Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Friday, July 16, 2010

Media Kena Jaga Kerajaan Bukan Rakyat

oleh isma daud;

Menyedari bahawa masih ramai rakyat Malaysia tidak peka dalam isu pengguna dan menurut satu kajian bahawa kesedaran pengguna berada di bawah 50% paras sedar,  dengan mengarah media supaya tidak membesar-besarkan perkataan "barang naik", kerajaan BN sungguh cuba mengawal media menjalankan peranannya secara bebas. Dengan keadaan Media pro pembangkang menghadapi masalah permit mengeluarkan berita, tugas ini menjadi semakin mudah. Betul pada awal pagi tadi beberapa orang yang saya temui tidak sedar ada kenaikan harga barang 5 dalam 1 ini tengah malam tadi... Sekurang-kurangnya BN dapat meyakini bahawa rakyat tidak marah dan mudah dijinakkan.

The Borneo Post pernah menulis;
"Tahap kesedaran hak pengguna di kalangan rakyat Malaysia dan Sarawak amnya masih pada tahap yang rendah, kata Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNK) Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman. Beliau memberitahu, kajian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tahun 2009 merekodkan hanya 42 peratus rakyat Malaysia dan 41 peratus rakyat Sarawak yang tahu mengenai hak pengguna.Menurutnya, kajian di Sarawak mendapati masyarakat luar bandar merekodkan tahap kesedaran hak pengguna paling rendah."

Jadi dengan tidak menghebah secara "hebat" , cuma suam-suam kuku sahaja, kemarahan rakyat dapat dibendungi. Media benar-benar memainkan peranan ini dan ia amat berpengaruh sekali.

Ini mesej yang saya terima, baik ada insan yang peka;

"harga naik lagi. harga petrol naik(5 sen).harga diesel naik(5 sen).harga gula naik(25 sen).harga gas LPG naik(10 se kg)..bermula tgh malam tadi... Petrol RON 95 - RM1.85 seliter. Petrol RON 97 - RM2.10 seliter. Diesel - RM1.75 seliter. Gula - RM1.70 sekilogram Gas LPG - RM1.85 sekilogram..."

Jelas saya dengar dalam siaran berita radio petang tadi, siaran berita menyifatkan langkah menaikkan harga barang ini tidak menjejaskan rakyat bahkan membantu rakyat dalam pendidikan dan kesihatan mereka menjadi lebih baik. Semua nampak positif bahkan harga gula masih terendah berbanding negara jiran. Kepada pengguna pula, ini satu pendidikan masa panjang bagi menghadapi situasi apabila subsidi kerajaan dihapuskan sedikit demi sedikit.

Apa pun bagi pengguna yang tidak berpendapatan tetap dan rendah, kenaikan ini benar-benar terasa kepada mereka. Petang tadi saya terdengar ada yang berkata "Karipap dan kuih-kuih nanti 2 biji seringgitlah masuk bulan Ramadhan nanti, hari ini pun sifir matematik membeli karipap pun sudah tidak betul, sebiji 30sen, 3 biji satu ringgit." Keyakinan rakyat adalah berlakunya kenaikan harga barang sangat besar walaupun kerajaan memberi jaminan harga barang tiada berlaku kenaikan. Tengoklah nanti... naik punya.

Harapan saya agar rakyat sentiasa sedar akan hak mereka dan menjadi pengguna yang peka dengan sebarang perubahan di sekeliling mereka. Dalam keadaan gaji dan pendapatan rakyat tidak bertambah, nilai wang mereka menjadi semakin susut. Fikir-fikirkanlah. Bersediakah rakyat menghadapi situasi ini?

Namun sikap menjadikan media tidak berperanan memberi maklumat yang lebih meyakinkan rakyat, rakyat teramai akan yakin bahawa media tidak lagi menjadi lidah pembela rakyat tetapi menentang mereka. Sebaliknya rakyat yakin bahawa media yang ada cuma menjaga pemerintah yang ada semata.

Media benar-benar terjajah jika menjadi pak turut kerajaan semata. Lapor apa yang disuruh dan diarah, buat itu dan tulis ini.... bacalah apa yang dipaparkan di Malaysiakini petang tadi.... boleh kita fikir bersama apa nak jadi dengan kebebasan media di negara kita ini.



Sumber : Malaysiakini


Editor diarah elakkan perkataan 'barang naik'

Jul 16, 10 4:50pm


Dalam usaha mengelakkan kecaman rakyat terhadap pengumuman kenaikan 5-dalam-1 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, semua media yang dikawal kerajaan diingatkan supaya tidak menggunakan perkatan 'barang naik' dalam laporan mereka.

Ketika taklimat di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, petang semalam, pengarang berkali-kali diingatkan agar perkataan "barang naik" itu perlu dielakkan.

Sebaliknya, mereka diberitahu supaya menggunakan “pelarasan harga” atau “rasionalisasi subsidi”.

Taklimat berkenaan dikendalikan oleh penasihat media perdana menteri dan editor berkenaan memberitahu Malaysiakini ia dijalankan dalam suasana yang mesra.

"Mereka secara hormat memohon kita supaya bekerjasama tetapi permintaan seperti itu sukar jika tidak dilayan,” kata seorang daripada editor itu.

Media juga digalakkan oleh penasihat berkenaan supaya menjelaskan “rasional pengurangan subsidi" dalam laporan berita mereka dan juga menekankan bahawa harga gula dan bahanapi di Malaysia masih yang terendah di rantau ini.


Jangan buat tinjauan rambang

Mereka juga diingatkan supaya tidak membuat tinjauan rambang di kalangan rakyat berhubung kenaikkan harga itu dan beberapa media 'diminta' mendapatkan pandangan daripada NGO dan persatuan pengguna yang mesra dengan kerajaan.

Yang menarik, penasihat media perdana menteri juga mengarahkan akhbar supaya tidak menganggap pengurangan subsidi itu sebagai “penjimatan kerajaan” dalam laporan mereka.

"Menurut pegawai berkenaan, perkataan seumpama itu akan menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat - ke mana penjimatan dibelanjakan. Tumpuan adalah memberikan penekanan kepada pengurangan perbelanjaan dan bukannya penjimatan,” kata sumber itu.

Pada 2005, pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendakwa pengurangan subsidi untuk air, tenaga dan bahanapi membantu kerajaan berjimat RM4.6 bilion.

Abdullah berjanji “penjimatan” akan dibelanjakan bagi memperbaiki pengangkutan awam tetapi pengkritik mendakwa tiada bukti wang berkenaan dibelanjakan untuk tujuan tersebut.

Puji 'keberanian' Najib

Seorang penasihat media itu juga mencadangkan supaya akhbar juga memuji 'keberanian' Najib dalam mengurangkan subsidi.

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, kenaikkan harga barangan kali ini dirancang dengan teliti agar rakyat tidak berang apabila harga bahanapi, gula dan gas dinaikkan serentak.

Alasan yang diberikan juga dirancang dengan teliti - menurut Najib tindakan itu perlu bagi menangani defisit kerajaan, membanteras penyeludupan dan menggalakan rakyat hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan gula.

Katanya, wang berkenaan akan dibelanjakan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang lebih baik.

Walaupun pengarang diberi taklimat pada jam 4 petang, mereka diarahkan supaya mematuhi embargo, termasuk edisi online - sehingga kerajaan mengeluarkan kenyataan rasmi pada jam 8 malam.

Tinjauan mendapati akhbar-akhbar dan juga stesyen televisyen semuanya mematuhi arahan kerajaan itu.

Media patuhi arahan

Semua stesen televisyen umpamanya tidak memaparkan berita itu sebagai berita pertama mereka.

Akhbar-akhbar arus perdana juga patuh pada garis panduan berkenaan dan tidak memperbesarkan isu berkenaan.

Berita Harian memilih “harga baru” manakala Utusan Malaysia pula dengan tajuknya “subsidi diselaras”

Sinar Harian yang baru-baru ini dirasmikan oleh Najib pula memilih menyiarkan laporan itu hanya di muka surat 4 akhbar itu.

Akhbar Cina yang lazimnya dilihat lebih berkecuali juga patuh dengan arahan itu.

Hanya satu sahaja yang menggunakan perkataan “harga naik' di muka depan manakala lima akhbar Cina yang berpangkalan di Semenanjung melaporkan kenaikkan itu sebagai “harga baru”.

Harian NST juga tidak menyiarkan berita itu di halaman utamanya tetapi memilih tajuk kecil “antara yang terendah di rantau ini”.

Harian milik MCA, The Star memaparkan tajuk “Gov't bold move will have minimal impact on people, says PM”.

Harian Tamil Makkal Osai dan Tamil Nesan (yang dimiliki MIC) langsung tidak menyiarkan berita kenaikkan harga itu.

No comments:

Related Posts with Thumbnails