Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Friday, February 19, 2010

Bukan Sekadar Kebolehan Dan Kepandaian Tetapi Kesanggupan Itulah Nilainya

Oleh isma daud

Rasulullah SAW berpesan kepada kita supaya kita mendidik anak supaya mahir dalam tiga perkara; bermain panah (bermain senjata), berenang dan menunggang kuda. Apa yang diajarkan oleh baginda SAW ini agar  anak-anak kita ada kemahiran dan keilmuan yang memungkinkan mereka mampu memberi sumbangan dan melaksanakan perjuangan. Kebolehan ini mampu menanam sikap positif dan melahirkan seorang hero suatu hari yang diperlukan. Kebolehan seperti ini mampu melahirkan insan yang berani dan sanggup berkorban dan sanggup menempuh pelbagai cabaran hidup yang mendatang.

Nikmat Tidak Sentiasa

Aktiviti-aktiviti lasak ini sangat sesuai untuk membina sahsiah diri yang kental, berani , yakin diri dan sanggup berkorban. Sebab itu Rasulullah SAW ada mengingatkan kita agar mendidik anak dengan kehidupan yang lasak dan keras kerana nikmat dan masa berlunak-lunak itu tidak sentiasa ada. Kadangkala kehidupan kita diuji dan dilanda dengan gelojak badai dan gelora. Di saat itulah kita perlukan ketahanan jiwa untuk bertahan. Bukan sekadar bertahan bahkan mampu mampu bangkit untuk menjaga diri dan lebih cemerlang lagi mampu membantu orang lain pula.

Jika kebolehan seperti ini dikuasai,  ianya bukan sekadar untuk mempertahankan diri sendiri sahaja tetapi lebih melahirkan seorang hero. Seorang yang mampu. Semakin besar kebolehan seseorang semakin besar pula tanggungjawabnya. Tangungjawab membantu sesama makhluk Allah SWT di dunia ini. Dan semakin mampu kita menyumbang semakin besar pula peluang untuk kita meraih pahala dan keredhaan Allah SWT.

Beertinya Kebolehan Disertakan Dengan Kesanggupan

Dua hari ini banyak tulisan blog menulis tentang Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS menjadi hero bersama anak-anaknya kerana menyelamatkan mangsa lemas tepi pantai tidak jauh dari rumahnya.

Saya sebagai insan yang pernah membesar dengan kuliah-kuliahnya sedari umur 10 tahun merasa bangga kerana Tuan Guru bukan sahaja pernah mendidik saya menjadi insan berguna sehingga hari ini, bahkan Tuan Guru telah menyelamatkan aqidah banyak umat manusia. Dan hari ini Tuan Guru dalam usia 63 tahun masih kuat menyelamatkan orang dari kelemasan di  tengah laut. Sememangnya Tuan Guru adalah insan mulia yang telah gigih saban hari menyebarkan ilmu Allah dan sunnah rasulNya demi keselamatan manusia dalam usia yang ada. Tugas Tuan Guru tidak hanya menyelamatkan manusia dari kejahilan tetapi menyelamatkan nyawa dengan kesanggupan dan keberanian.

Fitrah : Laut dan Tuan Guru

Laut bukan dunia asing bagi Tuan Guru. Dalam pengetahuan saya yang Tuan Guru tidak tahu tentang saya bahawa saya tahu minat Tuan Guru memancing dan aktiviti laut. Dengan pakaian orang kampung, Tuan Guru tidak seperti yang lainnya suka memancing, menjala dengan santai. Mungkin itu cara Tuan Guru melepaskan penat dan merehatkan badan. Sebagai orang yang hidup di tepi laut, jiwa Tuan Guru sentiasa serasi dengan laut dan aktivitinya. Yang pentingnya ialah Tuan Guru tidak asing dengan kehidupan laut dan ombak serta pantai. Jadi saya tidaklah hairan sangat tentang kemahiran berenang Tuan Guru. Yang membanggakan saya ialah kesanggupan dan Keberanian Tuan Guru memberi pertolongan kepada orang lain. Kalau tahu berenangpun; jika kesanggupan itu tidak ada, tiada guna juga skill dan kebolehan berenang itu.

Kesangupan Tuan Guru Satu Isyarat

Tuan Guru telah memberi satu isyarat dan tarbiyyah yang sungguh bermakna kepada saya (mungkin kepada orang lain juga) bahawa bukan kemahiran dan kebolehan sangat yang menjadi nilai seseorang, tetapi kesanggupan kita menyumbang dan membantu sesama manusia itulah menjadikan kita bernilai dan berharga. Kesanggupan itulah yang membuatkan Tuan Guru sanggup terjun ke dalam laut untuk memberi pertolongan.

Namun kesanggupan itu sudah pastinya bukan kesanggupan membabi buta tetapi kesanggupan yang disertai dengan ilmu dan kebolehan sehingga Tuan Guru dapat menggunakannya untuk tujuan menyelamat mangsa. Jika Tuan Guru terjun dengan kosong dada dari pengalaman berenang dalam laut, saya bimbang Tuan Guru juga akan lemas bersama orang yang lemas. Jadi pengajarannya di sini, skill dan kesanggupan itu mestilah seiring agar kita mampu membantu orang lain dengan berkesan dan bertepatan.

Saya Murid Yang Tidak Dikenali

Bagi saya Tuan Guru sentiasa menjadi guru saya biarpun kini saya berada jauh dari kebolehan mendengar kuliah-kuliah Tuan Guru seperti saya kecil sehingga saya diusia remaja dahulu. Tetapi didikan dan asuhan serta sentuhan Tuan Guru sentiasa segar dalam ingatan saya.

Satu kenangan saya bersama Tuan Guru ialah ketika menghadiri Tamrin Qiadi di Pusat Tarbiyyah Kubang Lembik, Manir sekitar tahun 1991, saya telah terpakai selipar jepun milik Tuan Guru sewaktu sesi rehat makan tengahari sehingga Tuan Guru tercari-cari ke mana hilang selipar Tuan Guru. Rupa-rupanya seliper Tuan Guru berada di kaki saya. Saya sungguh tidak menduga sama sekali bahawa saya telah menyarut seliper Tuan Guru ke kaki saya. Sungguh saya kagum betapa Tuan Guru memakai selipar sebegitu. Sungguh menyentuh hati saya sampai ke hari ini. Apapun seliper Tuan Guru pernah berada di kaki saya.

Masih saya ingat Tuan Guru senyum tanpa marah dan kecil hati kepada saya sewktu menyerahkan semula seliper itu ke kaki Tuan Guru.

Bukan Untuk Dibangga-banggakan

Bukanlah untuk berbangga-bangga tetapi apa yang telah Tuan Guru lakukan adalah contoh teladan kepada orang lain. Kesanggupan membantu kerana kita mampu membantu, maka berilah bantuan mengikut kemampuan yang kita ada. Saya yakin Tuan Guru pun tidak berbangga dengan apa yang Tuan Guru telah lakukan. Saya yakin Tuan Guru tiada niat mahu menunjuk-nunjuk. Namun kerja baik pasti ada ganjaran pahala dan penghargaannya biarpun seseorang itu tidak mengkehendakinya.

Iktibar Dan Pengajaran

Dalam kesempatan ini, marilah kita sama-sama mengambil iktibar atas apa yang berlaku. Kepada insan yang ada kepandaian, kebolehan berilah bantuan ikut kemampuan yang ada. Jika kita sanggup; masa, tenaga , usia, harta-benda dan ilmu bukan halangan lagi. Apa gunanya ilmu yang ada kepada kita jika kita tidak menggunakannya kepada yang berfaedah. Ramai orang di luar sana tidak memanfaatkan kebolehan yang ada untuk berkongsi dan membantu sesama manusia.

Sebagai contoh, ada orang yang Allah bagi kepadanya ilmu dan kebolehan Al-Quran, tetapi tidak mahu menjadi imam dalam solat walau sudah dilantik menjadi imam. Sedangkan kebolehan itu telah ada. Yang tidak ada ialah kesanggupan untuk membantu dan menyumbang. maka apa gunanya ilmu itu jika kita berkira untuk membantu melalui ilmu yang kita ada.

Kita Bukan Sesiapa Jika Terlalu Bakhil

Ingatlah, sumbangan kita semua sangat diperlukan. Kita bukan sesiapa di dunia jika hidup sendirian. Kelak kita perlu juga sumbangan orang lain bila kita meninggal dunia nanti. Pada masa itu kita perlukan sumbangan orang lain menguruskan jenazah kita, memandi, mengkapan, menyembahyang dan mengkebumikan kita. Pada masa itu kita sudak tidak sesiapa lagi. Tidak mampu menyumbang lagi. Masa untuk kita telah berhenti. Oleh itu marilah kita bermurah hati memberi sumbangan mengikut kemampuan yang kita ada . Ayuhlah!!!

No comments:

Related Posts with Thumbnails