Bermuhasabah dengan Serangan Anai-anai

Oleh isma daud

Anai-anai atau dalam istilah sainsnya dikenali sebagai "termite" adalah serangga sosial yang cukup menarik untuk diperhatikan dari segi kesatuan dan perpaduan masyarakatnya. Namun tidak kurang juga anai-anai menjadi mekhluk perosak yang boleh mengundang bahaya kepada kehidupan manusia.

Buku, kayu dan kertas adalah menjadi kegemaran serangga anai-anai ini. Sudah banyak buku, dokumen penting saya rosak kerananya. Sijil kelahiran saya yang asal tiada lagi kerana dikerik oleh anai-anai terpaksa saya membuat cabutan semula di Pejabat Pendaftaran Negara, Negeri Terengganu pada beberapa tahun yang lalu.

Rumah juga menjadi sasarannya sehingga rumah peninggalan orang tua saya rebah kerana kayu-kayunya reput dimakan anai-anai.

Anjung Surau dan barisan Al-Quran yang disimpan untuk kegunaan pelajar dimakan anai-anai sewaktu cuti sekolah.

Dan terkini; saya sekeluarga terpaksa bergelap kerana ketiadaan elektrik disebabkan paip saluran wayer yang tersimpan dalam simen dinding rumah diserang anai-anai. Nasib baik tidak berlaku litar pintas. Bukan senang mahu membaikinya dan bukan sedikit pula duit terpaksa dikeluarkan bagi membaik-pulihnya bahkan terpaksa rumah dibuat pendawaian semula.

Pokok-pokok dan tanaman yang sihat tiba-tiba mati kerana seluruh batangnya dimakan anai-anai.

Begitulah penangan anai-anai dan setakat ini ia menjadi ujian kepada saya dan keluarga saya. Kerananya kami terpaksa bergelap. Kerananya kami ketiadaan elektrik, tiada kipas dan makanan busuk di dalam peti. Semuanya berlaku disebabkan apabila rumah sewa saya diserang anai-anai setelah sebulan saya pulang bercuti ke kampung tempohari. Tanah-tanah basah dan lembab diangkut ke dalam rumah. Sehingga kini sudah 3 malam kami tidak tenang dengan serangannya. Setakat ini hanya 2/3 rumah yang sudah boleh terima elektrik. Tingkat bawah saja, tingkat atas masih bergelap.

Bukan sedikit anai-anai yang telah kami bunuh dengan ubat atau racunnya. Keadaan tanah yang lembab menyukarkan kami mengatasinya. Anai-anai ini bersarang dalam simen rumah dan saluran wayer elektrik.

Namun apa yang berlaku ini cukup mengajar kita betapa kerdilnya diri kita. Biarpun berdepan dengan anai-anai yang kecil tetapi mereka hidup bersatu padu dan bantu-membantu; kehidupan kita menjadi terjejas kerananya. Maka kepada mereka yang berasa besar diri dan angkuh jangan lupa kepada kesatuan orang -orang yang kerdil, mereka mampu menghancur dan memusnahkan kita apabila mereka bersatu padu.

Serangan anai-anai ini cukup memberi iktibar kepada saya dan keluarga. Benarlah Allah apabila berfirman  dengan mafhumnya bahawa Dia (Allah) tidak malu membawa satu contoh dengan seekor nyamuk kerana dengannya boleh beriman seseorang kepada Allah dan boleh menjadikan seseorang itu lebih engkar dan kufur kepada Allah SWT.

Segala sesuatu itu mengjadi bahan iktibar dan modal hisab bagi mereka yang mahu berfikir....

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?