Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Saturday, September 05, 2009

Lebih Dermawan Dalam Bulan Ramadhan

Oleh isma daud.

Hari ini saya sekadar membuat catatan santai saja. Masuklah kini hari 15 berada dalam bulan Ramadhan tahun ini. Kelmarin, sempat berbincang dengan kawan-kawan tentang majlis berbuka puasa yang akan kami adakan di Surau al-Nadwah pada 16 September nanti. Kira-kira majlis penamat dan penutup aktiviti surau dalam bulan Ramadhan ini sebelum sekolah cuti untuk berhari raya. Warga SMK Rosli Dhoby akan kembali ke tempat masing-masing khususnya mereka yang bujang dan berasal dari Sarawak ini. Tinggallah perantau macam saya beraya di sini... Sekolah akan mula bercuti mula Jumaat; 18 September 2009 nanti.

Sempatlah kami membuat sedikit semakan kepada jumlah dana yang kami ada untuk mengadakan majlis yang sederhana ini. Hajatnya tu nak jemput ibubapa pelajar yang akan menghadapi peperiksaan awam tahun ini baik PMR, SPM dan STPM. Langsung buat solat hajat pada malam itu.

Alhamdulillah dana yang ada itu mencukupi rasanya. Semuanya adalah kemurahan Ramadhan. Semuanya adalah nikmat dan kurniaan Allah SWT yang tidak terhingga. Maha Murah Dan Maha Mulia Allah yang membuka hati-hati kami agar bersifat dan bersikap pemurah seperti ini. Alhamdulillah, ramai yang bermurah hati memberi sumbangan dan ramai yang menjadi lebih dermawan. Saya yakin semua itu kerana kesedaran yang maha hebat dalam hati masing-masing untuk mencontohi dermawan Rasulullah saw khususnya pada bulan Ramadhan.

Begitu juga setiap malam selepas solat sunat Teraweh dan Witir; pasti ada saja jamuan yang melimpah-ruah hasil dermawan para jamaah yang datang. Bahkan bergilir-gilir mendaftar diri untuk menjadi penyumbang moreh ramadhan dan semua rasa bimbang kalau-kalau tertinggal dan terlepas peluang berderma dalam bulan Ramadhan ini.

Sumbangan kepada Surau An-Nadwah, alhamdulillah masih berjalan dari masa ke semasa. Biarpun tidak banyak namun sentiasa ada. Setakat ini bahagian anjung surau yang ditambah sejak bulan April lalu sudah boleh digunakan oleh ahli jamaah. Biarpun masih ada ruang yang tengah dibaikpulihkan. Kemurahan ahli jamaah bukan setakat wang ringgit tetapi khidmat bakti, tenaga dan buah-fikiran tanpa mengharap balasan itu, membuktikan betapa keikhlasan dalam hati mereka. Sunguh menyentuh hati dan perasaan saya. Sungguh kami di sini ilmu tidak banyak, sentiasa belajar dan belajar tetapi keinginan untuk melihat syiar islam itu megah sentiasa berkobar-kobar.

Dalam kesempatan ini saya selaku Pengerusi Surau Darul Nadwah ingin melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada setiap insan yang tidak putus-putus menyumbang kepada surau kami ini. Terima kasih kepada badan-badan tertentu, orang-orang perseorangan dan ibubapa pelajar yang terus mendokong kemajuan surau ini. Terima kasih buat semua biarpun tidak termampu saya menyenaraikannya di sini. Jazakumullahi khairan Jazaa'.

No comments:

Related Posts with Thumbnails