Ya Rasulullah! Engkau Berjiwa Teguh Dan Berani

Oleh isma daud

Rasulullah saw seorang yang berani; berani bukan kepada yang lemah tetapi berani dalam menegakkan keadilan dan kejujuran. Berani menghadapi golongan yang angkuh, taghut dan musuh Allah SWT...berani kerana berada atas landasan kebenaran, petunjuk dan siratal mustaqim.

Bukan cakap kosong... baginda saw adalah contoh teladan dan qudwah dalam keberanian. Baginda saw tidak pernah merasa takut dan tidak pula merasa lemah. Keberanian ini nyata terserlah semenjak kecil lagi; sejak berada zaman jahiliyyah sehingga ke hari-hari kerasulannya, bahkan seluruh kehidupannya.....

Ketika kanak-kanak lagi, tampak keberaniannya bila baginda saw diminta bersumpah dengan tuhan orang arab yang dipanggilkan Al-Laata dan Al-'Uzza dengan berani baginda menjawab; "Jangan kamu bertanya kepadaku dengan tuhan-tuhan itu, demi Allah tiada kebencianku kepada sesuatupun sepertimana kebencianku kepada keduanya!!!"

Ini dia seorang kanak-kanak yang berani bercakap tentang sensitiviti sesuatu kaum yang melibatkan tuhan yang mereka sembah, satu kaum yang akan bertindak tanpa belas jika tuhan mereka diperkotak-katikkan, mereka sanggup bermati-matian mempertahankan tuhan sembahan datuk, nenek dan moyang mereka; Rasulullah saw bangun dengan keberanian menyatakan keberaniannya dan kebenarannya. Biarpun diusia muda cukup jelas perkataannya dan ketajaman mindanya dalam menilai hakikat tuhan yang sebenar. Sejak kecil lagi Rasulullah saw meyakini hanya Allah SWT tuhannya... namun dia belum mengenalinya.... jauh di sudut hatinya bahawa Allah swt adalah tuhannya dan dia saw sentiasa berfikir tentangnya dan mencari-carinya.

Dalam menegak keyakinannya baginda saw keluar dari sifat semulajadinya yang terkenal di kalangan kaumnya sebagai seorang yang pemalu. Baginda semasa kecilnya disifatkan oleh mereka seorang kanak-kanak lelaki yang amat pemalu; lebih pemalu daripada anak-anak dara pingitan yang bersembunyi di belakang tabir. Hilang sifat malunya dan muncul seorang yang berjiwa teguh dan lidahnya petah berkata-kata dengan bicara kebenaran yang diyakininya.

Ketika baginda saw berusia 17 tahun; baginda saw mengikuti bapa saudaranya dalam satu rombongan menuju ke negeri Yaman, sampai di satu wadi(lembah)mereka lihat seekor
unta yang bengkeng dan ganas, tiada sesiapa yang dapat menjinaknya sehingga baginda saw tampil menjinakkan amukan unta yang liar itu.

Mereka meneruskan perjalanan. sesampai sahaja di sebuah wadi pula satu kafilah tidak berani mengharungi air yang melintangi perjalanan mereka. Pada masa itulah seorang pemuda yang bernama Muhammad mara ke hadapan dan melaungkan; "Ikutilah di belakangku!!!" Barulah kafilah tadi berkeyakinan untuk mengarung air yang tidak terduga oleh mereka baik dalam maupun cetek, berbahaya maupun selamat.

Ini sebahagian contoh peribadi yang dibentuk oleh Allah SWT untuk memunculkan seorang rasul agung di akhir zaman. Namun ini bukanlah fokus utama kita dalam membicarakan perihal keberanian baginda saw.

Perihal sebenar yang mahu kita lihat ialah ketokohan baginda saw tatkala menerima wahyu dan dilantik menjadi utusan Allah SWT untuk baginda sampaikannya kepada manusia seluruhnya. Kita ingin melihat keberaniannya dalam menghadapi segala macam tribulasi dalam menyampaikan risalah tersebut. Sebuah risalah kenabian dan kerasulan yang tiada lagi rasul selepasnya. Risalah yang mencabar agama yang menidak dan cuba menafikan akan kebenarannya. Kesanggupan baginda saw mengharungi segala keperitan dan kesusahan dalam menyampaikan amanah dan tanggungjawab ini memunculkan seorang yang berani dan tegas pada sikap dan prinsipnya. dan tidak berganjak sesekali dibujuk dengan pelbagai tawaran agar baginda berundur daripada amanah dan tanggungjawab itu. Apa yang diucapkan oleh baginda saw amat menyentuh hati kita; "Kalaulah diletakkan matahari ditangan kananku dan diletakkan bulan di tangan kiriku; nescaya aku tidak akan berhenti menyampaikan amanah ini".

Apa yang cuba saya utarakan ialah keberanian baginda saw bukan hidup pada semangat bangsa yang berkobar-kobar tetapi keberanian dalam menegakkan agama Allah SWT. Ini amat berbeza dengan sebahagian kita yang menikus dalam mempertahankan agamanya yang diinjak-injak oleh musuh dan mereka yang benci melihat cahaya Islam itu bersinar sebalikknya cukup dramatik dan nampak berani dalam menegakkan bangsa dan bahasanya... Apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw adalah sebaliknya baginda sanggup bangkit berdepan dengan bangsanya sendiri; bangsa yang bertutur dalam bahasanya sendiri dengan Al-Quran yang fasih bahasanya dengan bahasa bangsanya... sanggup meredah segala pahit jerih menyampaikan agama Allah SWT biarpun dibenci oleh orang-orang yang kafir dan musyrikiin... sanggup berdakwah dalam keadaan terang dan rahsia; sanggup keluar daripada tempat sembunyian dan menempuh perjalanan sukar dalam merealisasikan hijrah yang diperintahkan oleh Allah SWT dari Mekkah ke Madinah al-Munawwarah.

Saidina Ali Bin abi Talib Karramallahu Wajhah berkata ; "Kami apabila tiap-tiap kali ditimpa perasaan takut yang amat sangat; peperangan yang ganas dan marak membara sehingga naik merah mata hitam dek ketakutan, kami berlindaung di sebalik Rasulullah saw. Tiadalah orang yang paling hampir dengan musuh melainkan Rasulullah saw.

Saya ingin mengajak sesiapa sahaja yang ragu akan keberanian baginda saw untuk menilainya dengan mata hati dan ianya cukup mudah difahami oleh mereka yang memiliki ilmu pertempuran dan peperangan....

Contoh 1; Pada satu malam, penduduk Madinah telah gempar dengan satu peristiwa. Orang ramai mula berasak ke tempat yang menimbulkan situasi kurang tenang itu. Namun sesampai saja ketempat itu mereka dapati orang yang pertama sampai ialah Rasulullah saw. Mereka dapati seorang pahlawan dari bangsa 'Uryi sedang meletakkan pedangnya dileher Abi Talhah; Dengan berani Rasulullah saw tampil melepaskan Abi Talhah daripada lelaki tersebut sambil berkata : "Kamu semua sekali-kali tidak berjaga-jaga...".

Contoh 2
; Pada hari berlakunya peperangan Hunain; Rasulullah saw mara ke tengah medan peprangan dengan menunggang binatang Baghal dan baginda saw tidak berganjak dari tempatnya sedangkan orang ramai lari dan bereundur daerimedan peperangan. Dengan beraninya baginda saw melaungkan : "Aku adalah seorang nabi bukan pendusta * Aku adalah anak keturunan Abdul Muttalib".

Jelas sekali keberanian Rasulullah saw, bukan omong-omongan....

Daripada 2 kisah tadi amat wajar kita buat renungan di sini. Dua kisah yang ada petunjuknya yang tersendiri. Kisah Pertama; Rasulullah saw telah mendahului orang lain dalam mendepani situasi yang getir dan bahaya dengan tindakkan yang pantas dan bersegera.

Kisah yang kedua: Rasulullah saw teguh ditempatnya tanpa mundur dan undur ke belakang.

Sudah tentu keberanian seperti ini kita sifatkannya sebagai "pahlawan". Tidak ada suatu kuasa yang menguasai diri Nabi Muhammad saw, melainkan kuasa Al-Quran yang menjadi mukjizat dan kalam motivasi kepada baginda saw....

Firman Allah SWT yang bermaksud; "Wahai nabi, perangilah orang-orang kafir dan golongan munafiqiin dan perteguhkanlah dirimu dengan tindakkan tegas terhadap mereka". Surah at-Taubah/73.

Dan FirmanNya lagi yang bermaksud; "Apakah kamu takut terhadap mereka itu sedangkan Allah SWT adalah yang lebih berhak kamu takuti jika kamu orang-orang yang beriman". Surah at-Taubah/13.

Semoga bermanfaat, Insya Allah ...

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?