Merancang Kewangan Keluarga

Oleh isma daud


Sebagai seorang kaki tangan kerajaan, saya tiada pendapatan lebih. Kalau ada pun dari usaha isteri yang menggunakan skill dan kemahirannya di rumah. Dapat menampung beban perbelanjaan. Ramai yang cuba mengajak menyertai MLM tapi setakat ini belum meyakinkan. Apapun dengan pendapatan yang ada, cuba beragih agar pengurusan kewangan keluarga menjadi berkesan.


Merancang Perbelanjaan Daripada Pendapatan


Semoga tips-tips ini boleh didisiplinkan;

1. Peruntukkan 10 peratus daripada gaji  untuk 'saham-saham akhirat' misalnya bersedekah dan mengisi tabung demi memenangkan perjuangan Islam. Dari sinilah terhasilnya kecukupan, pertambahan dan keberkatan rezeki yang Allah berikan. Zakat pendapatan mesti diuruskan dan banyak cara untuk menguruskan zakat sekarang ini. Hubungi pihak yang menguruskan perihal zakat supaya kita tidak alpa dalam hal ini. Membantu ahli keluarga juga amat beerti. Amalan khairat sepatutnya menjadi agenda penting dalam kehidupan. Jika tidak berkemampuan sekurang-kurangnya mesti ada sedikit peruntukan bagi berbelanja pada jalan Allah SWT. Firman Allah SWT; "Barangsiapa yang dapat membuang sifat bakhil dalam dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang berbahagia"-Surah Al-Hasyr, ayat 9.


Contoh peruntukan khairat yang boleh diutamakan; sedikit bantuan kepada keluarga seperti ibu dan adik beradik yang berada di bawah tanggungan namun jika mereka tinggal bersama bolehlah peruntukkan kepada mereka diletakkan sebagai perbelanjaan harian keluarga. Maka peratus pada bahagian ini boleh dikecilkan sedikit kepada 5 peratus contohnya. Di antara contoh khairat yang lain seperti derma kematian dan bantuan kepada sahabat handai yang ditimpa sakit atau sebarang musibah, derma masjid-surau, badan dan persatuan dan tabung jihad fi sabilillah. Maka kita secara sedar merancang kewangan seumpama ini agar kita tidak terlepas dari agenda perdana yang dianjurkan oleh Islam. Satu sumbangan khairat, kelebihannya dilipat-gandakan sehingga 700 kali ganda atau lebih daripada itu. Jangan takut jadi miskin jika kita berbelanja dalam bidang ini.

2. Pastikan 10 peratus sebagai tabungan untuk persiapan masa depan. Takaful Dan Tabung Haji. Setakat ini saya telah merealisasikan takaful bagi isteri, anak-anak dan diri sendiri. Sediakan payung sebelum hujan. Sedikit simpanan untuk waktu-waktu kecemasan. Secara sedar saya telah membuka takaful sihat, takafil siswa dan takaful keluarga demi masa depan ahli keluarga jika berlaku perkara-perkara yang tidak diingin kepada saya yang hanya saya seorang saja bergaji tetap sementara isteri hanya seorang suri rumah sepenuh masa. Walaupun isteri ada melakukan kerja seperti menjahit pakaian dan jualan makanan, masa depan mereka lebih terjamin dengan tabungan terancang seperti ini. sebahagian lagi bolehlah diletakkan di tabung haji agar mereka boleh mengambil segera wang jika keadaan terdesak nanti. Lagipun kaedah potongan gaji boleh dimanfaatkan sebaik mungkin. Cuma kita kena ingat, ini adalah tabungan terancang untuk masa-masa kecemasan.

3. Bayar hutang-hutang tetap seperti ansuran rumah, kereta, kad kredit, pinjaman pendidikan, bil telefon, air, elektrik dan bil broadband. Peruntukan sebanyak 35 peratus mungkin mencukupi. Guna banyak bayar banyaklah. Ada perkara menjadi asas, ada perkara adalah kemudahan sahaja. Lihatlah kemampuan diri. Yang tidak perlu bolehlah ditiadakan. Ukur baju dibadan sendiri.


Setakat ini baru satu pinjaman pendidikan dengan Yayasan Terengganu bagi pengajian luar negara dulu telah terlunas sepenuhnya. Sebuah rumah sebagai aset sudah dimiliki walaupun pada masa yang sama masih menyewa kerana bertugas diluar kawasan. Alhamdulillah. Memang pembiayaan rumah sangat besar tapi ia adalah aset yang menguntungkan. Berbanding membeli kereta yang susut nilai, membeli tanah dan rumah patut menjadi keutamaan. Harga rumah dan tanah sentiasa melambung naik, ada duit jangan takut melabur dengannya.


Bagi saya yang berkhidmat di Sarawak sedangkan keperluan menggunakan pengangkutan udara adalah perlu, membeli teket secara online lebih menjimatkan, maka penggunaan kad kredit adalah perlu. Ia hanya satu kemudahan. Elakkan penggunaan kad kredit dalam perkara-perkara lain.

4. Sebanyak 10 peratus lagi untuk kos petrol dan penyelenggaraan. Kos penyelenggaraan kereta... sekali servis mahu makan RM200 - RM500 juga tu.  Ada kos yang perlu kita tanggung setiap bulan dan ada kos yang perlu penyelenggaraannya secara berjadual. Jadi setiap bulan mesti ada simpanan agar jika ada kerosakan, nak bayar insuran dan perbaharui cukai jalan sudah ada dalam perancangannya.

5. 35 peratus lagi untuk memenuhi keperluan harian seperti makan dan keperluan keluarga yang lain. Hal makan minum ni isteri yang banyak mengurus. Ada makanan setiap hari sudah cukup dan memadai. Oleh kerana isteri suka memasak, memang jarang sekali makan di luar. Kekadang dengan bijak mengurus perbelanjaan dapur dapat menampung keperluan yang lain. Orang kata; "Isteri itu mendatangkan Harta". Jadi bagi yang bujang cepatlah berkahwin. Insya Allah, akan ada kecukupan.

Tidak dapat saya nafikan, kemahiran isteri dalam bidang menjahit pakaian, maka kos upah sangat menjimatkan. Ini kerana upah menjahit itu lebih besar daripada harga kain itu sendiri. Apatah lagi setelah isteri mengikuti kelas jahitan dan mendapat sijil, keyakinannya dalam bidang jahitan kini mendatangkan hasil. Kian ramai rakan-rakan yang menjadi pelanggan tetap dan menjelang bulan ramadhan dan raya nanti, rezeki bertambah hasil daripada tempahan pakaian raya nanti.


Berjimat Cermat



Namun sikap berjimat cermat sangat penting menghadapi saat kenaikan pelbagai harga barang sekarang ini. Bukan banyak yang patut dilihat tetapi bagaimana kita berfikir untuk menambah dan mengurus kewangan yang kita ada.


Kepada anak-anak sentiasa mereka didik agar selalu berjimat cermat dan menghargai apa yang mereka ada. Kesedaran mereka menabung patut diperkukuhkan seperti membuka akaun NURI yang diperkenalkan oleh Bank Rakyat dan kelab TAHA oleh Tabung Haji. Nampaknya anak-anak saya mendapat manfaat daripada skim yang diperkenalkan ini. Duit baki sekolah, duit pemberian seperti duit raya dan sumbangan pihak lain boleh dimasukkan di sini. Dengan ini anak-anak ada kesedaran awal tentang kebaikan menabung. Di samping itu mereka boleh terlibat dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh kelab ini. Kalaupun tidak mendapat hadiah istimewa dalam penglibatan mereka, dapat hadiah sagu hati  seperti pakaian, alat-alat tulis pun cukup membahagiakan hati mereka. Bermanfaat sekali !!!

Apapun, sikap dan kesedaran sangat penting. Hanya itu mampu mendisiplinkan diri kita dengan apa yang kita rancangkan. Wallahu Musta'aan!!!

Comments

Assalamualaikum. Ustaz. Saya amat tertarik dgn cara pengurusan kewangan yg telah di share oleh ustaz. Untuk makluman ustaz, sy seorang pelajar uitm dan sedang mengkaji bagaimana menguruskan kewangan dengan baik. Sehubungan itu, saya meminta keizinan daripada ustaz untuk menjadikan ustaz sebagai role model yg bijak menguruskan kewangan dan saya ingin menjadikannya tajuk assignment saya. Besar harapan saya agar ustaz dapat memberi kebenaran. Hasil assignment sy , akn saya emailkan kpd ustaz sebagai rujukan ustaz. Diharap ustaz dpt memberi maklum balas. Terima kasih.
isma daud said…
Silakan, Terima Kasih.

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?