Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Wednesday, December 22, 2010

Dr Juanda Jawab Isu Pluralisme Agama

isma daud : komenter ini telah saya tulis seawal pagi tadi, dek kerana talian internet yang lembab, asyik loading saja, saya simpan dalam draf sahaja. Alhamdulillah malam ni laluan internet elok sahaja.

Saya nak sebut sikit saja. UMNO/BN sudah habis modal nak burukkan pembangkang termasuk serangan-serangan terhadap peribadi tanpa adab susila lagi. Nampak di sini UBN tersepit sangat dalam memenangi hati rakyat menjelang PRU ke 13 nanti. Sekali lagi isu-isu agama digembar-gemburkan sehingga menggunakan puak-puak bertitle "ulama umno" ini bagi membuktikan mereka adalah juara pembela agama pula biarpun ramai tahu sikap talam dua muka mereka terhadap agama. Mereka sudah muak dengan "Amanat Hadi" biarpun puak ini akan terus hidupkan isu ini bila2 masa menguntungkan mereka. Kini amanat itu tidak menjadi kudis dan gatal lagi kerana bila dimainkan akhirnya orang faham UMNO ini pejuang sekularisme sepanjang masa....

Juara Agama? Itu ubat baru untuk menarik jiwa orang melayu yang dasarnya beragama Islam. Jadi isu melayu dan Islam adalah talian hayat UMNO/BN untuk menarik sokongan dan memulih persepsi buruk ramai pihak yang mula meninggalkan ideologi UMNO itu yang melaungkan "Hidup Melayu!!!" selama ini. Bahkan ramai orang yakin bahawa "Di mana UMNO bertempat di situ Islam dan Melayu merempat".

Hakikatnya, UMNO/BN ada dua tangan. Satu tangan membina satu tangan meruntuh sehingga kini ramai pihak sedang sesak dada menghidu bau busuk penyakit masyarakat yang dilahirkan mereka tidak terbendung lagi. Biarpun hari ini memerangi rasuah menjadi agenda mereka namun keikhlasan itu belum meyakinkan banyak pihak.

Untuk meredakan kepenatan mereka dek kerana diburu dosa dan kesilapan semalam yang tidak mampu dilenyapkan kerana sentiasa menjadi mimpi ngeri biarpun di siang hari, isu Pluralisasi Agama (semua agama adalah sama) dibawa dengan mengaitkan pemimpin pembangkang seperti Nik Abdul Aziz, Anwar Ibrahim sebagai pendokong kepada pluralisme agama ini.

Setelah usaha mereka gagal dalam isu salah guna masjid, isu doa bukan Islam dalam khutbah termasuk  isu orang bukan Islam baca ayat al-Quran maka gendang dan wacana baru terpaksa mereka mainkan. Maka tibalah kini giliran plularisme agama dimainkan. Dengan harapan ramai pihak kembali kepada UMNO/BN dan membenci barisan pembangkang khususnya PAS.

Buat sementara ini, saya lebih berkeyakinan bahawa agenda itu sekali lagi akan menemui kegagalan. Nah! Dr Juanda (saya sifatkan beliau tidak berpihak) secara terbuka memberi pandangannya dalam isu ini. Saya harap kita diberi mata hati untuk menilai apa yang sebenarnya sedang dimainkan oleh "ulama umno" ini.


Berikut apa yang diceriterakan dalam beberapa blog yang sempat saya baca;

Bekas presiden ABIM, Dr Yusri Mohamad (kanan) mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah secara terbuka menyokong pluralisme dalam syarahannya di London School of Economic Mac lalu.

Felo Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady (kiri), juga senada dengan Dr Yusri apabila menggesa umat Islam menentang mereka yang mempromosikan persamaan agama.


Mufti Perlis tampil bela Nik Aziz

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya amat kecewa apabila tokoh agama yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, cuba dikaitkan dengan fahaman pluralisme semata-mata kerana beliau menghadiri majlis penganut agama Buddha.

"Ini suatu tuduhan yang amat jahat. Rekod Tuan Guru membuktikan beliau amat konsisten dalam isu Islam," katanya dalam satu kenyataan, sambli menegaskan beliau bukan ahli PAS dan mana-mana parti politik.

Dr Juanda mengulas laporan media online yang memetik kenyataan beberapa pembentang kertas kerja di satu seminar semalam berkaitan isu pluralisme, termasuk mengingatkan pemimpin Islam termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada menghadiri perayaan agama lain.

Dr Yusri dilaporkan mendakwa badan pemikir Anwar - Institut Kajian Dasar (IKD) yang diketuai oleh bekas setiausaha akhbarnya, Khalid Jaafar, juga telah menerbitkan buku-buku yang 'merbahaya' yang mempromosi persamaan agama.

Pensyarah Kuliah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga turut mengkritik Nik Aziz kerana beliau menghadiri majlis penganut agama Buddha di Kelantan.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, felo Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady (kiri), juga senada dengan Dr Yusri apabila menggesa umat Islam menentang mereka yang mempromosikan persamaan agama.

Mengulas lanjut, Dr Juanda berkata: "Ya, pluralisme adalah suatu ancaman kepada Islam, tetapi tuduhan melampau dan tergesa-gesa mengecop beberapa orang tokoh politik sebagai penganut fahaman pluralisme ini amat berbahaya kepada keharmonian hidup antara umat beragama di Malaysia.

"Budaya ala-Taliban ini amat tidak cocok dengan rakyat Malaysia yang sudah sekian lama hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati," tambahnya.

"Kita perlulah membezakan di antara sikap menghormati kebebasan pegangan agama orang lain yang diakui oleh Islam dengan hakikat maksud pluralisme," tegasnya.

Tidak sepatutnya, tambah beliau, mereka yang bergelar sarjana tidak memahami metodologi ilmu dalam menilai perbezaan di antara dua perkara ini.

"Dalam al-Quran, Surah al-Kafirun memberikan ruang memperakui hak penganut agama lain dalam mengamalkan kepercayaan mereka, manakala Surah al-Mumtahanah menyuruh orang Islam berbuat baik dengan penganut bukan Islam.

"Erti ruang toleransi dan saling menghormati hak sesama manusia untuk hidup secara harmoni itu diakui oleh Islam dan bukannya satu ciri penganut pluralisme," katanya.

Dr Juanda bertanya bukankah Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menerima rombongan penganut Kristian Najran di dalam masjid Nabawi?

"Bahkan baginda membenarkan mereka melakukan ibadat agama mereka di dalam masjid kedua paling suci itu.

"Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah bangun bagi menghormati jenazah seorang penganut Yahudi yang lalu di hadapannya?

"Bukankah Omar bin al-Khattab RA sewaktu membuka Palestin memberikan kebebasan dan penghormatan yang amat luar biasa kepada Patriach Kristian di sana dan mengunjungi Gereja Nativity?

"Apakah Nabi SAW dan Omar RA ini juga penganut pluralisme? Sudah tentu tidak! Dan dengan itu formula dan kaedah pihak yang gelojoh ini juga salah dan amat berniat jahat," katanya.

Dr Juanda berkata, beliau bimbang wujud kecenderungan beberapa pihak dari kalangan ahli akademik dan agamawan menggunakan isu akidah untuk tujuan mewujudkan permusuhan di kalangan ahli politik.

"(Mereka) juga menggunakan isu akidah untuk menyesatkan dan memurtadkan orang politik yang tidak sebulu dengan mereka," katanya.

Hal ini, tegas beliau lagi, akan menjurus kepada pegangan yang amat melampau dan boleh mencetuskan kekecohan antara agama di Malaysia.

"Akibat sikap seperti ini, banyak pihak akan disesatkan dan dipertikaikan akidah mereka," tegasnya.

Juga, kata Dr Juanda, formula mereka yang melampau ini akan menimbulkan salah tafsiran terhadap sikap harmoni kerajaan Persekutuan kepada penganut berbilang agama di Malaysia.

"Apakah polisi kerajaan ini juga akan mereka sesatkan, termasuk para pemimpin yang terbabit?" soalnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam, terutama ahli akademik, agar bersikap jujur dan adil dalam memperkatakan soal Islam dan terutamanya dalam soal hubungan dengan agama lain.

"Semua pihak perlu berhati-hati terutama dalam menyatakan pandangan yang boleh membawa kepada permusuhan beragama dan berpolitik," tambahnya.

Dr Juanda berkata rujuklah kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam mengeluarkan pandangan Islam.

"Bukannya dengan emosi dan kecenderungan berpolitik bagi menimbulkan permusuhan di kalangan umat Islam dan permusuhan di antara umat Islam dengan bukan Islam.

"Islam tidak memerlukan mereka yang berpemikiran pelampau, kolot dan amat konservatif bagi membela agama suci ini," tegasnya. - pemuda cheh.

1 comment:

Al - Mu'allim said...

Apabila org agama menggunakan agama sebagai alat mencari makan, keluarlah tuduhan-tuduhan liar untuk mengembungkan poket mereka.

Moga kita dijauhi sifat keji ini.

Related Posts with Thumbnails