Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Saturday, March 12, 2011

Hidupkan Obor Dakwah, Bawakan Keluarga Bersama

Oleh isma daud

Dalam usaha mendidik dan mentarbiyyah diri agar mendekatkan diri kepada Allah SWT, ramai yang hanya memperbetulkan dirinya sahaja tanpa mengheret sama anak-anak dan isterinya untuk sama-sama mendapat redha Allah SWT.

Gambar Sekadar Hiasan
Kalau seseorang itu baru mula berjinak dengan hal-hal agama setelah sekian lama hanyut dengan bahana dunia  yang memperdaya, baru ada kesedaran untuk kembali dan memperbetulkan diri, adalah munasabah dia seorang saja mula berjinak dengan majlis ilmu dan solat berjamaah dan aktiviti keagamaan lainnya. Tapi apabila seseorang itu sekian lama bergelumang dengan dengan kerja-kerja Islam tetapi dia lupa membawa ahli keluarganya sama dalam apa yang dilakukannya; adalah satu dosa dan termasuk dalam golongan orang-orang yang lalai. Allah SWT menasihatkan kita di dalam ayatnya; "Wahai orang yang beriman, peliharakanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu yang menjadi sembahan mereka."

Bahkan Allah SWT memperingatkan kita agar tidak menjadikan alasan harta benda dan anak-pinak menjadi sebab kita lupa akan Allah SWT sebagaimana firmanNya; " Wahai orang yang beriman, janganlah melalaikan kamu harta benda kamu dan anak-anak kamu daripada mengingati Allah, dan barangsiapa yang berbuat demikian dia termasuk dalam kalangan orang yang rugi."



Ahli Ibadat Yang Dayus

Kita lihat saban hari ada bapa tidak menasihati anaknya yang keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna. Bapa lihat anaknya keluar dengan buah hatinya tanpa izinnya tanpa memberi teguran atas alasan menjaga hati anak. Selepas itu bapa itu terus ke masjid dan surau untuk solat berjamaah. Begitu juga suami tidak mengambil apa-apa tindakan termasuk memberi nasihat dan teguran apatah lagi menghalang atau menyekat isterinya keluar rumah tanpa izinnya, bersolek yang melampau dan berpakaian yang mendedah sana-sini sewaktu keluar bekerja bahkan keluar bersama rakan sekerja yang ajnabi diluar pengetahuan suami, suami tahu tapi terus mendiamkan diri. Dia diam kerana tidak mahu bergaduh dan mahu jaga rumah tangga, akhirnya dia membiarkan dosa isteri itu berterusan di pikul atas bahunya asalkan dia dapat ke masjid dan surau atau ke majlis-majlis agama, sudah cukup untuk menghapuskan dosa dan salahnya. Sesungguhnya itu belum cukup untuk menghapuskan dosa suami atau bapa atau sesiapa saja. Bahkan ia boleh menjadikan seseorang itu sebagai "bapa dayus" atau "suami dayus".

Walaubagaimanapun saya harap jangan ada yang salam faham sehingga kerana ada masalah keluarga kita ambil sikap tidak mahu keluar berjamaah dan memakmurkan masjid Allah SWT pula. Maksud saya sesuatu kerja kebajikan dan dakwah itu mesti berimbangan. Bukan kita seorang sahaja mencari jalan ke syurga dengan membiarkan ahli keluarga kita yang lain terumbang-ambing di dolam noda dan dosa.

Melainkanlah si bapa dan si suami telah menjalankan peranannya menyeru kepada kebajikan, menyuruh orang di bawahnya kepada perintah Allah SWT dengan nasihat-nasihat yang baik dan berhikmah dan mencegah mereka daripada dosa-dosa tersebut tetiba anak-anak dan isteri terus menerus meneruskan keingkarannya maka lepaslah si bapa dan si suami tadi daripada dosa-dosa orang di bawah tanggungjawab mereka.

Ada pun dalam masalah hidayah, kita serahkan kepada Allah SWT kerana Dialah yang memberi hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Hal ini selaras dengan apa yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW melalui sabdanya yang bermaksud; Dari Abi Said Al-Khudari ra berkata; aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; "Barangsiapa telah melihat kemungkaran daripada kamu, maka ubahkanlah dengan tangannya (kekuasaannya), jika dia tidak berkuasa; ubahkanlah dengan lidahnya (nasihatnya), dan jika dia tidak berkuasa juga; maka ubahkanlah dengan hatinya. Dan benci di dalam hati itu adalah selemah-lemah iman."

Maka hendaklah kita semua sedar bahawa tidak cukup kita saja berubah menjadi baik, tetapi kita ada peranan dakwah membawa sama anak dan isteri kita kepada jalan yang diredhai Allah SWT.


Usah Tertipu

Ada orang berfikir bahawa jika dia sudah memilih jalan dakwah, sudah berjamaah di masjid, sudah memakai jubah dan berserban maka sudah cukup untuk menjadi seorang Islam yang baik tanpa mengambil isu dan masalah persekitarannya. Maka sesiapa yang berbuat demikian awal-awal sudah bercanggah dengan apa yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW; "Barangsiapa yang tidak memperdulikan masalah orang Islam lain, dia bukan daripada kalangan kami (nabi tidak mengaku umatnya)", walaupun rajin bertasbih dan bertahlil sedangkan masyarakatnya bergelumangan dengan dosa dan maksiat. Dia tidak ambil kisah dan peduli maka imannya tidak sempurna.

Maka tidak cukup hanya kita seorang saja yang berusaha nak jadi baik, kita mesti berusaha membawa sama orang yang hampir dengan kita untuk sama-sama bersama kita membawa syiar Islam.

Firman Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW; "Dan berilah inzar (peringatan)kepada kaum keluargamu yang terdekat"  dan "teruskanlah dengan apa yang Allah perintahkan serta berpalinglah daripada orang Musyrikin". Nabi disuruh berdakwah kepada ahli keluarga dan rakan taulannya bukannya dia seorang sahaja yang berubah menjadi baik tanpa memperdulikan orang lain.

Oleh itu marilah kita mencontohi nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan dakwah, baginda memulakan dakwahnya kepada isteri, anak-anak baginda, rakan-rakan terdekat yang ada pertalian keluarga barulah baginda bergerak ketengah masyarakat untuk melebar luaskan dakwahnya. Maka tidak semua ahli keluarga baginda saw menerima dakwahnya sebaliknya menentang dakwah yang disampaikan, Rasulullah saw tidak dipertanggungjawabkan lagi atas penentangan mereka kerana mereka tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT.


Penyakit Orang Kita Dan Cara Yahudi


Mahu berdakwah tetapi mahu mudah, mahu berdakwah tetapi "pulangan kebendaan" yang diambil kira. Kalau tidak untung dakwah pun tidak untung dan tidak berjalan. Sepatutnya kita bimbang akan amaran Allah SWT supaya takutkan akan fitnah yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim dan melampaui batas sahaja, tetapi fitnah itu melebar luas terkena kepada semua termasuk orang-orang soleh dan berbuat kebaikan.

Jangan jadi macam orang Yahudi, bila di suruh solat mereka hanya mahu sujud sahaja. Kerana mahu mudah. Ambil bahagian sujud sahaja tanpa melakukan perintah-perintah yang lain. Bila melihat orang ramai melakukan kemungkaran, mereka ubah ayat Allah supaya sesuai dengan kehendak manusia. Suka mendiamkan diri terhadap kemungkaran dan berbangga pula dengan kejahatan. Bahkan mereka menyebar luas kejahatan itu terhadap orang lain.


Begitulah kita jangan bila diajak kepada dakwah, mahu beriktikaf dalam masjid sahaja, mengajar perkara-perkara suruhan sahaja tanpa menegur dan mencegah kemungkaran. Ambil sikap berdiam diri sehingga kemungkaran tidak tercegah dalam masyarakat. Akhirnya timbullah fitnah anak pak lebai sana mengandung anak luar nikah, anak pak ustaz sana terjebak dengan gejala sosial. Mengapa jadi begitu??? Ini kerana sikap berdiam diri ke atas perkara mungkar dan tidak mengutamakan dakwah di dalam kehidupan. Menjadi pendiam dan pengecut. Tidak sanggup bersusah payah dalam usaha dakwah. Ambil jalan ibadat sekitar yang mudah-mudah sahaja. Takut menegakkan kebenaran sementelah lalu jika terpaksa keluar ke medan dan padang luas menentang kezaliman pemerintah. Begitulah hari ini , orang mahu masuk syurga dengan jalan mudah dengan mengambil jalan uzlah dan bertapa seperti bertafakkur di dalam masjid dan tempat-tempat sepi sedangkan ahli masyarakatnya penuh dengan penyakit kejahilan dan bergelumang dengan dosa dan maksiat.

Sekali lagi jangan jadi macam perangai yahudi.... mereka adalah bangsa yang dikutuk dan dimurkai oleh Allah SWT. Mahukah ahli ibadah dan ilmuan kita menerima kutukan yang sama???


Mari Bersama Meniupkan Obor Dakwah

Marilah kita semua mengembelingkan tenaga kepada kerja-kerja dakwah dalam meninggikan agama Allah SWT di atas muka bumi ini. Namun mestilah membawa methode yang betul selari dengan apa yang diajarkan oleh Allah SWT dan apa yang dicontohkan oleh Nabi kita Muhammad saw. Ketahuilah bahawa jalan dakwah itu penuh dengan denai yang berliku, sangat memerlukan kepada kerja yang tersusun dan bersungguh-sungguh, sangat memerlukan buah fikiran dan penyatuan fikrah dari banyak pihak.

Akhirnya; Ingatlah jangan kita lupa membawa sama mereka yang ada di sisi kita dalam misi kita itu dan jangan lupa kepada mereka yang ada disekeliling untuk sama-sama mendapat kelebihan dakwah ini.

No comments:

Related Posts with Thumbnails