Ramai Lelaki Yang Tahu Buat Tapi Tidak Tahu Bertanggungjawab

Oleh isma daud


Hari ini saya banyak menghabiskan masa dengan pelajar di surau termasuk waktu rehat. Saya membawa bekal dan ramai juga pelajar membawa bekal dan makan bersama saya. Bila guru makan bersama murid-muridnya timbul kemesraan antara guru dan murid. Di sini saya mengambil kesempatan mencungkil cerita anak-anak didik tentang kehidupan seharian mereka, makanan kegemaran, apa yang ibubapa mereka suka masak dan kehidupan seharian mereka di rumah.

Di sini saya memberi saranan dan dorongan agar mereka sentiasa ingat akan pengorbanan ibubapa yang telah mendidik mereka sedari kecil. Betapa besarnya harapan ibubapa terhadap mereka untuk menjadi insan berjaya suatu hari nanti.

Dalam pada itu saya ada bertanya perihal keakraban mereka dengan ibubapa sendiri. Saya bertanya kepada mereka sejauh mana mereka merasakan ibubapa mereka suka menyelami perasaan mereka. Bukan hanya sebagai penjaga bahkan bertindak bagai sahabat kepada mereka yang telah memasuki alam remaja. Sejauh mana merekam sedia berkongsi cerita dan masalah mereka dengan ibubapa sendiri...

Di saat inilah saya mendapati bahawa anak-anak didik saya ada yang tidak pernah lihat bapa mereka. Ada yang ditinggalkan sejak dalam kandungan ibu mereka lagi. Ada juga ayah mereka masih ada, tinggal berdekatan saja tetapi oleh kerana bapa sudah ada keluarga baru, bapa mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah apatah lagi memberi bimbingan dan kasih sayang buat mereka.

Yang menyedihkan saya bagaimana si anak meluahkan isi hati mereka betapa bapa mereka macam buat tidak kenal mereka padahal bapa mereka bukannya tidak berilmu, malah seorang pendidik lagi. Apakah patut kerana bapa telah berpisah dengan ibunya, bapa tadi tidak menghiraukannya lagi.... Saya bertanya adakah ibunya menghalang dia berjumpa atau berbaik dengan bapanya? Si anak menjawab memang sudah dasar lelaki tidak suka bertanggungjawab.

Sebagai bapa dan lelaki terasa juga saya bila si anak tadi berkata memang dasar lelaki sayang depan mata saja. Bila hilang di mata, hilang juga di hati... tahu buat tidak tahu bertanggungjawab.

Jauh di sudut hati saya mengenangkan nasib saya seusia anak-anak didik saya ini, saya pernah merasai penderitaan sepertimana mereka. Saya juga anak yang menjadi mangsa perpisahan ibu dan bapa sejak usia lima tahun lagi. Bapa saya juga pergi meninggalkan saya. Saya juga membesar tanpa kasih sayang seorang bapa. Saya juga pernah berkata begitu kepada bapa saya.

Semenjak ibu dan bapa bercerai tugas dan tanggungjawab membesar dan mendidik saya terletak di bahu abang dan kakak saya. Mereka insan-insan mulia dan berjasa dalam hidup saya. Hari ini jika ada kejayaan dalam hidup saya semuanya kerana berkat ketabahan dan kesabaran mereka dalam mendidik saya. Hanya kepada Allah saya berdoa agar Allah membalas setiap pengorbanan ikhlas mereka dengan sebaik-baik ganjaran baik di dunia maupun akhirat.

Namun kini saya telah memaafkan segala kesalahan bapa saya. Saya telah menghapuskan marah dan dendam saya kepadanya. Bahkan saya sentiasa mendoakannya. Tiada sedikitpun kebencian saya walau sebesar kuman terhadapnya.

Al-Fatihah buat arwah bapa saya yang telah pergi meninggalkan saya sejak 10 tahun yang lalu. Kini saya sedar, saya tidak pernah berbuat salah kepadanya kerana dia meninggalkan saya sejak kecil lagi. Jadi saya selamat daripada kebenciannya. Saya bersyukur kerana saya tidak pernah menjadi anak derhaka yang menyakiti hatinya. Kerana kami tidak hidup bersama. Tiada dosa antara kami berdua. Jika dia mengabaikan tanggungjawabnya itu dosanya kepada Allah. Saya mengharapkan bapa saya sudah bertaubat atas kesilapannya. Yang penting saya tidak pernah benci dan selalu mendoakan kesejahteraannya di alam baqa' sana.

Di hujung perbualan dengan anak-anak didik yang senasib dengan saya; saya telah tinggalkan kata-kata dan nasihat buat mereka. Kita tidak mampu merubah apa yang telah berlaku dalam hidup ibu bapa kita tetapi kita boleh merubah nasib kita sendiri kerana Allah tidak akan merubah nasib seseorang kecuali orang itu sendiri mahu merubahnya....Belajarlah dengan bersungguh-sungguh kerana ilmu sahajalah aset berharga di masa akan datang. Berusahalah Dan Bertawakkallah. Insya Allah ada kejayaan yang sedang menanti di kemudian hari.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?