Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Thursday, February 05, 2009

Solat Ketika Musafir : Tasawwur Murid Di Antara Musafir Dan Tabligh

Oleh isma daud

Dalam memulakan kelas hari ini; saya memulakannya dengan satu pertanyaan. Siapakah dikalangan kamu pernah melakukan perjalanan jauh seperti melancong, berziarah dan sesuatu hajat lain?

Ramai anak murid saya mengangkat tangan. Lantas saya bertanya sebahagian mereka kemanakah mereka pergi? Ada yang berkata ke Melaka, Terengganu, Kelantan, Kuching dan beberapa tempat lain.

Sampai di situ saya cuba bertanya; tahukah kamu apa yang telah kamu lakukan tadi? Mereka terdiam.

Saya bertanya lagi untuk mendapat respond seterusnya daripada anak murid saya. Tiada siapa yang menjawab. Setelah diam seketika saya menyebut sepatah perkataan: bermusafir..ya...musafir.

Tahukah kamu siapa yang dikatakan orang yang bermusafir? (Dalam hati saya berharap pelajar nanti akan menyebut semula penyataan awal saya tadi, orang yang melakukan perjalanan jauh).


Tapi sangkaan saya itu meleset apabila seorang daripada anak murid saya bangun memberi pandangan. "Ustaz saya rasa orang yang bermusafir itu ialah orang tabligh". Saya terus bertanya kepadanya akan rasional jawabannya itu? Anak murid saya menjawab; dia sentiasa melihat orang tabligh selalu datang ke kampungnya, mereka itu datang dari jauh, bawa beg besar, periuk-belanga dan dapur sekali. Mereka akan berkampung di surau dan masjid berhari-hari. Jadi saya rasa orang yang musafir itu ialah orang tabligh".

Pandangan kamu betul jika orang tabligh itu melakukan perjalanan jauh.

Saya bertanya lagi pelajar saya kalau-kalau ada pandangan lain. Seorang anak murid saya menjawab. Orang mati, ustaz. Saya bertanya kenapa? Murid saya itu menjawab sebab orang mati itu pindah dari alam dunia ke alam akhirat. Saya berkata jawapan kamu itu pun betul. Itulah musafir yang hakiki. Yang pergi tidak kembali lagi ke dunia ini.

Saya bertanya lagi, untuk mendapatkan pandangan lain. Seorang anak murid saya menjawab, orang gila ustaz, sebab orang gila hilang akalnya. Itu musafir akal, orang gila hilang akal, akalnya jauh berjalan. Murid-murid saya yang lain ketawa kerana gelihati dengan pendapat rakan mereka itu.

Seorang anak murid saya yang lain pula menyapuk. Orang tidur pun musafir sebab dalam tidur kita bermimpi, dalam mimpi kita pergi ke merata tempat.

Oh kreatif dan kritis idea anak-anak muridku, saya bertanya lagi; di antara yang banyak contoh tadi siapakah yang boleh mengerjakan solat secara jamak dan qosar? Mereka beramai-ramai menjawab : "Orang Tabligh". Saya menambah kalau orang tabligh itu melakukan perjalanan jauh dan menepati syarat-syaratnya.

Saya mengajar tajuk Solat jamak dan qosar hari ini. Dua solat yang merupakan rukhsah atau kemudahan yang dikurniakan syarak kepada umat Islam sepanjang mereka berada dalam keadaan musafir. Apakah sifat musafir yang diharuskan syarak kita boleh jamak dan qosarkan solat? Sudah tentu musafir yang tujuannya menepati kehendak syarak dan dibina atas niat yang baik. Perjalanan itu melebihi jarak perjalanan dua marhalah atau 90km perjalanan.

Sabda Rasulullah saw : "Sesungguhnya Allah SWT suka kamu melaksanakan rukhsah yang diberikannya; begitu juga Dia membenci orang yang melakukan maksiat kepadaNya". (Hadis Riwayat Ahmad).

Islam adalah agama yang tidak membebankan penganutnya. Kemudaham dalam menunaikan kewajipan disediakan supaya perlaksanaan dapat dibuat walau dalam apa jua keadaan mengikut keupayaan dan kemampuan manusia. Jadi menunaikan solat secara jamak dan qosar atau jamak sahaja ataupun qosar sahaja adalah diharuskan oleh syarak untuk kita umat Islam memanfaatkannya. Ia boleh dilakukan secara jamak taqdim ataupun jamak takhir.

Saya memberhentikan pengajaran saya sampai ke situ. Selebihnya saya simpan untuk pengajaran akan datang. Jika murid saya ada persoalan nanti bolehlah mereka kemukakan.

Seorang anak murid saya bertanya, apakah kelebihan kalau kita melakukan musafir ya ustaz? Saya tersenyum kerana tertarik dengan minat yang ada dalam diri murid saya itu. Saya menjelaskan antara kelebihan orang yang bermusafir ialah seseorang itu mendapat pahala ibadah, doanya dimakbulkan Allah SWT, mendapat ilmu pengetahuan dan pengalamanan baru dalam hidup, dapat pengajaran dan iktibar daripada apa yang kita alami dan kita lihat, dapat membina sifat sabar dan mengenali diri dan sahabat kerana sukarnya perjalanan, Allah SWT menjadikannya kaffarah yakni penghapus dosa. Saidina Umar bin Al-Khattab ra pernah berkata; "Musafir itu mendedahkan, ia juga sebuah azab". Di samping itu kita dapat memnunaikan ibadat solat dalam keadaan jamak dan qosar. Solat ini merupakan kurnia Allah swt kepada hambanya yang berada dalam keadaan musafir.

Saya bertanya lagi, sesiapa yang masih ada persoalan. Belumpun sempat anak murid saya mengemukakan soalan, loceng telah berbunyi. Saya berkata: OKlah, insya Allah kamu dapat kemukakan sebarang persoalan kemudian.

Saya merumuskan; jika nanti kamu melakukan musafir; ambillah peluang daripada kurniaan Allah SWT ini. Lakukan solat jamak dan qosar kerana ia adalah hadiah daripada Allah SWT kepada orang yang bermusafir.

Saya memberi salam dan murid-murid saya menjawab salam saya dan mengucapkan terima kasih...

No comments:

Related Posts with Thumbnails