Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Saturday, January 16, 2010

Ramai Lagi Yang "Kembali Mengucap" Dan "Tidak Mahu Mengucap"

Oleh isma daud





Kembali Mengucap
. Begitulah berita di Harian Metro hari ini. Dan begitulah senario masyarakat yang ada di Sabah dan Sarawak. Anak-anak murid saya juga mengalami situasi yang sama.

Ada yang datuknya beragama Budha tetapi neneknya melayu islam hidup sebagai suami-isteri. Si nenek sempat pergi mengerjakan ibadah haji lagi. Sudah bergelar hajah tetapi masih suami isteri dengan sang suami yang bukan Islam. Anak-anaknya pula berpecah kepada dua agama. Ada yang mengikut si ayah beragama budha atau tiada agama dan ada yang beragama Islam. Cuma pengamalannya langsung tiada Islam. Si cucu-cucu pula ada yang Islam dan ada yang tidak. Makan pula tidak dapat membezakan di antara yang halal dan haram.

Dalam kelas saya ada yang surat beranaknya dan kad pengenalannya Islam sejak lahir. Tetapi bermati-matian berkata bukan Islam. Mengaku sudah meninggalkan Islam kerana dalam hidup mereka tidak pernah seharipun merasai cara hidup orang Islam. Hujahnya mereka makan semua termasuk yang berekor pendek itu.

Dan ada pula yang dalam sebarisan adik beradik yang keluar dari rahim ibu yang sama dan benih bapa yang sama; anak ada yang di"bin"kan kepada bapa dan ada yang di"anak"kan kepada ibu. Sibapa Islam dan siibu pula sekejap Islam , sekejap tidak. Perkahwinan campur menjadi punca kepada permasalahan yang ada ini. Mereka hanya berniat mahu berkahwin bukan mahu menghayati ajaran Islam di atas kesedaran dan keikhlasan sendiri. Akhirnya senario seperti ini berlaku di Sarawak ini.

Perkahwinan mereka sudah tentu mengikut adat bukannya berlandaskan hukum syarak. Mereka tidak pernah mengisytiharkan agama mereka. Jika mengikut syarak sudah tentulah perkahwinan seperti ini tidak pernah berlaku kerana tidak sah. Tetapi ianya sah daripada hukum adat asalkan suka sama suka. Cukuplah cinta yang menyatukan mereka. Jika dapat anak, mereka di"anak"kan kepada siibu.


Kekeliruan identiti ini sudah menjadi barah dalam masyarakat di sini. Hari ini saya ada membincangkan dalam mesyuarat Panitia Pendidikan Islam perihal beberapa anak murid yang mempunyai kekeliruan identiti ini. Apabila didaftarkan di sekolah atau dalam sistem pendaftaran peperiksaan awam mula timbul perbagai persoalan dan kekeliruan. Ini kerana sistem komputer yang tidak mengenal aqidah manusia itu akan "pening" bagaimana mahu menentukan aqidah anak-anak ini. Sistem berkata dia sebagai Islam sedangkan si ampunya diri tidak pernah mengaku bawa dia pernah Islam. Dia tidak pernah kenal Islam. Yang dia tahu bahawa dia seorang yang tiada agama atau seorang kristian atau budha. Yang ramainya tiada agama.

Ada juga sistem komputer "pening" mahu menentukan identiti pelajar yang tiada dokumen yang menyatakan bahawa dia adalah seorang Islam kerana surat beranak dan kad pengenalannya mengatakan bahawa dia bukan Islam kerana namanya ada kalimah "anak". Dia dibesarkan oleh bapanya yang Islam dan ibunya yang tidak Islam sebagai suami-isteri. Sehingga kini ibubapanya hidup sebagi suami isteri. Anak ini mahu dikenali sebagai Islam kerana bapanya. Anak ini mula keliru persoalan agama dan jati dirinya.

Ada juga anak-anak murid saya yang tidak pernah kenal siapa bapa mereka. Mereka ini dilahirkan dalam keadaan ditinggalkan oleh bapa mereka dan tidak tahupun siapa bapa mereka. Yang penting bapa mereka adalah Islam. Kebanyakkannya hasil peninggalan dari baka sang askar dan perwira negara yang pernah bertugas di Sarawak. Ada juga sang bapa ni bekerja dalam sektor lain seperti perladangan. Mereka datang singgah sekejap saja dan meninggalkan benih kesilapan mereka. Siibu pula kekadangnya masih mentah tentang persoalan hidup. Ditinggalkan tanpa tanggungjawab. Datuk dan neneklah terpaksa mengambil segala beban yang ditinggalkan oleh kesalahan anak. Akhirnya anak ini dibinkan dengan "Abdullah" dan dibesarkan oleh datuk atau nenek yang tiada agama atau datuk-nenek mereka tidak pernah mengubah akidah cucu mereka kerana bapa kepada cucunya itu Islam, berbinkan "Abdullah".

Kepada sesaiapa yang berkenaan -yang pernah buat kerja-kerja macam nilah-; mana yang pernah bekerja di sini dan pernah buat salah cuba tanya kepada diri, bagaimanakah agaknya rupa anak peninggalan saya di Bumi Sarawak bertuah ini agaknya. Bertuahkah nasib benih yang menjadi peninggalan saya itu? Bagaimana aqidah dan agamanya? Besarnya doasa dan kesilapan kalian. Bukan dosa melempiaskan nafsu yang tidak tahu tempat bahkan dosa meninggalkan baka yang keliru identiti agamanya.

Setiap tahun saya menerima murid atau pelajar seperti ini. Sungguh kasihan saya kepada mereka. Mereka tidak bersalah. Yang salah adalah pengkhianatan cinta dan nafsu bapa-bapa dan ibu-ibu mereka.

Inilah yang sedang berlaku.....dan akan berlaku. Siapa yang dapat memperbetulkan persoalan ini? Keadaan ini? Dan Nasib anak-anak ini? Entahlah!!!

Memetik kata sang penguasa JAIS; "Ini bukan dosa ustaz atau sesiapa, ini dosa Ulul Amri". Itu katanya. Fikir-fikirkanlah.

No comments:

Related Posts with Thumbnails