Keputusan terakhir pengundi penentu kemenangan

Oleh isma daud

Hari mengundi pilihan raya di P036 Kuala Terengganu kian hampir. Ramai penganalis politik berpendapat bahawa parti utama yang bertanding mempunyai peluang yang seimbang.

Parti-parti yang bertanding sudah pasti sedang merencanakan apakah strategi terakhir untuk menarik pengundi yang akan mengundi mereka. Bagi yang sedari awal lagi telah membuat keputusan sudah tentu sedang mencongakkan siapa calon yang hendak dipangkah, parti mana yang akan diundi nanti. Tunggu masa dan hari saja untuk dilaksanakan hajat dihati. Tiada apa yang yang digusarkan. Segalanya sudah muktamad.

Bagi setengah orang ada yang belum pasti; mungkin di saat-saat akhir hati mula berubah, jiwa beralih arah. Parti bertukar dan calon berganti. Semuanya boleh terjadi. Kepada sesetengah orang yang belum membuat keputusan; sudah tentu sedang releks tidak mahu sakit-sakitkan kepala. Hari mengundi nanti baru fikir; siapa yang hendak diundi. Kalau susah sangat ada nanti yang buat keputusan tidak payah keluar mengundi atau ada yang mengundi, dirosakkannya kertas undi.

Sebagai warga yang tahu hak dan kepentingan agama dan negara; harap tiada lagi warga yang mensia-siakan peluang mengundi. Tunaikan hak anda sebaik mungkin untuk kepentingan agama dan negara..

Mengundi pun macam kita buat keputusan membeli-belah di gedung dan pasaraya. Sudah tentu kita berdepan dengan pilihan. Bagi yang bijak; sedari awal lagi mereka sudah membuat keputusan apa yang hendak dibeli. membeli apa yang sudah dirancang. Itupun membeli setelah membuat semakan harga dan kualiti barang itu berkali-kali. Telah membanding di sana-sini. Setelah berpuas hati; dia telah membuat keputusan yang pasti. Dia yakin benar apa yang dipilihnya itu tidak mengecewakan sama sekali...

Tapi harus diingat; orang yang telah membuat perancangan awal itu pun, kerap kali terperangkap dengan pilihan terakhir. Bertolak dari rumah, telah dibuat senarai dan diputuskan apa yang hendak dibeli. Namun sampai di gedung membeli-belah; perencanaan awal itu nampaknya terpaksa diubah. Apa yang merubahnya? Dia baru saja diberi maklumat baru oleh "promoter" atau jurujual; langsung dia tertarik dengan barangan baru yang tiada langsung dalam kotak fikirannya sebelum ini. Perubahan terakhir itu adalah keputusan baru. Itulah yang muktamad. Akhirnya perencanaan awal yang dirancang semua tidak menjadi. Yang dibawa pulang ialah barang baru yang tidak difikirkannya sebelum ini. Biasanya; pilihan baru ini diganggu dan dikuasai oleh pengaruh emosi bukan keputusan dibawah sedar dan keyakinan yang benar. emosi itu baru saja diusik oleh persekitaran dan pemahaman baru. Namun maklumat yang tidak masak itu diputuskan dan dimuktamadkan. Masa yang mendesak itu; tidak memberi banyak ruang untuk dia berfikir. Bergantung kepada nasiblah jika bernasib baik; mengembirakan hati. Jika sebaliknya; ada jiwa yang menanggung pahit dan penyesalan yang tidak mampu diubah lagi....

Oleh itu; semua parti yang bertanding amat-amat sedar bahawa jiwa dan hati pengundi boleh berubah walau seminit berada di kandang tempat memangkah kertas undi. Perayu undi akan terus merayu. Suara akhir yang mengiringi telinga pengundi mampu merubah ketetapan hati.

Kepada semua pengundi; anda boleh membuat keputusan awal dan muktamadkan. Itulah yang terbaik. Atau anda boleh memilih membuat keputusan di saat-saat terakhir. Harapannya; apa pun keputusan anda tidak mengabaikan hak anda sebagai pengundi bijak yang tidak mudah diganggu oleh kelemahan emosi dan keputusan yang tidak anda rancang sama sekali.

Banyak faktor yang boleh merubah pendirian seseorang, diantaranya;
1. Ilmu dan pemahaman seseorang tentang apa , kenapa , bila, bagaimana dan di mana : Seseorang itu boleh berubah pendiriannya bila seseorang itu memperolehi ilmu dan maklumat baru. Mungkin dia baru tahu tentang calon yang hendak dipilihnya, pengetahuan itu baru benar munculnya. Pengetahuan itu mampu menggugat pendiriannya; tentang apa yang didengarinya. apa yang dilihatnya. Sebagai contoh, dalam perjalanan ke tempat mengundi, datang sebuah kenderaan menawarkan diri untuk dihantar ke tempat membuang undi. Naiklah hamba Allah ini dalam kenderaan itu; agak-agaknya apa yang boleh dilakukan oleh perayu undi dalam tempoh dan jarak perjalanan itu... Segalanya mungkin.

2. Gangguan emosi : Boleh jadi dalam perjalanan keluar mengundi; dia diberi propaganda pihak musuh; mungkin ianya tidak benar. Tapi pengundi tadi tidak sempat membuat analisis baru dengan tepat. Timbul perasaan marah, benci dan meluat. Tadi bersemangat nak mengundi akhirnya jadi luntur. akhirnya dia merosakkan saja undinya itu. Sebab itu tidak pelik jika sesetengah kawan pilihanraya itu; banyak undi yang rosak. Tidak pelik juga timbulnya undi protes dan memangkah parti lawan yang dia sendiri tidak suka. Sentimen-sentimen peribadi calon, kekeluargaan, keperluan meterial dan sogokan kebendaan serta kemesraan calon akan menentukan sikap pengundi juga.

Walau apapun sebabnya anda keluar mengundi; jadilah pengundi yang bijak sebagaimana anda dididik menjadi pengguna yang bijak. Selamat Mengundi!!!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?