Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Friday, January 30, 2009

Menangani Ekonomi Gawat ; Binalah Skill @ Kemahiran Diri

Oleh isma daud

Sejak semalam saya hanya berada di rumah, hujan pun turun tidak berhenti-henti biarpun tidak lebat. Beberapa kawasan di Sarawak mungkin dilanda banjir kali kedua.

Sementara di Sibu ada juga yang kena banjir, dari banjir pertama dulu; belum surut-surut lagi air. Ini tambah hujan turun lagi biarpun tidak lebat.

Saya juga turut terbawa-bawa dengan suasana sejuk, rasa malas saja untuk menulis. Biarpun di luar sana hujan turun mencurah, idea saya pula macam nak kemarau pula. Sejak hari Sabtu lalu, saya bercuti kerana tahun baru cina. Rasa panjang pula masa hari-hari yang dilalui. Kalau tidak tu rasa sekejap saja sesehari yang dilalui.

Bila lama di rumah ni saya banyak membantu orang rumah memasak di dapur. Orang rumah pula dalam suasana hujan dan ekonomi tidak menentu ini; mencurah pula rezekinya. Sejak tamat kursus jahitan (kelas dewasa)anjuran Pusat Latihan Pembangunan Belia Sarawak - 4 tahun dahulu, dia kian banyak menerima tempahan untuk jahitan. Memang dalam bidang masakan dan jahitan sentiasa tiada masa gawat. Orang selalu mahu makan, selalu mahu pakai. Dua keperluan asasi yang sangat penting. Sebab itu saya selalu ingatkan pelajar-pelajar saya supaya menguasai ilmu dalam pelbagai bidang termasuk kemahiran tertentu seperti kemahiran memasak dan jahitan ini.

Dalam khutbah Jumaat hari ini khatib membicarakan persoalan ekonomi global yang turut terkesan kepada warga negara kita juga. Ramai yang mula kehilangan kerja. Biarpun pemimpin negara masih malaungkan bahawa ekonomi kita masih kukuh dan mampu bersaing; namun daya saing kewangan kita semakin mengecil dari segi nilainya. Sekarang ini RM10 macam tiada harga saja. Beli kuih-muih pun 3 biji seringgit. 6 biji dua ringgit. Apa kaedah yang dipakai pun saya tidak tahu? Kalau beli 1 biji harganya 30 sen sahaja. Kalau cakap mahu kuih RM1, penjual akan beri hanya tiga biji kuih saja. Saya cuba nak beli sekali tu; saya tidak mahu RM1, saya mahu tiga biji saja supaya harganya 90 sen, tapi penjual kata harganya RM1. Sebab tu saya sebut tadi ada dua bidang ni, tidak mengalami zaman gawat sebab orang sentiasa mahu makan,mahu minum dan mahu pakai. Mahu tidak mahu kita mesti berbelanja untuk ini.

Ada orang cadangkan supaya masak sendiri, jahit sendiri...bla..bla.. Alangkah kalau kita dapat buat sendiri semuanya??? Kita memang berhajat kepada keperluan ini tapi kita tidak ada masa yang banyak untuk buat segala. Nak makan kita beli, nak pakai kita upah jahit atau beli terus yang sudah siap.

Namun saya rasa bertuah kerana Allah SWT memberi kemahiran bercakap, menulis; dan dengannya saya juga mampu menambah pendapatan keluarga. Tambah pula isteri mampu membuat masakan dan jahitan. Nampaknya kesungguhan isteri saya selama ini mula menampakkan hasil. Disamping dapat mengisi masa lapangnya dapat juga mencari sumber pendapatan sampingan yang tidak kurang lumayannya...

Kepada mereka yang masih bermalas-malasan dan menunggu pekerjaan yang belum kunjung tiba; apa kata kalian pergi mengambil sebarang kursus yang sesuai dengan minat dan kecenderungan sendiri baik dalam bidang masakan dan jahitan; contohnya, atau apa-apa skill (kemahiran) yang mampu membangun diri kita sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

Sesungguhnya Allah SWT amat suka kepada seseorang yang makan dan minum dari usaha tangannya sendiri, Dan Nabi Daud itu makan dan minum dari sumber tangannya sendiri -
mafhum hadis.

Kepada golongan muda dan belia; janganlah kita terlalu memilih pekerjaan dan membiarkan diri kita dipersiakan begitu saja kerana terlalu berharap kerja yang diimpi-impikan. Dalam banyak hal kita tidak patut terlalu memilih pekerjaan. Biarpun sesuatu itu bukan pilihan utama kita, kita boleh membina minat dalam bidang itu bila kita dapat melihat hasil pulangan kepada kita pada hari kemudian.

Banyak kemahiran yang boleh kita usahakan. Ubahlah sikap dan cara pemikiran kita. Berusahalah kerana kejayaan kita bermula dari titik pertama perubahan yang kita lakukan. Teruskan Usaha Tanpa Putus Asa. Kejayaan Sudah Sedia Menanti Buat Yang Rajin Berusaha.

No comments:

Related Posts with Thumbnails