Pekerja Bahagia, Bekerja Kerana Allah SWT

Oleh isma daud


1 Mei diumumkan sebagai Hari Pekerja. Hari Pekerja bercuti???

Menurut Wikipedia,
Hari Pekerja atau Hari Buruh adalah satu nama untuk pelbagai cuti tahunan yang diraikan pada 1 Mei. Akan tetapi sebenarnya hari ini disebut juga sebagai Hari Pekerja Antarabangsa, yang mana ia merupakan peringatan tentang kejayaan ekonomi dan sosial bagi pergerakan pekerja. Tarikh 1 Mei digunakan kerana pada tahun 1884,Persekutuan Persatuan Pekerja dan Buruh, yang diinspirasikan oleh kejayaan Parti Labour 1872 di Kanada, meminta lapan-jam waktu berkerja di Amerika Syarikat, dikuatkuasakan pada 1 Mei, 1886. Ini mengakibatkan mogok umum dan Mogok Haymarket tahun 1886, tetapi beransur-ansur juga di pejabat selama lapan-jam waktu bekerja.

Namun bagi saya, hari pekerja ini seharusnya dijadikan hari kita membuat refleksi diri dan bermuhasabah bahawa sejauhmana kita memahami dan menghayati konsep bekerja itu menjadi sebab kita memperolehi kebahagiaan sebenar baik kebahagian hidup di dunia maupun kebahagian hidup di akhirat.

Benarkah kerja itu membahagiakan? Berapa ramai orang stress dan terganggu emosinya dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan? Jika kita stress bekerja, kita kena tanya balik sejauhmana kita faham konsep bekerja itu?

 (gambar sekadar hiasan sahaja)

Jadi apakah matlamat kita bekerja? Mencari kehidupan duniawi, kedudukan, kekayaan dan kemuncakkanya kebahagiaan? Betapa peri pentingnya bekerja ini Allah SWT mengisyaratkan dalam firmanNya : "Dialah zat yang menjadikan bumi ini mudah buat kamu. Oleh karena itu berjalanlah dipermukaannya dan makanlah dari rezekiNya". -( Surah al-Mulk: 15)

Ayat ini menjelaskan betapa bekerja itu sesuatu yang syarie, setiap seorang disuruh rajin berusaha ,  rajin berjalan atas muka bumi ini mencari kurniaanNya yang banyak. Allah SWT telah menjamin bahawa bagi setiap seseorang itu ada rezeki yang dipermudahkan kepadanya. Syaratnya dia mesti rajin bekerja dan berusaha.

Dengan motivasi yang Allah SWT lontarkan ini, Allah SWT menjadikan sifat bermalas-malasan mencari kurniaannya adalah haram. Meminta-minta itu adalah haram. Bahkan memberi sedekah kepada orang yang mampu bekerja tetapi malas bekerja adalah haram. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sedekah tidak halal buat orang kaya dan orang yang masih mempunyai kekuatan dengan sempurna." (Riwayat Tarmizi)

Bekerja di dalam Islam adalah ibadah, bukan semata-mata bekerja untuk mencari sesuap makanan, seteguk minuman, tempat tinggal dan lainnya. Bekerja adalah wajib bagi menyempurnakan "maqasid syariyyah" bagi menjaga kelangsungan hidup dan keselamatan agama, ruh, akal, keturunan dan harta. Oleh sebab itu Islam menetapkan bahawa bekerja merupakan suatu ibadah yang mesti dilakukan dengan adab dan akhlaknya. Dan setiap kali kita menunaikan solat beulang kali kita memperingatkan diri kita bahawa kerja kita adalah ibadah jika ianya dilakukan semata-mata kerana Allah. Dalam Doa Iftitah kita membaca; "Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku kerana Allah SWT".

Oleh sebgab itu setiap pekerja muslim mesti ingat bekerja adalah perintah Allah SWT sebagaimana yang ditegaskan oleh allah SWT di dalam al-quran; "Dan (katakanlah Wahai muhammad!) Bekerjalah kamu, maka Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaan kamu itu".

Sementara itu mari kita perhatikan kepada sabda Nabi saw: "Sungguh seseorang yang membawa tali, kemudian ia membawa seikat kayu di belakangnya lantas dijualnya, maka dengan itu Allah menjaga dirinya, adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik mereka yang diminta itu memberi atau menolaknya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lihatlah betapa hebatnya kedudukan bekerja dalam Islam. Sekecil manapun kerja yang kita lakukan tetap ada nilai dan harga di sisi Allah SWT. Bahkan ada nilai di sisi manusia juga. Dengan bekerja maruah dan har ga diri seseorang terpelihara dan menjadikannya seorang yang mulia dan dipandang mulia.

Betapa luas kurnian Allah swt kepada hambaNYa yang bukan sahaja mewajibkan hambaNya bekerja untuk mencari kehidupan bahkan menjadikan ianya peluang mencari pahala dan bekalan untuk hari akhirat nanti. Bukan senang kita mahu mengumpul pahala jika pahala diperolehi melalui ibadat khusus sahaja seperti solat, puasa dan haji contohnya. Jadi Islam yang mahukan umatnya sentiasa menjadikan setiap inci kehidupannya menjadi ruang dan peluang mengumpul pahala, bekerja dijadikan jalan untuk memperolehi pahala yang berlipat kali ganda. Bahkan penat bekerja dan kesusahan melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya menjadi kaffarah (ampunan dosa-dosa kecil) dan mengangkat kedudukan seseorang di sisi Allah SWT. Sebab itu Allah SWT bukan sahaja memerintahkan seseorang bekerja tetapi menjelaskan bahawa Allah sentiasa menjadi pemerhati dan penyelia utama dalam seseorang itu melaksanakan tugasannya.

Jadi, bayangkan seseorang yang beriman merasakan kerjanya sentiasa diselia dan dikawal oleh Allah SWT, sudah tentu dia bekerja dengan penuh kesungguhan, ketekunan dan keikhlasan kerana dia bukan lagi melakukan sesuatu itu kerana terpaksa atau semata-mata kewajipan kepada majikannya atau keperluan diri sahaja sebaliknya merasakan kerja itu adalah ihsan kepada dirinya sendiri yang dia akan memperolehi rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Dengan seliaan yang sedikit daripada makhluk Allah, dia sedia bekerja dengan tekun kerana dia bekerja kerana Allah SWT.

Jadi sempena hari pekerja ini marilah kita memperbaharui tekad dan niat kita untuk sentiasa bermotivasi dalam melaksanakan kerja bukan bekerja dengan separuh hati sahaja. Marilah kita memperbaharui nawaitu kita bekerja. Dari bekerja biasa-biasa saja kepada seorang yang bekerja kerana Allah SWT.

Kepada mereka yang terlibat dalam usaha-usaha mencari rezeki dengan cara yang salah  dan haram marilah kita kembali kepada Allah SWT. Berhentilah daripada mencari punca rezeki dari sumber yang haram, kelak nanti menjadi darah daging yang akan dimakan oleh api neraka Allah SWT di akhirat nanti.

Akhirnya saya mengucapkan ; "Selamat Menyambut Hari Pekerja kepada semua pekerja walau di mana saja berada...."

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?