Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Sunday, March 08, 2009

Kepercayaan itu ibu kepada ubat dan penawar

Oleh isma daud

Hari ini hari minggu, namun beberapa tugas menggamit akan penglibatan saya di sebelah pagi. Selepas menyampaikan kuliah subuh di Masjid Darul halim, saya ke Masjid An-Nur, Sibu untuk taklimat Pertandingan Maulidur Rasul dan sepanduk. Selepas itu saya bergegas ke sekolah untuk bersama-sama dengan kawan-kawan lain yang sibuk menyiapkan sepanduk sekolah. Tetiba hujan turun dengan lebat pula.

Sebelah petang; saya berehat di rumah dan menghabiskan masa berharga bersama keluarga. Sempat saya membuka laman blog sendiri dan memeriksa emel dalam kotak emel. Sempat saya membaca ucapan terima kasih daripada beberapa pengunjung blog yang saya telah respond persoalan mereka sebelum ini.

Dalam pada itu seorang sahabat bertandang ke rumah. Di samping berziarah, sahabat saya meminta sedikit pandangan dan berkongsi sedikit masalah. Sebagai sahabat tentulah sentiasa sudi mendengar apa sahaja yang menjadi kerungsingan hati yang membeban jiwa saudaranya.

Ya, sekecil mana pun masalah ia tetap masalah. Apa yang patut kita kenal pasti ialah apakah masalah itu sebagai "routine" ataupun "non-routine". Ianya bersifat luaran ataupun dalaman. Ianya masalah sendiri atau masalah orang lain yang menjadi masalah kita. Setelah kita kenal pasti maka lebih senang untuk berbicara dan merungkaikannya. Orang lemas kita mesti tolong.

Hari ini hari orang entah esok lusa hari kita pula. Sepandai mana pun seorang perenang kadangkala lemas juga, masa dia lemas; sudah tentu dia cuba sedaya-upaya untuk berpaut agar dia selamat daripada kelemasannya. Pada masa itu jika tidak ada pelampung , batang kayu pun jadilah untuk berpaut. Jelasnya orang lemas mesti ditolong.

Saya bukanlah pakar psikologi yang kaya dengan ilmu menyelesaikan masalah manusia sedangkan masalah itu sebenarnya adalah yang tidak dapat dipisahkan daripada manusia. Setiap hari kita akan bertemu dengan masalah baru. Habis satu masalah akan datang masalah lain pula. Namun kita tidak boleh menyerah begitu saja tanpa sebarang usaha. Selagi berupaya, kita mesti berusaha untuk mengatasinya kalaupun tidak menyelesaikannya.

Sahabat saya ni datang dengan masalahnya. Sebagai sahabat saya sedia mendengar masalahnya. Setidak-tidakpun mungkin dapatlah kiranya saya menemukan cara dan buah fikiran bagaimana sepatutnya saya membantunya menghadapi masalah itu dan bagaimana pula dia dapat menanganinya dengan tenang. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan kalau kena caranya dan pendekatannya. Semuanya dengan izin Allah SWT. Bercerita masalah itu pun sudah menjadi satu jalan mengendurkan ketegangan masalah. Maka luahkan masalah itu kepada orang yang sudi mendengarnya.

Apa yang dapat dilakukan oleh seorang ustaz. Dia bukan doktor dan bukan pula seorang kaunselor bertauliah. CUKUPLAH menjadi seorang pendengar yang baik; mungkin sudah sedikit membantu sahabat yang ada lara dihatinya. CUKUPLAH kepercayaan menjadi asas rawatan. Kepercayaan itu ibu kepada ubat dan penawar.

Seorang pesakit yang betul-betul demam boleh sembuh sebelum makan ubat kerana berjumpa dengan doktor yang meyakinkannya. Asasnya adalah kepercayaan. Kalau tidak kenapa orang datang berjumpa dan rela bercerita segala macam rahsia peribadi.

Mudah-mudahan Allah SWT memasukkan saya dalam golongan orang yang sedia membantu saudaranya kelak nanti Allah membantu saya di saat saya sukar mengharungi hisab di Akhirat. Lebih besar daripada itu saya wajib menjaga amanah kerahsiaan saudara saya; kelak nanti mudah-mudahan Allah SWT menutupi pula segala keaiban saya di Akhirat nanti. Insya Allah SWT.

Maka saya sedia adanya mendengar luahan masalahnya. Yang jelas saya dapat mengendurkan sedikit ketegangan yang dihadapi saudara saya itu. Dalam sukar masih ada ruang untuknya. Sebelum sahabat saya meminta diri, dia sempat meminta pertolongan dan saya rasa tidaklah menjadi keberatan kepada saya untuk membantunya. Insya Allah SWT saya akan cuba membantunya. Sebahagian beban sahabat saya sudah saya ringankan sedikit menjadi masalah saya. Insya Allah saya akan fikirkannya. Semoga Allah SWT memudahkan segala-galanya.

Alhamdulilah sedikit tenang sahabat saya. Sebelum pulang saya sempat berpesan agar dia banyak berdoa dan berserah kepada Allah swt . Mudah-mudahan Allah sentiasa membantu dan mempermudahkan urusannya. Amin Ya Rabbal Alamiin.

No comments:

Related Posts with Thumbnails