Hanya Allah Matlamat Kami!!!

Oleh isma daud

Setiap manusia di atas muka bumi ini adalah hamba Allah SWT. Lantas manusia diperintahkan oleh Allah SWT untuk beribadat kepadaNya semata-mata. Atas tujuan dan matlamat ini, kita mestilah membina iman dan keyakinan diri dengan cara mengikhlaskan diri kita dalam melakukan ibadah kepadaNya. Kita hendaklah berjuang mendapatkan nilai ikhlas untuk berada di sisi Allah SWT sebagai hambaNya yang digelar "Mukhlisin",agar Allah SWT nanti akan menerima sagala amal (pekerjaan) hamba-hambaNya itu.

Firman Allah SWT;

قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ * لَا شَرِيكَ لَهُ ۥ‌ۖ وَبِذَٲلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۟ أَوَّلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ .
maksudnya;
"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)". Surah Al-An'aam;ayat(162-163).

Untuk membenarkan keimanan kita yang melaungkan bahawa hanya "Allah SWT sahaja Matlamat Kami", kita hendaklah benar pada I'tiqad yakni pegangan kita dengan meyakini dengan bersungguh-sungguh di dalam benak fikiran dan sanubari kita bahawa syariat Allah SWT itu sebenar-benar petunjuk; yang menyelamatkan manusia dari kesesatan, yang sempurna dan bersifat kekal. Syariat Allah ini sangat sesuai diamalkan di segenap lapangan hidup, setiap tempat, masa dan keadaan.

Kita hendaklah meyakini bahawa syariat Allah SWT ini mengatasi segala undang-undang dan ajaran yang diperkenalkan oleh manusia; bahkan kita mesti menolak undang-undang ini kerana tidak ada sebarang keberkatan, kekuatan dan pertolongan Allah SWT dalam pelaksanaannya. Akhirnya peraturan dan undang-undang manusia ini akan menjatuhkan pendokongnya kelembah kehinaan, penderitaan, kehancuran dan hidup dalam jahiliyyah secara berpanjangan. Biarpun seribu langkah manusia itu mencari jalan penyelesaian, mereka akhirnya menempuh jalan kecewa yang tidak berkesudahan. Ini kerana hanya Allah SWT sahaja tempat kembali urusan manusia. Mana mungkin manusia mampu memikirkan segala hal sedangkan manusia itu lemah dalam segala segi. Sepandaimanapun manusia itu akalnya tetap terbatas dan tidak mampu menjangkaui hal-hal yang diluar kemampuan akal itu untuk berfikir.

Allah SWT telah menjelaskan keterangan ini dalam ayat 49-50,surah Al-Maaidah;
FirmanNya;

وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَہُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَ‌ۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَہُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِہِمۡ‌ۗ وَإِنَّ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَـٰسِقُونَ * أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَ‌ۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمً۬ا لِّقَوۡمٍ۬ يُوقِنُونَ
maksudnya;
"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. (49) Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah.(50)".

Serentak dengan itu juga; kita hendaklah menerima sepenuhnya setiap perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT. Bukan itu saja kita mestilah taat dan tunduk kepada segala ketentuannya dalam perkara suruhan maupun cegahan. Inilah landasan keimanan dan pengabdian diri kita kepada Allah SWT.Kenapa?

Ini kerana Allah SWT sahajaalah yang berkuasa atas segala sesuatu. Dialah yang mencipta sekalian alam ini, Dialah yang menentukan ketetapan hambaNya sebagaimana yang Dia kehendaki, Dialah yang maha mengetahui; Dia mengetahui mana yang baik untuk manusia dan yang tidak baik untuk mereka. Cukuplah Allah SWT atas segala-galanya.

Atas dasar taat dan patuh inilah, Saidina Umar Bin Al-Kattab rh. mencontohi nabi Muhammad SAW dalam mengucup hajaral aswad; biarpun dia tidak nampak apakah kebaikan dan hikmahnya mengucup batu itu selain melakukan taat dan menerima perintah Allah SWT itu dengan hati yang tulus ikhlas. Saidina Umar berkata: "Aku tahu bahawa engkau hanya seketul batu, yang tidak memberi apa-apa mudharat(keburukan) maupun manfaat(kebaikan. Kalaulah tidak kerana aku melihat Rasulullah SAW mengucupmu; nescaya aku tidak akan mengucupmu".

Maka apa yang diperbuat oleh Saidina Umar itu tidak lain hanyalah atas dasar ibadah, taat dan menerima setiap perintah Allah SWT dengan hati yang bulat dan tidak sesekali berbelah bahagi.

Dan inilah sepatutnya menjadi pegangan kita kerana kita juga melaungkan slogan yang sama dengan Saidina Umar; "Allah itu Matlamat Kami".

Allah SWT menjelaskan dalam ayatnya yang lain, firmanNya;

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٍ۬ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥۤ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَـٰلاً۬مُّبِينً۬ا
maksudnya;
"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata". Surah Al-Ahzaab; ayat(36).

Kita juga wajib meyakini bahawa Allah SWT sahajalah yang menghidup dan mematikan kita. Yang menetukan rezeki kepada kita. Berapa ramai orang bimbang akan umurnya, ragu tentang rezekinya? Apakah manusia itu benar-benar sesat sehingga ragu kepada Allah SWT dalam persoalan rezeki. Saban hari kita lihat kepada mereka yang apabila kita mengajak mereka kepada perjuangan pada jalan Allah SWT, ramai yang bersikap dingin. Kenapa? Bimbang kehilangan pekerjaan, diambil tindakan oleh pihak yang anti perjuangan Islam...dsbnya.

Yakinlah, Allah SWT jualah Yang memberi Manfaat dan mendatangkan mudharat, tiada siapa yang dapat menghalang dan mencegahnya. Di tanganNyalah sahajalah bergantung segala harapan.

Wajib kita menerima segala ketetapan Allah SWT pada setiap kebimbangan dan kecelakaan; kita mesti menerima dengan jiwa yang penuh redha terhadap segala ketentuan yang datang dengan tiba-tiba dan mengejutkan. Kita mesti mengukuhkan sifat sabar dalam jiwa kita dalam menghadapi setiap ujian, cabaran, mala petaka dan kerugian....

Firman Allah SWT;

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَىۡءٍ۬ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٲتِ‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ * ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٌ۬ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ * أُوْلَـٰٓٮِٕكَ عَلَيۡہِمۡ صَلَوَٲتٌ۬ مِّن رَّبِّهِمۡ وَرَحۡمَةٌ۬‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُهۡتَدُونَ

maksudnya;
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. * (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. * Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya". Surah Al-Baqarah; ayat(155-157).

Akhirnya; Kita patut sedar bahawa kita mesti menjadikan keredhaan dan ketaqwaan kepada Allah SWT sebagai matlamat dan tujuan kita tanpa mengira keredhaan manusia atau kemurkaan mereka; baik mereka memujimu atau mencercamu, berpaling tadah dengan menentangmu atau menerima dengan menyokongmu....

Kesedaran ini menjadikan kita sebenar-benarnya orang yang meletakkan "Allah SWT itu sebagai Matlamatnya". Cukuplah kita sama-sama menghayati firman Allah SWT;

يَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَكُمۡ لِيُرۡضُوڪُمۡ وَٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥۤ أَحَقُّ أَن يُرۡضُوهُ إِن ڪَانُواْ مُؤۡمِنِينَ

maksudnya;
"Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mendapat keredaan kamu, padahal Allah dan RasulNya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya, jika betul mereka orang-orang yang beriman". Surah At-Taubah;ayat(62).

Walluhu A'lam!!!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?