Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Tuesday, March 15, 2011

Janji Allah SWT Kian Nyata; Semua Berada Dalam KekuasaanNya

Oleh isma daud


Telah banyak sekali tanda-tanda kiamat dipertontonkan oleh Allah SWT kepada manusia agar mereka sentiasa insaf akan hakikat sebenar diri mereka di dunia ini dan semua alam ini berada di bawah taklukanNya semata-mata. Apabila telah datang ketentuanNya tiada siapa yang dapat menentang dan menolaknya walau sehebat mana pun manusia itu dan semaju mana negara itu. Janji Allah pasti akan berlaku.

Peringatan Allah SWT dalam pelbagai rupa dan bentuk semata-mata memperingatkan manusia akan janji-janji Allah SWT agar manusia tidak mudah lupa. Telah banyak bencana berupa gempa bumi dan telah berkali-kali gegaran bumi yang mengakibatkan tsunami dipertontonkan oleh Allah SWT bagi meyakinkan manusia bahawa kiamat pasti berlaku. Terkini gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun dengan ukuran 8.9 pada skala Richter, melanda timur laut Jepun, mencetuskan gelombang tsunami sehingga setinggi 10 meter , jumaat lalu.

Subhanallah!!! Manusia yang tidak beriman terus menerus menganggapnya fenomena alam dan tidak sampai kepada hati mereka akan kekuasaan Allah SWT. Tidak datang ke jiwa mereka betapa kerdilnya insan ini berbanding kekuasaan Allah SWT. Sehingga alam yang dianggap hebat ini bergerak dan bergegar sebegitu saja tanpa ada suatu kuasa Mutlak keatasnya. Bagaimana manusia masih buta tidak dapat menerima akan kekuasaan Allah SWT ke atas segala makhlukNya, semuanya mudah bagi Allah SWT dalam menjaga dan memusnahkannya. Semua yang ada dalam alam maya ini tunduk dan patuh mengikut ketentuanNya.

Semoga banyak hati terbuka untuk kembali menginsafkan diri agar semua kenal akan penciptanya iaitu Allah SWT, Dialah tuhan yang Esa tiada yang lainnya. Yang lain daripadaNya akan musnah dan binasa termasuk sembahan-sembahan manusia yang diada-adakan oleh akal mereka. Alam ini tidak kekal sebagaimana manusia itu sendiri ada ajal dan mautnya. Yang kekal tidak binasa hanyalah Allah SWT. Maha Suci Allah SWT daripada bersifat lemah dan binasa.

Renungilah ayat-ayat Allah ini agar kita insaf bahawa selain daripada Allah SWT semuanya lemah dan tidak berkuasa keatas diri mereka sendiri.... (surah al-a'raaf; 195 -199)

Adakah benda-benda (yang kamu sembah) itu mempunyai kaki yang mereka dapat berjalan dengannya, atau adakah mereka mempunyai tangan yang mereka dapat memegang (menyeksa) dengannya atau adakah mereka mempunyai mata yang mereka dapat melihat dengannya atau adakah mereka mempunyai telinga yang mereka dapat mendengar dengannya? Katakanlah (wahai Muhammad): Panggillah benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah, kemudian kamu semua jalankan tipu daya terhadapku, serta jangan pula kamu bertangguh lagi. (195) Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dialah jua Yang Menolong dan Memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan (196) Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri. (197) Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat. (198) Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya). (199)


Siri gempa bumi dan tsunami ini meyakinkan lagi kita kepada Allah SWT yang Dialah Raja dan Wali kepada alam ini, penguasa sebenar yang mentadbir urus alam ini mengikut kehendak dan ketentuanNya. Semuanya berada dalam kekuasaan dan genggamanNya.




 Disebut dalam surah yang sama di dalam ayat 183 - 185;
Dan Aku memberi tempoh kepada mereka; sesungguhnya rancangan balasanKu amatlah teguh. (183) Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali mengidap penyakit gila (sebagaimana yang mereka tuduh itu), bahkan dia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas. (184) Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Quran) itu mereka mahu beriman? (185)



Marilah kita menzahirkan rasa simpati kepada mangsa tsunami dan rakyat Jepun yang terlibat. Tiada siapa yang mahukan keburukan dan kemusnahan. Namun kehendak Allah SWT mengatasi segalanya.

catatan : gambar-gambar kesan tsunami yang dipetik daripada pelbagai sumber berita, sekadar untuk renungan dan iktibar kepada kita semua selaku hamba Allah SWT yang lemah, mudah2an kita semua beroleh ingat.

No comments:

Related Posts with Thumbnails