Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Monday, May 11, 2009

Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2

Oleh isma daud

(Artikel ini adalah sambungan daripada kuliah saya kepada guru-guru Islam di SMK Methodist).
Sila klik link/posting terdahulu; Bah 1 : Kuliah Kepada Guru-Guru Islam Di SMK Methodist

(Siri 1)
MUKADDIMAH

Firman Allah SWT;
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ . ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ - سورة التين

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang Yang rendah". - Surah At-Tiin; ayat 4-5.


Setelah saya membincangkan beberapa faktor untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat; kini saya ingin menggariskan beberapa ciri sahsiah mereka yang akan beroleh kecemerlangan dalam hidup baik kehidupan duniawi maupun ukhrawi; baik di peringkat individu maupun sebuah masyarakat dan negara;

Ciri-ciriNYA…

CEMERLANG (1) : Sahsiah yang memiliki aqidah yang mantap

• Aqidah tulin dan akhlak terpuji berjaya melahirkan khairul ummah. Buktinya; Kejayaan Rasulullah meletakkan “Marhalah Bina’ selama 13 tahun di Makkah menjadi asas kejayaan dakwah dan Daulah Islamiah yang pertama di Madinah Al-Munawwarah selepas hijrah. “Marhalah Tamkin” berjaya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun sahaja. - Sila rujuk tulisan Said Ramadhan Al-Buthi dalam bukunya Fiqh Sirah.

Sahsiah Yang Memiliki Aqidah Salimah adalah mereka yang;
• Mengucap Dua Kalimah Syahadah
• Menyaksi dan memperakukan keimanannya kepada Allah dan menolak sekutu baginya
• Menyaksi dan memperakukan keimanannya tentang kerasulan nabi Muhammad SAW sebagai nabi terakhir yang diutuskan kepada sekelian alam.
• Mencintai Allah dan Rasul lebih daripada yang lain
• Memperakukan segala rukun Iman
• Menjaga akidah daripada rosak dan binasa.

Sebaliknya jika persoalan iman dan aqidah ini dikesamp[ingkan; tunggulah saat kebinasaan sahsiah individu dan ummah ini; Kerosakan akhlak dan keruntuhan moral akan menawan jiwa umat islam tanpa mengenal rupa, usia dan darjat keturunan. Bahkan bala itu tidak mengenal siapa. Ini kerana kecemerlangan individu itu adalah mata rantai kepada kecemerlangan sesebuah masyarakat dan ummah. Jika individu rosak maka kesannya melimpah kepada ummahnya. Jadi semuanya akan terpalit noda dan kehinaan.

Bermula dengan Gejala Sosial di kalangan Remaja seperti berlakunya penyebaran ajaran Black Metal, Gothic, Punk, budaya Money Boy, Bohsia, Mat Rempit, Budak Makan Sampah, Grrr…

Sehingga kepada isu bohsia, bohjan dan pergaulan bebas sehingga terjebak isu pembuangan bayi atau melahirkan anak luar nikah. Sebagai contohnya; Pada tahun 2006, sebanyak 83 kes pembuangan bayi telah dicatatkan di seluruh negara berbanding 65 kes pada 2000. Sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya masih merupakan janin. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pembuangan bayi turut menular di institusi pengajian tinggi (IPT).

Jelasnya Gejala Sosial Remaja Tak Habis-habis….. yang dewasa dan yang tua apa kurangnya; ironisnya ada yang jadi haruan yang makan anaknya...

• Hasil kajian seorang pensyarah di UKM yang mendapati sebahagian besar responden pelajar perempuan yang dikajinya di sekolah menengah di negeri Selangor pernah melakukan hubungan seks (2007).

• Mengikut kajian NGO Prostat; di anggar 17 orang setiap hari rakyat Malaysia dihinggapi HIV / Aids. (Sumber : MHI/10-01-2008)

Semua ini berlaku kerana daya tahan iman dan akidah dalam jiwa insan itu terlalu rapuh dan mudah goyah, bahkan tercabut daripada paksinya; Firman Allah SWT; "Berkata orang arab; “ Kami telah beriman! Allah berfirman: “Mereka belum beriman, akan tetapi ucapkanlah kami telah Islam kerana belum masuk lagi keimanan itu ke dalam hati mereka. Kecualilah jika mereka itu telah taat kepada Allah dan RasulNya; tidak pula amalan mereka itu dikurangkan pahalanya, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang ”. - Surah Al-Hujurat; 14.


CEMERLANG (2) : Sedia berhijrah (BERUBAH) dan berjihad (BERJUANG) bagi mengharapkan rahmat dan keampunan Allah.

FIRMAN ALLAH SWT:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُواْ وَالَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَاهَدُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ أُوْلَئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللّهِ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ . سورة البقرة
Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta orang-orang yang berjihad pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang mengharapkan rahmat Allah dan allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Pengasihani". Surah Al-Baqarah; ayat 218.

Untuk mencapai kejayaan mungkin lebih mudah tetapi untuk mencapai tahap cemerlang memerlukan jihad dan hijrah. Ramai orang yang menyuarakan hasrat untuk berubah dan tidak kurang orang yang menyebut-nyebut azam baru tatkala datang tahun baru atau ketika sambut ulangtahun kelahiran. Selepas itu dia kembali kepada tabiat dan watak asalnya. Sukar untuk berubah. Ingat sesuatu yang kita lakukan tanpa hijrah sebenarnya kita akan terus mengulangi pengalaman dan sejarah sama untuk kesekian kalinya. Inilah hambatan kepada kita untuk cemerlang.

Orang yang cemerlang akan memulakan dari dalamannya. Ubah cara fikir dan rasa; yang mahu diubah ialah maknawinya. Oleh itu untuk berubah ianya bermula dengan niat. Hatinya mesti dibersihkan terlebih dahulu. Jika hati bersih akan kuranglah musuh dalam jiwanya dan selamatlah dia daripada tipu daya syaitan. Jika jiwanya bersih; yang lain akan turut bersih.

Rasulullah SAW pernah menegaskan dalam sabdanya yang mafhumnya; "Sesungguhnya dalam diri manusia ada segumpal daging, jika baik maka akan baiklah seluruh anggota badannya dan jika ia rosak akan rosaklah segala anggota badannya yang lain. Itulah hati".

Apabila ini berlaku akan mudahlah datang rahmat yakni kasih sayang Allah SWT kepada orang itu beserta keampunan dariNya. Jika jiwanya sudah bersih dan akalnya lapang akan memberi kebaikan yang banyak kepada individu itu baik dari kesihatan jasmani dan rohani. banyak penyakit dapat dirawat khususnya penyakit-penyakit jiwa. Jika kita sihat banyak pula sumbangan yang dapat kita lakukan.

Jelasnya insan yang rela berhijrah akan mudah berjaya dan mampu mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat.

Baca Selanjutnya :
1. Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2 (Siri 2).
2. Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2 (Siri 3/ Akhir)

No comments:

Related Posts with Thumbnails