Menjaga Alam Sekitar Tanda Iman

Oleh isma daud

Petang tadi saya dijemput untuk menyampaikan kuliah tafsir di kelas anjuran Urusetia Saudara Baru Kita, Hikmah, sibu; yang mana turut dihadiri oleh saudara baru yang baru menganut Islam sejak tiga minggu yang lalu.

Dalam kuliah petang ini saya membicarakan persoalan iman sebagai asas penerimaan Allah SWT kepada seluruh amal ibadah kita. Tanpa iman maka seluruh kebajikan kita akan tertolak dan menjadi sia-sia sahaja.

Di antara tanda beriman ialah kita menghubungkan diri kita dengan Allah SWT yang mencipta kita dan alam maya ini. Allah swt mencipta kita dan alam ini dengan kebijaksanaanNya dan kasih sayangNya. Sebab itu Allah SWT sangat murka kepada kita jika kita mengkhianati diri kita sendiri seperti kita melakukan kerosakkan kepada akal, tubuh badan, ruh dan jiwa, nasab keturunan maupun agama yang fitrah yang diredhai oleh Allah SWT. Allah SWT juga sangat murka jika kita melakukan kerosakkan atas muka bumi ini seperti mencemarkan alam ini dengan pelbagai pencemaran samada mencemarkan air, sungai, laut, udara, bukit bukau, gunung-ganang dan alam ini seluruhnya.

Sikap rakus manusia telah menyebabkan banyak kerosakkan dan kesannya telah banyak dapat kita lihat seperti berlaku tanah runtuh, gegaran dan gempa bumi, banjir dan thunami, kebakaran dan sebagainya. Telah banyak kerugian yang ditanggung oleh manusia termasuk kehilangan harta benda, alam dan nyawa manusia itu sendiri terancam dan ramai terkorban. Binatang-binatang mati, pokok-pokok musnah dan penyakit merbahaya merebak yang akhirnya mengancam dunia dan alam ini. Sehingga menjadikan alam ini tidak selamat didiami oleh manusia lagi...

Ini kerana alam ini adalah kerja tangan Allah swt. Dialah yang berkuasa mencipta atas segala-galanya. Jika kita merosakkannya ; maka wajarlah Allah SWT mendatangkan musibah dan malapetaka kepada manusia itu sendiri hasil kerakusan nafsu mereka sendiri.

Oleh sebab itu kita hendaklah mencintai alam ini kerana Allah SWT menciptanya untuk kita. Dengan kita bermesra dengan alam bermaksud kita bermesra dengan pekerjaan Allah SWT. Kita menghargai ciptaanNya beerti kita telah bersyukur kepadaNya atas nikmat dan kurniaNya itu.

Allah swt menjadikan kita saling perlu dan berhajat di antara satu sama lain; Allah SWT menjadikan kita dengan perlu kepada udara dan oksigen, jadi Allah SWT menjadikan pokok mengeluarkan oksigen. Pada masa yang sama pokok perlukan karbon dioksida dan manusia dapat menghasilkannya. Putaran kehidupan ini menjadikan kita manusia dan alam saling perlu dan memerlukan di antara satu sama lain.

Maka ianya juga menjadi tanda kita beriman kepada Allah SWT. Melalui alam semesta ini kita dapat merasakan hampirnya Allah SWT kepada kita dan melalui jalan berta'ammul(berhubung) dan bertafakkur(berfikir) dengan alam menjadikan kita lebih kenal dan cintakan Allah SWT. Atas persoalan ini Rasulullah saw menegaskan dalam sabdanya;"Berfikirlah kamu pada kejadian ciptaan Allah SWT dan jangan kamu berfikir akan Zat Allah SWT (kerana akal kita tidak berupaya memikirkan ZatNya).

Menghalusi pekerjaan tuhan menjadikan kita mengagumi penciptanya. Dengan itulah kita bertambah yakin dan percaya kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Ini amat bersesuaianlah dengan apa yang dijelaskan Allah SWT bahawa dengan berfikir dan bertadabbur dengan kejadian alam ini akan menjadikan kita yakin akan Allah SWT sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud;" Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang menjadi tanda adanya Allah SWT bagi orang-orang yang berakal".

Dengan ini marilah kita menghargai alam yang ada disekitar kita dengan menjaganya secara baik. Bukan sahaja kita berhubung dengan Allah SWT malah pada masa yang sama kita wajib menjaga hubungan sesama manusia dan juga makhluk Allah SWT yang lain termasuk binatang dan tumbuh-tumbuhan. Wallahu 'Alam!!!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?