Harinya Sudah Tiba... Ujian Datang Juga

Oleh isma daud

Dua tiga hari juga saya tidak sempat menjenguk laman blog saya. Agak sibuk sedikit mutakhir ini dengan tugasan yang dibebankan di bahu ini.

Dalam keadaan itu Allah mentakdirkan saya untuk menyampaikan khutbah jumaat (tanpa teks) di Masjid an-Nur, Sibu. Maka terpancullah di mulut saya persoalan "Ubudiyyah Kepada Allah SWT" melalui ayat; 73, Surah Al-Anbiyaa'.

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَ الصَّلَاةِ وَإِيتَاء الزَّكَاةِ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ

Maksudnya: "Dan Kami jadikan mereka (Nabi-nabi dan Rasul-rasul) sebagai pemimpin yang mereka itu mendapat pimpinan hidayah dengan perintah kami, dan Kami wahyukan kepada mereka pekerjaan yang baik-baik, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. (Dengan mereka berbuat demikian) Jadilah mereka itu hamba-hamba yang benar-benar menyerah diri kepada Kami". Surah Al-Anbiyaa'; ayat 73.

Lanjutan ayat ini secara ringkasnya; saya membangkitkan persoalan sekularisme yang memisahkan manusia daripada agama dengan kehidupan dunia, yang nyata bercanggah sama sekali dengan asas hidup dan perjuangan para nabi-nabi ini. Di mana Allah SWT memerintahkan mereka dengan pekerjaan yang baik dan pekerjaan yang berasaskan sendi petunjuk dan hidayahNya. Jadi seluruh asas dan dasar hidup mesti berpaksikan kepada ubudiyyah kepada Allah SWT semata-mata kerana segala pekerjaan yang baik samada berkaitan duniawi maupun ukhrawi adalah ibadah semuanya.

Berbanding dengan sistem yang dibina atas sendi sekularisme menjadikan urusan agama dikotak-katakkan dalam kehidupan sebagai contoh mudah jika mahu solat kita tutup aurat dan bila bersukan tiada lagi persoalan aurat, pemisahan agama dari kehidupan ini menjadikan manusia membebaskan diri mereka daripada perasan takut kepada Allah SWT dan jauh sekali memikirkan dosa dan pahala dalam urusan dan kegiatan hidup seseorang.

Saya mengembangkan khutbah saya dengan tugas Rasul yang mengajak manusia untuk berfungsi sebagai hamba Allah SWT dan menolak Taghut. Selanjutnya tugas Rasul ini menjadi tugas kita bersama sepanjang zaman.

Dalam khutbah yang memakan masa 30-40 minit yang dianggap terlalu panjang oleh sebahagian Jamaah yang kepanasan dengan khutbah ini bagai disinggung dan dikritik dengan patah ayat yang saya olahkan.... menjadikan khutbah saya bagai mimpi buruk mereka yang mempertahankan sistem sekular yang diwarisi daripada penjajah sekian lama; dan pemikiran itu telah menyebabkan mereka hilang sabar lalu menyerang imam yang bertugas yang menjemput saya membaca khutbah hari itu, sebaik saja sudah solat Jumaat... Siapa Jemput Si.....bla...bla ( sebagaimana dilaporkan oleh mereka dalam pertemuan di pejabat JAIS, Sibu).

Maka saya hari ini dijemput mengadap JAIS dan saya di"rehat"kan mungkin buat selama-lamanya daripada menyampaikan khutbah di Masjid ini. Saya tidak kesal kerana saya telah menyampaikan tanggungjawab saya kepada ahli masyarakat apa yang sepatutnya saya sampaikan. Lagi pun saya hanyalah khatib jemputan sahaja.

Cuma saya berasa saya tidak salah dan tiada kesalahan yang saya lakukan melainkan saya menyampaikan kebenaran. Kebenaran daripada Allah SWT. Malah saya rasa; khutbah itu berkesan sehingga dapat mengetuk hati para imam yang selalu "tidur hati" semasa khutbah di sampaikan dan makmum yang lena dengan mimpi yang tidak berkesudahan... Sekurang-kurangnya saya dapat pastikan bahawa mereka masih berjiwa dan jiwa mereka masih hidup sehingga mereka kepanasan seolah-olah mimpi buruk yang sangat menyempitkan dada dan mereka menjerit namun tiada siapa yang mendengarnya.... begitulah buruknya mimpi mereka.

Apabila mereka bangun dari tidur; mereka dapati mereka benar-benar hidup sepertimana mimpi mereka dan tiada dapat mereka mencurahkan rasa kesal melainkan kepada mereka yang menghadirkan mimpi buruk itu. Jauh daripada itu mereka marah kepada diri mereka sendiri. Namun atas rasa ego diri sendiri mereka tetap tidak mengakui akan mimpi buruk itu lantas cepat-cepat mencari mangsa untuk dijadikan mangsa. Maka atas kuasa yang mereka ada; lalu imam dan khatib dijadikan mangsa.....

Bagi saya; ini adalah ujian Allah SWT kepada saya dan saya terimanya dengan redha. Masih banyak cara lagi jalan untuk saya menyebarkan dakwah dan saya tidak akan mati langkah bahkan setiap detik jalan dakwah yang saya selusuri ini; ianya akan menguatkan lagi semangat saya untuk menempuh jalan-jalan yang pernah dilalui oleh para anbiya dan pejuang Islam yang gigih sepanjang zaman. Pejuang Islam itu sentiasa kreatif dan kritis langkahan jiwa dan daya fikirnya. Bagaikan air dari gunung; tiada benteng yang dapat menghalangnya....

Bagi saya; ujian Allah telah datang kerana harinya telah tiba... Ya Allah! Berilah hidayahmu kepada hamba-hambamu semoga kami semua mengenal jalan agamaMu yang sebenar. Amiin Ya Rabbal 'Alamiin..!!!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?