Saya Masih Di sini...

Oleh isma daud


Masih saya ingat pada tarikh ini; 28 Oktober 2007, saya mendapat keberanian untuk menjadi seorang blogger. Di mana percubaan saya menulis hanya hadir pada 31 Oktober sebagai posting pertama saya. Cuba-cuba saja.

Sekian lama saya hanya menjadi pembaca kepada blog orang lain sehingga ke saat dan detik tarikh ini sudah  dua tahun berlalu ; saya benar-benar yakin untuk menyertai dunia luas tanpa sempadan ini. Beberapa kali saya melayari blog milik Kassim Selamat yang saya temui secara tidak sengaja. Membaca blognya membuatkan saya terfikir mengapa saya tidak boleh berbuat seperti dia sedangkan dia hanya memiliki satu jari untuk menulis dan saya juga memiliki kemahiran satu jari juga untuk menaip. Sementara jari telunjuk kanan saya menekan huruf, jari telunjuk kiri pula mampu menekan vokal "A", "Caps Lock" dan "Shift" sahaja di papan kekunci (keyboard). Lain-lain huruf konsonen semuanya dikendalikan oleh jari telunjuk kanan. Jari-jari lain terus mati gerak ketika menaip.

Jadi saya mula mendapat semangat untuk meneroka alam blog  ini sedangkan saya bukanlah mahir menggunakan komputer. Hanya sedikit keberanian saya memulakan langkah ini.

Setelah saya menyertai rangkain blogger lain saya rasa teruja dan mula memaklumkannya kepada sahabat-sahabat terdekat. Ada yang menerima secara positif dan tidak kurang memandang negatif usaha saya. Tapi saya tidak kisah. Sekali lagi saya mengenang saudara Kasssim selamat yang hanya terbaring di katilnya mampu keluar ke dunia luas tanpa sempadan ini, mengapa tidak saya juga?

Seorang hamba Allah, kawan baik juga asalnya tapi kini dia sudah jauh berjaya dalam kerja dan kerjayanya menelefon saya mengajak saya minum di sebuah cafe..."Melanau Cafe" namanya, yang mana cafe ini telahpun berkubur tanpa nisannya... untuk menyatakan pandangannya tentang saya yang mula berblog.. Ternyata dia begitu negatif kepada saya. Mempersoalkan siapa saya dan siapa nak baca blog saya. Memang saya tidak memiliki PhD, MA dan Ijazah Kelas Pertama. Saya hanya seorang pendidik dan daie kerdil yang menamakan blog saya sebagai blog "USTAZ ROSLI DHOBY". Jadi pada pendapat dan pandangannya, siapalah yang mahu pandang tulisan saya.  Begitu sekali pandangannya kepada saya... Dia hanya ajak saya minum hanya kerana itu... tidak mengapalah. Dia ada kebebasan sendiri menyatakan apa yang dia rasa sebagaimana saya rasa saya juga ada kebebasan yang sama untuk bersuara. Pada saya kini, semua itu adalah cabaran awal kepada saya untuk terus istiqamah dalam arena ini.

Memang betul saya tidak memiliki semua itu tapi saya hanya ada kemahuan dan keberanian. Syukurlah sehingga hari ini saya masih istiqamah dan terus menulis sekadar kemampuan saya. Adanya saya di persada ini bukti keikhlasan saya untuk berbakti kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling saya agar memperolehi manfaat bersama.Semuanya ini saya lakukan kerana Allah dan mengharapkan redhaNya jua.

Syukurlah saya masih di Sini...

Persepsi salah kepada blogger ini bukan sedikit bahkan ada menteri pun menuduh bahawa blogger ini adalah kerja orang yang tidak ada kerja dan mengata orang lain saja. Tetapi saya berpendapat bahawa blog merupakan medium terbaik untuk kita berhubung dengan siapa saja di dunia luar. Biarpun kini pelbagai medium baru yang lebih ringkas dan cepat untuk menerima respond daripada pihak lain seperti FACEBOOK, Friendster dan lainnya, blog lebih jauh berkesan kerana dia lebih peribadi dan ruang menulisnya lebih lengkap dan sempurna. Bahkan dengan berblog ini, saya merasakan saya bagai seorang guru dan orang yang datang bertandang ke blog saya bagaikan murid-murid yang datang berkongsi ilmu di sini. Sebab itu saya jadikan matlamat saya berblog ini adalah untuk mengajak sesiapa saja di luar sana untuk menjana hidup beragama. Mengajak mereka untuk sama-sama untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Medium Penghubung

Semoga blog ini akan terus menjadi penghubung saya dengan sesiapa saja tanpa syarat. Bahkan saya merasakan banyak sebab saya bersyukur menjadi seorang blogger kerana saya telah berkesempatan menolong insan-insan yang memerlukan bantuan termasuk khidmat nasihat kaunseling dan  menjawab pelbagai isu dan persoalan agama yang mampu saya kendalikannya.  Sekadar ilmu yang dikurniakan oleh Allah SWT. Walaupun saya akui bahawa saya bukanlah seorang kaunselor atau seorang mufti tapi saya selalu mengingatkan diri saya bahawa saya adalah seorang daei pada jalan Allah SWT. Jadi saya ada tanggungjawab dan fungsi membimbing mereka yang memerlukan khidmat saya. Bahkan saya merasa lebih ikhlas di sini. Orang datang dan pergi dan semuanya bebas berbicara tanpa syarat dan tanpa sekat.

Apabila saya menerima hukuman masyarakat yang tidak memungkinkan saya menyampaikan kuliah di surau dan masjid, maka di sinilah saya meluah rasa. Sejak detik itu saya menulis dengan "suara rasa dan bicara isma daud". Saya berharap sesiapa saja yang mentelaah blog saya dapat menyelami hati dan perasaan saya yang menghadapi saat sukar dalam hidup saya ketika itu. Bahkan saya mendapati pihak2 bermusuhan dengan saya menjadikan blog ini santapan mereka setiap hari. Ada sumber-sumber yang memberitahu saya begitu. Bahkan tulisan saya mereka ulas dalam liqa' mereka sendiri... Bahkan wakil mereka ini ada berkata kepada saya dalam satu perjumpaan rasmi; "Kita tahu apa yang ustaz tulis dalam blognya kepada kita...".

Di sinilah saya mencurah suara hati saya. Syukur. Pelbagai respon telah saya terima samada baik maupun buruk... semuanya menjadi pengajaran berguna kepada saya. Di atas sokongan mereka yang menghargai dan mengertikan saya, saya kini bersemangat semula dan mampu bangkit dari kejatuhan itu.. Kuliah saya  kini mula berputik semula biarpun tidak sesemeriah dulu. Biarpun kini kuliah saya itu hanya di rumah kediaman individu dan di halaqah-halaqah tertentu saja. Namun syukur saya masih berpeluang mengatasi segalanya.

Sejak peristiwa itu, saya mula mengenal siapa kawan, siapa lawan. Siapa yang jujur dan siapa yang hipokrik. Siapa yang membangunkan dan siapa yang menjatuhkan... saya mula kenal erti kebenaran dan kejujuran...

Walau apa pun, syukur kerana sudah masuk tahun ke tiga , saya berada di dunia blogger ini. Dan saya syukur kerana saya masih kukuh berdiri di sini. Alhamdulillah!!!

Comments

muzaha said…
SYUKRAN kerana masih istiqamah dalam menulis. Ana akan jadi pengunjung setia syeh selagi mana ada capaian internet dalam hidup ana :)

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?