Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Wednesday, May 06, 2009

Seorang lagi wanita mengandung maut angkara peragut

mStar

KOTA BAHARU:
Selepas seorang wanita mengandung maut di tangan peragut di Johor Ahad lalu, satu lagi kes kematian yang disebabkan oleh angkara peragut yang turut melibatkan wanita mengandung, berlaku di Kelantan hari ini.

Dalam kejadian di Kampung Padang Raja, Jalan MelorKetereh di sini, Saripah Mohd Noor, 33, dari Kampung Melawi, Bachok yang mengandung tiga bulan maut selepas diragut oleh seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Zahruddin Abdulah berkata kejadian berlaku selepas mangsa yang sedang menunggang motosikal telah diragut beg tangannya sehingga menyebabkan motosikalnya terbabas dan jatuh.

Mangsa kemudiannya dilanggar oleh sebuah kereta yang dari arah bertentangan dalam kejadian kirakira pukul 10.50 pagi ini, katanya.

Ketika kejadian, mangsa dilaporkan sedang menunggang motosikal bersendirian untuk ke rumah ibunya di Tumpat.

"Mangsa yang cedera parah di beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian," kata Zahruddin kepada pemberita.Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Suami Saripah, Mat Jani Awang, 39, berkata beliau mengetahui tentang kematian isterinya pada sebelah tengah hari setelah dihubungi adik iparnya di tempat kerjanya.

"Saya tidak sempat tengok isteri saya di tempat kejadian. Apabila saya sampai, mayat isteri saya sudah dimasukkan ke dalam kenderaan polis untuk dihantar ke hospital," katanya.

Beliau berkata kali terakhir beliau menemui isterinya dua hari lepas, sebelum Saripah ke rumah ibunya di Kampung Tok Dollah, Tumpat bagi menziarah dua orang anak mereka yang dijaga oleh ibunya.

Saripah meninggalkan lima orang anak, tiga lelaki dan dua perempuan berumur antara 2 hingga 13 tahun.

Seorang penduduk yang enggan namanya dikenali berkata sebelum ini dua kes ragut berlaku di kawasan berdekatan tempat kejadian.

"Dalam kejadian pertama tahun lepas kira-kira 50 meter dari tempat yang berlakunya kejadian hari ini, seorang wanita warga emas yang berjalan kaki sendirian diragut oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

"Kejadian kedua berlaku bulan lepas ketika mangsa yang menaiki motosikal diekori oleh peragut sebelum diragut beg duitnya yang diletak di dalam raga motosikalnya," katanya.

Penduduk tersebut berkata kawasan Melor sering menjadi sasaran peragut kerana bilangan penagih dadah yang ramai dan belum ada tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

Dalam kejadian di Johor, Jamilah Selamat, 31, yang dilaporkan sedang hamil dua bulan maut setelah diragut berdekatan rumahnya di Taman Mekar, Ayer Hitam malam Ahad lalu.

Mangsa yang terjatuh dari motosikalnya selepas diragut oleh dua lelaki bermotosikal, koma selama 36 jam sebelum meninggal di Hospital Sultan Aminah semalam. BERNAMA

No comments:

Related Posts with Thumbnails