Ya Rasulullah SAW; engkau insan Zuhud !!!

Oleh isma daud

Tidak berapa hari lagi akan muncul hari memperingati keputeraan nabi kita Muhammad saw. Saya suka mengajak saudaraku SeIslam yang tengah kalut dengan krisis berkerajaan dan kemuliaan sultan yang tercalar agar tidak lupa kepada insan yang akan membawa kesejahteran buat kita dan alam buana ini sejagatnya. Insan yang akan menyelamatkan kita dengan syafaat uzma di akhirat nanti.

Dalam kita mengenangkan kebesaran pemimpin dan kerajaan yang ada suka saya menyemak dan menjejak satu sifat yang mulia yang ada pada badan tubuh Rasulullah SAW. Marilah kita sama-sama menjejak qudwah hasanah akan kezuhudan baginda saw yang meletakkan baginda sebagai insan terpilih. Terpilihnya baginda kerana baginda yang jika dia mengkehendaki nescaya datang menyembah kepadanya alam dunia dan buana yang ada tetapi baginda memilih jalan zuhud.

Zuhud bukan menolak dunia tetapi pandai memanfaatkan dunia menjadikan ianya sebagai akhirat. Zuhud bukan bermakna berbaju buruk dan compang-camping tetapi memilih akan yang baik, yang halal lagi ada berkat.

Baginda adalah seorang nabi dan rasul yang sudah tentu terpelihara daripada dosa dan apatah lagi memilih yang buruk. Allah SWT memelihara mereka daripada segala yang menjatuhkan maruah dan martabat rasul itu. Maka salah besarlah mereka yang berpendapat nabi itu insan pemalas, mengharap belas ihsan dan miskin, sebab itulah mereka bersikap zuhud lalu diusahakan kehidupan yang sebegitu rupa atas alasan mengikut sunnah rasulullah saw. Betapa silapnya mereka???

Abdullah bin Mas'ud r.h. berkata : Aku masuk bertemu dengan Rasulullah saw lantas baginda bangkit daripada perbaringannya yang dianyam dengan anyaman kasar sehingga berbekas rusuk baginda saw yang mulia. Lalu aku bertanya: "Wahai Rasulullah saw, kalaulah kami mengambil alas untuk kami hamparkan supaya engkau selesa diperbaringanmu!!! Dalam senyum seraya menjawab; "apalah bagiku nilai dunia ini, bagiku dunia ini seumpama orang yang dalam perjalanan lalu menumpang teduh di bawah bayangan pokok kemudian dia pergi dan meninggalkannya". Kemudian baginda saw menambah:"Ya Allah, ya tuhanku, kurniakanlah rezeki keluarga Muhammad itu sekadar cukup keperluan hidup mereka!!"

Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Saidatina Aisyah r.ha. ketika mana dia berkata kepada 'Urwah; "Wahai anak saudaraku, kalau kita lihat kepada bulan sabit sehingga tiga kali tenggelam timbulnya dalam masa dua bulan, tidak pernah dihidupkan api dapur rumah rasulullah saw (tidak dapat memasak makanan), lalu aku bertanya; wahai ibu saudaraku, apakah yang memberi kehidupan kepada kamu? Aisyah menjawab; "al-aswadaan" yakni kurma dan air; kecualilah jika ada jiran-jiran Rasulullah saw dari puak Ansar yang memberi susu-susu kambing yang diperah oleh mereka!!"

Abdullah bin Jarir r.hm.meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.ha. juga katanya; "Apa yang mengisi perut Rasulullah saw hanyalah sekeping roti yang kasar yang dijual dipasar Madinah semenjak tiga hari yang lalu"

Imam ahmad bin Hambal mengeluarkan satu hadis daripada Anas bin Malik r.h. katanya; "Bahawasanya Fatimah Az-Zahra membawa sekeping roti yang diperbuat daripada barli kepada Rasulullah saw, lalu baginda saw bersabda kepada anakandanya:"Inilah makanan yang mula-mula aku jamah sejak tiga hari yang lalu"

Mengapa tidak??? Sukar untuk dipercayai??? Rasulullah saw sanggup menjadi insan zuhud kerana melaksanakan perintah Allah SWT. FirmanNya "Dan sesungguhnya kehidupan akhirat itu lebih baik bagimu dari kehidupan dunia". - surah ad-Dhuha; ayat 4.

Dan diperingatkan lagi oleh Allah SWT kepada baginda saw dengan firmanNya; " Dan janganlah engkau palingkan pemandangan kedua matamu kepada kesenangan yang kami kuniakan kepada beberapa golongan di antara mereka; yang kami jadikan ianya sebagai bunga perhiasan kehidupan dunia kerana kami mahu menguji mereka itu. Rezeki dari tuhanmu itu lebih baik dan lebih kekal". - surah Tha Haa ; ayat 131.

Wahai insan yang mencintai Rasulullah SAW, yang ingin mencontohi Rasulullah dan mengambil qudwah daripadanya; janganlah kita salah faham dan anggapan terhadapan kezuhudan baginda saw. Silap faham kepada sifat qonaah (bercukupan dengan apa yang dikurniakan Allah swt)yang diterapkan oleh Rasulullah saw dalam kehidupan hariannya sehingga mengharamkan dirinya dan ahli keluarganya daripada perhiasan yang Allah SWT ciptakan bagi faedah hamba-hambaNya dan makanan-makanan yang penuh kenikmatan dan pelbagai nikmat kurniaanNya.... Wal'iyazabillah daripada prasangka buruk itu!!!

Walaupun baginda menolak kenikmatan sebegitu tetapi tidak pula baginda mencegah orang lain mengecapi nikmat Allah SWT yang melimpah-ruah. Rasulullah saw sendiri mengingkari beberapa orang sahabat baginda saw yang tidak mahu berkahwin, yang mengharamkan memakan daging, yang berpuasa secara "wisal" yakni berterusan tanpa berbuka. Bahkan baginda saw mentang keras sikap para sahabat yang bersikap berpeluk tubuh sehingga tidak mahu menikmati nikmat kehidupan yang disediakan oleh Allah SWT dengan melimpah-ruah ini.

Maka jauhkan sama sekali tanggapan bahawa sifat zuhud baginda itu kerana kemiskinan, kesempitan hidup dan kekurangan makanan dek kerana membaca hadis-hadis yang saya bawakan di atas. Kalaulah baginda saw ingin bersenang-lenang dan berbangga-bangga dengan kehidupan dan perhiasan duniawi; nescaya dunia ini Allah SWT perintahkan datang menyerah kepada baginda. Hal itu amat mudah bagi Allah SWT.

Sebenarnya kita dapat menceduk hikmah dan pengajaran yang lebih besar hasil daripada sikap zuhud baginda ini;

1. Baginda mahu mengajar generasi muslim dengan kezuhudan itu erti kasih sayang, pengorbanan, berdaya usaha dan tahu mana yang menjadi aulawiyyat (keutamaan) di dalam hidup ini.

Imam al-Baihaqi meriwayatkan kepada Saidatina Aisyah r.ha. dengan katanya: "Tidak ada apa yang mengenyangkan Rasulullah saw selama tiga hari berturut-turut, dan kalaulah kami mengkehendaki kekenyangan nescaya kami mampu tetapi kezuhudan itu memberi kesan kepada diri". Sesungguhnya Rasulullah saw telah membuktikan bahawa baginda seorang yang tidak takutkan kefakiran dan kemiskinan.

2. Baginda saw mahu menjadikan dirinya sebagai qudwah hasanah kepada generasi muslim agar mengambil kehidupan di dunia ini secara berpada dan qonaah.

Atas sifat keperihatinan Rasulullah SAW kepada umatnya agar mereka tidak melebih-melebihkan dunia sehingga meninggalkan semangat jihad dan dakwah pada jalan Allah SWT. Bimbang mereka tersungkur di lembah nikmat sehingga lupa akan tugas meninggikan kalimah (agama) Allah SWT. Dan takut mereka terheret oleh kesibukan dunia lalu mereka jatuh kelembah kebinasaan; akhirnya mereka dibinasa sepertimana binasanya umat-umat yang terdahulu.

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Abu Ubaidah r.h. pulang dari Bahrain dengan barang dagangan yang banyak. Keluarlah orang ansar untuk menyambutnya selepas solat fajar (subuh); maka tersenyum sinis Rasulullah saw melihat mereka itu seraya berkata: "Aku kira kamu bergembira menyambut kepulangan Abu Ubaidah dengan membawa pulang sesuatu daripada Bahrain". mereka menjawab:"Sudah tentu ya Rasulullah!!!" Baginda menjawabkan mereka itu: "Bergembiralah kamu dan bercita-citalah kamu dengan apa yang mengembirakan kamu. Demi Allah, aku tidak takut kefakiran yang menimpa kamu tetapi aku bimbang kamu terpesona dengan dunia sepertimana mereka dan dunia membinasakan kamu sepertimana mereka telah binasa".

3. Baginda saw mahu memahamkan kita semua selaku umatnya dan juga mereka yang berpenyakit di hati-hati mereka dari puak munafiqin, pendakwah kristian dan pembawa agenda dan dakyah bahawa hidup sekadar di dunia ini saja lalu bersikap rakus dan zalim dalam mendapatkan isi dunia tanpa mengenal jalan yang halal daripada yang haramnya, jua kepada musuh-musuh Islam bahawa Rasulullah SAW mengajak manusia dengan dakwahnya bukan untuk mengumpul kekayaan, meterial yang membinasa, bukan dunia yang rendah dan hina, bukan budaya hidup berleka-leka, berhibur tanpa batasan, ketagih dengan kedudukan dan darjat sehingga sanggup menjual agama dengan harga yang murah... bahkan untuk mendapat mardhatillah (keredhaan Allah) semata-mata dan ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Tidaklah Rasulullah saw itu mahu melainkan bertemu Allah SWT tanpa dilingkari dengan dunia melainkan sekadar sedikit, tidaklah pakaian melainkan sekadar yang membalut tubuh dan auratnya dan tidaklah rumah melainkan untuk berteduh... Inilah ajaran nabi-nabi sabagaimana Allah SWT menceritakan kehidupan nabi Nuh as. melalui firmanNya; "Wahai kaumku!! Aku tidak meminta upah (ganjaran) daripadamu dan upah (ganjaran)ku hanyalaha daripada Allah SWT.

Jika kita tidak berupaya mencontohi akhlak Rasulullah SAW seluruhnya, janganlah kita tinggalkan seluruhnya. datangilah dia sekadar keupayaan kita. Moga leburlah ketamakan orang yang tamak dengan dunia sebagaimana binasanya umat terdahulu yang tamak seperti Qarun yang telah binasa dengan harta-hartanya....

"Berzuhudlah kamu sesama manusia nescaya Allah tundukkan manusia kepadamu".

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?