Rasulullah SAW ; engkau insan Tawaadhuk (تواضع)

Oleh isma daud

Saban hari, kita sering disibukkan dengan dunia glamour dan dan tidak pernah berhenti mengejar hidup yang penuh dengan kemewahan. Kadangkala kita lupa untuk bermuhasabah diri betapa kita ini akan meninggalkan setiap usaha yang kita lakukan itu. Namun kita tetap berusaha mengukuhkan diri dengan cengkaman penguasaan dunia agar nafsu kita puas tanpa menghiraukan amaran-amaran tuhan agar kita berwaspada dengan tipu daya dunia. Bukan salah kita mengejar dunia, yang salah kalau kita terpesona dengannya sehingga lupa jalan menuju yang Esa dan kehidupan yang kekal buat selamanya.

Saya suka memetik kata-kata penyair dalam muqaddimah kitab Riadhus Solehiin (taman-taman Orang Yang Soleh) karangan Imam An-Nawawi r.h. dengan kata bicara yang cukup berkesan;

إن لله عبادا فطنا * طلقوا الدنيا وخافوا فتنا
ونظروا فيها فلما علموا * أنها ليست لحي وطنا
جعلوها لجة واتخذوا * صالح الأعمال فيها سفنا


Dalam kata syair ini ia membicarakan akan orang yang bijaksana iaitu orang yang berjaya mengharungi hidup di dunia. Mereka berjaya kerana mengenali realiti dan hakikat hidup yang sebenar. Mereka hidup bahagia di dunia kerana kenal dunia dan mereka akan hidup bahagia di akhirat kerana tahu jalan pulang ke sana. Mereka tidak pernah kecewa di dua perhentian ini kerana selalu berwaspada dengan segala tipuan dan onar dalam perjalanan itu lalu mereka memilih yang baik dan soleh sahaja sebagai bekalan diri.

Saya cuba menyelelusur jalan apakah yang dikatakan jalan orang yang bijaksana itu. Saya merasakan bahawa ramai orang hari ini tersilap memilih panduan dengan memilih jalan-jalan singkat untuk berjaya sedangkan di hadapan kita sudah ada panduan jelas daripada Allah SWT bersumberkan al-Quran dan as-sunnah yang ditunjuki oleh Rasulullah SAW sebagai insan yang diperakukan oleh allah sebagai insan yang penuh dengan uswah dan qudwah hasanah. Mengapa kita perlu merujuk kepada tokoh-tokoh lain selain baginda saw. Dalam penulisan saya yang lalu saya ada membawakan beberapa contoh yang boleh kita hayati daripada kehidupan nabi Muhammad saw baik dalam ibadahnya dan kehidupannya yang penuh zuhud.

Dalam sisipan kali ini saya ingin mengajak diri saya dan insan diluar sana dengan mencontohi satu lagi sifat unggul Rasulullah saw iaitulah sifat Tawaadhuk.

Tawaadhuk bolehlah kita fahami dengan makna yang senang dan mudah di sini sebagai insan "merendah hati". Rendah hati dalam ketinggian martabat dan kedudukannya yang mulia. Berbanding dengan sesetengah orang apabila telah mencapai tahap hidup yang memuncak lantas lupa diri lalu bersifat sombong dan lupa diri... hanyut dalam nikmat yang dikurniakan Ilahi. Mudah-mudahan kita semua diselamatkan Allah SWT daripada sifat-sifat yang dibencikan oleh Allah ini. Lihat sajalah kepada iblis yang sangat alim ilmunya sehingga lupa diri lalu merasa gah dengan penciptaannya lalu Allah SWT menyifatkannya sebagai orang yang kafir dan ingkar... terkutuklah ia sehingga hari kiamat...

Rasulullah saw adalah insan Tawaadhuk yang terhampar luas tinta yang menceritakan akan sifat baginda itu. Dalam himpunan sejarah (sirah) yang dapat kita timba daripada kehidupan Rasulullah SAW; banyak sekali catatan yang menggambarkan Rasulullah SAw seorang yang tawaadhuk, mudah dan mesra dalam pergaulan dan bersifat pengasih pula...

Bagindalah orangnya yang mendahului salam apabila bertemu para sahabat, berpaling keseluruhan tubuhnya menghadap wajah orang yang baginda berbicara dengannya biarpun dengan seorang kanak-kanak kecil apatah lagi berbicara dengan orang dewasa. Baginda saw apabila berjabat tangan; menjadi orang yang terakhir melepaskan tangannya; apabila berjumpa dan duduk bersama sahabat-sahabatnya; baginda yang terakhir bangun meninggalkan majlis.

Rasulullah saw menjalani kehidupan sehari-hariannya sebagaimana orang kebiasa-biasaan; pergi ke pasar untuk membeli barang keperluannya, baginda memikul dan membawa sendiri barang-barang beliannya sehingga Rasulullah saw pernah berkata: "Akulah yang berhak membawanya". Begitu tinggipun darjatnya, baginda tetap merendah hati dalam kehidupannya; tidak sombong dan angkuh serta bersedia melakukan kerja-kerja buruh seperti memikul sendiri batu-bata ketika membina masjid Madinah (masjid Nabawi) dan turut sama membuat atau menggali parit dalam peristiwa peperangan Khandak.

Jika diundang kemajlis; pasti baginda menerima undangan itu dengan jiwa yang penuh ikhlas smada undangan daripada golongan orang berkedudukan, mereka yang merdeka atau daripada seorang hamba, tidak kira lelaki ataupun perempuan hatta kepada undangan musuh baginda sepeti mana dalam kisah undangan seorang wanita yahudi dan akhirnya meracuni Rasulullah saw. Baginda sentiasa bersangka baik sesama manusia biarpun terhadap musuh-musuhnya.

Baginda sedia memaafkan kesilapan orang lain, menjahit sendiri kasutnya yang koyak dan menolong ahli rumahnya dalam menyediakan keperluan harian....bahkan Rasulullah saw sendiri yang menambat unta peliharaannya, mampu duduk bersama, makan bersama dengan orang bawahnya sehingga dalam satu riwayat baginda saw sanggup duduk di atas tanah biarpun tidak dihampar dengan hamparan sebagaimana hamparan merah yang dihampar kepada pembesar-pembesar dunia...

Mengapa Rasulullah saw menunjukkan contoh sebegini rupa? Bahkan ada orang yang mengeleng kepala bagai tidak percaya...Mustahil katanya???

Sesungguhnya Rasulullah saw bukan ditarbiyyah oleh manusia biasa tetapi menerima tarbiyyah langsung daripada Allah SWT. Didikan dan asuhan Allah SWT yang membentuk diri Rasulullah saw sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina Aisyah r.ha. apabila ditanya akan akhlak Rasulullah saw. Aisyah r.ha menjawab : "Adalah akhlak Rasulullah itu adalah al-Quran". Jelasnya kemuliaan dan ketinggian akhlak Rasulullah saw itu kerana baginda seorang rasul yang dibentuk peribadinya oleh Allah swt dengan asuhan wahyuNya...maka layaklah kita iktiraf baginda saw sebagai contoh terbaik untuk kita selusuri perjalanan dalam hidup ini.

Semoga catatan saya kali ini memungkinkan kita untuk bermuhasabah diri sejenak dalam kita mencari model kehidupan seharian. Siapa lagi kalau bukan Rasulullah saw.

Allah swt sendiri telah berfirman dalam surah As-Syuaraa'; ayat 215 yang bermaksud; "Dan rendahkanlah "sayap"mu Wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu di kalanagan orang-orang yang beriman".

Semoga Allah swt memberi taufiq dan hidayah kepada kita semua agar kita tidak lupa dan sesat dalam mencari jalan pulang..... wallu a'lam!!!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?