Kem Ibadah Solat Dan Motivasi Jati Diri

Oleh isma daud

Kem Ibadah Solat Dan Motivasi Jati Diri khusus kepada sebahagian pelajar Tingkatan Dua SMK Rosli Dhoby, Sibu.


Program ini telah mendapat kerjasama penuh daripada Pengerusi , AJK dan Ahli Jamaah Surau Darul Firdaus , Jalan Apollo yang telah membenarkan surau menjadi lokasi perkhemahan pelajar ini. Pihak lain yang terlibat secara langsung ialah pihak JAKIM, Sibu, SMC, Pejabat Belia Dan Sukan, Polis Peronda PDRM , SK Deshon, Pejabat Pelajaran Gabungan Sibu, guru-guru SMK Rosli Dhoby yang bersedia menjadi Fasilitator sepangjang program ini dan pelbagai pihak yang tidak dapat saya sebutkan di sini.

Hanya Allah yang dapat membalas dengan sebaik-baik ganjaran kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan program ini. Syukur program ini mendapat sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bagi ahli masyarakat setempat. Syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan program ini berjalan dengan lancar dan teratur sepertimana yang telah dirancang.


Tentatif Program
(Hari Pertama)

Petang;

Para peserta kursus dikumpulkan di Dewan SMK Rosli Dhoby untuk taklimat dan pendaftaran. Para peserta kemudiannya menaiki Bas ke tempat perkhemahan. Selepas Solat Fardhu Zohor satu Ujian Pos (Sebelum Kursus) diadakan bagi menentukan kumpulan dan tahap penguasaan pelajar tentang solat.

Selepas majlis taaruf diadakan pelajar dinilai penguasaan mereka dalam pengetahuan Wudhuk secara amali. Dari sini pihak kami dapat mengenal pasti penguasaan pelajar yang sebenarnya. Pelajar dipecahkan di dalam kumpulan dan skill individu menjadi keutamaan dan objektif kursus ini.

Walaupun rata-rata pelajar masih lemah dalam pengetahuan solat tetapi jelas kelihatan mereka bersemangat untuk belajar. Program selama tiga hari dua malam ini diaturkan dalam beberapa LDK ( Latihan Dalam Kumpulan). Dengan ini para fasilitator dapat mengesan kelemahan pelajar dan membantu mereka secara berkesan dan memperbaiki kesilapan mereka secara serta merta.

Dari hari pertama lagi pelajar diajar solat secara amali termasuklah solat sunat. Dengan ini pelajar dapat membina keyakinan diri untuk mendirikan solat. Ternyata pengalaman ini sangat bermakna buat mereka yang pertama kali dapat mengerjakan solat lengkap. Rata-rata mereka tidak pernah menunaikan solat dengan lengkap 5 waktu sehari semalam bahkan mereka tidak pernah ada pengalaman menunaikan solat Subuh.


Malam

Ceramah Penghayatan Islam

Ceramah di sampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Wan Abdillah; seorang penceramah bebas. Ceramah ini bermula selepas solat maghrib sehingga jam 8:30 malam.

LDK malam ini disingkatkan kerana memberi peluang kepada kem komanden dan urusetia menyampaikan taklimat mereka. Pelajar lelaki ditempatkan di dalam khemah manakala pelajar perempuan ditempatkan di dalam surau.

Pelajar tidur jam 11.00 malam. Saya sendiri bermalam dalam kereta.


Tentatif Program
Hari Kedua;

Pagi:

Kuliah Subuh

Selepas solat subuh saya menyampaikan kuliah subuh menyentuh persoalan iman dan asas-asas agama. Ada sedikit riadah dan sarapan pagi.

Ceramah 1 - Peranan Kita Sebagai Hamba Dan Khalifah Allah

Sebelah pagi ini satu ceramah daripada Pegawai JAKIM dan sambungan kepada slot LDK .

LDK

LDK kali ini menyenaraikan rukun solat. Menamakan kumpulan, slogan kumpulan dan objektif kumpulan. Pelajar juga dikehendaki bersedia dengan bacaan rukun solat dalam pembentangan sebelah petang nanti.

Petang:

LDK diteruskan. Usaha menghafaz bacaan rukun dan sunat dalam solat diteruskan. Pelbagai ragam pelajar memfokoskan diri dengan kaedah hafazan yang ditunjuk-ajar oleh para Fasilitator. Mereka gigih bersaing mengingati satu persatu tugasan individu. Namun semuanya bergantung pencapaian individu itu sendiri. Ada yang sekadar berupaya menghafaz lafaz niat solat, ada yang mampu menghafaz doa iftitah dan rukun-rukun yang lain. Sebahagian lagi menyiapkan tugasan kerja kumpulan. Semua mereka membuat persiapan diri untuk pembentangan lewat pentang nanti.

Lewat petang; pelajar tidak diberikan rehat atau riadah bahkan diteruskan dengan pembentangan kumpulan.

Apa yang menarik setiap kumpulan menentukan objektif kumpulan masing-masing. Di antaranya dapat menghafaz rukun-rukun solat, dapat menghafaz tiga bacaan seperti doa iftitah, tahiyyat akhir dan qunut, dapat menghafaz doa dan surah. Semua kumpulan menetapkan objektif mengikut kemampuan mereka yang boleh mereka capai dihujung kursus nanti.


Malam ( Jumaat);

Sebelah malam ni saya terpaksa meninggalkan pelajar-pelajar ini dengan rakan-rakan lain yang sentiasa gigih mendidik mereka kerana menerima jemputan menyampaikan ceramah agama di sebuah surau di sekitar bandar Sibu.

Sekembalinya saya bersama peserta dan fasilitator yang lain; sebelum meneruskan LDK sahabat -sahabat saya membuat kejutan dengan menghadiahkan sebiji kek harijadi buat Ketua Komanden kursus ini. Satu persembahan ringkas pelajar dipersembahkan dan sketsa ringkas dan spontan dipertontonkan. Cukup menghiburkan.

Malam ini ada majlis perpisahan dengan sebahagian fasilitator yang tidak dapat meneruskan khidmat mereka di sini kerana terpaksa kembali ke sekolah masing-masing. Terima Kasih sahabat atas sumbangan kalian yang cukup bermakna itu. Allah SWT juga yang layak membalasnya.

Malam ini juga pelajar diarahkan tidur awal kerana mereka akan berqiamullail di awal pagi nanti.


Tentatif Program

(Hari Ketiga)

Qiamullail

Pelajar dikejutkan dari tidur mereka seawal jam 3:00 pagi. Alhamdulillah mereka bersemangat dan jam 4:00 pagi qiamullail dijalankan. Ada dikalangan pelajar; ini kesekian kalinya mereka berqiamullail. Pengalaman yang cukup manis buat mereka.

Muhasabah Diri

Selepas solat subuh pelajar lelaki dan pelajar perempuan diasingkan. Mereka membuat muhasabah diri dan keseluruhan program secara berasingan.

Ceramah 2: Hidup Memang Susah

Ceramah Terakhir disampaikan oleh Saudara Hassan; seorang motivator bebas menyampaikan satu tajuk menarik. "Hidup Memang Susah". Jika ada masa saya suka mengupas dan mengulas tajuk ini , insya Allah pada masa mendatang.


Penutupan

Perasmian penutupan dilakukan oleh Penolong Penyelia Agama SPIM, PPG, Sibu.

Syukurlah semua perancangan telah berjalan dengan lancar dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya untuk mengadakan program yang sesingkat ini banyak halangannya tapi bukan itu menjadi persoalan besar di sini. Semuanya dapat diatasi dengan pertolongan daripada Allah SWT. Buat sahabat-sahabatku terima kasih kerana komitmen kalian yang telah menjadikan program motivasi dan bestari solat ini mencapai objektifnya.

Lagi gambar-gambar berkenaan;

Gambar-gambar pelajar Tingkatan Dua, SMK Rosli Dhoby diambil sebagai kenangan sewaktu menjalankan aktiviti Kem Bestari Solat di Surau Darul Firdaus, Jalan Apollo, Sibu, Sarawak.

Peserta Dibimbing Oleh Fasilitator


Amali : Memantapkan Ilmu


Berbengkel Mengukuhkan Pemahaman


Berkhemah Merapatkan Ukhuwwah Islamiyyah


Mendengar Ceramah


Bergambar Kenangan Di Hari Akhir Kem Ibadah


Bersalaman Sebelum Berpisah


Terima Kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Hanya Allah SWT yang mampu membalasnya sebaik-baik ganjaran...

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?