Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Wednesday, November 11, 2009

Carilah Redha Tuhan

Oleh isma daud




Mencari RedhaNya

Carilah redha Tuhan, kita tidak akan kecewa
Carilah redha Tuhan, kita akan tenang


Janganlah cari redha manusia, kita akan kecewa
Suka manusia kepada kita, sukanya terkadang pura-pura
Suatu hari nanti akan nyata juga
Adakalanya redhanya kepada kita di waktu kita senang
Setelah kita susah, kita dibuang dan ditendang
Janganlah berbuat sesuatu karena keredhaan manusia
Karena manusia ramai yang tidak mengenang jasa


Buatlah sesuatu untuk keredhaan Tuhan
Manusia suka atau benci tak usah dipedulikan
Yang penting yang kita buat itu Tuhan suka
Yang penting usaha kita itu Tuhan redha
Dengan manusia tak usah ambil kira
Manusia hendak puji atau manusia hendak mencaci
Itu soal dia


Yang penting ikut apa kata Tuhan
Keredhaan Tuhan itu penting
Redha-Nya adalah balasan
Balasan-Nya adalah berkekalan
carilah keredhaan Tuhan, hati tenang

- Ashaari -



Dua tiga hari ini saya asyik memutarkan lagu ini. Ada sentuhan ke jiwa saya. Sesungguhnya saya menghadapi situasi sebegini di saat ini.

Entah siapa penasyidnya, kumpulan apa, siapa penulis liriknya dan tahun bila dikeluarkan? Entahlah. Ada apa pada nama? Yang penting mesejnya itu berkesan di hati saya. Apa pun kaset ini, lagunya masih fresh dan tidaklah lama sangat. Saya membeli kaset ini sewaktu sampai di Airport Sibu suatu ketika dulu. Yang pastinya di Airport Sibu. Dalam saya memandu saya memutarkan lagu ini. Berkali-kali, berkali-kali. Oleh kerana tulisan di luar kaset itu sudah tidak kelihatan lagi, saya mendengarnya saja.

Tapi dalam hati saya ada berkata ini macam lagu dan lirik yang sinonim dengan "Abuya". Biasa saya dengar lirik macam ni sewaktu Kumpulan Al-Arqam aktif bergerak dalam masyarakat. Ataupun mereka Yang menamakan diri sebagai "RUFAQA'). Jadi pada malam ini saya cuba mencari lirik lagu ini dalam internet, nyata benar telahan saya. Saya tidak melayar jauh tanpa mencari siapa yang mengalunkan lagu itu. Dekat You tube tak jumpa pula.


Ya, saya mengenang atas apa yang berlaku dalam kerja dakwah yang saya lakukan di saat mutakhir ini. Terlalu banyak onak dan ranjaunya. Tidak sebebas seperti dulu lagi. Tersekat di sini, tersekat di sana. Apa yang dapat saya lafazkan hanya memujuk hati ini dengan bersabar. Bersabar dengan sebaik-baik sabar sebagaimana Allah SWT mengkehendakinya melalui firmannya, "Sobran Jamiilan". Hanya kesabaran yang mampu merawat luka di hati dan kekecewaan di jiwa.

Dari sifat sabar itu saya mula menyelongkar perasaan baru. Perasaan ini sentiasa ada dalam jiwa saya. Tapi kali ini dengan kesedaran yang tinggi dan benar-benar hidup. Satu pencarian sebenar iaitu pencarian kepada Redha Allah SWT. Ini saja penawar mujarab di saat kita menempuh pelbagai sekatan dan halangan dalam menyampaikan kebenaran.


"Buatlah sesuatu untuk keredhaan Tuhan
Manusia suka atau benci tak usah dipedulikan
Yang penting yang kita buat itu Tuhan suka
Yang penting usaha kita itu Tuhan redha
Dengan manusia tak usah ambil kira
Manusia hendak puji atau manusia hendak mencaci
Itu soal dia"



Mengimbau kembali dalam tempoh 8 ke 10 tahun saya menyelusuri jalan dakwah di sekitar bandar Sibu ini. Saya berdepan dengan cara orang di sini berfikir. Cara mereka berfikir terlalu negatif kepada agama, terlalu negatif kepada orang luar dan perubahan. Maaflah saya cakap begitu. apapun saya dah cakap.  Bukan semua orang, tapi sesetengah mereka yang mahu menjaga kepentingan diri dan status mereka... Kalau sikap ini masih tebal dalam jiwa, tidak hairanlah jika tiada apa perubahan yang dapat kita lihat. "Pi Mai Pi Mai tang Tu" juga sebagaimana kata orang utara.

Sebaliknya bukan perubahan yang kita dapat tetapi cemuhan dan cercaan yang kita dapat. Yang menghairankan saya cemuhan ini datang daripada mereka yang kononnya mempunyai motivasi tinggi untuk memaju dan membangunkan masyarakat.

Sewaktu saya baru dikenali, nampak nuteral dan bersongkok sentiasa, berbaju melayu lengkap bersampin, mereka ini boleh menerima syarahan, ceramah dan saya sentiasa dijermput ke majlis2 anjuran Badan Kerajaan, Swasta dengan pujian dan sanjungan. Di saat itu itu untuk baca doapun mereka mahukan saya. Tapi bila saya mengenakan sekali sekala pakaian jubah, berserban. Mula ada di kalangan puak yang memuji saya ini mula melabelkan saya sebagai "Pembawa Pemecah-belah Masyarakat". Cukup mudah dan bersahaja tuduhan sebegitu.

Maka persoalannya; beginikah corak pemikiran orang yang maju? Berfikiran Jauh? Alamak !!! Sungguh tidak saya menduga hal ini sama sekali. Pakaian menjadi ukuran. Cukup malang!!!

Satu lagi, jika kita bercakap dalam nada yang sedikit berbeza terus dihukum kita sebagai "Pengkritik yang tidak bertempat". Agaknya kritikan bertempat ini macamana rupanya agaknya? Kritikan yang mesti selari dengan nafsu mereka agaknya. Kalau kurang selari atau lain terus itu bermaksud kritikan itu tidak bertempat.

Masa kita memberi pandangan selari , kita dianggap sesuai dan apabila berlawanan sedikit kita dianggap penentang. Jadi kita mesti ditendang dan dibuang kerana kita sudah tidak relevan lagi untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Kita bukan orang yang dialu-alukan lagi.


Adakalanya redhanya kepada kita di waktu kita senang
Setelah kita susah, kita dibuang dan ditendang
Janganlah berbuat sesuatu karena keredhaan manusia
Karena manusia ramai yang tidak mengenang jasa



Begitulah agaknya nasib kita jika kita berbuat sesuatu kerana Allah. Jadi tidak perlulah kita kesalkan  akan manusia yang berbuat tidak adil kepada kita; bahkan sepatutnya kita menjulang rasa syukur kerana kita sememangnya sesuai dengan tuntutan Allah SWT biarpun kita dianggap tidak sesuai dengan nafsu sesetengah manusia itu.

Yalah manusia itu sementara ada kuasa, anda dimuliakan. Tapi ingat jika kuasa itu tiada lagi, bagaimanakah nasib anda ketika itu? Kalau dengan manusia pun sudah malang bagaimana agaknya nasib anda di sisi Tuhan.

Apapun Allah itu Maha Pengasih, Maha Pengampun. Pintu taubat itu sentiasa terbuka buat hamba-hambaNya.

Firman Allah SWT yang bermaksud; "Dan mereka itu apabila melakukan perbuatan keji atau menganiayai dirinya sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun kepadaNya terhadap dosanya. Siapakah lagi yang akan mengampunkan dosa selain daripada Allah ? Dan mereka terus tidak mengulangi perbutan yang buruk itu, sedang mereka mengetahui. Balasan mereka itu mendapat keampunan daripada Allah dan memasuki syurgaNya yang mengalir di bawahnya sungai-sungai serta kekal di dalamnya. Ia adalah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal(dengan amalan baik dan taat setelah bertaubat). Surah Aali 'Imraan; ayat135-136.

Semoga kita sentiasa mencari ketenangan dengan mengingati Allah. Kerana Mengingati Allah itu akan menenangkan hati. Hati yang tenang itu mudah mengharapkan keredhaanNya. Wallahu a'lam!!!

No comments:

Related Posts with Thumbnails