Pengundian ditutup, proses pengiraan sudah bermula

mStar
Oleh G. MANIMARAN


CALON
BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar bersama isterinya, Datin Intan Baizura Abdul Wahab.


[DIKEMAS KINI, 5.40 PETANG]KUALA TERENGGANU: Proses pengiraan undi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu ini kini sedang berlangsung dengan hampir 80% pengundi telah keluar mengundi hari ini.

Undi sedang dikira di pusat-pusat mengundi yang dijangka akan mengambil masa kira-kira dua jam.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata peratusan keluar mengundi mencecah 80 peratus.

Pemilihan kali ini menyaksikan persaingan tiga penjuru yang membabitkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dari Barisan Nasional (BN), Mohd. Abdul Wahid Endut (PAS) dan Azharudin Mamat @ Adam (Bebas).

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong berikutan kematian mengejut penyandangnya iaitu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas.


PENGUNDI PERTAMA... Calon PAS, Mohd. Abdul Wahid Endut (PAS) ditemani bersama isterinya, Wan Fatimah Wan Abdullah semasa membuang undi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Chabang Tiga.

Pada pilihan raya umum lalu, Razali berjaya mengekalkan kerusi berkenaan apabila menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi. Razali memperoleh 32,562 undi, manakala Mohamad (31,934 undi) dan Maimun (685 undi).



BERITA TERDAHULU Pengundian ditutup, hampir 80% keluar mengundi

KUALA TERENGGANU:
Proses pengundian pilhan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu telah berakhir pukul 5 petang tadi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata peratusan keluar mengundi mencecah 80 peratus.

Proses pengiraan undi akan bermula bila-bila daripada sekarang dan keputusan rasmi dijangka diperolehi sebelum pukul 10.30 malam.

SPR akan mengadakan sidang media pada pukul 6 petang ini.

BERITA TERDAHULU
Pengundian sebelah petang kecil, PAS yakin berpeluang cerah

KUALA TERENGGANU: Lebih 72 peratus warga Kuala Terengganu telah keluar mengundi dalam pilihan raya kecil yang diadakan hari ini untuk memilih Ahli Parlimen baru bagi kerusi Kuala Terengganu - kali kedua selepas pilihan raya umum Mac lalu.

Setakat pukul 4 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan 72 peratus sudah pun menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Pengundian akan ditutup setengah jam lagi iaitu pada pukul 5 petang.

Bilangan yang keluar mengundi setakat pukul 2 petang ialah 62 peratus dan ia meningkat kepada 68 peratus menjelang 3 petang.

"Bagaimanapun perubahan peratusan keluar mengundi pada sebelah petang adalah kecil berbanding sehingga tengah hari tadi," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

Pengundian berjalan dengan lancar ketika peluang bagi parti untuk menang dikatakan masih seimbang.

Bagaimanapun Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Abd. Mutallib Embong berkata, peluang bagi calon mereka untuk menang kelihatan cerah.

"Berdasarkan senyuman dan isyarat kami saya akan menang," kata beliau ketika dihubungi dan menambah, sehingga sekarang (pukul 3 petang tadi) peratusan mengundi sudah hampir 75 peratus.

Mengenai kemungkinan faktor kepada keyakinan itu, beliau berkata ia disumbangkan oleh sokongan pengundi-pengundi Cina.

Justeru, kata beliau, pihaknya mahu tunggu dan lihat memandangkan peratusan tersebut terus mengalami peningkatan.

BERITA TERDAHULU70% keluar mengundi, PAS yakin menang

KUALA TERENGGANU: Hampir 70 peratus warga Kuala Terengganu telah keluar mengundi dalam pilihan raya kecil yang diadakan untuk memilih Ahli Parlimen baru bagi kerusi Kuala Terengganu - kali kedua selepas pilihan raya umum Mac lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, peratusan itu merupakan pertambahan sebanyak 30 peratus sejak pukul 12 tengah hari tadi.

Sementara itu, beberapa pemimpin PAS yang dihubungi berkata, mereka berada dalam keadaan yang cukup selesa untuk mencapai kemenangan hari ini.

Bagaimanapun, mereka tetap bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Terdahulu, setakat tengah hari tadi, kira-kita 40 peratus pengundi telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

"Seramai 41.84 peratus atau 33,133 pengundi sudah mengundi setakat ini," kata Abdul Aziz yang turut menyifatkannya sebagai memuaskan.

Beliau yakin ramai yang akan keluar mengundi menjelang 5 petang ini.


Calon BN tunai tanggungjawab mengundi




Daripada 33,133 itu, seramai 1,323 mengundi antara 8 dan 9 pagi, 18,624 (antara 9 dan 10 pagi), 3,225 (antara 10 dan 11 pagi) dan 9,850 (11 pagi dan 12 tengah hari).

Kerusi ini mempunyai 80,229 pengundi tetapi hanya 79,194 orang mengundi hari ini selepas ditolak pemilih pos.

Calon Barisan Nasional (BN) dan PAS telah pun keluar mengundi seawal pukul 8 pagi. Calon Bebas bukan merupakan pengundi di sini.

"Dalam tempoh empat jam kita sudah ada 42 peratus, purata 10 peratus dalam sejam. Ada lagi lima jam lagi, jika dapat 50 peratus lagi bermakna kita boleh capai 90 peratus," kata beliau pada sidang media di Stadium Negeri di sini pukul 12.30 tengah hari tadi.

Kata beliau, bilangan pengundi yang keluar mengundi adalah tinggi di kalangan mereka yang berusia iaitu melebihi 40 tahun.

"Peratusan mereka yang keluar mengundi di Saluran Satu dan Dua iaitu orang-orang yang berumur adalah tinggi... kira-kira 50 peratus.

"Bagaimanapun peratusan orang muda (Saluran Tiga, Empat dan Lima) yang keluar mengudi masih rendah," katanya.

Saluran Tiga, Empat dan Lima dikhaskan untuk mereka berumur bawah 40 tahun.

Jelas beliau, antara pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari tadi, hanya kira-kira 25 peratus pemilih muda yang keluar mengundi.

"Berdasarkan pengalaman lalu, golongan muda biasanya akan keluar mengundi pada sebelah petang tetapi saya berharap mereka akan keluar mengundi secepat yang boleh," katanya.

Mengenai perjalanan urusan pengundian, beliau berkata: "Saya tidak nampak apa-apa masalah."

"Dan, berharap keaadaan ini beterusan sehingga petang," kata beliau yang sebelum itu ditemui di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Pasir Panjang pukul 9.25 pagi tadi.

Beliau juga berkata, pihaknya tidak menerima apa-apa maklumat mengenai kejadian tidak diingini setakat tengah hari tadi.

"Saya melihat proses pengundian ini macam pesta... semua gembira, pekerja-pekerja pilihan raya dari semua pari nampak mesra sesama mereka," katanya lagi.

Seperti lazimnya, jalan-jalan menuju ke pusat pengundian dibanjiri peraih undi kedua-dua parti yang bertanding iaitu BN dan PAS.

Bagaimanapun peraih undi calon Bebas tidak kelihatan.

Dalam pada itu, tinjauan mStar Online mendapati cuaca di sini sehingga 1.30 tengah hari adalah cerah walaupun sebelum ini diramalkan mendung.

Sebelah petang pula diramalkan hujan.

Pengundi-pengundi mula menuju ke pusat-pusat pengundian dalam jumlah yang banyak sejak pukul 8.30 pagi tadi.

Pusat pengundian dibuka pada pukul 8 pagi dan akan ditutup 5 petang ini.

Berbanding persekitaran hari pengundian pada 8 Mac lalu, suasana kelihatan lebih rancak pagi ini.

BERITA TERDAHULU - Saingan kekal sengit, 42 peratus sudah mengundi

KUALA TERENGGANU:
Kira-kira 42 peratus warga Kuala Terengganu telah keluar mengundi dalam pilihan raya kecil yang diadakan untuk memilih ahli Parlimen yang baru - kali kedua selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu.

Tinjauan mStar Online menunjukkan pengundi-pengundi sudah mula menuju ke pusat-pusat pengundian dalam jumlah yang banyak sepanjang dua jam yang lalu.

Berbanding persekitaran hari pengundian pada 8 Mac lalu, suasana kelihatan lebih rancak pada pagi ini.

Bagi Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, beliau menyifatkan proses pengundian ketika ini berjalan dengan lancar.

"Saya tidak nampak apa-apa masalah dan berharap keaadaan ini beterusan sehingga petang," kata beliau ketika ditemui di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Pasir Panjang sebentar tadi.

Dalam perkembangan terkini, Abdul Aziz berkata jumlah orang yang sudah mengundi dalam empat jam pertama ialah kira-kira 42 peratus.

Katanya bilangan peratus yang keluar megundi adalah tinggi dikalangan mereka yang berusia.

"Peratusan mereka yang keluar mengundi di Saluran Satu dan Dua iaitu orang-orang yang berumur adalah tinggi... kira-kira 50 peratus.

"Bagaimanapun peratusan orang muda (Saluran Tiga) yang keluar mengudi masih rendah," katanya.

Jelas beliau, antara pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari, hanya kira-kira lima peratus orang muda yang keluar mengundi.

BERITA TERDAHULU Saingan sengit, proses pengundian berjalan lancar

KUALA TERENGGANU:
Hampir 80,000 warga Kuala Terengganu mula melangkah ke pusat-pusat mengundi untuk memilih ahli Parlimen yang baru pagi ini.

Proses pengundian bermula pukul 8 pagi ini dan akan ditutup pukul 5 petang.

Pilihan raya kecil ini yang dilihat sengit dan disifatkan sebagai sangat penting untuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat menyaksikan persaingan tiga penjuru.

Persaingan itu membabitkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dari BN, Mohd. Abdul Wahid Endut (PAS) dan Azharudin Mamat @ Adam (Bebas).

Daripada 80,229 pemilih yang layak mengundi kali ini, seramai 1,035 merupakan pengundi pos di mana kira-kira 96 peratus telah pun mengundi.

Lebih 88 peratus atau 70,834 pengundi di bahagian ini adalah Melayu, 8,735 atau 10.89 peratus pengundi Cina, 518 atau 0.65 peratus pengundi India dan 142 atau 0.18 peratus pengundi lain.

Calon BN, Wan Ahmad Farid akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar manakala calon PAS, Mohd. Abdul Wahid mengundi di Sekolah Kebangsaan Chabang Tiga.

Wan Ahmad Farid ketika dihubungi pada pukul 7.45 pagi ini selepas menziarahi pusara ibubapanya dengan diiringi isterinya, Datin Intan Baizura Abdul Wahab di Masjid Raja Bukit Besar berkata beliau yakin penyokong-penyokongnya akan keluar mengundi seramai yang mungkin.

"Yang penting mereka mengundi untuk BN," katanya.

Beliau kemudian menuju ke pusat pengundian yang terletak beberapa meter dari masjid tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Abdul Wahid ketika dihubungi mStar Online berkata, sokongan untuk PAS dan Pakatan Rakyat memberangsangkan namun bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pengundi-pengundi untuk membuat keputusan.

"Saya gembira dengan sokongan yang mereka berikan kepada saya, dan saya harap ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi," katanya.

Bagaimanapun Azharudin tidak mebgundi di Bahagian Kuala Terengganu kali ini.

Beliau mendaftar sebagai pengundi luar Kuala Terenggani.

Wan Ahmad Farid memasukkan kertas undi tepat pada pukul 8.07 minit pagi.

"Saya gembira," kata beliau ketika ditanya perasaannya sejurus selepas keluar dari Saluran Tiga, tempat beliau mengundi.

Dalam pada itu, Mohd Abdul Wahid merupakan pengundi pertama mengundi di Saluran Tiga Sekolah Rendah Kebangsaan Chabang Tiga.

"Saya berharap pengundi matang dan mereka akan memberikan saya peluang (menjadi ahli Parlimen).

"Saya bekerja untuk menang... menang atau kalah kita tunggu sehingga petang," katanya ketika ditemui selepas mengundi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam diiringi oleh isterinya, Wan Fatimah Wan Abdullah.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, proses pengundian setengah jam pertama berjalan dengan lancar.

"Laporan awal menunjukkan tiada sebarnag masalah sepanjang setengah jam selepas proses pengundian dibuka," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?