Aidil Fitri... Kami Syukur Cuma Kami Kesal

Oleh isma daud



Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin...Begitulah ucapan yang mengiringi kehadiran Syawal tanda penamat kepada bulan Ramadhan. Berbagai gaya ucapan yang datang melalui kad raya walaupun hanya menerima beberapa keping saja, yang banyaknya melalui pesanan ringkas (SMS), e-mel dan Facebook. Kalau dulu kad raya yang banyak ini kita gantung lagi sebagai hisan rumah pada hari raya. Tapi kini segalanya sudah berubah.

Aidil Fitri Datang lagi... Syukur.


Menjelang hari raya kami sekeluarga sempat membersihkan sedikit halaman rumah dan menyusun atur kerusi meja secara sederhana. Tiada yang baru, semuanya yang lama-lama. Sepertimana biasa sebagai anak rantau; malam raya di sambut sesama keluarga kecil kami di Sibu sahaja. Tiada saudara mara di sini. Zakat Fitrah saya dah siapkan pada hari-hari 10 terakhir lagi. Baju-baju raya anak-anaklah yang menjadi keutamaan. Isteri pula sejak menjadi "Tukang Jahit" ni tempahan baju raya tidak pernah habis, sampai menjelang raya masih lagi menyiapkan tempahan rakan-rakan. Alhamdulillah pada tahun ini, mana yang menjadi keperluan keluarga , isteri saya telah menyediakan awal lagi. Tidaklah berkejar antara baju sendiri dengan tempahan orang lain. sehingga baju sendiri, pagi raya baru nak jahit....

Solat Aidil Fitri

Sebagai tanda kesyukuran kami bersolat Aidul Fitri di Masjid Darul Halim, Sibu. Kami bertandang ke masjid lebih awal sekitar jam 7.15am sedangkan solat Sunat Idilfitri hanya mula jam 8.30am. Kami mengambil peluang untuk bersama-sama bertakbir hari raya bersama-sama umat Islam di sini. Suasana masjid juga meriah sehingga para jamaah penuh sampai ke halaman masjid. Kalau lambat memang tidak dapat masuk masjidlah jawabnya. Alhamdulillah.

Ke Masjid Tapi Solatnya Tidak..!!!

Namun beberapa sikap negatif umat Islam yang suka bercakap hal-hal yang tidak berfaedah masih belum berubah. Khutbah hari rayapun; suara khatib sama kuat dengan suara makmum di bawah khususnya suara orang perempuan di belakang sana. Sepatutnya datang awal mereka terus masuk ke dalam masjid , bersolat sunat Idulfitri, mendengar khutbah raya dan berniat i'tikaf serta menumpukan kepada usaha-usaha amal ibadat dengan bertakbir dan sebagainya bagi melahirkan kebesaran Allah SWT. Tetapi malangnya ramai yang bercakap-cakap kosong sesama sendiri dan ada yang berkumpul di tepi-tepi kereta di kiri-kanan jalan serta tempat letak kereta. Bila di panggil masuk masjid ada yang semakin lari. Mereka ini bukan datang mahu buat ibadah tetapi "adat" hari raya; orang lain pergi masjid eh kita sama pun terhegeh-hegeh ke masjid. Sekadar ke masjid jelah. Solatnya tidak... Malu nak duduk rumah agaknya. Langsung tidak faham agama. Yang adat diutamakan dan yang ibadat diabaikan. Sebab itu bila solat hari raya je, orang datang ke masjid melimpah ruah sehingga AJK masjid berfikir bagaimana mahu menampung keperluan para jamaah yang datang. Cuma hari raya...

Abab Berhari Raya.

Sebagai orang Islam; hari raya bukan hari kita melakukan maksiat tetapi hari kita meneruskan ibadat. Oleh itu seharus dan semestinya kita sedar bahawa, menyambut hari raya adalah bertujuan kita melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT. maka perkara-perkara adab menyambut hari raya hendaklah kita raikan dengan sebaik mungkin. sudah banyak pihak tertentu menjelaskan tentang hal ini; baik di media cetak atau di media elektronik. Tidak kurang ceramah , kuliah dan tazkirah sepanjang bulan Ramadhan. Cuma penghayatan belum memuaskan lagi.

Pakaian, rambut dan sebagainya cukup menjolok mata. Yang perempuan masih tidak menutup aurat, berkain belah dan sebagainya. Pengambilan alat solek yang tidak bersesuaian masih menjengkilkan mata dan hati orang beriman. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan, membonceng motosikal secara berpasang-pasangan antara ajnabi semasa berkunjung raya dan bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan tanpa alas bagai tiada rasa bersalah apa-apa.

Mengecewakan

Apa yang menyedihkan hati saya ialah semasa berkunjung ke rumah seorang Ustaz, dia sendiri pun bersalaman tanpa berfikir akan halal dan haramnya. Yang saya sedih yang datang tu (perempuan) tidak pula bersalaman dengan isterinya tapi bersalam dengan ustaz tu saja. Seronok sangat dia bersalaman dengan wanita ajnabiah. Sebagai tetamu saya cuma merasa sedih kerana kesal dengan insiden yang berlaku. Bila saya semak ternyata ustaz ini tidak pernah saya lihat bersolat berjamaah di surau walaupun surau itu tidak berapa langkah dari rumahnya. Bersangka baik dia berjamaah di surau-surau lainlah. Ya! Ustaz adalah dikira sebagai orang yang faham agama... sebab itu orang panggil "ustaz", tapi kalau ke surau yang berjiran pun tidak pernah, berjamaah pun tidak, akhirnya kita akan jadi salah seekor kambing terpencil yang akan dimakan oleh serigala sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW.

Sehingga saat ini saya belum menegurnya lagi. Kalau tidak difikirkan saya ini sebagai tetamu mahu saya bentak dia depan orang ramai dekat situ. Saya bertandang beraya ke rumahnya mengenangkan kawan dan saudara seagama. Berada di tempat orang pula. Rasa hormat kepadanya masih ada. Pada masa tu ada lagi ustaz lain yang datang dan dia pun geleng kepala. Jadi saya harap ustaz tu ada terbaca catitan saya ini dan dapat berubah ke arah cara hidup yang lebih diredhai oleh Allah SWT. Jangan nanti orang awam berkata; "Inikan kami . Para ustaz yang belajar dan jauh faham agama, balik Mesir pulak tu; pun buat yang lebih teruk daripada kami...Kira-kira kami ni jauh lebih elok lagilah sebab kami ni tidak belajar dan kurang kefahaman agama...".

Bukankah dengan sikap ustaz yang negatif itu telah menjadi hujah kepada diri kita sendiri. Ini akan menyebabkan kita semakin sukar untuk menyampaikan dakwah. Kepada ahli masyarakat sepatutnya kita semua kembali kepada Al-Quran dan Al-Hadis kerana itulah petunjuk sebenar ke jalan yang di redhai Allah yang menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.

Budaya Bertandang Rumah Masih subur


Pada hari raya pertama dan kedua; saya sekeluarga dan kawan lain terus mengamalkan budaya berziarah di rumah rakan taulan dan umat Islam di sibu ini. Alhamdulillah budaya ini masih subur. Kuih muih pun banyak termasuk makanan tradisi orang Sarawak seperti Kelupis, ketupat, lemang dan rendang masih mendapat tempat. Paling orang Sarawak tidak lupa untuk dihidang kepada tetamu ialah kek lapis yang berbagai nama terhidang penuh di atas meja. Apa yang menarik tahun ini, banyak rumah yang telah menukar tradisi menghidang "air gas" kepada minuman kordial.

Hari ini ( raya ke tiga); insya Allah kami sekeluarga akan bertandang lagi ke rumah-rumah sahabat handai di sini. Masih banyak rumah yang mahu diziarahi. Semoga ada catitan baru dan teguran membina dapat saya lakukan di sini. Ya Allah permudahkanlah, amiin.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?