam. Tapi seperti yang saya katakan tadi, mereka tidak ada jiwa besar untuk berubah. Mereka sebenarnya rasa lebih terancam jika keperluan mereka itu tidak diperolehi lagi. Apapun jaminan pembangkang, mereka tidak yakin.

BN sangat faham akan kelemahan mereka. BN telah memanfaatkan dengan sesungguhnya terhadap mereka demi meneruskan kekuasaan mereka atas bumi Sarawak ini.

Senjata Pembangunan Kerajaan Memerintah

BN sekali lagi menawan hati rakyat dengan senjata pembangunan dan kemajuan. Isu tanah, isu agama dan pelbagai kelemahan dasar-dasar kerajaan dapat ditutup oleh kerajaan dengan janji-janji pembangunan. Hanya BN yang dapat membawa pembangunan dan kemajuan untuk rakyat. Slogan pembangunan dijadikan senjata ampuh untuk terus mendapat keyakinan rakyat dalam mana-mana pilihanraya oleh BN. Akhirnya luka rakyat terubat dengan isu pembangunan. Segala kedukaan rakyat dapat dilupakan seketika dan pendedahan pembangkang akan salah guna kuasa pemerintah tidak diendahkan dan dikesampingkan saja oleh kebanyakan rakyat. Mereka lebih melihat apa yang mereka dapat dalam keadaan semasa. Masih sukar untuk mengajak mereka untuk berfikir lebih jauh dari kepompong pembangunan untuk anak-anak dan cucu-cicik mereka. Biar dapat sedikit tetapi segala yang ada sudah cukup dan mudah. Akhirnya undi kembali kepada BN. Itulah kuasa pembangunan yang hanya boleh ditaja oleh parti pemerintah.

Khalasahnya;

Untuk menuju sebuah demokrasi yang adil dan lebih baik, rakyat hendaklah diberi peluang untuk mendapatkan maklumat secara telus. Rakyat pelu dididik dengan sistem yang baik dengan contoh kerajaan yang baik. Hak pembangkang perlu diraikan kerana apabila pilihan raya diadakan , kerajaan memerintah tidak memerintah dengan sebenarnya lagi. Duit bukan digunakan untuk habuan politik semasa pilihan raya sahaja.

Dalam PRU Negeri Sarawak ke 10 ini, BN kembali berkuasa walaupun dari segi undi popular BN menurun. Tapi kemenangan ini cukup meyakinkan mereka bahawa rakyat terus menerima dasar-dasar kerajaan sedia ada khususnya kepada konsep 1Malaysia. Bahkan Perdana Menteri sudah boleh membuat kayu ukur untuk mewar-warkan PRU ke 13. Begitu teruja sekali BN dengan kemenangan mereka kali ini. Sepatutnya BN sedar bahawa penurunan undi popular itu menunjukkan bahawa kesedaran rakyat dalam menentukan siapa pemimpin mereka bertambah baik.

Kepada PR, anda tidak kalah semuanya. Sesetengah kawasan mula memberi mandat kepada anda. Menguasai kawasan strategik dan bandar-bandar adalah petandanya. Jadi kawasan yang anda tawan, adalah menjadi kayu pengukur kepada anda sejauh mana anda dapat membela nasib mereka. Oleh kerana anda bukan kerajaan, kerja anda 100 kali kena lebih kuat untuk terus relevan di hati rakyat. Jika anda gagal, kalian akan terhukum sekali lagi.

Kepada rakyat Sarawak, anda telah melaksanakan tanggungjawab anda dengan semua ilmu dan maklumat yang ada kepada anda. Kepada yang telah menunaikan tanggungjawab dengan sempurna, anda berhak merasa bangga. Anda telah melaksanakan tanggungjawab anda untuk masa depan anda dan generasi anda.

Bagi saya, PRN Sarawak ke 10, lebih baik daripada pilihanraya yang lalu. Amalan demokrasi dan pemahaman rakyat kepada hak dan kuasa memilih bertambah baik. Tahniah Orang Sarawak!!!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?