Para Daie Mesti Kemaskini Ilmu

Oleh isma daud



Kesibukan seseorang dengan aktiviti seharian membuatkan aktiviti membaca bahan-bahan ilmiah seperti buku dan majalah menjadi agak ketinggalan. Itulah yang menyebabkan jiwa dan akal seseorang menjadi semacam pokok kekurangan baja saja. Hidup segan mati tak mahu. Memang tidak dinafikan kepentingan membaca bagi menambahkan ilmu di dada. Dan tugas menuntut ilmu ini tidak pernah habis tanpa mengenal usia. Ia sangat penting dalam membina tamadun manusia. Masyarakat yang minat membaca akan membina masyarakat dan umat yang berjaya.

Masyarakat kita hari ini begitu malas membaca bahan-bahan ilmiah yang boleh membina otak dan pemikiran yang sihat. Ramai yang membaca tetapi dalam topik-topik yang santai, semasa dan lebih berbentuk hiburan. Sebab itulah saya lihat melalui pemerhatian rambang saya, blog yang berbau politik, yang berbentuk maklumat semasa begitu mendapat sambutan pembaca.

Apapun minat membaca itu ada cuma perlu dipertingkatkan lagi.

Saya sebagai insan yang kerapkali dijemput berceramah dan memberi kuliah di surau dan masjid, sentiasa memandang berat persoalan siapa yang berada di hadapan saya.

Terlebih dahulu saya ada rasa hormat dan respek kepada para jamaah yang ada di dalam khalayak saya. Jadi saya sentiasa berfikiran bahawa orang yang datang mendengar kuliah saya itu sudah pastinya memiliki pelbagai aliran pemikiran, kebolehan dan pengetahuan yang telah sedia ada dalam diri mereka. Dengan pemikiran sedemikian, sudah tentu saya sentiasa cuba meng"update" maklumat yang saya ada agar kuliah yang saya sampaikan sentiasa segar dan mampu menjelajah pemikiran orang berada di hadapan saya.

Jika mereka mengemukakan soalan, saya sedaya upaya memberi jawapan yang memuaskan hati mereka. Sudah tentu saya ada mencongak apa orang akan bertanya kepada saya apabila saya membincang sesuatu tajuk dalam ceramah atau kuliah saya itu.

Jadi; saya sedari awal cuba mencari maklumat dan membuat sedikit penyelidikan kepada sebarang kebarangkalian soalan yang akan dikemukakan. Saya bukan terlalu mampu menjawab soalan yang dilontarkan oleh para jamaah tetapi dengan sedikit persediaan saya sentiasa mengharapkan bahawa saya mampu menjawab setiap soalan yang dikemukakan itu. Setidak-tidaknya tidaklah sampai menghampakan orang yang bertanya.

Jika kita benar-benar tidak tahu tidaklah pula menjadi satu kesalahan menangguh dulu jawapannya. Bahkan ianya tidaklah melambangkan kerendahan dan kejahilan kita tapi sebaliknya. Kita mampu meyakinkan orang ramai bahawa kita benar-benar jujur dalam menyampaikan ilmu ndan amanah serta disiplin ilmu itu. Namun jika kita semua tidak tahu pula akan menjatuhkan air muka kita sendiri juga dan memberi gambaran buruk kepada masyarakat awam kepada para ilmuan kita di masa kini.

Kalau ditanya kepada saya bagaimana saya masih mampu bertahan dalam dunia kuliah dan ceramah, jawabnya saya sentiasa hormat dengan orang lain jadi saya mesti berusaha menambahkan ilmu saya dengan membaca.

Teringat saya kepada beberapa rintihan hati kawan-kawan yang menghadiri kursus kesedaran Islam yang dianjurkan oleh pihak tertentu di Sibu ini beberapa hari yang lalu, mereka kesal para penceramah yang hadir semacam tidak bersedia dan kehabisan modal dalam berbicara. Kalau sekadar mahu membaca teks, tidak perlu ada penceramah, bagi saja teks itu kepada orang awam mereka boleh baca diwaktu lapang.

Oleh sebab itu seseorang penceramah perlu sentiasa mengemas kini maklumat yang dia miliki. Kalau asyik bawa topik sama saja, orang akan jemu nanti, kesannya sudah tentu pendengar akan lari. Orang sudah dapat mengagak apa yang hendak kita samapaikan nanti. Tiada info dan kejutan baru kepada pendengar. Akhirnya ceramah itu menjadi hal yang biasa-biasa saja. Dan matlamat menyampaikan dakwah menjadi sia-sia sahaja.

Saya berharap kepada insan-insan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam dunia penyampaian maklumat,dakwah dan sebagainya agar sentiasa mengemaskini skill dan pengetahuan dalam pelbagai bidang agar sesuatu ilmu yang disampaikan benar-benar hadam dan mampu difahami oleh umat Islam yang sentiasa dahagakan ilmu dan bimbingan kita para daie ini.

Apapun, ilmu itu adalah hikmah orang mukmin yang hilang, dimana saja kita menemuinya ambillah dia. Barangsiapa yang memperolehinya dia sebenarnya sedang memperolehi keberuntungan yang banyak. Rajin-rajinkan diri kita dengan budaya suka membaca.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?