Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Thursday, July 08, 2010

Zaman Telah Berubah, Minda DiTakat Lama

Oleh isma daud

Seronok saya tonton siaran berita arus perdana semalam bila diumumkan 112,635 peneroka akan dapat duit raya daripada Felda dengan janji PM sendiri. Belum puasa lagi satu bulan, sudah dapat berita duit raya. Syukurlah, nanti dapat berpuasa dengan bersemangat seperti zaman kita kanak-kanak dulu, ibubapa dah sebut-sebut sebulan sebelum puasa, siapa puasa cukup nanti dapat duit raya lebih. Seronoklah peneroka kita semua. Ini petanda Felda tidak "Bangkrap".

Janji ini datang awal kerana akhbar PKR mengeluarkan tajuk berita "Felda Bangkrap" yang menjadi berita sensasi sehingga saat ini. Jadi berita ini mendatangkan untung kepada peneroka kerana sudah tahu awal daripada biasa tahun ini masih dapat duit raya kerana "Felda Belum Bngkrap". Yang menanggung bebannya SK yang akan berhadapan saman 200 juta daripada Felda nanti.

Saya sisipkan gambar yang menunjukkan tajuk utama akhbar tersebut kerana mungkin ia menjadi bahan sejarah dan arkib kepada kebebasan media di negara kita. Mungkin Suara Keadilan ini tidak muncul lagi di persada tanah air selepas ini. Jika ia menjadi kenyataan, ia merupakan detik malang kepada kebebasan media untuk memberi sedikit rasa hangat kepada suasana politik negara supaya rakyat boleh berfikir dan mencari alternatif kepada akhbar harian kerajaan.

Seperti isu PAS (Parti Ajaran Sesat) yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, seingat saya sedari kecil isu ini dimainkan oleh UMNO (di Terengganu, diusia saya 10 tahun lagi) ,  tetapi tidak menjadi isu besar berbanding kebenaran yang PAS sampaikan. Isu ini tenggelam timbul. PAS terus menjadi wadah perjuangan yang diyakini sehingga hari ini. Sikap PAS yang tenang mendepani cabaran, terus menerangkan dasar dan prinsip melalui perjuangan yang mampu meyakinkan rakyat, isu seperti ajaran sesat, negara Islam dan terlibat dengan JI, tidak meyakinkan rakyat. Bahkan PAS makin diterima sehingga PAS mula bertapak di Sarawak ini dan kini mula mendapat tempat di hati rakyat. Buktinya dalam PRK Sibu, 16 Mei lalu, PAS dapat merubah persepsi masyarakat Sarawak yang bermusuh dengan PAS kepada berminat sekarang ini. Jadi semakin dijaja dan dijual bahawa PAS sebagai ajaran sesat, semakin orang tertarik untuk menyelami perjuangan parti ini.

Namun zaman berubah, orang menjadi cukup sensitif dan tidak boleh disentuh sembarangan. Kalau dulu sebagai contoh, guru dihormati dan ditakuti tapi sekarang guru menjadi sasaran untuk kena tindakkan dan kena saman oleh pelajar dan ibubapa mereka apabila sesuatu tindakan berlaku yang tidak memuaskan hati mana-mana pihak. Saman-menyaman menjadi jalan untuk mencari kata putus, buka menerang seperti dulu.

Maka begitulah hal saman menyaman dalam isu FELDA dan PAS sesat ini. Saman menjadi penyelesaian terbaikkah? Tapi saya suka dengan cara PAS yang mengajak penyelesaian secara debat supaya masing-masing dapat mengemukakan hujah bukan mahkamah yang menentukan hujah. Sepatutnya hujah menjadi asas bagi menentu kebenaran bukan mahkamah. Hujah mahkamah lain berbanding hujah ilmuan yang lebih bersifat universal dimana khalayak menjadi hakimnya. Berbanding hujah mahkamah, khalayak hanya menjadi saksi dan menerima keputusan yang arif sahaja. Apa yang mencurigakan hati khalayak sekarang  ialah mereka kurang percaya kepada keputusan mahkamah kerana hati khalayak sentiasa was-was kepada yang arif dalam membuat keputusannya, selagi ada tangan-tangan politik di belakangnya, itulah masalahnya.

Kembali kepada isu saman ini bagi saya, mentaliti itu menunjukkan bahawa politik orang Melayu masih belum berubah kerana masih berada ditakut lama. Kita berada di zon angkuh dan sombong, tidak boleh disentuh dan diusik. Kita merasa terlalu berkuasa dan boleh berbuat apa saja, atas nama maruah saman dikemuka. Itulah saya kata mentaliti masih ditakut lama. Mengapa orang politik kita tidak menggunakan seluruh keupayaan dan kebijaksanaan untuk menolak sesuatu tuduhan berhujah dengan hujah agar kita dapat memberi ruang dan peluang berperang di dataran yang sama. Dataran hujah!!!  Jika tuduhan melalui media perlu dijawab melalui media, itulah sepatutnya. Bukan mengharamkan media atau menutup saluran media itu. Bahasa media haruslah dikuasai, bahasa media adalah untuk menarik khalayak pembacanya.

Sungguh dengan perkembangan yang ada ini saya berpendapat, zaman telah berubah, mentaliti politik orang kita masih ditakat lama. Itulah yang saya rasa, wallahu a'lam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails