Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Saturday, May 30, 2009

Bak Menyalak Bukit, Tiada Faedahnya

Oleh isma daud


Saya dapati sikap masyarakat Islam Sibu kepada majlis agama berada ditahap paling tidak memuaskan. Sikap tidak kisah dengan majlis ini dibimbangi akan memasukkan mereka dalam golongan "kelima" yang boleh membawa kecelakaan sebagaimana yang disifatkan oleh nabi kita Muhammad saw. Celaka kerana tidak minat dengan ilmu, tidak suka mendengar, tidak mahu belajar dan jauh sekali mahu menjadi alim dalam bidang ilmu agama yang memungkin mereka menjadi guru dan penunjuk jalan kepada kebenaran dan pada masa sama mampu mencegah kemungkaran.

Sekadar berkongsi pengalaman menjelajahi surau dan masjid di sini adakalanya solat maghrib ada dua orang saja, masa berkuliah datanglah dua tiga orang sampai isyak menambahlah sehingga lapan - kesepuluh orang. Itupun syukurlah kalau tidak berkuliah dengan tiang masjid atau surau ajelah....

Ada surau yang ahli jamaahnya setakat tu saja; tidak menambah dan tidak mengurang. Kalau 10 orang, 10 oranglah sampai akhir.

Dan banyak surau yang semasa solatnya adalah ramai orang; tapi bila nak masuk bahagian belajar ilmu tinggal dua tiga kerat saja. Tidak berminat langsung untuk belajar ilmu agama biarpun untuk melepaskan tuntutan fardu ain atas diri mereka sahaja.

Kemanakah perginya keperihatinan umat Islam kepada majlis ilmu yang diadakan sekitar kediaman mereka? Adakah semuanya sedang dibelenggu oleh Syaitan atau mereka telah menjadi kambing yang sudah dimakan serigala kerana lari dari jamaahnya atau ada sebab dan faktur mengejar keduniaan yang melampau? Kalau inilah fakturnya maka benarlah mereka dalam lembah kebinasaan.

Inilah yang saya sifatkan sebagai golongan yang disebut berada dilembah kebinasaan oleh Nabi saw. Dimana nabi saw menyebut dalam sabdanya; "Berpagi-pagilah kamu menjadi alim(guru), atau orang yang belajar, atau orang yang mendengar, atau orang yang minat dengan ilmu dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, nanti kamu binasa."

Maka ada kewajaran kepada saya apabila mengambil pendirian memberhentikan semua kuliah saya atas rasa kecewa dengan sikap ahli masyarakat dan sikap penguasa yang menyekat-nyekat kerja memakmurkan surau dan masjid dengan majlis ilmu.

Biarlah mereka pula berusaha dalam kerja kebajikan seperti ini dan saya berusaha dengan cara dan kaedah lain pula.

Sesungguhnya saya masih bersemangat untuk menyebarkan ilmu kepada umat Islam Sibu sehinggakan banyak program dirancang sebenarnya pada tahun ini. Tapi sikap "kebinasaan" ini mematikan langkah saya dan saya simpan dulu agar suatu ketika saya boleh menyumbangkannya pada masa yang sesuai dan tepat.

Sekarang saya mengambil pendekatan berbeza; kalau dulu saya yang pergi mencari mereka; saya pergi ke surau dan masjid, menawarkan diri dan berusaha menghidupkan sesuatu kuliah maka hari ini saya pula mengambil sikap tunggu dan lihat. Jika mereka perlukan saya; saya sedia membantu, jika tidak; saya lihat sajalah...


Apa yang dapat saya rasa dari sekian lama dalam tempoh saya berkhidmat sebagai guru agama di sibu ini, sungguh menyedihkan situasi beragama di antara umat Islam di sini. Mereka lebih kepada budaya bukan agama. Surau dan masjid bukan utama bahkan program masjid pun mereka tutup kalau bertembung di antara keperluan budaya dan agama. Sebagai contoh; jika ada kematian maka semua orang akan pergi solat di rumah keluarga simati berturut-turut malam; maka dalam masa itu apa aktiviti surau dan masjid hancurlah. Sebab tiada orang pergi masjid biarpun rumah si mati tadi tidak jauh daripada masjid. Sehingga ada di sini apa yang disebut sebagai Imam rumah orang mati.

Sudah lama saya menegur dalam kuliah saya dalam hal ini agar kalau nak buat pun biarlah ada keseimbangan di antara tuntutan agama dan budaya. Pergilah ke masjid surau dan lepas tu pergilah ke rumah si mati tu nak tahlil ke apa ke?. Tapi kekebalan budaya dalam masyarakat di sini cukup hebat dan akhirnya pihak penegur ini pula berada dipihak yang salah...

Kata orang bagai menyalak bukit, tiada apa faedahnya. Baiklah saya tunggu bukit itu runtuh atau roboh. Kalau tertimbus kita mati sama-sama. Kalau ada penyelamat kita bersyukur kerana kita masih bernyawa.

Akhirnya; sekalung takziah saya kepada JAIS maupun mana-mana jabatan agama yang ada di Sibu ini kerana anda menjadi penyumbang utama matinya kelas agama dan kuliah di masjid surau. Kalian bertanggungjawab penuh kepada apa yang telah kalian lakukan. Semoga Allah SWT membuka pintu hati mereka ini kerana dibimbangi akan hancurlah masa depan agama jika usaha dakwah disekat dan jika ada pun bersifat bermusim sahaja...

Sehingga itu; pendirian saya tidak berkuliah lagi di masjid surau ada kewajarannya......

No comments:

Related Posts with Thumbnails