Lima Asas Utama dalam Merealisasikan Rasa Ubudiyyah Kepada Allah SWT

Oleh isma daud

Tugas utama manusia diatas muka bumi ini adalah menjadi hamba kepada Allah SWT. Selaku hamba sudah tentu kita tiada pilihan lain melainkan kita mesti tunduk patuh kepadaNya dan melaksanakan suruhanNya serta meninggalkan segala larangannya. Namun jika ada manusia yang derhaka itu terpulanglah kepada mereka kerana Allah SWT telah memberi segala peluang serta kemampuan untuk manusia mengenal penciptanya yang sebenar. Selaku hambanya amat wajarlah rasanya kita meneliti apakah asas yang boleh kita berdiri di atasnya agar menyampaikan kita kepada jalan Allah SWT. Jalan yang menunjuk kita kepada Redha dan kasih-sayangNya.

Saya berpendapat ada lima asas utama yang boleh kita berpijak atasnya bagi mencapai matlamat itu;

Pertama: Memiliki Iman yang luhur, yang tiada syak atau ragu walau sedikitpun.

Iman merupakan kepercayaan dan keyakinan yang putus dan jazim kepada Allah SWT. Jika ada sedikit sahaja keraguan sudah cukup merobek dan meruntuh asas iman dalam jiwa seseorang. Andai ada sedikit sahaja keraguan nescaya keimanan seperti itu akan tertolak dan terbatal.

Ada beberapa keraguan yang boleh kita senaraikan seperti perasaan syak, wahan atau dhan. Kesemua keimanan seperti ini tidak akan diterima oleh allah SWT. Contohnya seseorang menafikan akan hukum Allah SWT yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, dengan meragui akan kesesuaiannya untuk dilaksanakan pada masa atau zaman sekarang.

Bentuk keraguan ini berbeza dengan was-was. Was-was itu tanda seseorang itu masih beriman. Was-was mesti segera ditolak; jika tidak, akhirnya ia boleh membawa seseorang itu menjadi syak(ragu) kepada keimanan yang ada dalam jiwanya.

Keimanan yang sebenar ini akan mendorong seseorang itu untuk membuktikan bahawa dia adalah sebenar-benar hamba Allah SWT. Dia akan berjuang dengannya, hidup dengannya dan mati di atas jalannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Bahawasanya orang-orang yang benar beriman itu ialah mereka yang beriman kepada Allah SWT dan RasulNya kemudian mereka tidak merasa ragu sedikitpun dan mereka berjuang dengan harta-benda dan jiwa raga mereka sendiri pada jalan Allah SWT. Mereka itulah orang-orang yang benar."

Kedua : Keikhlasan yang sebenar, yang tiada yang dibuat-buat dan tidak bertujuan riak atau menunjuk-menunjuk. Kita tanya diri kita, adakah kita ini hamba Allah SWT yang sebenarnya? Keikhlasan itu sesuatu yang sukar dan perlu mujahadah. Jika tidak kita tidak lebih melainkan orang yang penuh nifaq dan kepura-puraan. Secara mudahnya ikhlas itu kita bersikap benar kepada diri kita baik kita berada seorang diri mahupun kita berada di khalayak ramai. Kontra di antara luar dan dalam diri kita pun sudah cukup menjadikan kita tidak ikhlas. Berkata Sheikh Fudhail Bin 'Iyadh bahawa ikhlas itu sama di antara yang nyata dan tersembunyi.

Keikhlasan ini sangat penting dalam melahirkan rasa ubudiyyah atau ketundukan kepada Allah SWT melalui firmannya yang bermaksud: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar." - surah al-baiyinah; ayat(5).

Ketiga : Keazaman yang bersungguh-sungguh yang tidak mengenal rasa takut dan gentar dalam melayari kehidupan ini. Orang yang beriman dan beramal soleh sudah pasti memiliki jiwa yang kental. Tidak mungkin orang yang kuat pergantungan dengan Allah SWT akan cepat tewas dan menyerah kalah kepada tekanan hidup. Keazaman ini akan menjadikan seseorang itu kian tabah malah kian bersemangat dalam setiap apa yang dilakukan. Mereka ini tidak takut melainkan Allah SWT.

Biar apa pun ujian Allah SWT yang melanda; dia akan terima dengan redha dan bersedia menghadapinya. Bahkan dia berusaha membina kehidupan dan menjalinkan kehidupan bersama orang lain tanpa rasa malu dan takut. Keberanian ini akan melahirkan insan yang kuat dan tabah. Kekuatan dan ketabahan ini adalah bukti seseorang itu memiliki iman yang kental dan teguh terhadap Allah SWT.

Keempat : Amal yang berkekalan, tanpa mengenal rasa penat dan jemu: Allah SWT sangat suka kepada seseorang yang istiqamah dan ithqan dalam apa yang dilakukannya. Orang yang beriman tahu dirinya adalah milik Allah SWT; dia akan sentiasa bersungguh-sungguh melakukan ibadat kepadaNya kerana dia sedar dirinya adalah hamba. Derhaka bukan sikap hamba. Sikap hamba itu sentiasa taat dan patuh. Jadi kepatuhan itu bukan bermusim atau bermusim. Bahkan sepanjang masa. Sepertimana ibadat solat biarpun berat untuk dilaksanakan lima waktu sehari semalam, atas nama ubudiyyah kepada Allah SWT seseorang itu akan sentiasa tekun dan istiqamah dalam melaksanakan "masuliyyah" atau tanggungjawab yang diwajibkan oleh Allah SWT. Jelasnya dalam usaha untuk berjaya seseorang itu mesti tekun dan istiqamah dalam seluruh pekerjaannya.

Firman Allah SWT; "Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan." -surah attaubah : ayat(105).


Kelima : Pengorbanan tanpa mengenal erti tewas, jihad yang mengenal makna menang dan syahid.

Firman Allah SWT: "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)." - surah albaqarah : ayat(214).

Semoga sedikit saranan dan perbincangan ini dapat menjadikan kita insan bertaqwa. Yang lebih penting ianya dapat menjadikan kita sebagai hamba Allah SWT yang sebenarnya. Kerana matlamat penciptaan Allah SWT kepada manusia itu adalah semata-mata untuk beribadah kepadaNya jua.

Selamat maju jaya...

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?