Berhijrah Di 1431H atau Berhijrah pada 2010M?

Oleh isma daud

Tidak sampai beberapa jam lagi tirai 2009M akan melabuhkan diri dan tangga-tangga detik masa membawa kita ke tahun baru 2010.M Ramai orang menantikan tahun baru dengan azam dan semangat baru dan tidak kurang pula sekadar mengingat kembali azam lama yang mahu diperhangatkan kembali.

Kepada sesetengah orang kehadiran tahun baru masehi lebih teruja dan terasa di jiwa berbanding dengan kedatangan tahun baru hijrah. Tidak perlu hebahan dan kempen, orang secara sedar akan kehadirannya. Namun sebahagian orang bagai lupa akan detik tahun baru hijrah. Saya ada bertanya kepada beberapa orang  muda belia yang saya temui, ternyata mereka teraba-raba dalam menentukan bulan hijrah. Tanpa sedarpun mereka sudah melewati garis kedatangan tahun baru 1431H.

Biar apapun; kesedaran untuk menanam azam dan niat untuk berhijrah mesti ada. Jika kita berhijrah dengan menjadikan Iman dan Islam sebagai sandarannya, Allah dan rasul menjadi matlamatnya; sudah tentu hijrah kita akan diterima oleh Allah SWT. Akan tetapi jika hijrah kita itu matlamat kita adalah isi dunia dan berlaku pula penyimpangan pada niat yang meneruskan jahiliyyah dan sayangkan dasar serta sistem sekular maka niat kita itu pasti akan ditolak oleh Allah SWT.

Namun kepada insan yang bernama Muslim sangat rugilah jika kehadiran awal hijrah dilupai, sementara tahun baru masehi sentiasa diingati. Ini kerana kita sedang kehilangan harga diri.


Bila mengenangkan kembali detik tibanya ambang maghrib 1 Muharram 1431H lalu; ramai tersungkur depan TV tengok bola akhir M'sia-Vietnam, surau masjid lengang. 

Malam ambang tahun baru 2010M; Apakah ada yang tersungkur lagi ?

Pusat-pusat hiburan pasti tidak lengang dan dataran -dataran awam pasti akan dipenuhi oleh manusia tanpa mengira  tahap usia dan lapisan masyarakat. Percikan bunga api dan pelbagai keraian serta pesta-pestaan muda mudi seringkali mewarnai datangnya tahun baru. Pergaulan bebas dan arakan motosikal dengan berpasang-pasangan di antara lelaki dan perempuan biasa jadi paparan akhbar saban tahun. Hidangan arak, seks bebas selalu menjadi hebahan media.

Bagaikan sudah masak dengan berita seperti itu. Apakah sambutan tahun baru ini ada berulang lagi lagak seperti itu?

Maka saya mengajak kita patut juga berhijrah kepada kebaikan apabila munculnya tahun baru 2010M ini.

Usahlah detik waktu itu menjadi sebab kepada kebinasaan diri dan masa depan kita. Masuklah ke tahun baru dengan jiwa dan semangat yang suci agar kehidupan kita terus luhur dan harmoni.

Wajarlah kita beringat bahawa kita mesti berazam dan berniat untuk menjaga lima asas utama dalam hidup kita; agama, ruh dan nyawa, akal fikiran,  harta benda dan nasab keturunan.

Bagi saya; 2009 tahun penuh cabaran, sementara 2010 nanti menjadi detik masa yang penuh dengan harapan... hari mendatang mesti ditempuh dengan penuh keyakinan. Akan tetapi 1431H menjadi lebih bermakna jika kita semua menjadikannya sebagai detik perubahan sebenar untuk kembali kepada suara jihad dan syariat Islam yang sebenarnya.

Ya, masa untuk kita kembali kepada Islam. Ayuh Kembalilah kepada Allah dan Rasulnya.
Firman Allah SWT yang mafhumnya; "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran".

Wabillahi Taufiq....

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?