Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Saturday, May 16, 2009

Masihkah Guru Dihormati Dan Dihargai; Selamat Hari Guru

Oleh isma daud

'Guru Pembina Negara Bangsa' - Tema Hari Guru 2009. Guru sekali lagi diletakkan dibarisan utama untuk membina negara yang cemerlang. Tugas mereka sekarang ini bukan sahaja untuk melahirkan insan seimbang bahkan mengorak langkah yang lebih besar iaitu membina negara bangsa. Dengan misi negara sekarang ini yang mahukan rakyat Malaysia hidup dengan lebih harmoni dan saling hormat-menghormati sehingga setiap insan berasa mereka adalah rakyat Malaysia dan tiada apa-apa perasaan bahawa mereka terkurang daripada hak sebagai seorang rakyat Malaysia.

Biarpun banyak halangan yang perlu ditempuh seperti halangan sejarah; ianya tidak seharusnya dijadikan halangan untuk membentuk sebuah bangsa "Malaysia". Kita tidak mampu mengubah apa-apa yang ditentukan Allah SWT kepada kita, namun kita masih ada ruang yang dikurniakan Allah SWT untuk membina sesuatu yang utuh disebalik perbezaan yang ada. Sepatutnya kita melihat bahawa perbezaan yang ada mampu menguatkan kita. Perbezaan itulah menjadikan kita satu bangsa yang unik.

Perpaduan di kalangan rakyat perlu dipupuk sejak dibangku sekolah lagi. Pelajar perlu dididik supaya membina budaya hidup yang saling hormat-menghormati dan saling harga-menghargai. Perasaan hormat menjadikan kita merasakan keberadaan orang lain di sekitar kita dan perasaan menghargai sesuatu menjadikan kita orang yang mampu hidup dengan persekitaran yang kita ada.

Hari ini dua sifat ini sedang mengalami cabaran kerana perkembangan zaman dan masa. Kesibukan manusia mengejar kerjaya, status dan pencapaian individu. Kehidupan ini sedang memusnahkan perasaan murni yang ada dalam diri manusia.

Sekarang perasaan hormat kepada orang lain kian terhakis dan menghargai sesuatu pun kian pudar dari hati kita.

Contoh terbaik ialah bila anak-anak murid atau pelajar kita tidak lagi menghormati gurunya kerana dia berasal dari keluarga yang berstatus tinggi dalam masyarakat. Datang ke sekolah dengan berkereta besar sedangkan gurunya berkereta kecil dan bermotosikal sahaja. Jiwa pelajar merasakan gurunya jauh lebih kerdil daripada dirinya sehinggakan dia merasakan dia lebih dominen dan berpengaruh daripada gurunya. Apatah lagu sekarang ini ibubapa yang sangat menyebelahi anak dan sanggup menyaman dan me"report" gurunya kepada polis atas hukuman yang diberikan oleh guru yang asalnya berniat untuk mendidik.

Kalau dulu jika guru merotan murid sesampai dirumah ibubapa akan sediakan rotan yang lebih besar untuk anaknya. Itu dulu, zaman pun telah berubah. Cara mendidik pun berubah. perasaan hormat kepada guru turut berubah. Saya ada menerima satu mesej daripada sahabat saya secara sinis menulis; "Bila murid duduk...cikgu berdiri! Bila murid diseligi....cikgu pula kena gari, murid datang naik BMW 7 Siri.... cikgu datang naik motor buruk road tax pun dah mati! Murid pergi belajar sampai PhD.... Cikgu baru berkira-kira nak sambung degree. Namun begitu... di dunia cikgu berbakti, moga akhirat syurga tempat kekal abadi". Penghormatan kepada guru hanya pulang kembali kepada guru bukan daripada muridnya dan ibubapa muridnya. Guru terpaksa membujuk diri bahawa keadilan kepadanya hanya datang daripada Allah sahaja di akhirat nanti.

Inilah cabaran yang perlu diperkukuhkan oleh guru bahawa muridnya perlu merasakan dirinya masih perlu dihormati. Masyarakat akan terus menghormatinya dan menghargainya. Begitu besar tembok yang perlu dirobohkan oleh seorang guru.

Berapa ramai ahli masyarakat di luar sana mengiktiraf profesian keguruan sebagai satu profesion yang mulia dan tinggi kedudukannya. Jika guru gagal mendidik anak didiknya agar menghormati dirinya, jangan diharap mereka akan mampu menjadi warga yang boleh menghormati orang lain dan peraturan alam yang ada. Lihat saja apabila mereka keluar dalam masyarakat; watak pelajar berubah menjadi "Mat Rempit", "Bohsia" dan "Bohjan". Banyak lagi gejala sosial yang dikaitkan dengan pelajar hari ini. Gagalkah guru membina anak didiknya menjadi warga yang ada harga diri dan tahu menghormati serta menghargai sesuatu?

Bagi saya jika guru benar-benar jujur untuk menjadi guru dan mendidik secara benar-benar akan muridnya sudah pasti ilmu itu akan masuk ke dalam jiwa anak didiknya. Pesanan guru bagaikan keramat yang meresap dalam jiwa mereka.

Namun berapa ramai guru hari ini yang hanya menjadi pemindah maklumat sahaja sedangkan jiwa anak didik mereka dibiarkan kosong daripada pengisian agama dan akhlak yang mulia. Secara sinisnya ada guru berkata; "Buat apa yang saya kata dan jangan buat apa yang saya buat". Apa nilainya kata-kata guru ini di hadapan murid atau pelajarnya. Mampukah guru seumpama ini mendidik anak bangsanya menjadi mereka yang beridentiti diri dan mampu mengharungi cabaran dunia yang penuh pancaroba hari ini.

Wahai guru; ayuhlah mulakan dengan dirimu berbuat dengan apa yang kamu kata, kota apa yang ditinta. Guru perlu yakin dengan dirinya. Bila dia mengotai apa yang dikatakannya, maruah dirinya akan dikembalikan kepadanya. Biarpun sekecil mana yang dikatakan, lakukanlah; supaya murid dan pelajar anda akan tahu menghormati dan menghargai anda. Kegagalan guru mengotakan apa yang dikatakannya akan meletakkan kehormatan dan penghargaan muridnya berada ditahap yang rendah sebabnya guru itu sendiri tidak menghormati dirinya. Oleh itu guru perlu kembali kepada fungsi dan tugasnya untuk mendidik agar dia bukan penyampai maklumat sahaja. Tiada sesiapa yang akan hormati kita selain kita terima upah dihujung bulan sahaja.

Saya pernah terserempak dengan guru yang muridnya tidur bukan sekadar tidur tapi tidur menelentang dalam kelas atas tiga kerusi yang disusun rapi dalam kelas. Guru yang terus mengajar sedang murid bercakap dan berbuat hal sendiri. Apa yang berlaku, guru sudah tidak kisah lagi... Ada pihak guru yang marah bila saya katakan begitu, tapi itulah yang berlaku. Biarpun ini isu yang terpencil dan sebilangan guru sahaja yang mungkin begitu tapi ianya adalah sebuah realiti yang berlaku. Tugasnya ialah memindahkan maklumat ke dalam kelas. Terlalu kejam saya menghukum rakan guru sebegitu. Tapi itu yang berlaku jika guru tadi tidak berada dalam fungsinya yang sebenar. Penghormatan diri hilang dihadapan muridnya. Memang murid hari ini terlalu kurang hormat kepada gurunya kerana mereka tahu jika gurunya bertegas sangat nanti, gurunya tersalah mereka boleh saman cikgunya nanti... Berapa ramai murid atau pelajar yang melanggar gurunya sampai hampir tersungkur gurunya ke tanah, tanpa minta maaf dan tidak memberi salam. Semuanya ini adalah nilai murid dan pelajar yang tidak tahu menghormati dan menghargai.

Saya teringat kepada seorang guru yang bertugas di sebuah sekolah di ibu kota bercerita kepada saya sebagai guru baru yang baru bertugas dia tidak mendapat apa-apa penghargaan daripada muridnya walau dengan sepatah kata "Selamat Hari Guru , Cikgu". Usahkan mahu diberikan sekuntum bunga atau sekeping kad hari guru. Sebaliknya cikgulah saling berSMS memberi kata-kata perangsang di antara satu sama lain. akhirnya gurulah yang menghargai guru sesama guru.

Namun saya yakin bahawa sebahagian besar guru adalah guru yang jujur dan amanah dengan tugasnya sebagai guru. Dan saya yakin masih ramai murid dan pelajar yang masih menghormati dan menghargai gurunya. Saya yakin masih ramai ibubapa dan ahli masyarakat yang yakin dengan guru hari ini. Maafkan saya kerana menerjah sedikit ke dalam dunia guru dalam masalah terpencil seperti di atas. Tapi itu cukup menggugat rasa hormat seseorang kepada seorang guru.

Sekali lagi saya yakin bahawa guru masih berada di tempat teratas dalam jiwa masyarakat. "Cikgu, selamat Hari Guru!!!". Dengarlah dengan betul-betul nescaya anda akan terdengar ucapan keramat itu daripada anak murid atau pelajar anda..... saya pasti!!!

No comments:

Related Posts with Thumbnails