Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Sunday, May 31, 2009

Qatru Nada - Bicara Ikhlas Seorang Teman yang Menghargaimu

Oleh isma daud

Dalam saya membelek-belek album lama, lalu terjumpa satu nota yang mengimbau kenangan dan nostalgia lama sewaktu belajar di Sekolah Menengah Agama "Atas" Sultan Zainal Abidin tahun 1991 yang lalu. Catatan ini dituliskan oleh seorang sahabat lama.

Dan catatan itu sudah kabur kerana dakwatnya sudah kembang...kucuba amati dan coretkan kembali agar ianya tidak hilang di telan dek zaman;

Sahabat;
"Sesungguhnya jalan daawah adalah jalan yang penuh onak dan duri. Dan; apa yang kita hadapi sekarang adalah tidak seperit yang diwajahkan oleh Allah SWT kepada para An'biya' dan para Sahabat Baginda SAW. Oleh itu teruskanlah penerokaanmu hingga ketitisan darah yang terakhir......Allahu Akbar!!!"


Dan Sahabat, renungilah bicara ini dalam perjalanan hidupmu sebagai pesanan dari seorang sahabat yang pernah menyelusuri indahnya saat bersama di bawah teratak SMA"A"SZA.

"
Janganlah Kamu Kagum Dengan Kebolehanmu
Janganlah Kamu Kaget Dengan Kepetahan Lidahmu
Janganlah Kamu Hairan Dengan Kemampuan Otakmu
Janganlah Kamu Ujub Dengan Kepandaianmu
Janganlah Kamu Mabuk dengan Sanjungan Orang Terhadapmu
Hingga Timbul Rasa Sombong dan angkuh
Merasa Diri Manusia "SUPER"
Orang lain Manusia Hina Tiada Harga
Yang Tidak Perlu Diambil Kira

Kamu Tahu Siapa Kamu?
Asalmu Dari mani Yang Hina
Sama seperti Yang lain Juga
Kamu Bermula daripada Tiada
Sekarang Baru Ada

Adanya kamu, Tuhanlah Yang Mewujudkan
Kebolehanmu, Adalah Anugerah Tuhanmu
Lidahmu Yang Petah Dan Fasih, Adalah Ciptaan Tuhan
Otakmu Yang Bergeliga, Adalah Pemberian Tuhan
Kepandaian Yang Engkau Miliki, Adalah Nikmat Tuhanmu
Sanjungan Orang Terhadapmu, Adalah (Semata-mata) Kehendak Tuhanmu...

Mana Hakmu???
Malulah Kepada Allah
Tuhanmu Yang Mencipta Dirimu Itu
Rendahkanlah Dirimu Bersyukurlah KepadaNya

Ya! Tiada Gunanya Meninggi Diri (Kerna Allah Sahaja Yang Berhak)
Jangan Sengaja Menempah KemurkaanNya!!!
Tiada Keistimewaannya dengan Kelebihan Yang Ada
Kerana Kita Pada HakikatNya Adalah "SEKASTA"
Hamba Allah Kepada Allah Yang Maha Esa....

"
Nukilan : sahabat-sma'a'sza,Trg'91.

Setiap Berita Fasiq Mesti DiSelidiki

Mungkin apa yang berlaku kepada hamba Allah yang bergelar siswi ini boleh dijadikan iktibar bahawa sesuatu berita perlu bahkan wajib kita selidiki agar kita tidak menganiayai sesiapa.

Dalam surah Al-Hujurat, ayat 6; Allah SWT berfirman;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ . (6) سورة الحجرات


"Apabila datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita hendaklah kamu selidiki (halusi); jika tidak nanti kamu akan menjatuhkan hukuman kepada sesuatu kaum dengan tidak sebenar kerana kejahilan kamu lalu menjadikan kamu atas apa yang kamu lakukan itu penuh dengan penyesalan".

- isma daud.

Semoga kisah yang dipaparkan dalam hmetro dapat dijadikan teladan;

Siswi rela bogel
Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Angkara tuduhan palsu kononnya dia terbabit dalam klip video lucah, seorang pelajar perempuan institusi pengajian tinggi (IPT) merelakan tubuhnya diperiksa untuk dibandingkan dengan pelakon sebenar.

Malah, gadis berusia 20-an itu juga sanggup membuat ‘akujanji’ menafikan pembabitannya dengan sebarang adegan tidak bermoral bagi mematikan ‘niat kotor’ pihak tertentu yang cuba mengaitkan dia dengan aksi lucah dalam klip video berkenaan.

‘Pemeriksaan tubuh’ lebih setengah jam itu dilakukan pegawai penguat kuasa wanita Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini untuk membandingkan tubuh pelajar terbabit dengan pelakon yang dikaitkan dengannya dalam klip video berkenaan.

Hasil pemeriksaan terperinci itu, Jais mengesahkan pelakon wanita dalam klip video bukan pelajar itu.

Video klip satu minit itu yang dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit memaparkan pelakon wanitanya beraksi lucah oleh dua lelaki yang dipercayai disebarkan di IPT berkenaan dan melalui Internet.

Bagaimanapun, dua waris pelajar terbabit yang turut menerima klip video berkenaan membuat aduan kepada Jais kerana membabitkan maruah keluarga.

Mereka turut mendakwa pelajar terbabit adalah pelakon wanita tanpa seurat benang dalam klip video berkenaan.

Dakwaan menjijikkan itu akhirnya sampai ke pengetahuan pengurusan IPT yang cuba mendapatkan pengesahan mangsa dengan bantuan Jais sebelum tindakan tegas diambil termasuk kemungkinan menyingkir mangsa jika terbukti bersalah.

Mangsa yang bengang dan malu dengan dakwaan itu mengakui pelakon wanita dalam klip video berkenaan mirip wajahnya, tetapi mendakwa dia tidak mengenali dua lelaki berkenaan.

Bagi mendapatkan kepastian, mangsa dirujuk kepada Jais untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Unit Tindakan Khas Jais, Shahrom Maarop, mengakui gadis berkenaan tampil untuk disoal siasat.

Bagi melengkapkan siasatan, katanya, tubuh mangsa turut diperiksa, termasuk mengukur saiz payu dara dan coli yang dipakai.

Pemeriksaan dilakukan beberapa anggota penguat kuasa wanita yang meminta kebenarannya membuka baju.

“Kami mendapati pelakon wanita dalam klip video itu bukan pelajar berkenaan. Malah, dia juga membuat ‘akujanji’ tidak pernah melakukan aksi lucah itu dengan teman lelaki,” katanya.

Beliau berkata, mangsa menafikan terbabit dalam penggambaran klip video itu walaupun mengakui pelakon wanita dalam klip video itu mirip wajahnya.

“Berdasarkan klip video berkenaan, memang pelakon wanita adegan lucah itu seakan-akan wajah gadis berkenaan.

“Siasatan kemudian dijalankan berdasarkan kemungkinan ada pihak cuba memalukan pelajar itu dengan menyebarkan klip video lucah kononnya mangsa turut beraksi,” katanya.

Beliau berkata, klip video itu memaparkan aksi seolah-olah pelakon wanita dirogol dua lelaki walaupun tidak menunjukkan sebarang penentangan terhadap tindakan terbabit.

Namun, berdasarkan siasatan, pelakon wanita bukan dirogol, tetapi merelakan dirinya diperlakukan sedemikian kedua-dua lelaki terbabit.

Menurutnya, Jais menjalankan siasatan apabila dua waris pelajar itu membuat laporan kononnya dia terbabit dalam aksi lucah seperti dipaparkan dalam klip video itu.

“Malah, apa yang mengejutkan, mereka mendakwa pelakon wanita adalah pelajar terbabit berdasarkan jam dan gelang yang dipakai sama dengan dimilikinya.

“Selepas diteliti, mangsa bagaimanapun tidak memiliki jam dan gelang terbabit. Kami akan memanggil waris mangsa berkenaan untuk disoal siasat mengenai dakwaan palsu dibuat,” katanya.

Justeru, Shahrom berkata, pihaknya akan memanggil dua waris mangsa yang membuat tuduhan berkenaan sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Beliau berkata, mangsa juga membuat laporan polis berkaitan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu.

Saturday, May 30, 2009

Boleh Belajar Dari Singapura...

Oleh;

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
ainon@pts.com.my

Buku-buku PTS Dibekalkan ke Masjid-masjid Singapura.

Buku-buku PTS sekarang dapat dibaca di perpustakaan masjid-masjid di Singapura. Ini adalah berkat hasil usaha agen PTS di negara itu.

Dari 69 masjid, sekarang sudah ada 70 buah masjid di Singapura. Masjid-masjid yang baru itu dibina menggunakan wang daripada sumbangan masyarakat Islam sendiri.


Pengurusan Tanah Wakaf

Di Singapura, sudah ada fatwa yang membolehkan tanah-tanah wakaf yang kecil-kecil, terbiar dan tidak produktif itu dijual.

Wang daripada jualan tanah-tanah itu digunakan bagi membina masjid dan lain-lain harta kekal.

Harta itu kemudian disewakan, dan wang sewanya digunakan bagi membiayai program-program kebajikan.

Di Malaysia sekarang, nilai tanah-tanah wakaf yang kecil-kecil, bertaburan di sana-sini, dan semak samun ditumbuhi lalang, dianggarkan lebih daripada RM1.3 bilion.

Bak Menyalak Bukit, Tiada Faedahnya

Oleh isma daud


Saya dapati sikap masyarakat Islam Sibu kepada majlis agama berada ditahap paling tidak memuaskan. Sikap tidak kisah dengan majlis ini dibimbangi akan memasukkan mereka dalam golongan "kelima" yang boleh membawa kecelakaan sebagaimana yang disifatkan oleh nabi kita Muhammad saw. Celaka kerana tidak minat dengan ilmu, tidak suka mendengar, tidak mahu belajar dan jauh sekali mahu menjadi alim dalam bidang ilmu agama yang memungkin mereka menjadi guru dan penunjuk jalan kepada kebenaran dan pada masa sama mampu mencegah kemungkaran.

Sekadar berkongsi pengalaman menjelajahi surau dan masjid di sini adakalanya solat maghrib ada dua orang saja, masa berkuliah datanglah dua tiga orang sampai isyak menambahlah sehingga lapan - kesepuluh orang. Itupun syukurlah kalau tidak berkuliah dengan tiang masjid atau surau ajelah....

Ada surau yang ahli jamaahnya setakat tu saja; tidak menambah dan tidak mengurang. Kalau 10 orang, 10 oranglah sampai akhir.

Dan banyak surau yang semasa solatnya adalah ramai orang; tapi bila nak masuk bahagian belajar ilmu tinggal dua tiga kerat saja. Tidak berminat langsung untuk belajar ilmu agama biarpun untuk melepaskan tuntutan fardu ain atas diri mereka sahaja.

Kemanakah perginya keperihatinan umat Islam kepada majlis ilmu yang diadakan sekitar kediaman mereka? Adakah semuanya sedang dibelenggu oleh Syaitan atau mereka telah menjadi kambing yang sudah dimakan serigala kerana lari dari jamaahnya atau ada sebab dan faktur mengejar keduniaan yang melampau? Kalau inilah fakturnya maka benarlah mereka dalam lembah kebinasaan.

Inilah yang saya sifatkan sebagai golongan yang disebut berada dilembah kebinasaan oleh Nabi saw. Dimana nabi saw menyebut dalam sabdanya; "Berpagi-pagilah kamu menjadi alim(guru), atau orang yang belajar, atau orang yang mendengar, atau orang yang minat dengan ilmu dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, nanti kamu binasa."

Maka ada kewajaran kepada saya apabila mengambil pendirian memberhentikan semua kuliah saya atas rasa kecewa dengan sikap ahli masyarakat dan sikap penguasa yang menyekat-nyekat kerja memakmurkan surau dan masjid dengan majlis ilmu.

Biarlah mereka pula berusaha dalam kerja kebajikan seperti ini dan saya berusaha dengan cara dan kaedah lain pula.

Sesungguhnya saya masih bersemangat untuk menyebarkan ilmu kepada umat Islam Sibu sehinggakan banyak program dirancang sebenarnya pada tahun ini. Tapi sikap "kebinasaan" ini mematikan langkah saya dan saya simpan dulu agar suatu ketika saya boleh menyumbangkannya pada masa yang sesuai dan tepat.

Sekarang saya mengambil pendekatan berbeza; kalau dulu saya yang pergi mencari mereka; saya pergi ke surau dan masjid, menawarkan diri dan berusaha menghidupkan sesuatu kuliah maka hari ini saya pula mengambil sikap tunggu dan lihat. Jika mereka perlukan saya; saya sedia membantu, jika tidak; saya lihat sajalah...


Apa yang dapat saya rasa dari sekian lama dalam tempoh saya berkhidmat sebagai guru agama di sibu ini, sungguh menyedihkan situasi beragama di antara umat Islam di sini. Mereka lebih kepada budaya bukan agama. Surau dan masjid bukan utama bahkan program masjid pun mereka tutup kalau bertembung di antara keperluan budaya dan agama. Sebagai contoh; jika ada kematian maka semua orang akan pergi solat di rumah keluarga simati berturut-turut malam; maka dalam masa itu apa aktiviti surau dan masjid hancurlah. Sebab tiada orang pergi masjid biarpun rumah si mati tadi tidak jauh daripada masjid. Sehingga ada di sini apa yang disebut sebagai Imam rumah orang mati.

Sudah lama saya menegur dalam kuliah saya dalam hal ini agar kalau nak buat pun biarlah ada keseimbangan di antara tuntutan agama dan budaya. Pergilah ke masjid surau dan lepas tu pergilah ke rumah si mati tu nak tahlil ke apa ke?. Tapi kekebalan budaya dalam masyarakat di sini cukup hebat dan akhirnya pihak penegur ini pula berada dipihak yang salah...

Kata orang bagai menyalak bukit, tiada apa faedahnya. Baiklah saya tunggu bukit itu runtuh atau roboh. Kalau tertimbus kita mati sama-sama. Kalau ada penyelamat kita bersyukur kerana kita masih bernyawa.

Akhirnya; sekalung takziah saya kepada JAIS maupun mana-mana jabatan agama yang ada di Sibu ini kerana anda menjadi penyumbang utama matinya kelas agama dan kuliah di masjid surau. Kalian bertanggungjawab penuh kepada apa yang telah kalian lakukan. Semoga Allah SWT membuka pintu hati mereka ini kerana dibimbangi akan hancurlah masa depan agama jika usaha dakwah disekat dan jika ada pun bersifat bermusim sahaja...

Sehingga itu; pendirian saya tidak berkuliah lagi di masjid surau ada kewajarannya......

Friday, May 29, 2009

Buang Bayi; Pelajar Sekolah Agama Dakwa Di Rogol Kawan

LATEST : Student arrested for throwing away baby

KUANTAN: A female student of a religious secondary school, near here, was arrested after admitting that she had thrown away a baby boy near a house in Balok Makmur.

She claimed she had been raped and the child was the result.

Kuantan police chief ACP Mohd Jasmani Yusoff said the 16-year-old's mother brought her daughter to the Kuantan police headquarters around 11am Friday.

"The student confessed and was arrested under Section 318 of the Penal Code for concealing the birth.

“However, she was then sent to the Tengku Ampuan Afzan Hospital (HTAA) for postpartum treatment," he said when met by reporters, here.

He said the student had also filed a police report stating that a friend had raped her and that had led to her pregnancy.

"Police are investigating the student's report," he said. On Thursday, the body of a newborn baby boy was found wrapped in newspaper with a note in a village in Balok Makmur.

The body was found by villager Mohd Hafiz Ismail, 32, near his house while he was going out to work.

The note said, "please bury him as I am unable to." - Bernama

_____________________________________

Berita Semalam;

'Tolong kebumikan dia'

KUANTAN - "Tolong kebumikan dia, saya tidak berkemampuan kebumikannya".

Itulah bunyi nota yang ditinggalkan bersama mayat seorang bayi lelaki baru lahir dalam bungkusan surat khabar di perkampungan Balok Makmur di sini semalam.

Mayat itu ditemui seorang penduduk kampung itu, Mohd. Hafiz Ismail, 32, di pekarangan rumahnya ketika dia hendak keluar bekerja.

Menurutnya, pada pukul 3 pagi, dia terdengar bunyi motosikal berhenti di hadapan rumahnya, tetapi tidak endahkannya dan terus tidur.

Mohd. Hafiz berkata, pada 7.30 pagi, dia ternampak satu bungkusanketika hendak keluar bekerja dan selepas membukanya dia terkejut melihat mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat.

Pengerusi Kelab Rukun Tetangga Balok, Sulaiman Yusof berkata, beliau melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Supt Zulkifli Taha ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut.

Beliau berkata, mayat bayi itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat dan pihaknya sedang mengesan ibu kepada bayi itu. - Kosmo! Online.

Atas Apa Yang Allah Tahu; Tersisip Erti & Pengajaran BuatKu Yang Bergelar Suami

Oleh isma daud

Gambar-gambar ini tersebar secara meluas di alam maya siber ni. Saya rasa tuan punya badan yang terlibat perlu menjelaskan "status" mereka agar tidak mendatangkan fitnah kerana mereka dikaitkan sebagai penghibur seni Islam dan pendakwah pada Jalan Allah.

Berita mereka telah berkahwin tersebar tapi masih dalam persoalan awam. Kebenarannya hanya tuan badan yang tahu. Tuan punya badan perlu berani menjelaskan "fitnah" ini daripada diam. Walaupun diam itu kadangkala ada baiknya -pada sesetengah keadaan - tapi yang ini masalah "berita kahwin" jangan disorot-sorotkan.

Dua hari lepas orang rumah tuan punya badan pun hebohkan dekat media akan masalah yang tak dapat dipertahankan lagi. Bersuaralah agar tidak keruh keadaan.

Pada saya dengan situasi yang menampakkan mesra itu patut diperjelaskan. Kalau mereka "suami isteri" ada kewajaran tapi jika sebaliknya amat menyedihkan!!!

Banyak berita sensasi mengenainya menjadi bualan, yalah artis dan orang popular katakan; antaranya; Ustaz Akhil Hayy dan Waheeda Dating Tepi Pantai? Sejauh mana kebenarannya tuan punya badan juga yang boleh menentukan. Allah itu lagi Maha Tahu.


Dunia Seni Memang Penuh Dugaan. Populariti boleh menghanyutkan. Tuan punya badan lebih mengerti dan faham. Jika gambar ini tidak benar, orang lainlah silap dan salah dan jika gambar ini benar; pastikan ianya halal, jika tidak; kembalilah kepada Allah SWT. Bertaubatlah!!! Tidak salah kalau kita seribu kali tersilap langkah jika ratusan ribu kali pula kita membetulkan arah. Bertaubatlah!!!

Tiada sesiapa pun yang tidak berbuat salah. Tidak khilaf dalam kehidupan.

Walaubagaimanapun; kita manusia berhukum kepada pandangan zahir dan luar sahaja. Allah SWT jua yang berhukum dengan hakikat dan makrifatnya.

Kepada saya; insiden ini ada pengajaran. Ada detik kesedaran agar tidak mengulang sama kesilapan.

Kepada diriku; Yang Tersurat dan Yang Tersirat Hanya Allah SWT Yang Tahu. Ia mengajar agar seseorang itu setia pada yang satu... Kecurangan boleh mengundang PADAH yang boleh meruntuhkan sendi rumah tangga yang sekian lama didirikan!!!

Semoga hati para suami dapat merasai ketukan ini... kemesraan hanya halal kepada yang bernama isteri.... kepada yang lain adalah haram sama sekali...


Semoga Allah SWT tidak meninggalkan kita tanpa hidayahNya. Sesungguhnya jalan petunjuk itu luas dan terang. Jika kita berpaling sudah tentu jalan gelap menunggu di depan. Ya Allah berilah pedoman....

Bukan bermaksud terlibat sama dengan masalah yang ada, sehingga mendedah pekung saudara seagamanya tetapi sesama kita saling bertazkirah. Kalau pada sesuatu masa kita peringatkan orang lain, ada masa orang lain memperingatkan diri kita pula.

Akhirnya kepada Allah kita semua bertawakkal dan berserah. Allahu Musta'aan!!!

Thursday, May 28, 2009

"Bila Saya melakukan Perkara Yang Sama... Seronok Rupanya!!!"

Oleh isma daud

Sejak saya ber"uzlah" daripada hadir ke surau dan masjid buat seketika; mengingatkan saya kepada peringatan saya kepada mereka yang tidak datang solat berjamaah dan hadir kuliah agama.

Dua tiga hari ini saya melakukan perkara yang sama apa yang saya ucapkan kepada mereka ini. Mungkin Allah SWT mahu merasakan kepada saya perasaan mereka yang tidak suka ke masjid. Rupa-rupanya seronok dan tidak peliklah mereka begitu terperosok ke bumi bila terdengar suara azan dan kuliah agama.

Dengan memekakkan telinga dan membutakan hati maka surau dan masjid tidak payah dikunjungi. Keseronokan ini kerana diulit oleh perasaan santai bersama keluarga dan menonton televisyen mahupun keluar makan-makan bersama ahli keluarga ke tempat yang kita suka.

Saya sendiri malam tadi dapat bersama keluarga ke sebuah pusat membeli-belah di bandar Sibu ni sehingga isteri saya menyindir saya; "Biasanya waktu ini abang berkuliah di masjid!!!".

Rupanya itu keseronokan yang saya tinggalkan sekian lama yang orang lain seronok melakukannya pada waktu yang sama.

Yalah kalau kita sekadar ahli jamaah, jika tidak hadir tidak menjejaskan satu kuliah itu, tapi apa akan berlaku jika pengemudi kuliah agama tidak hadir, satu kuliah terbengkalai malam itu. Bayangkan kerugian kepada ahli jamaah yang merancang sedari awal mahu mencari sedikit ilmu dan bekalan diri pada ketika itu.

Akhirnya saya melakukan perkara yang saya tidak suka selama ini. Kepada teman-teman marilah kita sama-sama ke surau dan masjid semula. Ayuhlah!!!

Tuesday, May 26, 2009

Jika Kuliah Dipadamkan, Hiburan Diagungkan... Itulah Gantinya

Diciplak dari blog Masdarwahid

KM Sarawak Bangga dengan Penyanyi, TKM Pula mahu meng 'HAWAII' kan Miri. alahaiiiiiiiiiiiiiii


theborneopost 25 Mei 2009

Apa nak jadi dengan pemimpin Sarawak minggu ini. Selepas kenyataan Ketua Menterei Sarawak beberapa hari lalu yang bangga dengan kejayaan penyanyi realiti TV (realiti atau fantasi?), kini Timbalannya pula Abang Johari Abang Openg yang juga Menteri Perumahan mahu mengHAWAIIkan Miri atas alasan untuk pelancongan. alahai.... mungkinkah ini berkaitan dengan kemerosotan ekonomi Sarawak? Kalau ya pun, janganlah mengagung2kan negara lain apalagi Hawai yang terkenal dengan syurga maksiat di dunia. Apa, tak de ke pantai Di Malaysia ini yang boleh diungkapkan sehingga terpacul dimulut beliau berkenaan Pantai Maksiat itu?

KM Sarawak Bangga dengan Penyanyi Pentas Sia2.

Juara Akademi Fantasia Ketujuh (AF7) Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz yang baru pulang ke Bumi Kenyalang semalam menerima perutusan amanat daripada Ketua Menteri Taib Mahmud.

Amanat yang dibacakan oleh Hafiz itu sendiri berbunyi, Taib dan semua warga seluruh Sarawak berasa bangga dengan pencapaian dan kecemerlangan Hafiz dan berharap ia akan menjadi satu inspirasi kepada mereka yang lain untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita murni.

Tambah beliau, kejayaan Hafiz itu menggambarkan hasrat murni anak-anak generasi muda Sarawak yang ingin berjaya.

“Dengan kesempatan ini, kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Astro Entertainment Sdn Bhd, Pengetua AF, tenaga pengajar dan semua krew penerbitan yang terlibat dalam menghasilkan dan membimbing Hafiz selama dalam akademi,” ujar Taib.

Beliau dengan itu juga berharap semoga Hafiz akan terus melangkah maju pada masa hadapan. (alahai.... yang untung hanyalah Astro, yang rugi rakyat Malaysia termasuk Sarawak yang membazir wang untuk mengundi. alangkah baiknya jika pengundi SMS itu menghulurkannya kepada yang lebih memerlukan. bermanfaat jugak. Ingat, Sarawak adalah antara negeri termiskin di Malaysia dengan miskin tegar adalah Kaum Dayak)


theborneopost 26 Mei 2009

Abang Johari Abang Openg Mahu Meng'Hawaii'kan Miri

“Kawasan pantai Miri bukan sahaja boleh dijadikan destinasi pelawat seperti Pantai Honolulu di Hawaii tetapi Miri dengan kesesuaian persekitarannya yang cantik boleh dijadikan pusat pelancongan pantai. Paling penting ialah promosi yang giat dan berterusan supaya negara luar mengenali Miri,” kata Abang Johari Abang Openg Menteri Perumahan Sarawak.

Beliau mengingatkan mereka agar terus menjaga kecantikan dan kebersihan bandar raya ini, selain mengekalkan keindahan alam semulajadinya yang menjadi aset utama Miri sebagai destinasi percutian dan tumpuan pelawat.

Di majlis yang sama Abang Johari turut menyaksikan beberapa pertandingan akhir dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang tarik tali, Ratu Pesta Pantai, bola sepak pantai dan sepak takraw.

“Pada tahun depan, kemungkinan kita akan mengundang Astro serta artis realiti televisyen, Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz AF untuk memeriahkan Pesta Pantai secara besar-besaran. Ia usaha kita untuk mempromosikan acara pantai kepada semua,” katanya.


000049970.jpg
Penulis:
Pernahkah kita terfikir mengapa Penyanyi yang terpilih dalam AF kebanyakannya dari Sabah dan Sarawak? Tidak lain kerana strategi Astro menarik pelanggannya di kedua2 negeri itu. untuk rekod, Astro harus bersaing dengan parabola dari Indonesia di wilayah borneo.

Airmata mengalir... Dalam azab ada nikmat, syukur ya Allah!!!

Oleh isma daud

Dalam solat pagi ini entah mengapa berbeza benar dengan solat subuh yang lain. Air mata laju mengalir.

Satu malam saya bermuhasabah diri mencari hakikat dan ketenangan diri. Mencari kelemahan dan kekuatan diri. Mencari kesilapan, kesilapan dan kesilapan yang dilakukan terhadap diri sendiri, isteri, anak-anak, kepada keluarga,rakan-rakan, masyarakat dan paling utamanya kesilapanku kepada Allah SWT.

Berhenti daripada menyampaikan dakwah, kuliah agama bagaikan sedang mencabut ruhku sendiri.

Isteriku;
Engkaulah insan pertama yang dapat merasakan kedukaanku. "Abang! Kuatkah abang melalui situasi baru. Biasanya abang tidak diam di rumah... abang mesti kuat dan tabah."

Bersara (sebentar) daripada kebiasaan sesungguhnya sangat menyakitkan.

Kepada Allah SWT saya memohon agar memberi kekuatan agar saya dapat kembali untuk terus berdakwah pada jalannya dengan lebih gigih dan berani.

Kepada ustaz Zawawi Ismail (kawan lama sewaktu di Jordan, tapi sekian lama terputus hubungan); tetiba kita muncul bersua. Terima kasih dan syukur padamu ya Allah SWT kerana menemukan kami dan banyak rangsangan yang telah tuan berikan kepada saya. Mungkin Allah SWT dengan sengaja menemukan kita agar titipan kata azimat tuan mampu meresap kedalam jiwa saya dan ini akan meneguhkan hati dan pendirian saya.

Ya Allah berikan saya kekuatan baru dan jalan yang luas dengan sebaik-baik jalanmu dan engkau berikanlah hidayah kepada mereka yang menyempit-nyempitkan dan menghalang-halang jalanmu. Amin ya rabbal alamiin.

Sesungguhnya ya Allah dalam mengenang apa yang berlaku ada terselindung hikmah yang banya. sesungguhnya dalam azab itu ada nikmat dan rahmatmu...

Sunday, May 24, 2009

Bersikap Adil Atau Pra-Sangka Yang penuh Prejudis

Oleh isma daud

Hari ini; episod malang kepada majlis ilmu di Sibu. Saya dimaklumkan bahawa Urusetia Saudara Baru (USB) Sibu di bawah HIKMAH pun diarahkan supaya memberhentikan Kuliah Tafsir Al-Quran atas alasan sudah banyak program dijalankan dan kelas ini akan membebankan mereka. Lagi pun tafsir tidak sesuai kepada saudara baru. Sepatutnya kelas IQRA' saja mungkin sesuai.

Apa dongeng alasan puak ini. Langsung tidak masuk akal alasan untuk menutup kelas tafsir ini. Mengikut ahli jawatan kuasa USB mereka diarahkan begitu dalam satu mesyuarat JK baru-baru ini. Mereka setakat ini berkeras mahu meneruskan program bermanfaat ini dan cukup berfaedah kepada mereka membina fikrah dan pengisian beerti khususnya kepada mereka yang menjadi saudara seIslam.

Kenapa Kuliah ini mahu diberhentikan juga? Tidak cukupkan kuliah agama di Surau dan masjid telah di"berhenti"kan secara terhormat oleh edaran terbaru pekeliling baru-baru ini.

Menurut JK USB mereka telah menjelaskan kenapa majlis kuliah tafsir ini sangat bermanfaat kepada mereka sehingga mereka telah menjemput pihak yang mengarahkan majlis ini supaya diberhentikan (arahan mulut), agar hadir ke majlis itu hari ini, tapi malangnya mereka tidak langsung muncul untuk meneliti kelas tafsir ini. Sebaliknya mereka mengarahkan supaya buku atau kitab tafsir Fi Zilalil Quran - Syed Qutb (terjemahan) dibuat salinan dan diserahkan kepada mereka.

Sebenarnya kelas ini telah berlangsung sejak tahun 2007 lagi. Ia dilakukan pada hari minggu (Ahad) mula jam 2.30 petang. Ianya diadakan bagi membina kefahaman Islam melalui kitab tafsir khusus kepada mereka yang cintakan ilmu Islam dan saudara baru yang mahu mendalami pemahaman terhadap Al-Quran.

Kelas biasanya dimulakan dengan membaca ayat dan dibetulkan sebutan huruf dan beberapa hukum tajwid secara ringkas kemudian dibacakan ayat beramai-ramai. Kemudian saya selaku pengemudi kelas akan membaca buku yang bahasanya agak tinggi tapi saya sedaya upaya merendahkan dari segi uslub bahasa agar mereka yang hadir mendapat kefahaman kepada isi kitab secara jelas. Sukatannya hanya surah-surah pendek dari JUZUK AMMA.

Apakah ini satu lagi perasaan prejudis puak yang tidak senang dengan kesungguhan saya mengembangkan ilmu Islam di Bumi Sibu sehingga niat saya mendidik mereka yang menjadi saudara baru melalui tafsir al-quran ini pun dipandang serong?

Kepada mereka ini, bertaqwalah kamu kepada Allah dan berlaku adillah kerana berlaku adil itu lebih hampir kepada sifat TAQWA.

Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada puak-puak ini. Tiada kerja lainkah mereka ini sekarang ini sehingga menjadi alat untuk memadamkan cahaya Allah SWT.

Sungguh hairan saya kepda mereka ini sehingga dengan jawatan yang disandang atas wadah agama itu; mereka menjadi alat kepada golongan yang tidak mengenal erti dakwah pada jalan Allah SWT. Amat buruklah mereka ini.

Apakah mereka ini tidak mampu melihat secara objektif mengapa majlis atau kelas tafsir sangat bererti kepada saudara baru? Sedangkan kamu tidak sanggup pun hadir untuk melihat kebenaran tetapi kamu menghukum tanpa meneliti secara halus dan tidak memikirkan langsung akan kesan kepada mereka yang mahukan ilmu pengetahuan tentang Islam yang baru mereka kenali.

Bagaimana seseorang mampu menjadi seorang muslim sejati tanpa bimbingan al-Quran dan as-sunnah? Sedangkan al-Quran dan as-sunnah merupakan pesaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw untuk menjadi petunjuk kepada jalan orang yang beriman dan bertaqwa...

Berlaku adillah!!!

Saturday, May 23, 2009

Jika masjid Surau Pintunya di"kunci", Rumah Saya Boleh Menjadi Ganti...

Oleh isma daud


PENGUMUMAN!


Sejajar dengan arahan pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak JAIS, Sibu dan MAIS; saya akan memberhentikan semua kuliah saya di surau dan masjid selaras surat pekeliling yang diedarkan Majlis Agama Islam Sarawak yang tidak membenarkan sesiapa yang tidak bertauliah menyampaikan sebarang ceramah, kuliah dan khutbah.

Kecuali program yang diadakan dipremis persendirian seperti kuliah tafsir di Tadika Didik Ria akan terus berjalan sepertimana yang dirancangkan.

Saya ini sekadar anak dagang di Sibu, baik orang layan saya baik juga saya membalasnya. Saya hanya ingin berbakti. Tetapi jika orang sudah tidak sudi, apa erti pada yang memberi. Kata orang; "Hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong".

Kepada masyarakat Sibu yang berbaik hati dengan saya selama ini, saya ucapkan terima kasih. Rumah saya masih terbuka luas kepada sesiapa yang dahagakan ilmu pengetahuan. Rumah saya boleh saya jadikan markaz untuk semua kuliah saya, jika anda sudi.

Saya akan lebih gigih berjuang untuk menegakkan Islam. Jangan ada hati para jamaah yang sedih kerana matinya majlis ilmu di surau dan masjid, kerana masjid surau hari ini ditadbir oleh mereka yang hanya gila kuasa tetapi tidak pula suka memakmurkannya.

Biarpun rumah saya berkatnya tidak sama dengan masjid atau surau, datanglah kita kita masih boleh berbincang akan ilmu yang berguna...

Untuk saya pergi anda terpaksa bayar dengan harga mahal, anda datang ke rumah saya, anda adalah tetamu saya yang saya akan layan dengan sebaiknya...

Jika anda sudi, datanglah kemari......

Friday, May 22, 2009

Surat Pekeliling Larangan Berkhutbah, Menyampaikan Kuliah Yang diedar ke seluruh Masjid dan Surau Agama Sebenarnya Untuk Siapa?

Oleh isma daud

Sekitar jam 11 malam (21/05/2009); saya menerima satu mesej daripada seorang teman yang tekun menghadiri kuliah saya di surau dan masjid sekitar bandar Sibu; katanya ada berita sensasi untuk ustaz.

Apabila berjumpa hari ini dia terus menunjukkan edaran pekeliling yang dihantar oleh pihak Majlis Agama Islam Sarawak yang menguatkuasakan peraturan mengajar agama, membaca khutbah dan lainnya sebagaimana termaktub dalam pekeliling yang diedarkan ke masjid dan surau bertarikh 21 Mei 2009.

Pekeliling ini sudah ada dan sudah lama disimpan sehingga para ustaz yang mendidik anak bangsa di sekolah mendapat ruang mengajar di surau dan masjid. Begitu juga mereka dijemput oleh JK surau, masjid dan aktiviti masyarakat untuk menyampaikan kuliah dan pelbagai program keagamaan sekitar bandar Sibu ini .Selama itu surat pekeliling ini disimpan dan kehadiran para ustaz sentiasa dialu-alukan biarpun ramai daripada mereka dari ustaz-ustaz semenanjung. Mereka tiada masalah disini. Ruang dakwah digambarkan sebegitu luas.

Pegawai MAIS, JAIS (SIBU) sentiasa mengalukan mereka, kalau tidak mengalukan pun mereka tidak pernah mengganggu para ustaz yang ikhlas ini. Para ustaz ini tidak pernah menagih apa-apa habuan wang ringgit kerana niat hati mereka untuk menyumbang berbanding puak JAIS sendiri yang tempang dalam kerja dakwah dan memakmurkan masjid dan surau. Atas alasan tidak cukup kaki tangan, muka mereka sukar untuk dilihat di masjid-surau kecuali ada majlis rasmi sahaja. Pegawai JAIS lebih gemar menikahkan orang kerana setiap pasangan berkahwin habuan mereka cukup lumayan. Ada yang sibuk mencari pendapatan tambahan dengan berniaga, merubat orang sakit secara rawatan Islam dan mengurus orang nak bercerai dan mendaftar orang masuk Islam. Mendidik mereka kurang tapi mendaftar masuk Islam. Biasanya pasangan masuk Islam kerana mahu kahwin. Bila dah Islam tu pandai-pandai sendirilah bawa diri. Kamu murtad ke kamu jadi apa ke nasib kamulah...

Penyataan ini bukan tuduhan melulu tetapi telah terbukti dan perhatikan senarai kuliah di Masjid dan surau di Sibu. Cukup memilukan. Masjid surau sepi daripada majlis ilmu, nak harap muka ustaz JAIS elok cari mereka di tempat lain selain masjid dan surau.

Sikap mereka yang lembab ke masjid ini, nampaknya pantas buat kali ini. Hari ini tulis, hari itu juga sampai ke tangan pengerusi masjid dan surau.

Persoalannya? Surat pekeliling ini untuk siapa? Jelas diterangkan dalam surat tersebut. Jelasnya untuk mengekang kuliah Ustaz Semenanjung. Siapa lagi yang menyampaikan kuliah buat masa ini di surau-surau? Di Surau dan masjid yang saya sendiri bagi kuliah tiada kuliah lain melainkan kuliah daripada ustaz Semenanjung.

Kenapa ustaz semenanjung? Fobia yang tidak menentu ini ada kaitan dengan perkembangan politik di Semenanjung. Ke mana-mana saya pergi ,pihak tertentu sangat takut dengan politik semenanjung. Ketara sekali perkataan pemimpin Sibu atau Sarawak ni. Kita tidak boleh terima cara orang Semenanjung....

Jelasnya mereka takut bukan perkara yang sepatut mereka takut tetapi lebih kepada bayang-bayang yang para pemimpin tempatan ini ciptakan. Biar kerja agama mati asalkan kerja politik mereka tidak mati. Ketakutan ini memangsakan kelas dan kuliah agama yang mula menapak di surau dan masjid Sibu.

Bermula dengan khutbah saya pada 10 April 2009 yang lalu sehingga saya telah di"gam"kan daripada menyampaikan khutbah sehingga munculnya edaran surat pekeliling ini. Atas alasan menimbulkan suasana tidak aman dan pelbagai hujah rekaan dibuat bagi menghalalkan tindakkan mereka. Sebenarnya rasa bimbang dan fobia kepada kuliah agama dan perkembangan politik semenanjunglah hakikatnya adalah faktur utama tindakkan ini diambil.

Tindakkan yang tidak dibina atas kewajaran dan kewarasan ini ternyata tindakan penakut dan tidak bertanggungjawab dalam menjaga agama dan syiar agama agar ianya nampak mudah dan berkembang pesat.

Sudahlah kerja agama di sini ibarat nyawa-nyawa ikan, datang lagi arahan tidak bertanggungjawab ini dengan memandang serong kepada kuliah agama yang disampaikan oleh Ustaz-Ustaz Semenanjung yang ada dikalangan mereka sudah masuk berbelas tahun, dibimbangi akan mematikan terus kerja dakwah ini. Yang ruginya umat Islam Sibu sendiri.

Selepas ini harapan saya akan berduyun-duyunlah pula pegawai JAIS akan pergi ke masjid menyampaikan kuliah agama menggantikan tempat Ustaz-ustaz Semenanjung ini. Selamat Menyampaikan kuliah. Masa kami berehat telah tiba.

Buat saya, saya akan meletakkan harga yang mahal untuk kuliah saya tiada lagi percuma. 11 tahun kuliah saya telah diberikan percuma tapi kini saya cukup mahal..... jangan jemput saya kalau nak buat program tapi tiada duit....

Kepada Ustaz dan pegawai JAIS, selamat maju jaya. Moga Allah SWT bersama anda pula....

Berikut surat arahan pekeliling yang diedarkan. Keping pertama daripada tiga helai pekeliling yang diedarkan...

Pekeliling Kebenaran Mengajar Agama Islam, Menyampaikan Khutbah & Mengimamkan Solat dan Pekeliling Pentadbiran Masjid/Surau Bil. 1/2009

Sila lihat senarai agihan,
(Pengerusi masjid dan surau dalam daerah Sibu)

Tuan,

Pekeliling Kebenaran Mengajar Agama Islam, Menyampaikan Khutbah & Mengimamkan Solat dan Pekeliling Pentadbiran Masjid/Surau Bil. 1/2009

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2. Sehubungan dengan itu, bersama-sama ini disertakan surat pekeliling berkenaan untuk tindakan tuan selanjutnya.

3. Kerjasama dan perhatian pihak tuan dalam perkara ini amatlah diharapkan dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, harap maklum.

"KE ARAH PEMBENTUKAN KAIRUL UMMAH"
"BERSATU BERUSAHA BERBAKTI"
"AN HONOUR TO SERVE"


(HAJI SHUKRI BIN HAJI SARKAWI)
bp. Pegawai Agama Islam Bahagian,
Pejabat Agama Islam Sarawak,
Bahagian Sibu.

(Ditulis semula dari surat asal JAIS/SBW/(Pent)/O4/08/05/01(10) Bertarikh 21 Mei 2009)


Berikut Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001;

1.1 Seksyen 58(1)(d):
"Tiada orang boleh mengajar atau mengembangkan atau memperjelaskan kepada orang ramai apa-apa doktrin agama Islam di dalam Negeri tanpa kelulusan bertulis Majlis"

1.2 Seksyen 61 (1)
"Majlis boleh melantik seseorang yang layak dan patut untuk menjadi pegawai masjid bagi mana-mana masjid di dalam Negeri"

Selaras dengan peruntukan ini;

2.1 Tidak dibenarkan sesiapapun untuk mengajar, menyampai atau menerangkan mengenai agama Islam, termasuk berceramah dan berkhutbah di mana-mana masjid di dalam Negeri Sarawak, melainkan setelah mendapat kebenaran secara bertulis daripada Majlis Islam Sarawak.

2.2 Mana-mana pegawai masjid adalah tidak dibenarkan untuk menyerahkan tugas-tugas mengimamkan solat, menyampaikan khutbah dan lain-lain kepada mana-mana orang melainkan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Islam Sarawak atau pegawai yang diberi kuasa oleh Majlis Islam Sarawak.


Kepada Allah Jua saya berserah....

Wednesday, May 20, 2009

Pembinaan Surau An-Nadwah terus berjalan atas semangat derma ikhlas dan gotong-royong

Oleh isma daud

Ada tiga perkara yang akan kekal menjadi saham yang berkekalan biarpun seseorang telah meninggal dunia iaitulah sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh. Begitulah mafhum hadis nabi saw.

Sejak awal tahun 2009; kami warga SMK Rosli Dhoby mula merancang untuk membesarkan ruang surau yang juga digunakan sebagai tempat pembelajaran dan solat Jumaat yang kian sempit berbanding ahli jamaah yang ada.Jumlah ahli jemaah yang mencecah 400 orang dalam satu-satu solat Jumaat dijalankan menyebabkan ruang solat benar-benar perlu diperluaskan.

Puas juga saya selaku pengerusi surau mencari dana disamping derma daripada ahli jamaah sehingga memungkinkan harapan membesarkan surau ini . Akhirnya berjaya dijalankan secara berperingkat-peringkat. Semuanya dijalankan dengan semangat kerjasama dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain. Semangat gotong-royong adalah asas menjayakan separuh daripada pembinaan ini.

Sebenarnya masih banyak dana yang diperlukan bagi menyiapkan fasa kedua pembinaan. Saya sekarang cuba mengusahakan agar dana terus masuk dan pembinaan dapat diteruskan. Di sini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyumbang baik dari segi wang ringgit, tenaga, masa dan komitmen yang pelbagai sehingga separuh daripada usaha murni telah dapat dijayakan. Terima kasih. Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran insya Allah.

Berikut beberapa keping gambar yang dirakam oleh saudara anak mat radhi untuk tatapan bersama;







Guru-guru Muslimah pun turut datang membantu termasuk pelajar Islam yang tinggal berdekatan; terima kasih semua...





Dihujung kerja, adalah sedikit jamuan tanda berterima kasih buat semua dan rasa syukur pada Allah SWT yang tidak terhingga;



Saturday, May 16, 2009

Masihkah Guru Dihormati Dan Dihargai; Selamat Hari Guru

Oleh isma daud

'Guru Pembina Negara Bangsa' - Tema Hari Guru 2009. Guru sekali lagi diletakkan dibarisan utama untuk membina negara yang cemerlang. Tugas mereka sekarang ini bukan sahaja untuk melahirkan insan seimbang bahkan mengorak langkah yang lebih besar iaitu membina negara bangsa. Dengan misi negara sekarang ini yang mahukan rakyat Malaysia hidup dengan lebih harmoni dan saling hormat-menghormati sehingga setiap insan berasa mereka adalah rakyat Malaysia dan tiada apa-apa perasaan bahawa mereka terkurang daripada hak sebagai seorang rakyat Malaysia.

Biarpun banyak halangan yang perlu ditempuh seperti halangan sejarah; ianya tidak seharusnya dijadikan halangan untuk membentuk sebuah bangsa "Malaysia". Kita tidak mampu mengubah apa-apa yang ditentukan Allah SWT kepada kita, namun kita masih ada ruang yang dikurniakan Allah SWT untuk membina sesuatu yang utuh disebalik perbezaan yang ada. Sepatutnya kita melihat bahawa perbezaan yang ada mampu menguatkan kita. Perbezaan itulah menjadikan kita satu bangsa yang unik.

Perpaduan di kalangan rakyat perlu dipupuk sejak dibangku sekolah lagi. Pelajar perlu dididik supaya membina budaya hidup yang saling hormat-menghormati dan saling harga-menghargai. Perasaan hormat menjadikan kita merasakan keberadaan orang lain di sekitar kita dan perasaan menghargai sesuatu menjadikan kita orang yang mampu hidup dengan persekitaran yang kita ada.

Hari ini dua sifat ini sedang mengalami cabaran kerana perkembangan zaman dan masa. Kesibukan manusia mengejar kerjaya, status dan pencapaian individu. Kehidupan ini sedang memusnahkan perasaan murni yang ada dalam diri manusia.

Sekarang perasaan hormat kepada orang lain kian terhakis dan menghargai sesuatu pun kian pudar dari hati kita.

Contoh terbaik ialah bila anak-anak murid atau pelajar kita tidak lagi menghormati gurunya kerana dia berasal dari keluarga yang berstatus tinggi dalam masyarakat. Datang ke sekolah dengan berkereta besar sedangkan gurunya berkereta kecil dan bermotosikal sahaja. Jiwa pelajar merasakan gurunya jauh lebih kerdil daripada dirinya sehinggakan dia merasakan dia lebih dominen dan berpengaruh daripada gurunya. Apatah lagu sekarang ini ibubapa yang sangat menyebelahi anak dan sanggup menyaman dan me"report" gurunya kepada polis atas hukuman yang diberikan oleh guru yang asalnya berniat untuk mendidik.

Kalau dulu jika guru merotan murid sesampai dirumah ibubapa akan sediakan rotan yang lebih besar untuk anaknya. Itu dulu, zaman pun telah berubah. Cara mendidik pun berubah. perasaan hormat kepada guru turut berubah. Saya ada menerima satu mesej daripada sahabat saya secara sinis menulis; "Bila murid duduk...cikgu berdiri! Bila murid diseligi....cikgu pula kena gari, murid datang naik BMW 7 Siri.... cikgu datang naik motor buruk road tax pun dah mati! Murid pergi belajar sampai PhD.... Cikgu baru berkira-kira nak sambung degree. Namun begitu... di dunia cikgu berbakti, moga akhirat syurga tempat kekal abadi". Penghormatan kepada guru hanya pulang kembali kepada guru bukan daripada muridnya dan ibubapa muridnya. Guru terpaksa membujuk diri bahawa keadilan kepadanya hanya datang daripada Allah sahaja di akhirat nanti.

Inilah cabaran yang perlu diperkukuhkan oleh guru bahawa muridnya perlu merasakan dirinya masih perlu dihormati. Masyarakat akan terus menghormatinya dan menghargainya. Begitu besar tembok yang perlu dirobohkan oleh seorang guru.

Berapa ramai ahli masyarakat di luar sana mengiktiraf profesian keguruan sebagai satu profesion yang mulia dan tinggi kedudukannya. Jika guru gagal mendidik anak didiknya agar menghormati dirinya, jangan diharap mereka akan mampu menjadi warga yang boleh menghormati orang lain dan peraturan alam yang ada. Lihat saja apabila mereka keluar dalam masyarakat; watak pelajar berubah menjadi "Mat Rempit", "Bohsia" dan "Bohjan". Banyak lagi gejala sosial yang dikaitkan dengan pelajar hari ini. Gagalkah guru membina anak didiknya menjadi warga yang ada harga diri dan tahu menghormati serta menghargai sesuatu?

Bagi saya jika guru benar-benar jujur untuk menjadi guru dan mendidik secara benar-benar akan muridnya sudah pasti ilmu itu akan masuk ke dalam jiwa anak didiknya. Pesanan guru bagaikan keramat yang meresap dalam jiwa mereka.

Namun berapa ramai guru hari ini yang hanya menjadi pemindah maklumat sahaja sedangkan jiwa anak didik mereka dibiarkan kosong daripada pengisian agama dan akhlak yang mulia. Secara sinisnya ada guru berkata; "Buat apa yang saya kata dan jangan buat apa yang saya buat". Apa nilainya kata-kata guru ini di hadapan murid atau pelajarnya. Mampukah guru seumpama ini mendidik anak bangsanya menjadi mereka yang beridentiti diri dan mampu mengharungi cabaran dunia yang penuh pancaroba hari ini.

Wahai guru; ayuhlah mulakan dengan dirimu berbuat dengan apa yang kamu kata, kota apa yang ditinta. Guru perlu yakin dengan dirinya. Bila dia mengotai apa yang dikatakannya, maruah dirinya akan dikembalikan kepadanya. Biarpun sekecil mana yang dikatakan, lakukanlah; supaya murid dan pelajar anda akan tahu menghormati dan menghargai anda. Kegagalan guru mengotakan apa yang dikatakannya akan meletakkan kehormatan dan penghargaan muridnya berada ditahap yang rendah sebabnya guru itu sendiri tidak menghormati dirinya. Oleh itu guru perlu kembali kepada fungsi dan tugasnya untuk mendidik agar dia bukan penyampai maklumat sahaja. Tiada sesiapa yang akan hormati kita selain kita terima upah dihujung bulan sahaja.

Saya pernah terserempak dengan guru yang muridnya tidur bukan sekadar tidur tapi tidur menelentang dalam kelas atas tiga kerusi yang disusun rapi dalam kelas. Guru yang terus mengajar sedang murid bercakap dan berbuat hal sendiri. Apa yang berlaku, guru sudah tidak kisah lagi... Ada pihak guru yang marah bila saya katakan begitu, tapi itulah yang berlaku. Biarpun ini isu yang terpencil dan sebilangan guru sahaja yang mungkin begitu tapi ianya adalah sebuah realiti yang berlaku. Tugasnya ialah memindahkan maklumat ke dalam kelas. Terlalu kejam saya menghukum rakan guru sebegitu. Tapi itu yang berlaku jika guru tadi tidak berada dalam fungsinya yang sebenar. Penghormatan diri hilang dihadapan muridnya. Memang murid hari ini terlalu kurang hormat kepada gurunya kerana mereka tahu jika gurunya bertegas sangat nanti, gurunya tersalah mereka boleh saman cikgunya nanti... Berapa ramai murid atau pelajar yang melanggar gurunya sampai hampir tersungkur gurunya ke tanah, tanpa minta maaf dan tidak memberi salam. Semuanya ini adalah nilai murid dan pelajar yang tidak tahu menghormati dan menghargai.

Saya teringat kepada seorang guru yang bertugas di sebuah sekolah di ibu kota bercerita kepada saya sebagai guru baru yang baru bertugas dia tidak mendapat apa-apa penghargaan daripada muridnya walau dengan sepatah kata "Selamat Hari Guru , Cikgu". Usahkan mahu diberikan sekuntum bunga atau sekeping kad hari guru. Sebaliknya cikgulah saling berSMS memberi kata-kata perangsang di antara satu sama lain. akhirnya gurulah yang menghargai guru sesama guru.

Namun saya yakin bahawa sebahagian besar guru adalah guru yang jujur dan amanah dengan tugasnya sebagai guru. Dan saya yakin masih ramai murid dan pelajar yang masih menghormati dan menghargai gurunya. Saya yakin masih ramai ibubapa dan ahli masyarakat yang yakin dengan guru hari ini. Maafkan saya kerana menerjah sedikit ke dalam dunia guru dalam masalah terpencil seperti di atas. Tapi itu cukup menggugat rasa hormat seseorang kepada seorang guru.

Sekali lagi saya yakin bahawa guru masih berada di tempat teratas dalam jiwa masyarakat. "Cikgu, selamat Hari Guru!!!". Dengarlah dengan betul-betul nescaya anda akan terdengar ucapan keramat itu daripada anak murid atau pelajar anda..... saya pasti!!!

Friday, May 15, 2009

Perkembangan Terbaru Sahabatku; Mohd Fauzi Mahmud

Oleh isma daud

Ini berita yang dikirim oleh sahabat saya sekitar jam 9:40 am hari ini. Dan beberapa mesej lain turut masuk ke hp saya memaklumkan perkembangan terbaru sahabat saya; Saudara Fauzi Mahmud yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kedah sejak 5 Mei lalu.

Dr Fadli Adam menulis dalam mesejnya:

"Ambe pergi melawat - Fauzi Mahmud yang koma - ptg kelmarin di Hospital Penang n ni pemerhatian ambe....keadaannya kritikel lagi wlupun dah boleh buka mata n gerak tangan kerana no respond diberi. Dia nampak blur n blank n gerak kaki n tangan mcm mnggeletar dgn tidak terkawal smd saraf akibat bleeding otak or krn tahan sakit. Bhg kanan (kaki, tangan, bahu n rusuk) yang patah dah dioperate oleh doktor sbhgnnya. Sekarang ni BP (tekanan darah)pulak yg naik n dktor stabilize dengan ubat. Hrp tolong doakan n buat sembahyang hajat utk dia since nothing much yg hospital can do utk "baiki" except control n monitor keadaan dia je... Esok gi lagi n maklum perkembangan. TQ."

Cuma yang saya confuse masa dimaklumkan saya dulu beliau dimasukkan ke wad hospital Kedah, tp Dr Fadli tuliskan saya Hospital Penang... harap dr Fadli atau rakan yang tahu perjelaskan. Adakah beliau telah dipindahkan hospital?

Kepada rakan-rakan yang mengenali dan simpati kepada nasib sahabat saya ni harap dapat sama-sama doakan kesejahteraannya dan pada masa yang sama saya berdoa kepada Allah SWT agar mencampakkan kesabaran yang tinggi kepada anak-isteri dan keluarganya serta dapat menghadapi saat sukar ini dengan jiwa yang pasrah kepada ketentuan Ilahi ini.

Berita mengenainya saya siarkan pada 6 Mei lalu. Sila klik untuk baca kisahnya : Malang Tidak Berbau; Mohd Fauzi Bin Mahmud Kemalangan Masih Koma.

Wednesday, May 13, 2009

Polis bebaskan Setiausaha bekas MB Terengganu

Rabu Mei 13, 2009

KUALA TERENGGANU: Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir yang ditahan bagi membantu siasatan kes penghantaran SMS ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu, bulan lepas telah dibebaskan pada pukul 9.30 pagi tadi. Beliau dibebaskan dengan jaminan polis sebanyak RM50,000.00.

Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh itu ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi semalam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk siasatan.

Berita berkaitan sebelum ini; Dr. Ahmad Ramzi ditahan

Adik Ipar Dan Abang Ipar Ibarat Maut

Sumber : hMetro
Onar abang ipar pada waktu malam

KLANG (12 Mei): Seorang guru kaunseling sebuah sekolah menengah kelu dan tidak mampu berkata-kata selepas seorang pelajar perempuannya berusia 14 tahun meluahkan masalahnya yang kerap diraba dan dicumbu abang iparnya sendiri.

Lebih memeranjatkan apabila mangsa mendakwa abang iparnya itu kerap ‘merayap’ dalam gelap untuk mencabulnya ketika isteri, emak dan adiknya sedang nyenyak tidur pada waktu malam.

Malah, suspek yang berusia 22 tahun turut tidak menghiraukan kewujudan ibunya yang sering tidur bersebelahan tidak jauh dari katil mangsa semata-mata untuk memuaskan hajat liarnya itu.

Sumber polis berkata, kejadian biadab itu terbongkar selepas mangsa yang menuntut dalam tingkatan 3 sebuah sekolah menengah di Klang dan tidak tahan dengan kelakuan abang iparnya itu berjumpa guru kaunseling berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian terbaru jam 10.15 pagi minggu lalu itu, mangsa memberitahu guru kaunseling berkenaan berhubung tindakan abang iparnya yang sudah banyak kali mencabul seperti mencium pipi dan tubuh mangsa selain memasukkan jari ke dalam kemaluannya.

“Berikutan aduan mangsa, guru kaunseling terbabit kemudian membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Kapar, di sini. Hasil siasatan mendapati kejadian cabul itu sudah bermula sejak Mei tahun lalu dan berlanjutan hingga sekarang.

“Suspek gemar mencabul mangsa ketika semua ahli keluarga sedang tidur, namun mangsa tidak berani meminta tolong kerana fikirannya bercelaru dan tertekan,” katanya.

Katanya, mangsa yang berasal dari Kedah dan tinggal bersama kakak kandungnya selain ibu dan adik suspek yang masih kecil di rumah berkenaan.

“Mangsa mendakwa tidur bersama semua ahli keluarga dalam satu bilik yang hanya dipisahkan dengan kain langsir. Mangsa mendakwa sering tidur di atas katil manakala ibu dan adik suspek tidur di katil bersebelahan dengannya.

“Susulan aduan berkenaan, polis menahan suspek berusia 22 tahun yang bekerja sebagai buruh kasar. Suspek kemudian ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan,” katanya.



Ulasan oleh isma daud

Melihatkan apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini dan apa yang dilaporkan dalam akhbar saban hari menyebabkan saya merasakan ada tanggungjawab besar menjelaskan kepada umat Islam tentang betapa buruknya akibat jika berlaku pergaulan bebas sesama ahli keluarga dan rakan taulan tanpa ada bimbingan agama. Sungguh menyedihkan perkara sumbang ini berlaku dalam keluarga orang Islam sendiri.

Sumbang Mahram

Ramai tidak faham kenapa kita mesti menjaga hubungan dengan orang-orang yang hampir dan ada hubungan "mahram". Timbul persoalan kenapa? Kenapa ya timbul isu "sumbang mahram" dan sebagainya. Sebelum itu patutlah kita merenung kepada sebuah hadis yang mafhumnya "Berdua-duaan di antara adik dan abang ipar atau sebaliknya itu seperti "maut". Cukup jelas bahayanya sehingga Rasulullah saw menyifatkannya sebagai maut.


Baca artikel saya selanjutnya berkaitan tajuk : Jagalah Pergaulan Walaupun sesama Mahram bertarikh 28 Januari 2009.

Dr. Ahmad Ramzi ditahan

DR. AHMAD RAMZI (dua dari kiri) dibawa keluar dari IPD Kuala Terengganu selepas memberi keterangan semalam.



KUALA TERENGGANU (12 Mei 2009) - Selepas hampir sebulan menghilangkan diri, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir akhirnya berjaya ditangkap untuk membantu siasatan berhubung ugutan terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II, Hamzah Mohd. Jamil berkata, bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh itu ditahan di satu lokasi di sini pada pukul 8.30 pagi semalam.

Beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk diambil keterangan sebelum keluar menaiki sebuah kereta polis dengan tangan bergari ke satu lokasi yang dirahsiakan pada pukul 12.45 tengahari.

"Beliau ditahan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga ADUN bulan lalu.

"Pihak polis mempunyai bukti untuk mempercayai bahawa beliau terlibat dengan kes ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Hamzah memberitahu, dengan petahanan itu, siasatan polis berhubung kes tersebut dijangka selesai dalam minggu ini.

Kelmarin, polis juga telah mendapatkan waran geladah rumah Ahmad Ramzi selepas dia tidak muncul sebaik tempoh 72 jam yang diberikan tamat pukul 3 petang kelmarin.

Katanya, polis merampas dua unit komputer riba dan sebuah modem dari rumahnya di Kampung Kubang Parit dekat sini.

Menurut Hamzah, ahli politik itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan akan direman di bawah Seksyen 117 Akta Prosedur Jenayah jika siasatan tidak dapat dilengkapkan dalam tempoh 24 jam.


Nota : Dr Ahmad rakan karib saya semasa di SMA'A'SZA, K.Trg (1988-1991)

Monday, May 11, 2009

Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2 (Siri 3/ Akhir)

Oleh isma daud

Bah. 2 (Siri 3/ Akhir)


(Artikel ini adalah sambungan daripada kuliah saya kepada guru-guru Islam di SMK Methodist).
Sila klik link/posting terdahulu;
1. Kuliah Kepada Guru-Guru Islam Di SMK Methodist
2. Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2
3. Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2 (Siri 2).

Setelah saya membincangkan beberapa faktor untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat; kini saya ingin menggariskan beberapa ciri sahsiah mereka yang akan beroleh kecemerlangan dalam hidup baik kehidupan duniawi maupun ukhrawi; baik di peringkat individu maupun sebuah masyarakat dan negara;

Ciri-ciriNYA…

Cemerlang 7 – Orang yang mengamalkan Pergaulan Yang Sihat Dan Baik;

Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda; "Orang Muslim (yang sebenar) ialah orang yang selamat orang lainnya daripada (kejahatan) lidah dan tangannya".

Mungkin beberapa sifat dibawah ini boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian kita, jika kita tidak dapat melakukan semuanya, jangan kita tinggalkan semuanya. Cuba lakukan sedikit-sedikit dan kita dapat merasakan nikmat dan kebaikannya. Mulakan hari ini bermula dengan diri kita sendiri; di antaranya;
• Manis Muka
• Hormat Hak Orang lain
• Menjaga Maruah Diri
• Melebarkan Salam
• Bersedekah
• Simpati dan Impati Kepada Orang Lain
• Sedia memaafkan kesilapan orang lain
• Mengaku kesilapan
• Elak sifat mazmumah (keji) ; hasad dengki, fitnah dan umpat
• Bertolak ansur dan toleran


Cemerlang 8 – Kuat Ibadah

Ibadah ialah jalan kita membuktikan rasa ketundukan dan ketaatan kita kepada Allah SWT. Kita perlu bermujahadah diri kita agar kita mengukuhkan diri kita dengan jalan ibadah kepada Allah SWT. Di antara langkah-langkah itu ialah kita melaksanakan yang wajib, memperbanyakkan yang sunat, menjauhkan yang makruh dan menilai yang harus dan meninggalkan terus yang haram.

Di antara amalan yang kalau boleh jangan dipersiakan, insya Allah SWT di antaranya;

• Banyak Zikrullah; Ingat akan Allah SWT
• Mengikatkan hati dengan Surau dan Masjid
• Membaca al-Quran
• Memperbanyakkan Selawat
• Selalu meMuhasabah Diri
• Segera Bertaubat
• Benci Yang Mungkar Dan Maksiat
• Suka Kepada Kebajikan dan kebaikan


Cemerlang 9 – Jati Diri Yang Unggul

SIAPA Qudwah/ Ikutan KITA? Hari ini manusia kehilangan punca dalam mencari qudwah. As-Syed Syahid Qutb menyatakan dalam tafsirnya Fi Dzilalil Quran dalam mentafsirkan surah Al-'Asr (Masa) menintakan : "memerhatikan akan manusia hari ini jika disandarkan kepada qawanin (undang-undang dan perlembagaan) yang diturunkan Allah SWT sesungguhnya mereka itu dalam kerugian yang sangat nyata". Ini kerana orang Islam memiliki Al-Quran dan Al-Hadis sebagai sumber unggul tetapi mereka mula mencari yang lain daripada apa yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul mereka. Mereka membuang wahyu; mereka mengambil undang-undang manusia. Mereka kehilangan maruah, kemuliaan dan jati diri ummah.

Mereka telah mengambil yang lain daripada Islam sedangkan Allah SWT menyatakan bahawa sesiapa yang mencari kemuliaan lain daripada apa yang diturunkan bahawa dia akan beroleh kehinaan di dunia dan akan diazab pada hari akhirat nanti.

Hari ini umat ini sedang enak dan leka dengan buaian musuh-musuh Islam. Mereka memperkenalkan pelbagai budaya songsang dan itulah yang menjadi ikutan umat Islam. Mereka tergila-gila dengan budaya sesat ini. Bermati-matian mereka mempertahankannya. Budaya hidup yang berpaksikan huruf "F” menjadi slogan dan anutan umat kini. Apa saja semua dianggap sebagai relevan dengan masa dan keadaan. Slogan seperti ini menjadi buaian; “Fun, Food, Fashion style, Freedom of Religion, Free Thought, Free Sex…” Semuanya indah belaka.

Tanpa mereka sedar sendi-sendi Islam telah mereka tinggalkan sedikit-demi sedikit sehingga dapat kita lihat hari ini; kiblat manusia adalah kepada hiburan semata-mata.

Untuk beroleh kejayaan dan kecemerlangan diri. Umat Islam mesti kembali kepada asas agamanya. Kembali meninggalkan Jahiliyyah dalam apa nama dan slogan sekali pun. Kembali mencontohi Nabi Muhammad SAW dan generasi umat Islam Awal yang dibentuk oleh Rasulullah saw. Ummat Islam mesti membenarkan dirinya ditarbiyyah oleh pengajaran yang berpaksikan Al-Quran. Mana-mana adat resam dan budaya songsang mesti dikuburkan. Umat Islam dulu cemerlang kerana mereka mengosongkan jiwa mereka daripada sifat jahiliyyah dan mengisi sepenuhnya dengan Islam yang dibawakan oleh Rasulullah SAW sehingga muncul manusia baru.

Peminum arak meninggalkan arak, pencuri meninggalkan sifat suka mencuri, penzina bartaubat meninggalkan sikap buruknya.

Saidina Umar Bin Al-Khattab terkenal sebagai orang yang samseng dan bengis tetapi menjadi insan yang lunak selepas memeluk Islam. Banyak lagi contoh unggul yang boleh kita teladani.

Faktur Penghalang Kepada Jati Diri Unggul;

Pertama: Hawa Nafsu

Nafsu sentiasa mengajak kita supaya mencerobohi nilai dan melakukan kejahatan. Maka kita perlu kenali punca yang menyebabkan jati diri seseorang itu boleh rosak. Nafsu ini perlu kita didik ia supaya ia tunduk kepada Allah SWT. Diceritakan bahawa nafsu ini pernah direndam dalam api neraka seratus tahun bila dilepaskan ia tetap mengaku bahawa dirinya tuhan lalu direndam dalam neraka lapar barulah ia kembali kepada fitrah mengaku hakikat dirinya. Begitu rakusnya nafsu maka kita mesti sedar akan angkaranya.

Kedua : Syaitan

Nyata Syaitan itu musuh yang nyata bagi manusia. Mereka tidak akan pernah berputus asa untuk menyesatkan manusia dan dengki terhadap manusia. Oleh itu kita mesti kenali angkaranya agar kita tahu tipadaya syaitan durjana dan kita dapat menjauhi tipudaya tersebut. Bagi orang yang tidak kenal akan tipu daya syaitan memang akan terjerat tetapi orang yang waspada pasti merasakan tipudaya syaitan itu sangat rapuh sekali.

Saya mengambil contoh seorang yang ingin melaksanakan hasrat jahat ingin merogol contohnya ; andainya dia dapat menahan gelojak nafsunya senafas, mengenang kenikmatan sekejap berbandingan kehinaan yang akan diterimanya, hukuman dunia yang akan diterimanya; penjara, sebatan, denda dan berbagai kesusahan yang akan membelenggu jiwa dan jasadnya, kehancuran dan kemusnahan hidup mangsa yang diperlakukannya. Apatah lagi kalau dia sempat berfikir sejenak akan azab Allah SWT di akhirat nanti; pasti dia akan mundur dan tidak mudah memperbodohkan dirinya dengan bujukan nafsu yang sekejap dan godaan syaitan yang memperdaya sewaktu itu.

Masalahnya manusia sentiasa tewas dengan dua musuh ini.

Kenapa? Semua kerana kejahilan manusia itu sendiri sehingga dia tidak kenal siapa musuhnya dan dia tidak tahu bagaimana mahu mengecewakan musuh-musuhnya itu.


Akhir sekali ;
Cemerlang 10 - Memiliki Jiwa yang Kental.

Langit tidak sentiasa cerah. Sesekali badai datang melanda. Ribut kuat datang membadai. Calang-calang jiwa mampu goyah dan tumbang. Senjata ampuh menghadapinya ialah kesabaran. Jika penawar kepada nikmat adalah syukur, Rawatan batin ketika susah dan sukar adalah sabar. Jiwa inilah yang akan mampu menerima segala qadhak dan Qodar Allah SWT.

Ketika menangis dan bersedih usahlah menangis berpanjang-panjangan, ketika ketawa janganlah lupa daratan. Bukan dilarang menangis atau tidak menangis langsung nanti kita ini dinamakan manusia berhati batu. Atau Tidak tahu erti sedih langsung sehingga kita dibenci oleh Allah SWT kerana pupus sifat rahmah dalam hati kita. Orang yang tidak merahmati tidak akan dirahmati Allah SWT.

Kekentalan jiwa bermaksud kita mempunyai daya tahan untuk menghadapi dugaan hidup dan cabarannya. Setiap masalah yang datang dijadikan cabaran bukan untuk ditangisi dan bukan pula dengan cara mengecewakan diri sendiri sehingga rosak segala kehidupan. Yang lebih malang jika memberi kesan kepada orang yang berada disekitarnya.

Oleh itu kita perlu kekuatan dalaman untuk kita merasakan kekuatan bagi melangsungkan kehidupan di alam yang fana ini. Matlamat dan destinasi kita sebenar ialah menuju Allah dan perjalanan hidup di alam yang kekal abadi.

Saya mendoakan agar kita semua mampu menguasai diri kita dan mengenali sahsiah kita untuk kita mengenal bakat yang ada dalam diri kita, yang memungkinkan kita mengasah dan mengasuhnya untuk menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat.

Sekian.

Kembali Kepada Bah. 1 , Bah. 2 (Siri 1) Dan Bah. 2 (Siri 2)

Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2 (Siri 2)

Oleh isma daud

(Artikel ini adalah sambungan daripada kuliah saya kepada guru-guru Islam di SMK Methodist).
Sila klik link/posting terdahulu; Bah 1 : Kuliah Kepada Guru-Guru Islam Di SMK Methodist
Sila klik link/posting terdahulu; Bah 2 : Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2

( Siri 2)
Setelah saya membincangkan beberapa faktor untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat; kini saya ingin menggariskan beberapa ciri sahsiah mereka yang akan beroleh kecemerlangan dalam hidup baik kehidupan duniawi maupun ukhrawi; baik di peringkat individu maupun sebuah masyarakat dan negara;

Ciri-ciriNYA…

CEMERLANG (3) - Sahsiah yang cintakan ilmu pengetahuan, dengan ilmu seseorang itu dapat;
- tahu batas iman dan kufur
- tahu halal dan haram
- tahu hak dan bathil
- tahu mana khaliq dan makhluk.

Rasulullah adalah seorang yang “ummi” diubah oleh Allah SWT menjadi seorang yang berilmu dengan perintah “ Iqra’ ” melayakkannya menjadi rasul, pemimpin ummah dan pembawa rahmat kepada sekelian alam. - Mafhum ayat 2. Surah Jumuah;

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ


CEMERLANG (4) - mengekalkan PERPADUAN masyarakat.

Tidak semua perkara boleh kita lakukan sendirian. Kerja ramai lebih baik daripada kerja seorang bahkan kesilapan dalam ramai lebih baik daripada kita lakukan kesilapan secara bersendirian. Beban yang dipikul ramai tidaklah sebeban kita tanggung keseorangan. Allah SWT sendiri menjelaskan "Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka". Maksudnya pertolongan Allah SWT datang kepada yang ramai tidak kepada yang keasingan. Sifat keasingan itu lebih bahaya sehingga Rasulullah SAW sendiri memberi amaran bahawa serigala itu hanya menerkam kambing yang terpencil daripada kumpulannya".

Kehidupan bermasyarakat menjadikan setiap individu di dalamanya sedia untuk saling bantu-membantu di antara satu sama lain. Cubit peha kanan, peha kiri turut sama terasa. Satu individu merasa sakit; individu lain akan turut sama merasa penderitaannya. Itulah perumpamaan yang diberikan oleh Rasulullah SAW bahawa persaudaraan di dalam Islam itu seumpama satu jasad; jika satu jasad yang sakin makan seluruh anggota jasad yang lain akan turut menderita dan sama berjaga malam. Begitulah hebatnya perpaduan yang memungkinkan sesebuah masyarakat itu menghadapi segala macam cabaran baik dalam keadaan senang dan susah; mereka akan hadapi bersama.

Hasilnya bukan sahaja individu itu saja yang cemerlang bahkan organisasi dan masyarakatnya akan turut merasa nikmat kecemerlangannya. Bahkan mampu melahirkan sebuah masyarakat yang diredhai Allah dan dijamin dengan rezeki yang mulia. Firman Allah SWT;

.وَالَّذِينَ آمَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَاهَدُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالَّذِينَ آوَواْ وَّنَصَرُواْ أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ - /74/سورة الأنفال


CEMERLANG (5) - Individu yang sentiasa memperbaharui niat dan ikhlas di dalam pekerjaannya.


Kepentingan niat sangat hebat untuk melahirkan insan cemerlang. Kalau nak hebat niat mesti hebat. Sebagai guru mesti berniat untuk menjadi guru yang hebat kepada muridnya, sekolahnya, daerahnya bahkan guru yang dikenali di peringkat negeri atau negara. Kalau boleh jadi guru yang mursyid; guru yang mampu merobah daya fikir dan gerak muridnya sehingga membentuk satu gelombang baru dalam pemikiran manusia. Menunjuk manusia ke jalan yang benar. Berani kepada menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman dan kebathilan.

Saya sudah menggariskan 3 Kunci untuk hebat; menguasai attitude(sikap dan nilai-nilai unggul), skill (kecekapan dalam kemahiran dan penampilan kerja) dan knowledge (pengetahuan yang mendalam dalam sesuatu bidang). Menguasai faktor pendorong ini memungkinkan seseorang muncul sebagai orang yang berkeupayaan memimpin bukan saja dirinya bahkan orang di bawahnya. Jika dia orang bawah memungkinkan dia untuk memberi saranan-saranan berguna kepada orang atasan dan majikannya.

Jelasnya niat itu mesti berlaku kerana kepentingannya dalam kehidupan kita. Sebab itu Allah SWT menuntut kita solat 5 waktu sehari semalam dan bagi setiap kali mahu mendirikan solat kita dituntut memperbaharui niat. Dan bagi setiap amalan yang berbeza yang kita lakukan kita perlu memperbaharui niat kita. Ini selaras dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah saw.

Sabda Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya; Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Bahawasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung ) kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap orang itu (balasannya) mengikut apa yang diniatkannya..”

Hadis ini secaras jelas menerangkan tentang peri pentingnya niat dalam setiap usaha dan pekerjaan yang kita mahu kerjakan.


CEMERLANG (6) - Individu yang seimbang dalam memenuhi tuntutan duniwi dan ukhrawi.

Individu ini melihat kehidupan duniawi ini melalui tasawwur dan pandangan yang betul, iaitu;

- Melihat Dunia ini adalah Tempat Beramal. Akhirat pula tempat menerima pembalasan.
- Kenal tipu daya dunia; Bagi orang beriman dunia ini penjara kepada mereka, syurga kepada yang kafir.
- Kehidupan mereka seperti seorang pengembara; yang singgah untuk mencari bekalan; bila cukup dia pun pergi.


Baca Selanjutnya:
1. Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2 (Siri 3/ Akhir)

Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2

Oleh isma daud

(Artikel ini adalah sambungan daripada kuliah saya kepada guru-guru Islam di SMK Methodist).
Sila klik link/posting terdahulu; Bah 1 : Kuliah Kepada Guru-Guru Islam Di SMK Methodist

(Siri 1)
MUKADDIMAH

Firman Allah SWT;
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ . ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ - سورة التين

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang Yang rendah". - Surah At-Tiin; ayat 4-5.


Setelah saya membincangkan beberapa faktor untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat; kini saya ingin menggariskan beberapa ciri sahsiah mereka yang akan beroleh kecemerlangan dalam hidup baik kehidupan duniawi maupun ukhrawi; baik di peringkat individu maupun sebuah masyarakat dan negara;

Ciri-ciriNYA…

CEMERLANG (1) : Sahsiah yang memiliki aqidah yang mantap

• Aqidah tulin dan akhlak terpuji berjaya melahirkan khairul ummah. Buktinya; Kejayaan Rasulullah meletakkan “Marhalah Bina’ selama 13 tahun di Makkah menjadi asas kejayaan dakwah dan Daulah Islamiah yang pertama di Madinah Al-Munawwarah selepas hijrah. “Marhalah Tamkin” berjaya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun sahaja. - Sila rujuk tulisan Said Ramadhan Al-Buthi dalam bukunya Fiqh Sirah.

Sahsiah Yang Memiliki Aqidah Salimah adalah mereka yang;
• Mengucap Dua Kalimah Syahadah
• Menyaksi dan memperakukan keimanannya kepada Allah dan menolak sekutu baginya
• Menyaksi dan memperakukan keimanannya tentang kerasulan nabi Muhammad SAW sebagai nabi terakhir yang diutuskan kepada sekelian alam.
• Mencintai Allah dan Rasul lebih daripada yang lain
• Memperakukan segala rukun Iman
• Menjaga akidah daripada rosak dan binasa.

Sebaliknya jika persoalan iman dan aqidah ini dikesamp[ingkan; tunggulah saat kebinasaan sahsiah individu dan ummah ini; Kerosakan akhlak dan keruntuhan moral akan menawan jiwa umat islam tanpa mengenal rupa, usia dan darjat keturunan. Bahkan bala itu tidak mengenal siapa. Ini kerana kecemerlangan individu itu adalah mata rantai kepada kecemerlangan sesebuah masyarakat dan ummah. Jika individu rosak maka kesannya melimpah kepada ummahnya. Jadi semuanya akan terpalit noda dan kehinaan.

Bermula dengan Gejala Sosial di kalangan Remaja seperti berlakunya penyebaran ajaran Black Metal, Gothic, Punk, budaya Money Boy, Bohsia, Mat Rempit, Budak Makan Sampah, Grrr…

Sehingga kepada isu bohsia, bohjan dan pergaulan bebas sehingga terjebak isu pembuangan bayi atau melahirkan anak luar nikah. Sebagai contohnya; Pada tahun 2006, sebanyak 83 kes pembuangan bayi telah dicatatkan di seluruh negara berbanding 65 kes pada 2000. Sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya masih merupakan janin. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pembuangan bayi turut menular di institusi pengajian tinggi (IPT).

Jelasnya Gejala Sosial Remaja Tak Habis-habis….. yang dewasa dan yang tua apa kurangnya; ironisnya ada yang jadi haruan yang makan anaknya...

• Hasil kajian seorang pensyarah di UKM yang mendapati sebahagian besar responden pelajar perempuan yang dikajinya di sekolah menengah di negeri Selangor pernah melakukan hubungan seks (2007).

• Mengikut kajian NGO Prostat; di anggar 17 orang setiap hari rakyat Malaysia dihinggapi HIV / Aids. (Sumber : MHI/10-01-2008)

Semua ini berlaku kerana daya tahan iman dan akidah dalam jiwa insan itu terlalu rapuh dan mudah goyah, bahkan tercabut daripada paksinya; Firman Allah SWT; "Berkata orang arab; “ Kami telah beriman! Allah berfirman: “Mereka belum beriman, akan tetapi ucapkanlah kami telah Islam kerana belum masuk lagi keimanan itu ke dalam hati mereka. Kecualilah jika mereka itu telah taat kepada Allah dan RasulNya; tidak pula amalan mereka itu dikurangkan pahalanya, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang ”. - Surah Al-Hujurat; 14.


CEMERLANG (2) : Sedia berhijrah (BERUBAH) dan berjihad (BERJUANG) bagi mengharapkan rahmat dan keampunan Allah.

FIRMAN ALLAH SWT:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُواْ وَالَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَاهَدُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ أُوْلَئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللّهِ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ . سورة البقرة
Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta orang-orang yang berjihad pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang mengharapkan rahmat Allah dan allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Pengasihani". Surah Al-Baqarah; ayat 218.

Untuk mencapai kejayaan mungkin lebih mudah tetapi untuk mencapai tahap cemerlang memerlukan jihad dan hijrah. Ramai orang yang menyuarakan hasrat untuk berubah dan tidak kurang orang yang menyebut-nyebut azam baru tatkala datang tahun baru atau ketika sambut ulangtahun kelahiran. Selepas itu dia kembali kepada tabiat dan watak asalnya. Sukar untuk berubah. Ingat sesuatu yang kita lakukan tanpa hijrah sebenarnya kita akan terus mengulangi pengalaman dan sejarah sama untuk kesekian kalinya. Inilah hambatan kepada kita untuk cemerlang.

Orang yang cemerlang akan memulakan dari dalamannya. Ubah cara fikir dan rasa; yang mahu diubah ialah maknawinya. Oleh itu untuk berubah ianya bermula dengan niat. Hatinya mesti dibersihkan terlebih dahulu. Jika hati bersih akan kuranglah musuh dalam jiwanya dan selamatlah dia daripada tipu daya syaitan. Jika jiwanya bersih; yang lain akan turut bersih.

Rasulullah SAW pernah menegaskan dalam sabdanya yang mafhumnya; "Sesungguhnya dalam diri manusia ada segumpal daging, jika baik maka akan baiklah seluruh anggota badannya dan jika ia rosak akan rosaklah segala anggota badannya yang lain. Itulah hati".

Apabila ini berlaku akan mudahlah datang rahmat yakni kasih sayang Allah SWT kepada orang itu beserta keampunan dariNya. Jika jiwanya sudah bersih dan akalnya lapang akan memberi kebaikan yang banyak kepada individu itu baik dari kesihatan jasmani dan rohani. banyak penyakit dapat dirawat khususnya penyakit-penyakit jiwa. Jika kita sihat banyak pula sumbangan yang dapat kita lakukan.

Jelasnya insan yang rela berhijrah akan mudah berjaya dan mampu mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat.

Baca Selanjutnya :
1. Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2 (Siri 2).
2. Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2 (Siri 3/ Akhir)

Sunday, May 10, 2009

Polis Terengganu - 3 Hari Untuk Bekas SU Politik Idris Jusoh

isma daud - Apa cerita ni Zie...???

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita4/ramzidilokasi.jpgKUALA TERENGGANU - Polis Terengganu memberi tempoh tiga hari mulai hari ini kepada Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh, untuk tampil membantu siasatan berhubung kes penghantaran SMS berbentuk ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Terengganu bulan lepas.

Bernama melaporkan, Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC II Hamzah Mohd Jamil, berkata jika Ahmad Ramzi gagal berbuat demikian, polis akan mendapatkan waran tangkap terhadap beliau.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa polis telah cuba mengesan Ahmad Razmi, yang juga bekas calon BN bagi kerusi Parlimen Marang pada pilihan raya umum lepas, di kediaman beliau di sini dan Kuala Lumpur tetapi gagal.

Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle di talian 09-6246222.

Pada 25 April lalu, setelah siasatan polis ke atas kerani swasta yang ditahan untuk membantu siasatan tidak berhasil, polis mula mengesan Ramzi bagi membantu siasatan berhubung kes.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ramzi dicari kerana beliau adalah antara individu yang mengeluarkan kenyataan kepada media pada malam ketiga-tiga ADUN itu menerima SMS ugutan berkenaan.

"Polis ingin mendapatkan kepastian sama ada Ahmad Ramzi turut menerima SMS berkenaan atau sebaliknya kerana beliau turut memberi kenyataan kepada media pada malam tersebut," kata ACP Mohd Fauzi.

Kehadiran Ramzi bersama dua ADUN BN ketika membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada malam itu memang menjadi persoalan.

Yang anihnya, pada malam tersebut Ramzi turut mempamirkan ‘ayat ugutan SMS’ kepada wartawan melalui telefon bimbit sedangkan beliau bukan ADUN dan bukan penerima SMS itu.

Lagi... 3 Hari Untuk Bekas SU Politik Idris Jusoh Hubungi Polis, Kes SMS Ugut Bunuh Belum Selesai

Kuliah Kepada Guru-Guru Islam Di SMK Methodist

Oleh isma daud


Bermula jam 8.00am (Sabtu); saya menyampaikan satu kuliah bertajuk "Membina Sahsiah Cemerlang di Dunia & Akhirat". Kedatangan saya disambut oleh Al-Fadhil Ustaz Adnan Rosdi selaku pengerusi majlis pagi ini.

Kuliah ini berakhir jam 9.45 pagi.

Ada beberapa perkara yang saya bincangkan, di antaranya;

1. Sahsiah muslimah;
iaitu mereka yang membina diri bersumberkan wahyu iaitu al-quran dan sunnah. Kejayaan bagi mereka ialah apabila mereka dapat mematuhi sedaya upayanya akan suruhan Aallah SWT dan berusaha sedaya usahanya meninggalkan larangan Allah SWT. Menyelamatkan diri mereka daripada neraka Allah SWT dan memastikan kehidupan mereka mendapat keredhaan Allah SWT.

Sahsiah mereka selari dengan apa yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW kerana baginda adalah qudwah hasanah kepada semua manusia. Idola yang lain merupakan khayalan manusia itu sendiri kerana mereka tidak mendapat bimbingan wahyu secara langsung daripada Allah SWT. Allah SWT yang menurunkan syariatnya dan Dialah akan menjaga rasulNya yang membawa risalah tersebut. Bahkan Allah SWT menjamin kitabnya akal kekal sehingga hari kiamat, tidak ada tangan-tangan yang berupaya merubahnya.


Kunci 1 : ASK

Untuk memperolehi kejayaan dalam kehidupan seseorang itu sekurang-kurangnya memiliki tiga asas ini disamping faktor sokongan yang lain;

A; Attitude (Sikap)- Sikap seseorang terhadap sesuatu yang hendak dilakukannya sangat penting. Terbina sikap yang positif hasil daripada iman , gambaran hidup yang jelas dan berpandangan jauh. Keyakinan diri yang tinggi akan menentukan sikap seseorang samada positif maupun negatif.

S; Skill ( Kemahiran/ Keterampilan) - Kemahiran seseorang dalam seseuatu bidang yang yang hendak diceburi dan dilakukan adalah asas penting untuk memperolehi kejayaan di dunia. Bahkan kejayaan di akhirat juga.

K; Knowledge (ilmu Pengetahuan)
- Ilmu adalah asas kepada manusia untuk mencari kebahagian dan kejayaan. Tanpa ilmu segalanya menjadi sukar. Islam meletekkan ilmu sebagai perkara utama sehingga wahyu pertama diturunkan terus membicarakan iman dan ilmu sekali gus. Untuk beriman seseorang itu mesti berilmu. Berjaya di dunia pun berilmu, Mencari akhiratpun jalannya ilmu. segalanya berpaksikan ilmu.


Kunci 2 : DUIT


Untuk lebih berjaya dan pekerjaan seseorang itu benar-benar menempa kejayaan baik di dunia dan akhirat sewajarnya empat asas ini disertakan bersama dengan tiga kunci di atas;

D; Doa
- Doa merupakan otak ibadah. Doa merupakan kunci untuk memperolehi petunjuk dan hidayah Allah SWT. Sesiapa yang mendapat bimbingan dan ransangan Allah SWT, sudah tentu dia tidak mudah kecewa dan akan tabah menghadapi segala kemungkinan. Jiwa yang redha dan tenang akan memacu tuannya kepada kehidupan yang penuh meyakinkan. Sudah tentu orang yang kuat berdoa tidak merasa rugi apa-apa dan tidak menyesal atas apa yang bakal menimpanya. Ini kerana dia yakin segala sesuatu yang ditentukan Allah SWT adalah yang terbaik untuk dunia dan akhiratnya.

U; Usaha (Amal) - Doa semata-mata tidak dapat merubah nasib seseorang melainkan doa itu disertakan dengan usaha dan amal yang bersungguh-sungguh dan istiqamah. Sudah tentu ketelitian dalam bekerja akan mengurangkan kesilapan. Gabungan di antara doa dan usaha yang tidak mengenal erti penat pasti mendapat pertolongan dan hidayah Allah SWT. Ini kerana Nabi SAW pernah bersabda dengan mafhumnya : "Sesungguhnya Allah sangat menyukai seseorang yang melakukan sesuatu pekerjaan, lalu dia lakukannya dengan tekun".

Bekerja juga mampu merubah nasib seseorang. Sikap berpeluk tubuh dan berserah kepada nasib sahaja akan meninggalkan seseorang itu dalam dunia angan-angan yang tidak berketepian. Hanya angan-angan yang dibuktikan dengan usaha sahaja akan dapat merealisasikan apa yang diangan-angankan itu.

Allah SWT sendiri mengingatkan bahawa Allah SWT tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu merubah nasib mereka sendiri. Pepatah melayu yang berkata; "Beras secupak tidak akan jadi segantang" perlu diperkukuhkan dengan pemahaman baru bahawa beras secupak bukan hanya jadi segantang bahkan lebih daripada itu jika beras itu ditukar kepada nasi baik apa jenis nasi sekalipun. Jelasnya ubah cara fikir untuk berjaya.

I; Iman Dan Ikhlas (Ihsan)
- Iman adalah dasar hidup yang kukuh utuh berada dalam jiwa dan diri manusia. Hanya orang yang beriman akan berjaya mengharung kehidupan ini dan tidak mudah berputus asa. Keimanan menjadikan seseorang itu yakin dan berani menghadapi apa sahaja cabaran hidup.

Keimanan telah memberi kejayaan kepada banyak orang. Nabi Musa berjaya menentang Firaun bukan kerana baginda memiliki persenjataan yang hebat. Dengan sebatang tongkat dan keimanan kepada Allah SWT; Firaun tumbang bersama dengan keangkuhannya. Ramai lagi yang membawa contoh beerti kepada kita khususnya nabi kita Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Mereka adalah orang yang hebat keimanan mereka sehingga mereka terbukti dapat menguasai alam ini dengan obar Islam dan kecemerlanagnnya.

Ihsan pula melahirkan mereka yang ikhlas. Keihlasan membuatkan seseorang bekerja kerana Allah SWT. Tiada kebimbangan untuk seleweng dan berwenang-wenang dalam pekerjaan. Hanya Allah SWT yang menjadi Pengawal dan Penjaganya. Keikhlasan seseorang itu cukup menjadi motivasi kepadanya bekerja. Keredhaan Allah SWT sahaja menjadi harapannya. Jika dia tidak memperolehi pujian manusia dan penghargaan mereka; mereka masih ada Allah untuk menilai pekerjaan mereka.

Allah SWT berfirman yang mafhumnya; "Dan katakanlah wahai Muhammad! Bekerjalah kamu maka Allah SWT akan melihat pekerjaan kamu, begitu juga rasulnya dan orang yang beriman turut sama melihatnya; Dan kamu semua akan dikembalikan kepada alam yang ghaib lagi nyata (akhirat) dan kamu akan diberitakan tentang apa yang telah engkau kerjakan di dunia".

T; Tawakkal - Tawakkal beerti berserah diri kepada Allah SWT setelah berusaha gigih dan melakukan berbagai ikhtiar. Setelah semuanya dilakukan penghujungnya diletakkan kepada Allah SWT yang bersifat Maha Mengetahui atas segala sesuatu. Maka wajarlah seseorang hamba meletakkan pergantungan harap kepada Allah SWT.

Sesungguhnya hamba yang meletakkan harapan dan pergantungan dirinya kepada Allah SWT menjadikannya seorang yang sedar diri. Kenal diri siapa hakikat dirinya. Dia hamba bukan tuan. Menyedari hakikat ini menjadikannya merasa kerdil dihadapan Allah SWT. Lantas dia berusaha dalam lingkungan kemampuannya dan apa yang diluar kemampuannya pula diserahkan kepada yang Maha Mengetahui.

Kenal Diri Kenal Peribadi

Berapa banyak orang yang menilai kejayaan itu melalui acuan dan persepsinya sendiri. Ada yang menilai kejayaan itu kerana berjaya dalam sesuatu bidang. Ada penghargaan dan pujian. Ada seberapa banyak sijil dan anugerah. Semua itu tidak ada sesiapa yang menafikannya. Ianya ukuran kejayaan seseorang tetapi ianya setakat kejayaan dunia sahaja. Perkiraan kita adalah kejayaan hakiki kerana pemutusnya adalah apa yang dikehendaki dan diiktiraf oleh Allah SWT. Pengiktirafan Allah SWT itulah anugerah kejayaan sebenar dimana seseorang itu akan menerima sijilnya dengan tangan kanannya dan berjaya meempuh siratNya dan dimasukkan kedalam syurgaNya. Kejayaan kerana dapat menyelamatkan diri dan keluarga dan masyarakatnya daripada neraka Allah SWT.

Insan yang berjaya dan cemerlang adalah mereka yang hidup berlandaskan al-Quran dan Hadis. Kedua-duanya adalah wahyu dari yang maha mencipta segala sesuatu. Dia yang mencipta kita dan menetukan tugasan kita serta tanggungjawab kita. Jika kita bertindak selari dengan apa yang ditentukan oleh Allah SWT; itulah jalan kejayaannya. Jika kita hidup bertentangan dengan jalan dan cara yang dikehendaki oleh Allah SWT bermakna kita sengaja menempah kemurkaanNya.

Maka wajarlah kita mengenal fungsi dan tanggungjawab kita. Apabila kita mengenali "siapa kita"? Insya Allah SWT, kita tidak tersalah memilih jalan hidup dan pada masa yang sama kita berusaha menjadi insan cemerlang di sisiNya nanti.

Baca Selanjutnya :
1. Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2
2. Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2 (Siri 2).
3. Sahsiah Cemerlang Dunia Dan Akhirat - Bah 2 (Siri 3/ Akhir)
Related Posts with Thumbnails