Sekadar Bertazkirah : Buat Si Suami...Wajarkah dan Adilkah, Jika anda jatuhkan hukum Lian Buat Isteri Anda?

Oleh isma daud

catatan* : sekadar bertazkirah.

Wa alaikumussalam buat Puan;

Maafkan saya kerana lambat membalas emel puan dan lambat pula membalas permasalahan yang puan kemukakan.

Saya sedikit hairan kepada nasib puan kerana asas kepercayaan di antara suami-isteri tidak wujud diantara puan dengan suami sejak dari awal perkahwinan. Adakah puan dan suami berkahwin atas kehendak keluarga atau atas dasar cinta? Mengapa suami puan tidak dapat mengenali diri isterinya sendiri? Saya tidak tahu sejauhmana gaya hidup puan atau suami sebelum berkahwin (maafkan saya jika ada pemikiran negative) sehingga suami dengan mudah menjatuhkan hukuman kepada puan dan anak yang puan kandung dan lahirkan. Jika puan ada latar belakang hidup secara bebas dalam pergaulan agak logic rasanya jika suami begitu pantas menjatuhkan hukuman puan melakukan zina sedangkan puan baru saja sebulan berkahwin… juga tidak wujud komunikasi yang elok dari awal lagi sehingga saling mencurigai terhadap pasangan.

Sedikit rasa terkilan saya ialah gaya hidup bebas tanpa batas syarak nampaknya memberi kesan atau impak yang besar kepada seluruh perjalanan perkahwinan puan dengan suami. Ini dapat sya lihat daripada bagaimana orang luar boleh masuk mandi dalam bilik puan biarpun puan tidur pada masa itu. Begitu berani!!! Kalau adik suami sekalipun rasa terkilan jika dia berani masuk ke dalam bilik puan. Adakah pada masa itu situasinya tidak mencurigakan? Waktu malam pula tu jika saya faham bahawa suami kerja shift malam. Mana mungkin matlamat boleh menghalalkan cara. Masuk bilik orang untuk mandi… Suami mana tidak curiga puan?

Namun puan saya tidak beranggapan bahawa puan seorang yang tidak baik akhlaknya. Cuma saya cuba bayangkan mengapa begitu pantas dan berat hukuman yang telah suami puan jatuhkan ke atas diri puan sehingga puan keguguran selepas itu. Masakan hukuman suami sebegitu keras kalau puan berakhlak mulia. Sebagai suami pasti tidak sebegitu rapuh keyakinannya sehingga dia tidak percayakan isterinya sendiri. Atau suami juga ada masalah dalam pergaulannya....

Sebab itu Islam meletakkan peraturan bahawa walau kepada anak sekali pun; tidak dibenarkan masuk ke bilik ibubapa dalam waktu tertentu melainkan dengan izin. Khususnya masa tidur malam, selepas subuh dan selepas zohor. Jika ada orang asing, pastikan bilik tidak dimasuki oleh orang asing yang tidak berhak sama sekali.

Membiarkan pintu tidak bertutup atau tidak berkunci akan mengundang musibah yang tidak berpenghujungnya.

Puan;

Berbalik kepada soalan puan; jawapan sebenar ada dalam diri puan, samaada mahu ingin terus bersama dengan suami atau menuntut fasakh dimahkamah jika puan rasa tiada jalan penyelesaian terbaik di antara diri puan dengan suami. Saya tidak akan memberi nasihat dalam keputusan puan. Puan fikirlah sebaik-baiknya, semasak-masak dan sedalam-dalamnya.

Jika puan ingin berpisah; adalah wajar puan mengambil kira segala pertuduhan suami yang saya rasa puan sendiri berfikir bahawa tuduhan suami tidak adil kepada puan; iaitu pertuduhan zina (Qazaf) yang puan menafikannya.

Isu puan memang dalam perkara Li'an. Ini soal maruah yang jika berpisah ( BERCERAI ) begitu sahaja ; tiada sesiapa yang dapat membersihkan maruah dan kehormatan dirinya. Maka hukum lian perlu dalam menyelesaikan masalah puan suami isteri.

Hukum Lian perlu agar keadilan dapat ditegakkan di kalangan suami-isteri dan mereka akhirnya bebas daripada hokum hudud baik suami menuduh isterinya berzina dan isteri pula boleh membersihkan diri daripada tuduhan melulu itu.

Puan;

Suami berhak menuduh isterinya berzina jika yakin atau dhan(sangkaan) bahawa isterinya berzina… seperti dapat membawakan saksi seramai empat orang termasuk dirinya sendiri. Jika dia gagal membawa saksi maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah SWT ; empat kali bahawa dia bercakap benar. Dan sumpah yang kelima ialah dengan berkata bahawa laknat Allah SWT akan menimpa dirinya jika dia berdusta.

Kepada isteri juga perlu bersumpah bahawa dia tidak melakukan Li'an. Jika isteri tidak menafi dan bersumpah ; hakim boleh menjatuhkan hukuman huhud kepada pihak isteri. Jika ber"li'an" isteri pun dapat menyelamatkannya daripada hukuman hudud.

Lian isteri ialah;

"Aku naik saksi demi Allah, si fulan berbohong dalam tuduhannya yang mengatakan aku berzina." Dia hendaklah ulang lafaz itu empat kali dan yang ke limanya kutukan laknat ke atas dirinya seperti berkata: "Kemurkaan Allah SWT menimpa diriku sekiranya dia(suami) berkata benar".

Puan;

Persoalan status anak tidak timbul, anak itu sah tarafnya; ini kerana suami hanya menuduh dan tidak dibicarakan thabit kesalahan qazaf atau lian atasnya. Talak berlaku buat selama-lamanya setelah thabit hokum lian di antara kalian berdua. Setelah berlaku talak Lian; kalian tidak boleh rujuk buat selama-lamanya.

Jika ragu juga sekarang ini ujian DNA boleh dilakukan.

Ingat sabda nabi saw: "Mana-mana lelaki yang menafikan seseorang sebagai anaknya sedangkan orang itu adalah anaknya, Allah akan menjauhkannya daripada rahmatNya dan akan membuka keaibannya di hadapan orang ramai" – Hadis riwayat Abu Daud

Sekarang terserahlah kepada puan samada mahu membawa kes ini kepada pengadilan atau menuntut fasakh dimahkamah syariah jika puan mahu berpisah dengan suami.

Jika puan ingin berbaik semula hendaklah kedua-dua pihak banyak beristighfar dan bertaubat serta sanggup memaafkan kesalahan orang lain. Maafkanlah pasangan kita dengan hati yang ikhlas dan suami wajib bertaubat dan membersihkan jiwanya daripada prasangka yang dia tidak dapat mendatangkan bukti atas tuduhannya. Sepatutnya suami mesti banyak bersabar dan mendidik dirinya dan isteri ke arah taqwa bukannya dibiarkan hanyut dengan perasaan atau pra sangka yang tidak berkesudahan.

Perasaan benci dan fobia puan adalah hasil daripada kesilapan suami juga yang tidak bersikap pemaaf dan terlalu ikut perasaan dan keras hati dalam pergaulan suami isteri.

Berusahalah menutup keaiban suami-isteri; mudah-mudahan Allah swt membuka banyak kelapangan dalam jiwa dalam kehidupan mereka.

Marilah kita kembali kepada Allah SWT.

Saya harap; penjelasan saya sedikit sebanyak dapat membantu puan. Kepada Allah SWT jua kita meminta pertolongan.

Wassalam.


On Sat, Jan 3, 2009 at 1:07 PM, sayang musalmah wrote:


assalamualaikum ustaz...
selamat tahun baru hijrah. Semoga diri ustaz bersama keluarga tercinta diberi rahmat dan dimurahkan rezeki dari Allah swt. Ustaz.. saya ingin sekali meminta pertolongan ustaz untuk membantu saya menyelesaikan persoalan persoalan yang timbul dalam hidup saya berhubung dengan soal perkahwinan dan rumah tangga. Apa yang saya ceritakan ini bukanlah untuk memburukkan mana mana pihak tetapi sekadar bertanya pendapat sebelum saya mengambil tindakan yang mungkin wajar atau tidak wajar dengan membawa masalah ini ke pengetahuan pihak pejabat agama. saya amat berharap agar ustaz sudi membantu saya memberikan kata pendapat agar saya akan lebih memahami tentang status pernikahan saya dan masalah saya ini. ustaz saya mohon agar ustaz dapat membantu saya memberi jawabnya dalam kadar yang segera memandang sudah dua tahun saya memendam tekanan persoalan ini.

begini ustaz, saya telah mendirikan rumah tangga pada 2005 - sewaktu hamil anak pertama setelah sebulan bernikah.. suami menafikan kandungan itu dengan mengatakan anak yang dikandung itu bukan anaknya kerana dia pernah melihat seorang kenalan adiknya masuk ke dalam bilik tidur kami untuk mandi sedang saya pada waktu itu sedang nyenyak tidur disebabkan alahan yang teruk hingga tidak perasan akan kehadiran lelaki asing itu. Namun lelaki itu hanya menumpang mandi kerana menurutnya dia ingin segera ke tempat kerja. suami saya yang pada waktu itu bekerja shift malam dan waktu dia masuk ke dalam bilik itu lelaki itu sedang mandi..dan saya masih tidur.

untuk pengetahuan ustaz.. dalam bilik saya ada bilik air dan bilik air utama di tingkat bawah telah diguna oleh adik suami saya yang juga ingin keluar bekerja bersama rakannya itu. Untuk pengetahuan ustaz juga... kawan kepada adik suami saya itu sudah hampir satu bulan menumpang tinggal di rumah itu bersama adik suami saya kerana mereka dalam perancangan mencari rumah sewa yang baru.

Selepas melihat kejadian itu suami mula berprasangka buruk dan dia hanya mendiamkan diri tanpa bertanya apa apa kepada saya cuma sikapnya yang berubah seratus peratus.menjadi dingin dan menjauh kan diri dari saya sedang saya itu pada waktu amat memerlukan kasih sayang dan perhatian darinya kerana saya sedang mengalami alah dengan kandungan anak sulung kami.

Hingga satu hari saya mendapat tahu yang suami saya telah meragui anak yang saya kandung itu melalui sepupunya. Sepupunya (perempuan) datang berjumpa dengan saya dan bertanya terus kepada saya tentang kejadian itu serta menceritakan juga kepada saya bahawa suami saya telahpun meragui anak yang saya kandung itu. memandangkan baru satu bulan lebih mendirikan rumah tangga saya mengambil jalan untuk mendiamkan diri tanpa membawa hal ini ke pejabat agama kerna saya tahu jika masalah saya ini dimasukkan di bawah kategori Li'an.. maka saya bimbang sumpahan kelima itu akan melaknati suami saya kerana saya tahu saya berada di pihak yang benar dan saya tidak berzina dengan mana mana lelaki.

namun akibat dari tekanan yang amat akhirnya saya mengalami keguguran. dan saya sedia memaafkan suami saya dan mula membuka lembaran baru setelah suami saya bersetuju untuk berbaik semula dengan saya. Saya mengandung kali kedua empat bulan berikutnya dan saya tidak punya apa masalah dengan kandungan saya itu serta suami juga melayan saya dengan baik. masalah kembali timbul apabila saya mengandung anak yang ketiga setelah anak kandungan kedua telah selamat dilahirkan dan berusia enam bulan. Pada kandungan yang ketiga ini... suami saya sekali lagi menafikan kandungan dengan mengatakan dia tidak pernah menyentuh saya langsung maka bagaimana saya bisa hamil. Sedang demi Allah... saya tidak pernah berzina dengan lelaki lain.

Dan saya tetap mendiamkan diri demi maruah rumah tangga kami memandangkan anak kami juga baru berusia enam bulan dan empat bulan kemudian saya keguguran sekali lagi kerana hidup dalam tekanan yang amat. Waktu keguguran itu anak yang saya kandung itu seperti sudah cukup sifatnya...kecuali rambut dan jantina saya tak pasti.. tapi wajahnya sudah sempurna.. tangan dan kakinya juga cukup sempurna..

selepas dari kejadian itu... saya berusaha untuk memulihkan semula hubungan kami.. saya sedia memaafkannya sekali lagi.. namun ustza sayangnya saya gagal memujuk hati untuk terus menyintai suami saya seperti sebelumnya. Hati saya sudah tawar membuatkan saya menjadi benci dengan hubungan badan. sejak keguguran kali kedua itu saya tidak suka suami saya menyentuh saya kerna saya terkenangkan anak yang kandung itu. wajahnya sering membayang di ruang mata membuatkan saya sering menangis sendirian. hubungan saya dan suami juga sudah jadi tidak mesra dan kami seperti orang asing. Ustaz persoalan saya adalah...

1- apakah salah jika saya menuntut penceraian dari pihak suami kerana saya sudah tawar hati dengan dia atas segala apa yang berlaku. Saya jadi tertekan bila melihat dia... kerap kali saya jadi membenci namun kebencian itu saya pendam sendiri tanpa menunjukkan dihadapannya membuatkan dia tidak tahu yang saya membencinya kerna saya masih lagi boleh tersenyum dan bergurau dengannya.

2- secara jujurnya juga saya sudah 2 tahun tidak berhubungan badan dengan suami saya. saya seperti tidak boleh terima dengan hubungan itu kerana saya juga seperti fobia untuk mengandung lagi.

3- apakah penafian kandungan itu sudah termasuk di bawah li'an. Jika disabitkan li'an.. apakah talak itu hanya jatuh setelah kami berdua mengangkat sumpah li'an.

4- Apakah telah terbatal akad itu setelah suami menafikan kandungan tanpa ada sumpah lian itu sendiri. jika akad boleh terbatal dengan penafian kandungan sebelum mengangkat sumpah.. apakah status anak kedua saya itu. adakah ia dikira anak luar nikah kerana akad yang telah terbatal sejak tuduhan pertama suami ketika saya mengandungkan anak yang sulung.

5- Apakah penceraian adalah jalan terbaik bagi saya jika saya tidak mampu untuk menerima dan menyayangi suami saya seperti dulu.

untuk pengetahuan ustaz.. saya telah berterus terang dengan suami saya tentang tekanan yang saya alami ini. Dan dia sedia melepaskan saya ( Melafazkan talak ) sekiranya saya tidak mahu terikat lagi dengan perkahwinan ini dan dia hanya menunggu kata putus dari saya sama ada untuk benar- benar berpisah atau sebaliknya. Saya sudah memujuk hati untuk cuba menyintai dia sejujur perasaan saya. saya gagal ustaz. ini soal hati.

Saya juga sudah berdoa kepada Allah agar dilembutkan hati saya untuk saya menerima suami saya kembali sayangnya saya masih tawar hati.. saya juga sudah melakukan solat istikharah sepanjang dua tahun ini dan keyakinan saya lebih kuat untuk hidup sendiri bersama anak saya. Saya seorang yang mempunyai pekerjaan tetap dan tidak bimbang akan masalah nafkah anak saya. Harap ustaz dapat membantu saya memberi pendapat mengenai masalah saya ini.

Kata pandangan ustaz itu amatlah saya perlukan agar bisa menjadi bimbingan sebelum saya membawanya ke pajabat agama. Kerna saya tahu apabila ia sampai ke pengetahuan pihak pej agama pastinya masalah ini sudah dikira terlalu serius dan memerlukan penyelesaiannya. terima kasih ustaz... Semoga kesudian ustaz membantu saya ini.. Hanya Allah saja yang layak membalasnya... Assalamualaikum.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?