"Sorry To Saylah..." ~ Kata Juru Jual itu...

Oleh isma daud.

"Sorry To Saylah!!! Awak ni dahlah gelap , pilih warna yang kelabu asap pula, menambah gelap awak tu, langsung tak sesuai..." ~ kata juru jual itu...

Saya tidak berasa hati dengan kata-kata seorang jual perempuan itu. Orangnya cantik jugalah. Sebab tu... ikhlas tidak berasa hati. Kalau juru jual lelaki mungkin saya berasa hati.

Sebenarnya saya memang tidak berasa hati sebab jurujual itu bercakap benar, memang saya gelap pun. Kalau dia kata saya ni putih melepak pasti saya berasa hati kerana saya boleh jadi berpendapat bahawa dia sedang menyindir saya. Sekurang-kurangnya dia bercakap benar. Katakanlah yang benar walaupun pahit. Sedangkan yang benar itu tidak akan menyakiti sesiapapun akhirnya.

Itulah pengalaman saya petang kelmarin ketika saya singgah di sebuah kedai untuk membeli suatu barang di kedainya. Ini kali pertama saya singgah ke kedai tersebut. Jurujualnya oklah peramah dan mesra.

Yang pentingnya di sini saya ingin menyatakan bahawa peri pentingnya kita bercakap benar, bukan hipokrik.

Mutakhir ni banyak orang yang hipokrik. Bukan semua, tapi ramai yang hipokrik. Di depan lain bahasanya dan di belakang lain pula bahasanya. Kononnya menggunakan bahasa berlapik , yang manis bak madu tetapi terselindung racun yang sangat berbisa. Bahasa mudah difahami ialah bahasa munafiq. Kononya untuk menjaga perhubungan.

Mungkin inilah sebabnya orang suka bersikap hipokrik kerana mahu menjaga perhubungan. Tetapi apabila di belakang dia sanggup menjatuhkan kita dan mengkhianati kita. Berwaspadalah kepada golongan ini. Walaubagaimanapun bukan mudah kita dapat mengenali insan sebegini. Biasanya bila sudah kita jatuh baru kita kenal mereka ini.

Sewaktu saya bercakap tentang seseorang pagi tadi bahawa saya tidak menyukai sikapnya, saya berterus-terang kepadanya bahawa saya tidak suka caranya. Syukurlah dia dapat menerimanya. Saya harap dia ikhlas menerimanya dan tidak membuat salah tafsiran.

Sememangnya sesuatu kritikan dan bebelan yang benar itu amat menyakitkan. Tidak mudah menerimanya. Namun sebagai orang memberi kritikan perlu ikhlas, barulah orang yang menerimanya dapat merasakan kritikan itu sebagai satu nasihat walaupun pahit pada awalnya.

Walaubagaimana pun, tidak dapat dinafikan bahawa orang yang menerima kritikan ni tidak kurang hipokriknya. Di depan orang yang berani mengkritik atau menegurnya seolah-olah dia dapat menerima tetapi dalam hati hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Kot-kot depan kita dia kata boleh terima, tapi bila balik rumah hatinya sudah membengkak dan menyumpah-menyumpah kita. Lebih malang lagi dia membuat-buat cerita di sebalik teguran itu pula. Sudah tentu hikmah teguran tadi telah hilang. Hasilnya ialah akibat-akibat dan kesan buruk pula yang timbul.

Inilah menyebabkan lebih ramai orang bersifat hipokrik dan tidak mahu bersikap benar. Tidak sanggup menanggug risikonya... Sebab itulah Rasulullah saw bersungguh-sungguh menegaskan supaya kita bercakap benarlah walaupun pahit.

Saya masih ingat bila seorang suami yang mahu bercakap benar dengan isterinya bahawa dia ada hubungan dengan seseorang perempuan di luar, niatnya itu telah disalah-ertikan lalu menimbulkan suasana keruh dalam rumah tangga. Padahal si suami hanya mahu bercakap benar. Mahu bersikap jujur. Tapi isterinya terus mengamuk dan melarikan diri ke rumah ibubapanya. Mungkin ini juga menjadi faktur mengapa suami tidak mahu bercakap benar. Biar terus menipu asalkan hubungannya dengan isterinya akan terus manis bermadu... pada masa yang sama dia akan terus selamat berhubungan dengan perempuan di luar sana. Biarpun dia tahu skandal sebegitu akhirnya akan pecah juga. Namun biarlah buat sementara waktu dia merasa selamat dengan terus bersikap hipokrik sebegitu.

Berbalik kepada kata-kata yang diungkapkan oleh juru jual kepada saya petang semalam, saya merasakan agar sukar sekarang ini orang sanggup bercakap benar. nanti pelanggannya akan lari dan benci untuk datang ke kedainya lagi. Sudah tentulah jika orang yang tidak dapat menerima kenyataan tadi akan tersinggung dan berkata; "awak tu kalau nak berjual, buat cara orang nak berjual, mulut tu jangan macam-macama..."

Teringat juga kepada satu kisah di sebuah surau yang telah menjemput seorang ustaz untuk berceramah di mana sang ustaz ini telah menyebut bahawa contoh pemimpin yang baik tu sekurang-kurangnya dia dan keluarganya dapat menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat atau orang yang dipimpinnya. Lalu si ustaz ni menyebut satu contoh bagaimana pemimpin kita tidak mampu mendidik isterinya mentaati perintah Allah seperti menutup aurat dan sebagainya. Secara terus-terang ustaz itu menamakan pemimpin itu dan isterinya yang tidak menutup aurat.

Sesudah program tersebut, seorang jawatankuasa surau dengan marah berkata apalah ustaz tu bercakap tidak beralas langsung. Lalu salah seorang ahli jawatankuasa bertanya apakah yang di sebut oleh ustaz itu tidak betul dan orang yang tidak menutup aurat itu berselindung-selindung tidak tutup aurat? Secara jujur dia berkata bahkan isteri pemimpin itu memang dengan terbuka dalam apa-apa suasana di tempat awam tidak menutup aurat kecuali masa hadir majlis keagamaan dan kematian sahaja. Jadi kata hamba Allah ini dimana silapnya ustaz tadi kerana dia sudah bercakap benar. Lantas orang ini terus berdiam diri...

Cuba bayangkan jika semua ahli jawatankuasa surau tersebut semuanya satu spesis dengan si pengkritik yang tidak puas hati dengan ustaz tadi biarpun ustaz tadi nyata sekali bercakap benar. Sudah tentu ustaz itu akan di"gam" dan sebagainya...

Begitulah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Betapa sedikit orang yang mahu bercakap benar. Selebihnya adalah orang yang hipokrik dan berpura-pura kerana takut bercakap benar.

Semua orang itu ada alasan mereka sendiri. Jadi Bercakap Benarlah Walaupun Pahit.

Wallahu A'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?