Apa Yang Saya Rasa , Dari Kotak Minda Ke Papan Blog

Oleh isma daud

Hari ni, sepagi-pagi saya memurnikan blog saya yang dhaif ini. Sungguh blog ini sangat saya sayangi. Di sini saya mencurahkan apa yang saya rasa dan saya fikirkan. Biarpun saya mula berjinak dengan facebook, tetapi ia sama sekali tidak dapat menggantikan blog ini, tidak juga ia sesekali memuaskan hati saya kerana di sini menjadikan saya lebih puas mencurah apa yang saya rasa, dapat membina paparan blog sendiri dan mempunyai nilai yang tersendiri. Tidak kisahlah ia menjadi perhatian orang atau tidak. Yang penting hati saya puas berbicara di sini.

Di blog ini saya pernah dikeji, diletakkan "dikandang" orang yang bersalah. Di sini saya pernah mendapat teman dan sahabat. Di sini pernah saya membantu insan-insan yang memerlukan bantuan dan khidmat nasihat. Namun saya hari ini tidak berminat menjadi "kaunselor tidak bertauliah" lagi. Banyak sungguh kisah suka dan duka yang saya tempuhi biarpun hanya berkreatif di blog. Sungguh kisah duka amat mengesan di jiwa. Kisah suka berlalu bagai angin, pergi begitu sahaja.

Blog ini telah menginsafkan saya, bila mereka yang ingin mencari salah dan silap saya, menjadikan blog ini sebagai ancaman dan hentaman... "Ustaz, Blog!!! Blog!!!", kata seseorang yang menyatakan bahawa ada pihak yang "copy & paste" dan membincangkan betapa saya dilihat "jahat" menulis hal yang macam-macam, yang tidak benar kata mereka. Saya menulis dengan apa yang saya fikirkan dan saya alami. Saya tidak menulis dengan apa yang sesuatu pihak mahukan. Ini rumah saya, saya berkarya di laman saya sendiri, namun saya masih izinkan sesiapa saya yang bertandang memberi pendapat dan pandangan tanpa sekatan.

Di blog ini saya di hina, dipandang rendah oleh seseorang, siapa yang mahu bacakan ustaz, ustaz siapa? Mungkin baginya seseorang blogger tu kena ada nilai tambah dari segi pencapaian akedemik seperti ada PhD ke, baru orang nak pandang. Orang akedemiklah katakan ??? Tapi dia lupa seorang wartawan tidak semestinya memiliki PhD sebelum dia boleh jadi wartawan. Saya bukan wartawan kerana saya bukan pemburu cerita dan peristiwa dan tiada ilmu kewartawanan. Saya cuma seorang yang minat menulis seperti seorang penulis di dalam diarinya sendiri. Jadi saya tiada ilmu yang tinggi seperti yang orang itu gambarkan. Biarkanlah dia.... Buta blog dan fungsinya, begitulah agaknya. Apa pun, setiap orang ada pandangan dan tanggapan masing-masing. Kata-katanya itu di awal saya menunjukkan kerja saya di blog ini. Ketika itu saya baru belajar menulis di blog. Di atas kata-kata itulah saya terus memberi pandangan saya, biar tidak betul pada pandangan orang, tapi ianya betul dari sudut pemikiran, persepsi dan tanggaapan saya. Membahagiakan hati saya, memadailah.

Melalui blog ini kekadang boleh menimbulkan salah sangka dan salah faham  orang terhadap saya. Saya bukan mencari musuh dengan sesiapa. Dan saya tidak pula berniat untuk bermusuh dengan sesiapa. Jika melalui kata-kata dan bicara hati saya yang terletak di hujung saya ini, menyentuh sensitivi sesiapa, ia adalah satu cara daripada pelbagai cara saya menegur dan memberi nasihat . Sungguh, bukan maksud  saya untuk mencari balah dan buat hal. Renunglah dengan mata hati bukan dengan hati batu, hati yang mati.

Kepada yang bermasalah, yang pernah mendapat khidmat nasihat saya, saya bersyukur kerana melalui blog ini saya dapat membantu sesama manusia. Tapi bukan bermakna pula saya perlu masuk ke dalam dunia dan masalah anda. Saya hanya bersimpati bukan berimpati. Kemampuan yang ada kepada saya hanya menolong sekadar yang tertolong, bukan bermakna saya terlalu arif dan tahu. Syukurlah, dari sini saya menemui ramai orang, ada yang terus menjadi sahabat saya dan tidak kurang pula menimbulkan pelbagai masalah berbangkit kemudiannya. Saya bukan motivator dan kaunselor bertauliah, saya hanya seorang ustaz yang minat berblog. Jadi saya membantu insan lain dari sudut kefahaman saya ibarat seorang yang perlukan bantuan sebelum menemui pakarnya, saya hanya memberi khidmat nasihat... percuma, ikhlas kerana Allah. Langkah-langkah seterusnya, pergilah berjumpa mereka yang betul dan berautoriti.

Dalam menjalankan tugas ini, tidak kurang menimbulkan konflik di antara saya dengan insan lain. Tidak saya nafikan bahawa saya ada kelemahan tersendiri, saya terheret dengan masalah orang lain. Ada yang mencerita masalah peribadi mereka, melalui alamat emel yang terpapar di blog ini. Ada masalah yang sulit dan rumit. Ada satu ketika saya dimarahi oleh seseorang kerana saya menyiarkan satu dua masalah yang diberikan kepada saya. Sungguh saya tidak berniat buruk, tetapi cara saya itu akhirnya saya berpendapat, saya salah, saya telah minta maaf dan menarik balik artikel itu dari blog ini. Tidak kurang juga saya meminta izin untuk menyiarkan artikel dan permasalahan mereka untuk di siarkan di laman blog ini, saya mendapat keizinan mereka. Tapi kini saya tidak lagi menyiarkan soalan-soalan orang dan kisah seribu masalah orang. Mungkin saya kurang sedar pada awal berblog dulu. Kini saya sedar cara saya salah. Ini mematangkan saya. Saya telah belajar apa yang wajar dan tidak wajar.

Namun pengalaman yang paling getir bila saya membantu seorang gadis muda, saya hampir berhadapan dengan masalah rumah tangga kerana saya tidak berterus terang dengan orang rumah saya. Saya benar-benar mengguris perasaannya. Tapi saya cepat insaf atas kesilapan saya. Sepatutnya tidak seburuk itu yang berlaku kerana tiada apa yang sulit, saya silap kerana tidak berterus terang sedari awal. Masakan ada "sesuatu" kerana tidak pernah kenal, hanya di atas permasalahan dan emel. Kerana perasan ingin kenal, saya memohon untuk kenal dan gadis itu mengizinkannya. Dari sinilah timbul masalah. Gambar ini jatuh ke tangan isteri saya. Berlakulah satu konflik yang hampir merobek rumah tangga saya. Namun itu satu pelajaran bermakna agar saya lebih berhati-hati di hari muka. Saya hanya membantu di blog bukan perlu kenal atau perlu jumpa. Saya amat bertuah kerana saya cepat belajar dan cepat sedar. Saya tidak boleh salah lagi.

Inilah asam garam berblog sejak akhir tahun 2007 dulu. Sungguh saya sayang blog saya ini. Di sini saya mencurah apa yang saya fikir dan saya rasa, Blog ini menjadikan saya lebih hampir kepada sesiapa saja di luar sana.

Terima kasih kepada semua yang memahami dan mendokong minat dan kecenderungan saya. Hanya Allah SWT sahaja yang berhak membalasnya. Kepada yang terkesan dengan blog saya, jika baik saya bersyukur dan jika sebaliknya saya memaohon ampun dan maaf. Jadi , maafkanlah saya... Sekadar berkongsi apa yang saya rasa, wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?