Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Wednesday, January 28, 2009

Jagalah Pergaulan Walaupun sesama Mahram


Oleh isma daud

Melihatkan apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini dan apa yang dilaporkan dalam akhbar saban hari menyebabkan saya merasakan ada tanggungjawab besar menjelaskan kepada umat Islam tentang betapa buruknya akibat jika berlaku pergaulan bebas sesama ahli keluarga dan rakan taulan tanpa ada bimbingan agama. Sungguh menyedihkan perkara sumbang ini berlaku dalam keluarga orang Islam sendiri.

Sumbang Mahram

Ramai tidak faham kenapa kita mesti menjaga hubungan dengan orang-orang yang hampir dan ada hubungan "mahram". Timbul persoalan kenapa? Kenapa ya timbul isu "sumbang mahram" dan sebagainya. Sebelum itu patutlah kita merenung kepada sebuah hadis yang mafhumnya "Berdua-duaan di antara adik dan abang ipar atau sebaliknya itu seperti "maut". Cukup jelas bahayanya sehingga Rasulullah saw menyifatkannya sebagai maut. Tapi itu ada logiknya. Yang menjadi persoalan ialah kenapa dalam lingkungan keluarga sendiri ianya boleh juga berlaku. Saya suka menjelaskan di sini tentang adanya faktor yang boleh mendorong hal yang tidak elok ini berlaku;


Di antaranya;


1. Manusia ini dijadikan memiliki hawa nafsu dan saling tertarik kepada orang lain atau sering saja membandingkan diri kita dengan orang lain. Nafsu seringkali mendorong manusia melakukan kejahatan. Nafsu hanya boleh tunduk dengan agama dan aqidah yang kukuh kepada Allah SWT. Oleh kerana nafsu boleh mempengaruhi siapa sahaja tanpa mengira mereka yang "mahram" atau "ajnabi" ; Islam menggariskan batas-batas pergaulan supaya hidup kita lebih harmoni.

2. Sikap remaja yang suka mencuba sesuatu juga perlu mereka sedari kerana jika tidak mendapat panduan yang betul mereka boleh melakukan perkara yang dicegah oleh agama.

3. Ingin berseronok sahaja sedangkan kesan daripada keseronokan itu amat buruk sekali.

4. Kejahilan para remaja, naluri ingin tahu seringkali diambil kesempatan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan dikuasai nafsu sehingga ada yang sanggup melakukan sumbang-mahram atau merogol anak atau darah daging sendiri.

5. Ibubapa yang tidak menerapkan budaya hidup beragama dalam pergaulan harian juga menjadi salah satu faktor menjerumuskan remaja kepada salah laku ini.

6. Keruntuhan moral dan kemusnahan sesebuah rumah-tangga menyebabkan hilang rasa hormat sesama ahli keluarga sendiri.

7. Pengaruh rakan sebaya yang rosak akhlak.

8. Pengaruh media massa dan media cetak yang tidak terkawal.

9. Adanya peluang. Perasaan selamat dan rasa ada "power" ke atas mangsa memungkinkan seseorang itu sanggup melakukan jenayah terkutuk ini. Dia rasa jenayahnya tidak akan bocor dan dapat disembunyikan daripada pengetahuan orang lain kerana pada sangkaannya mangsa itu lemah dan takut untuk bertindak. Sebab itu kes itu berlaku berulang-ulang kali.

10. Sikap mudah percaya dan terlalu bersangka baik menyebabkan kita mudah terleka. Pepatah melayu ada mengatakan; "jerat tidak pernah lupa kepada pelanduk". Lalu seseorang itu meremehkan persoalan aurat dan mengamalkan pergaulan tanpa batasan.

11. Tidak takut dengan undang-undang dan hukuman walaupun hukuman yang dikenakan jika sabit kesalahan adalah penjara dan sebatan. Ini kerana hati manusia sudah mati dek kerana pemerintah selalu mempersenda hukum Allah swt sehingga rakyat dan masyarakat jiwanya tidak terdidik dengan hukum Allah swt. Hukum Allah swt lagi keras sehingga dihukumkan dengan hudud seperti direjam sampai mati bagi yang sudah berkawin dan sebatan seratus rotan bagi yang belum mengecapi persetubuhan halal. Bahkan sebahagian ulama menambah dengan dibuang daerah dan beberapa peruntukan undang-undang lagi. Tapi dimanakah letaknya hukum-hukum Allah swt dalam perundangan negara kita; Malaysiaku tercinta???

Jagalah Kehormatan Diri

Setelah kita mengenal-pasti faktur pendorong kepada maksiat ini, eloklah kita jauhinya. Jagalah pergaulan walaupun sesama Mahram. Tutuplah aurat dan tundukkanlah pandangan mata. Sayangilah ahli keluarga kita, mereka adalah amanah Allah untuk dijaga dengan sebaiknya bukan untuk dirosakkan dek kerana mengikut nafsu durjana. Rasulullah saw pernah bersabda kepada Saidina Ali Bin abi Talib r.a.: " Wahai Ali, janganlah kamu mengekori pandangan pertama dengan pandangan seterusnya. Sesungguhnya pandangan pertama itu tiadalah mengapa sedangkan pandangan kamu seterusnya mendatangkan dosa".

Saya mengharapkan agar kita dapat menghayati pengajaran dan pembelajaran daripada apa yang saya tintakan di sini. Yang lebih penting daripada itu ialah kita dapat mengamal dan merealisasikannya dalam kehidupan kita sehari- harian. Insya Allah swt.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamu'alaikum.....
Ana tertarik dengan artikel yang dipaparkan di dalam blog ini.Termasuklah dengan artikel yang bertajuk "JAGALAH PERGAULAN WALAUPUN SESAMA MAHRAM". Hal sedemikian sememangnya wajar di beritahu kepada masyarakat kerana selama ini masyarakat menganggap bahawa kedudukan atau status sesama mahram itu dapat menjamin dari berlakunya bermacam-macam gejala sosial. Bahkan kadang-kadang kedapatan timbulnya gjala sosial ini adalah berpunca dari hubungan yang terjalin sesama mahram sama ada di rumah, sekolah dan juga merata tempat lain. Syabas!!!! Ana ucapkan atas pendedahan maklumat ini.

Related Posts with Thumbnails