Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Wednesday, May 26, 2010

Pengumuman Henti Kuliah Sementara Dan Sedikit Catatanku Sementara Kaki Terpacak Di Sibu

Oleh isma daud


Kesempatan cuti sekolah selama 3 minggu, mengizinkan saya dan ahli keluarga kembali berziarah ke kampung halaman sendiri di Terengganu Darul Iman menjenguk ibu dan keluarga mertua.

Pengumuman

Kepada ahli qaryah dan ahli jamaah masjid/surau sekitar Sibu;


Dalam tempoh ini semua kuliah saya di masjid Darul Halim, Sibu dan Surau Darul Firdaus, Jalan Apollo, Sibu bermula dari 28 Mei 2010 sehingga 19 Jun 2010 dihentikan.


Sementara itu kuliah Tafsir di Tadika Didik Ria akan bermula 20 Jun 2010 sehari selepas saya kembali ke Sibu, insya Allah.


Harap Maklum.


Harapan

Mudah-mudahan 3 minggu ini memberi peluang kepada saya untuk membina keyakinan diri untuk kembali menabur khidmat bakti kepada masyarakat Sibu. Biarpun saya sedar tidak semua orang suka dengan kehadiran saya, namun kebaikan hati mereka yang cintakan ilmu dan perjuangan Islam, masih memberi semangat yang tersisa untuk terus berada di sini.

Semoga Allah SWT tidak mensia-siakan perjuangan saya dan ahli keluarga yang banyak berkorban demi melihat masyarakat Sibu beragama. Biarpun langkah itu agak jauh, namun langkah beribu batu itu bermula dengan langkah yang pertama.

Jika dahulu di masjid Darul Halim hanya beberapa orang saja datang berjamaah dan menghadiri kuliah, bahkan hari ini sudah merubah keadaannya. Alhamdulillah!!!

Harapan untuk Islam sentiasa ada dengan syarat kita yakin dan percaya bahawa cahaya Islam sentiasa bersinar dan Allah SWT akan menyempurnakan cahayanya. Tiada jalan mudah untuk menuju ke kesempurnaan.

Catatan

Sepanjang saya berada di Sibu, saya hanya membawa cita-cita Islam, kebenaran dan keindahannya. Walaupun bukan mudah masyarakat untuk menerimanya, ia tidak memadam cita-cita dan melemahkan semangat saya untuk terus menongkah arus ke arah itu. Biarpun telah di"gam", dituduh dengan pelbagai tohmahan, saya sedar dan tahu apa yang saya lakukan. Walau ada orang bertanya kepada saya, "Ustaz lakukan ini dengan sedar atau tidak sedar?" bertujuan melemahkan saya, ianya tidak sesekali kalian lihat saya berhenti setakat ini.

Biarpun ada pihak yang menakut-nakutkan saya dengan serangan psikologi, ugutan halus dan sekatan sehingga anak yang belajar mengaji di rumah saya, dihentikan, kawan-kawan yang dulu hampir kini menjauhkan diri... banyak kuliah dan jadual khutbah di tarik balik semua itu sudah menjadi sejarah kepada saya.

Begitu juga ketikamana beberapa pemimpin kecil dan jentera PAS bertandang ke Sibu baru-baru ini, dalam pertemuan yang santai, sekadar di tepi-tepi jalanan , bertanya kepada saya; "Apa sebab yang tidak berani lebih ke depan?" Saya cuma menjawab; "Saya  dan rakan-rakan asatizah di sini, mahu bekerja untuk masa yang lebih lama, biarlah orang yang datang untuk bekerja beberapa hari itu bekerja sesuai dengan tugas dan peranan mereka. Setiap orang ada peranan masing-masing. Yang pentingnya niat kita sama, mahu orang faham apa itu Islam. apa itu jamaah Islam dan gerakan Islam".

Waqi'e

Kedudukan Sibu dengan orang Islam sebagai golongan minoriti, kebijaksanaan dalam dakwah sangat penting. Yang penting diakhirnya, pemikiran jahiliyyah dan sekular yang ditanam oleh penjajah dan saki baki penjajah dapat kita lumpuhkan dengan ilmu pengetahuan dan keyakinan. Bagi saya tindakan mereka yang terbina dengan keyakinan lebih penting daripada semangat kepartian buat ketika ini sesuai dengan kedudukan umat Islam Sibu itu sendiri. Lambat lebih baik daripada tidak ada langsung. Tidak nampak bukan bermakna tidak ada. Ia ada tapi bagaimana? Sukar mereka yang menjadi musuh untuk meneka. Siapa dan Dimana? Yang saya yakin memang pihak ini tidak leka dan mereka mencari dan terus mencari.......

Saya bukan pejuang Parti, saya seorang pendakwah kecil yang biasa-biasa tiada agenda besar melainkan mahu menyebar ilmu dan pengatahuan agama kepada masyarakat sahaja. Seterusnya biarlah mereka menggunakan kebijaksanaan sendiri bagi menetukan mana salah dan mana benarnya.....

Ketika saya bertemu dengan beberapa pimpinan dan petugas-petugas PAS sewaktu mereka melaksanakan tugasan meraih undi di perkampungan melayu di Sibu, saya sempat bertanya , apa halangan mereka ketika mereka menjalankan tugas? Jelasnya mereka tidak menghadapi banyak masalah, bahkan ahli masyarakat Islam boleh menerima mereka dengan baik walaupun mereka jika hadir ke tempat ceramah atau melalui markaz sementara PAS dan mana-mana perjumpaan yang di anjurkan oleh PKR  dan DAP mereka segan-segan sedikit. Saya dengar malam terakhir kempen, orang ramai dengan berani keluar mendengar ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Maknanya orang yakin kepadanya....

Yang penting dalam jiwa mereka ada perasaan cinta dan mesra dengan Islam dan perjuangan Islam. Mereka ada keyakinan untuk berubah dan akhirnya kita lihat orang Melayu  Islam berani mengundi gagasan pakatan rakyat di Sibu. Tidak bertapak bukan bermakna tidak ada. Itulah realitinya.

Bukan Penghargaan

Sudah lama pencinta-pencinta ilmu dan perjuangan Islam, menjalankan tugas mereka secara fardiyyah di sini... Mereka tidak mengharapkan apa-apa sekadar melaksanakan apa yang patut mereka lakukan. Bukan seorang, tapi ramai namun semuanya secara senyap-senyap sahaja.... banyak persoalan dan kekeliruan masyarakat dihuraikan...semuanya dalam senyap. Dan apabila kekaburan kian hilang, kefahaman dan kesedaran dalam diri terbina, tinggal lagi apakah seseorang berani berubah ataupun tidak. Terserahlah kepada membuat keputusan dengan sedar dan insaf. Jadi kesedaran ini lebih berharga daripada apa yang nyata.

Untuk lebih orang percaya kita ambil contoh Encik Narawi Harun, hanya dengan berjumpa ,  mengucap salam dan berjabat tangan dengan berkata "undilah saya" , orang mampu memberi undi kepadanya, 230 undi.  Orang Iban pun ada cakap, "Saya juga ada keyakinan diri kini, kalau saya berminat menjadi calon, mungkin saya lebih banyak undi daripada En Norawi lagi...". Nampaknya ramai orang beriktibar dengan PRK Sibu ni....

Seorang melayu Islam berkata kepada saya, "Bezanya orang yang ada jiwa Islam dengan pejuang sekular, ialah lidah dan keyakinannya, itulah yang mengetuk hati...mereka datang ke rumah saya, mereka berkata; "Terima Kasih!!!, berbanding mereka yang berkata; "Tolong!!! Tolong!!!".

Inilah yang disifatkan oleh PM mengulas kekalahan BN dalam PRK Sibu, jentera pembangkang lebih kreatif berbanding jenteranya sendiri. Bandingkan di antara kreativiti orang yang berterima kasih dengan orang yang datang menabur wang ringgit dan kemudiannya menagih simpati meminta tolong??? Macam kempen akhir PM "I help You, You Help Me".

Kepada mereka yang terlalu yakin dengan taburan harta yang melimpah-ruah, anda sebenarnya silap kerana peratusan orang yang mudah ditipu dan dijual beli kian berkurangan. Jadi binalah kefahaman bukan beli orang. Dalam hal ini sendirilah kena ingat.

Pesanan

Kepada pemimpin Sibu signal rakyat mesti kena cepat tangkap. Jangan menekan dan menindas kerja-kerja meng"ilmu"kan masyarakat dengan Islam, nanti semakin ditekan dan ditindas, ianya akan naik, semakin naik. Saya dengar hari ini sudah ada orang yang mula bertanya tentang apa itu perjuangan Islam..... marilah kita sama-sama mengkaji dan mengenalinya.....

Kekadang orang memusuhi sesuatu kerana kejahilan dan kedegilannya, tetapi jika orang sudah tahu dia akan menyukai dan menggilainya....Fikir-fikirkanlah baik kepada pencinta Islam dan musuh-musuhnya.....Semoga Sirna Islam terus marak di bumi Sibu.....Amiin Ya Rabbal 'Alamiin.

No comments:

Related Posts with Thumbnails