Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Sunday, May 10, 2009

Kuliah Kepada Guru-Guru Islam Di SMK Methodist

Oleh isma daud


Bermula jam 8.00am (Sabtu); saya menyampaikan satu kuliah bertajuk "Membina Sahsiah Cemerlang di Dunia & Akhirat". Kedatangan saya disambut oleh Al-Fadhil Ustaz Adnan Rosdi selaku pengerusi majlis pagi ini.

Kuliah ini berakhir jam 9.45 pagi.

Ada beberapa perkara yang saya bincangkan, di antaranya;

1. Sahsiah muslimah;
iaitu mereka yang membina diri bersumberkan wahyu iaitu al-quran dan sunnah. Kejayaan bagi mereka ialah apabila mereka dapat mematuhi sedaya upayanya akan suruhan Aallah SWT dan berusaha sedaya usahanya meninggalkan larangan Allah SWT. Menyelamatkan diri mereka daripada neraka Allah SWT dan memastikan kehidupan mereka mendapat keredhaan Allah SWT.

Sahsiah mereka selari dengan apa yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW kerana baginda adalah qudwah hasanah kepada semua manusia. Idola yang lain merupakan khayalan manusia itu sendiri kerana mereka tidak mendapat bimbingan wahyu secara langsung daripada Allah SWT. Allah SWT yang menurunkan syariatnya dan Dialah akan menjaga rasulNya yang membawa risalah tersebut. Bahkan Allah SWT menjamin kitabnya akal kekal sehingga hari kiamat, tidak ada tangan-tangan yang berupaya merubahnya.


Kunci 1 : ASK

Untuk memperolehi kejayaan dalam kehidupan seseorang itu sekurang-kurangnya memiliki tiga asas ini disamping faktor sokongan yang lain;

A; Attitude (Sikap)- Sikap seseorang terhadap sesuatu yang hendak dilakukannya sangat penting. Terbina sikap yang positif hasil daripada iman , gambaran hidup yang jelas dan berpandangan jauh. Keyakinan diri yang tinggi akan menentukan sikap seseorang samada positif maupun negatif.

S; Skill ( Kemahiran/ Keterampilan) - Kemahiran seseorang dalam seseuatu bidang yang yang hendak diceburi dan dilakukan adalah asas penting untuk memperolehi kejayaan di dunia. Bahkan kejayaan di akhirat juga.

K; Knowledge (ilmu Pengetahuan)
- Ilmu adalah asas kepada manusia untuk mencari kebahagian dan kejayaan. Tanpa ilmu segalanya menjadi sukar. Islam meletekkan ilmu sebagai perkara utama sehingga wahyu pertama diturunkan terus membicarakan iman dan ilmu sekali gus. Untuk beriman seseorang itu mesti berilmu. Berjaya di dunia pun berilmu, Mencari akhiratpun jalannya ilmu. segalanya berpaksikan ilmu.


Kunci 2 : DUIT


Untuk lebih berjaya dan pekerjaan seseorang itu benar-benar menempa kejayaan baik di dunia dan akhirat sewajarnya empat asas ini disertakan bersama dengan tiga kunci di atas;

D; Doa
- Doa merupakan otak ibadah. Doa merupakan kunci untuk memperolehi petunjuk dan hidayah Allah SWT. Sesiapa yang mendapat bimbingan dan ransangan Allah SWT, sudah tentu dia tidak mudah kecewa dan akan tabah menghadapi segala kemungkinan. Jiwa yang redha dan tenang akan memacu tuannya kepada kehidupan yang penuh meyakinkan. Sudah tentu orang yang kuat berdoa tidak merasa rugi apa-apa dan tidak menyesal atas apa yang bakal menimpanya. Ini kerana dia yakin segala sesuatu yang ditentukan Allah SWT adalah yang terbaik untuk dunia dan akhiratnya.

U; Usaha (Amal) - Doa semata-mata tidak dapat merubah nasib seseorang melainkan doa itu disertakan dengan usaha dan amal yang bersungguh-sungguh dan istiqamah. Sudah tentu ketelitian dalam bekerja akan mengurangkan kesilapan. Gabungan di antara doa dan usaha yang tidak mengenal erti penat pasti mendapat pertolongan dan hidayah Allah SWT. Ini kerana Nabi SAW pernah bersabda dengan mafhumnya : "Sesungguhnya Allah sangat menyukai seseorang yang melakukan sesuatu pekerjaan, lalu dia lakukannya dengan tekun".

Bekerja juga mampu merubah nasib seseorang. Sikap berpeluk tubuh dan berserah kepada nasib sahaja akan meninggalkan seseorang itu dalam dunia angan-angan yang tidak berketepian. Hanya angan-angan yang dibuktikan dengan usaha sahaja akan dapat merealisasikan apa yang diangan-angankan itu.

Allah SWT sendiri mengingatkan bahawa Allah SWT tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu merubah nasib mereka sendiri. Pepatah melayu yang berkata; "Beras secupak tidak akan jadi segantang" perlu diperkukuhkan dengan pemahaman baru bahawa beras secupak bukan hanya jadi segantang bahkan lebih daripada itu jika beras itu ditukar kepada nasi baik apa jenis nasi sekalipun. Jelasnya ubah cara fikir untuk berjaya.

I; Iman Dan Ikhlas (Ihsan)
- Iman adalah dasar hidup yang kukuh utuh berada dalam jiwa dan diri manusia. Hanya orang yang beriman akan berjaya mengharung kehidupan ini dan tidak mudah berputus asa. Keimanan menjadikan seseorang itu yakin dan berani menghadapi apa sahaja cabaran hidup.

Keimanan telah memberi kejayaan kepada banyak orang. Nabi Musa berjaya menentang Firaun bukan kerana baginda memiliki persenjataan yang hebat. Dengan sebatang tongkat dan keimanan kepada Allah SWT; Firaun tumbang bersama dengan keangkuhannya. Ramai lagi yang membawa contoh beerti kepada kita khususnya nabi kita Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Mereka adalah orang yang hebat keimanan mereka sehingga mereka terbukti dapat menguasai alam ini dengan obar Islam dan kecemerlanagnnya.

Ihsan pula melahirkan mereka yang ikhlas. Keihlasan membuatkan seseorang bekerja kerana Allah SWT. Tiada kebimbangan untuk seleweng dan berwenang-wenang dalam pekerjaan. Hanya Allah SWT yang menjadi Pengawal dan Penjaganya. Keikhlasan seseorang itu cukup menjadi motivasi kepadanya bekerja. Keredhaan Allah SWT sahaja menjadi harapannya. Jika dia tidak memperolehi pujian manusia dan penghargaan mereka; mereka masih ada Allah untuk menilai pekerjaan mereka.

Allah SWT berfirman yang mafhumnya; "Dan katakanlah wahai Muhammad! Bekerjalah kamu maka Allah SWT akan melihat pekerjaan kamu, begitu juga rasulnya dan orang yang beriman turut sama melihatnya; Dan kamu semua akan dikembalikan kepada alam yang ghaib lagi nyata (akhirat) dan kamu akan diberitakan tentang apa yang telah engkau kerjakan di dunia".

T; Tawakkal - Tawakkal beerti berserah diri kepada Allah SWT setelah berusaha gigih dan melakukan berbagai ikhtiar. Setelah semuanya dilakukan penghujungnya diletakkan kepada Allah SWT yang bersifat Maha Mengetahui atas segala sesuatu. Maka wajarlah seseorang hamba meletakkan pergantungan harap kepada Allah SWT.

Sesungguhnya hamba yang meletakkan harapan dan pergantungan dirinya kepada Allah SWT menjadikannya seorang yang sedar diri. Kenal diri siapa hakikat dirinya. Dia hamba bukan tuan. Menyedari hakikat ini menjadikannya merasa kerdil dihadapan Allah SWT. Lantas dia berusaha dalam lingkungan kemampuannya dan apa yang diluar kemampuannya pula diserahkan kepada yang Maha Mengetahui.

Kenal Diri Kenal Peribadi

Berapa banyak orang yang menilai kejayaan itu melalui acuan dan persepsinya sendiri. Ada yang menilai kejayaan itu kerana berjaya dalam sesuatu bidang. Ada penghargaan dan pujian. Ada seberapa banyak sijil dan anugerah. Semua itu tidak ada sesiapa yang menafikannya. Ianya ukuran kejayaan seseorang tetapi ianya setakat kejayaan dunia sahaja. Perkiraan kita adalah kejayaan hakiki kerana pemutusnya adalah apa yang dikehendaki dan diiktiraf oleh Allah SWT. Pengiktirafan Allah SWT itulah anugerah kejayaan sebenar dimana seseorang itu akan menerima sijilnya dengan tangan kanannya dan berjaya meempuh siratNya dan dimasukkan kedalam syurgaNya. Kejayaan kerana dapat menyelamatkan diri dan keluarga dan masyarakatnya daripada neraka Allah SWT.

Insan yang berjaya dan cemerlang adalah mereka yang hidup berlandaskan al-Quran dan Hadis. Kedua-duanya adalah wahyu dari yang maha mencipta segala sesuatu. Dia yang mencipta kita dan menetukan tugasan kita serta tanggungjawab kita. Jika kita bertindak selari dengan apa yang ditentukan oleh Allah SWT; itulah jalan kejayaannya. Jika kita hidup bertentangan dengan jalan dan cara yang dikehendaki oleh Allah SWT bermakna kita sengaja menempah kemurkaanNya.

Maka wajarlah kita mengenal fungsi dan tanggungjawab kita. Apabila kita mengenali "siapa kita"? Insya Allah SWT, kita tidak tersalah memilih jalan hidup dan pada masa yang sama kita berusaha menjadi insan cemerlang di sisiNya nanti.

Baca Selanjutnya :
1. Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2
2. Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2 (Siri 2).
3. Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2 (Siri 3/ Akhir)

No comments:

Related Posts with Thumbnails